Monday, September 17, 2018

Scones


Bercerita tentang scones... Inilah snack petang kegemaran saya sewaktu belajar di UK. Untuk program pengajian kami, kami ditempatkan bersama keluarga Inggeris pada tahun pertama kami di sana. Ini adalah untuk proses "immersion" bagi memperbaiki lagi bahasa Inggeris kami. Iyalah, nak jadi cikgu Inggeris, kenalah fasih dan betul sebutan dan penggunaan bahasa, kan? Saya amat bersyukur kerana diberikan peluang untuk mengikuti program ini. Walaupun kerana minat membaca yang mendalam sejak kecil dan setelah mengambil subjek Kesusasteraan Inggeris di peringkat STPM, penulisan bahasa Inggeris saya agak "ok" - jauh dari perfect ya, namun dari segi pertuturan lebih banyak yang perlu diperbetulkan. Alhamdulillah, apabila terpaksa beroperasi dalam bahasa Inggeris sepanjang masa selama beberapa tahun, menyiapkan tugasan dan membaca jurnal-jurnal dan buku-buku ilmiah dalam bahasa itu, penguasaan semakin baik. Hilang rasa malu untuk bertutur, dan tidak langsung rasa kecil hati apabila diperbetulkan orang lain bila salah sebutan atau penggunaan. Semuanya saya ambil sebagai proses pembelajaran yang positif. Demi kebaikan sendiri. Sebab itu saya kurang faham mengapa orang jadi sensitif atau emo apabila diperbetulkan. Apa salahnya, kan? Sepatutnya kita berterima kasih. Ini orang yang cuba memberitahu dengan baik itu pula dikecamnya. Nak belajar tak boleh ego dan mesti merendah diri. Kalau dah pandai sangat, ha! Tu yang susah nak maju.

OK cukup lah membebel. Balik pada cerita scones. Semasa tinggal di rumah ibu-bapa angkat itu, kadangkala nenek ibu itu akan datang tinggal bersama. Nenek ini datang dari Yorkshire. Saya paling seronok bila nenek tu ada. Dia akan duduk di dapur buatkan scones, rock cakes, English muffins, sponge cake, raisin buns, cherry cake.. kerja nya memang baking di dapur. Bila balik dari Kolej, buka pintu saja, bau harum baking memang tak dapat di lupakan. Memang dia akan tunggu dan ajak minum teh sama-sama. Aduh seronoknya. Sambil berbual, habis sebutan dan penggunaan bahasa saya dibetulkannya. Alhamdulillah. Sempat juga saya meminta dia mengajar saya membuat beberapa jenis kuih, dan sebelum dia balik ke Yorkshire, penuhlah pantry dan semua tin biskut dan kek dengan peninggalannya. 

Hari ini saya akan kongsikan resepi currant sconesnya untuk semua:

Mula-mula, panaskan oven 200 darjah C.

Bahan-bahan (saya separuhkan ya, dia kalau buat 1 pound tepung digunanya!)
225 gm tepung
3 sudu teh baking powder
(kalau guna tepung naik sendiri, tambah 1 sudu teh baking powder)
55 gm butter (sejuk dan di potong dadu)
1 sudu besar gula caster
150 ml susu
1/2 cawan currants (boleh ganti dengan raisins)


Campurkan tepung, baking powder dan secubit garam.








Masukkan butter sejuk. Gunakan hujung jari untuk campurkan tepung dengan butter. Jangan lama-lama. Buat hingga tepung seakan serbuk roti kasar-kasar. Kalau jari panas, guna saja dua garfu. Kami di sini tengah sejuk, jadi saya gunakan jari saja, secepat yang boleh. Kalau terlebih gaul, itu yang scones jadi keras.







Masukkan gula dan currants. Kacau sedikit dengan sudu.












Masukkan susu. Kacau anggar-anggar bersatu sahaja dengan sudu besi. Memang adunan ni agak basah ya. Jangan panik.










Taburkan sedikit tepung atas tempat menguli. Gunakan hujung jari,
uli sedikit sahaja.








Canai dengan tangan saja. Bentukkan dia seperti ini. Tebalnya dalam 1 1/2 inci. Jangan nipis ya.








Gunakan penerap scones. Kalau nak potong bentuk segitiga saja pun boleh.








Sapu dengan susu.











Bakar atas parchment paper. Kalau nak butter saja pengalas tu boleh juga. Saya malas nak sental alas pembakar tu sebenarnya. Orang rajin memang macam tu.







Bakar 12-15 minit hingga keperangan.










Hidangkan scones panas-panas dengan jem strawberry dan clotted cream / butter. Minum pula dengan teh panas dengan susu tanpa gula. Emmmmmm... tutup mata, teringat dapur kecil di Bognor Regis...

7 comments:

  1. Bestnya.. Teringat dulu masa keje kat JW Marriott Hotel KL.. Keja kat bhgn Business Centre..keliling dgn function rooms.. Mana laa org yg tgh training ni nk perabih semua hidangan.. So kita pon amek ler sebijik dua sblm dbwk blk ke kitchen.. Sedappnyaa.. 1st time mkn tu.. Rasa nikmat sungguh hihi... Tq for d recipe darling! muahhhh

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sama-sama.. haha.. tu la rezeki kerja hotel kan? Saya kalau kerja hotel, habislah baju semua tak muat. Reti kah saya nak ambil sekadar seketul dua?? haha

      Delete
    2. Seketol dua utk 1st trip.. Masalahnya berkali² mak buat trip tu.. Xblh nk control diri hahahaa

      Delete
  2. Susu tu x kesah susu penuh krim atau rendah lemak eh? Agak² ya kita camporkan susu ke dlm adunan?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Iya susu tak kisah, asalkan susu. Letak dalam 150 ml.

      Delete
  3. Terima kasih kak atas resepi yg diberikan...jazakillahikhairankathiira..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa iyyaki :)... semoga bermanfaat buat kita semua.

      Delete

Memupuk Adab Bertamu bersama Anak

 **Penulisan saya ini tidak merangkumi anak-anak istimewa yang mungkin memerlukan cara mendidik yang lebih spesifik atau cara behavioral m...