Assalamualaikum. Harapnya semua yang membaca post pada hari ini berada dalam keadaan sihat walafiat hendaknya.
Setelah 3 hari "bercuti" dari menulis dalam blog ini, ada bermacam-macam perkara dan resepi yang ingin saya kongsikan. Namun, biarlah pagi ini saya menulis tentang kegiatan saya di sini dan mengapa saya kongsikan di FB. Sebenarnya setiap kali saya berkongsi kegiatan membaca atau bersama anak-anak yang kurang bernasib baik, mahupun kegiatan melatih guru-guru dan sukaralewan dalam bengkel-bengkel membaca, terlintas dihati saya untuk tidak memuat naik di FB. Bimbang terdapat perasaan ujub, riak dan ingin menunjuk-nunjuk di situ. Bimbang juga persepsi mereka yang ingin menghukum. Ya, itu satu kerisauan yang amat benar di hati saya, setiap kali saya menekan butang "share". Kerisauan ini melanda sudah lama dalam hati sanubari ini, dan puas saya mendalami motif saya berkongsi.
Sesungguhnya, tujuan saya berkongsi bukan untuk menerima pujian. Sesungguhnya, saya amat takut pada pujian dan perkataan "idola". Sesungguhnya yang layak menerima pujian hanyalah Allah swt, dan saya hanyalah hambaNya yang cuba menjalankan tanggungjawab saya kepada anak-anak yang amat memerlukan sesuap makanan, senyuman tulus ikhlas, tangan yang memeluk dan hati yang mengasihi mereka. Mereka perlukan masa dan perhatian kita, dan memandangkan anak saya sudah besar, apalah salah berkongsi kasih dengan mereka ini?
Iya, tapi tak perlulah kita kongsi di FB, bukan? Bukankan ibadah itu lebih baik dilakukan diam-diam tanpa diketahui orang lain? Betul. Tapi setiap kali saya bertekad untuk tidak berkongsi, ada mesej yang saya terima dari orang yang tidak saya kenali, yang mengikuti kegiatan saya, yang mengatakan mereka rasa bersemangat untuk membuat kerja-kerja amal tapi tak tahu bagaimana nak memulakan langkah dan mesej-mesej yang sepertinya. Jadi saya berkongsi, kerana pekerjaan membantu anak-anak ini tidak serumit yang disangka. Saya juga mahu menunjukkan bahawa membantu sesama manusia boleh dilakukan dengan banyak cara dan ianya mendatangkan kegembiraan yang teramat bagi yang dibantu, dan lebih-lebih lagi pada yang dapat menghulurkan bantuan. Sesungguhnya, senyuman gembira dari kedua-dua pihak tak boleh di buat-buat demi lensa kamera.
Membantu orang yang memerlukan boleh dilakukan dengan semudah membawa sebuah beg plastik berisi air minum, roti bersapu marjerin dan sebiji telur rebus. Malahan air dan pisang juga mencukupi. Jika terlihat peminta sedekah, kita berikan plastik tersebut. Jika tiada peminta sedekah, mungkin ada tukang sapu sampah atau sesiapa yang memerlukannya. Jika susah untuk memberi makanan, boleh saja kita meluangkan masa membaca buku atau bermain dengan kanak-kanak di rumah anak yatim atau pusat perlindungan anak-anak, mahupun anak-anak dikejiranan ataupun di hospital. Tidak salah juga melawat orang tua yang anak-anak duduk jauh dan membantu apa yang patut. Jika tidak mahu membaca dengan anak-anak, tidak apa. Anak-anak kecil yang ketiadaan ibu-bapa amat suka dibelai, dipangku dan dipeluk. Mereka suka jika ada orang dewasa yang mendengar perbualan mereka, memberikan mereka masa bertanya khabar dan memberitahu mereka bahawa mereka juga dikasihi, dan mereka akan menjadi seorang manusia yang berjaya dan mulia. Ceritakan benda yang elok-elok. Namun amat penting untuk konsisten. Jangan menghampakan mereka kerana anak-anak ini berharap akan kehadiran kita. Dengan cara ini, kita dapat membantu bukan hanya dengan memberikan wang atau barang-barang.
Jadi tujuan saya berkongsi adalah dengan harapan mereka yang melihat turut merasa bahawa mereka boleh melakukannya. Jika tak boleh dengan anak-anak yatim dan yang memerlukan, memberikan kasih sayang dan masa serta tumpuan sepenuhnya pada anak-anak dan anak-anak saudara kita juga merupakan ibadah. Sesungguhnya, tiada apa yang istimewa yang saya lakukan. Memang saya amat berminat memasak, jadi memasak untuk anak-anak ini tidaklah dirasakan berat. Saya juga amat berminat membaca, jadi membaca bukanlah satu yang susah untuk saya lakukan dengan anak-anak ini. Kebetulan, saya juga mempunyai kelayakan dan pengalaman mengajar di berbagai peringkat, oleh itu, tidak salah untuk berkongsi pengetahuan dengan mereka yang memerlukan.
Yang penting bagi saya ialah, saya tidak mahu melelehkan air mata apabila melihat anak-anak miskin di sini. Air mata adalah murah. Semua orang boleh menangis. Tapi apa yang boleh saya lakukan untuk membantu serba sedikit, berkongsi rahmat yang telah Allah swt kurniakan pada saya saban hari, saban waktu, saban saat saya menghela nafas di dunia ini? Saya juga amat bersyukur kerana diberikan kelapangan waktu dan dibukakan jalan-jalan untuk berkhidmat dengan cara yang mendatangkan senyuman dibibir saya, membenarkan saya tidur lena pada waktu malam. Kegembiraan melihat dan meluangkan waktu bersama anak-anak inilah yang menjadikan kehidupan yang mencabar ini lebih indah bagi saya. Alhamdulillah.
Jadi, tak perlulah memuji dan memanggil saya "idola" sebab saya melakukan semua ini untuk menggembirakan hati sendiri. Jika saya tidak menjalankan tanggungjawab saya, saya bimbang akan disoal dibelakang hari. Sekiranya semua membantu serba sedikit membawa senyuman pada mereka yang memerlukan disekeliling kita, inshaAllah, kehidupan kita juga akan dipenuhi dengan senyuman dan kegembiraan, inshaAllah. Jika boleh, kita turunkan juga sifat bantu-membantu mereka yang memerlukan pada anak-anak kita. Wang boleh dicari, tapi kepuasan mendatangkan senyuman pada wajah mereka yang memerlukan itu, tidak dapat di ganti dengan apa cara sekalipun. MashaAllah.
Tiada daya dan upaya kita melainkan dengan izin Allah jua. Niat Ida dah betul, jalan Ida juga betul, ikhtiar Ida juga betul insyaaAllah. Teruskan usaha murni, dan terus berdoa agar dipelihara kemurnian itu dan dijauhkan dari hasad dengki. Kerana kita hanya akan dipersoalkan tentang kita. Hope to meet you one fine day.
ReplyDeleteAllah knows you don't have to worry babe! Do what you love 😍
ReplyDelete