Showing posts with label Resepi Kegemaran. Show all posts
Showing posts with label Resepi Kegemaran. Show all posts

Thursday, October 25, 2018

Perihal Kerjaya Sebagai "Professional Housewife" dan Resepi Spinach and Cheese Balls

                            


Assalamualaikum para pembaca blog ini. Apa khabar? Harapnya sihat-sihat belaka dan ceria selalu. Hari ni mood memasak saya agak lemau. Mungkin sebab lebih teruja nak duduk dalam workshop buat sabun. Seronok buat sabun ni susah nak bayangkan. Tak apa, saya share cerita sabun bila saya buat post pasal sabun. Ni post pasal masakan, kan?

Sebelum saya share resepi, marilah saya berceloteh sedikit tentang role "professional housewife" ini. Sebenarnyakan, sewaktu saya buat keputusan untuk berhenti bekerja pada tahun 2008 dan menumpukan masa pada suami dan anak, memang hati saya teramat berat dan ada masanya seolah sukar hendak menerima hakikat itu. Setelah bekerja keras menginjakkan kaki dalam bidang Komunikasi, HR dan Learning & Development di bidang korporat, biasa dengan kesibukkan, pemikiran strategik dan bercita-cita untuk melangkah lebih jauh lagi... tiba-tiba saya disedarkan tentang pentingnya untuk bersama suami dan anak, untuk menumpukan fokus saya pada mereka. Allah maha agung. Jika diberikan saya kebebasan memilih, mungkin saya akan memilih untuk terus berkerjaya kerana pada suatu masa dahulu, saya bercita-cita tinggi. Namun saya diberikan peringatan bahawa kesihatan suami dan anak adalah kurniaNya jua dan boleh ditarik bila-bila masa. Alhamdulillah, peringatan yang diberikan amat halus dan tidak menimbulkan kesalan. Namun bagi saya, ia adalah peringatan tentang prioriti hidup yang cukup jelas. Alhamdulillah.

Jadi memandangkan saya memilih untuk meninggalkan kerjaya demi kepentingan keluarga, tidak wajarlah jika saya mengambil lewa tugasan saya sebagai isteri dan ibu. Sebagaimana saya sibuk mengejar peluang untuk meningkatkan kemahiran untuk kenaikan pangkat di tempat kerja, sekarang ini saya sibuk mencari peluang meningkatkan kemahiran di dapur, di ruang tamu, di taman / kebun dan di workshop sabun saya untuk menjadi isteri dan ibu yang memudahkan tugas serta menggembirakan suami dan anak. Tidak senang ya, menjadi professional housewife ini. Bukan apa, kalau di tempat kerja, sentiasa disediakan berbagai kursus untuk meningkatkan prestasi kita diberbagai bidang. Sebagai seorang professional housewife, tak ada siapa yang akan buatkan "career development plan" atau "career pathing" kita. Kita sendiri kena pilih haluan dan mencari peluang untuk belajar dan meningkatkan kemahiran. Semuanya self-learning. Dah belajar macam-macam pula, haha.. janganlah harap nak naik pangkat. Tingkatkan kemahiran semata-mata untuk redha Allah, kasih sayang suami dan anak.

Salah satu cara saya untuk kekal relevan dalam rumah ini ialah, walaupun sudah tidak berkerjaya, saya tetap meluangkan masa setiap hari untuk membaca berita dunia, mengikuti perkembangan politik dan ekonomi dunia. Saya suka dapat berbual dengan suami dan anak tentang berbagai topik. Suami juga suka menghantarkan gambar keratan-keratan akhbar saban hari tentang topik-topik yang kami minati. Alhamdulillah. Topik perbualan kami merangkumi banyak hal yang tidak kena-mengena dengan rumah, anak, pekerjaan, hal orang lain atau kucing kami. Anak juga sering mengajak saya berbincang tentang tugasan-tugasan sekolahnya. Kami sama-sama membaca tentang topik-topik pelajaran dan ada masanya kami berdebat tentang sesuatu topik. Dia juga suka bertanya tentang hal-hal subjek Bahasa Inggeris dan English Literature. Bagi saya, bila ibu dapat berbicara, bertukar idea, berbincang dan berdebat dengan anak tentang topik-topik persekolahan mereka, ia dapat merapatkan hubungan kerana ikatan ibu-anak, guru-anak, sahabat-anak itu dapat digabungkan. InshaAllah. Jadi, inilah salah satu Key Performance Indicator (KPI) saya sebagai isteri dan ibu. Jadi sumber ilmu, rakan berbual dan bertukar fikiran. Jadi isteri dan ibu bukanlah hanya di dapur saja. Kita jugalah penyeri ruang tamu, penyambut tetamu serta penjaga maruah suami. Tajamkanlah ilmu pengetahuan dan pemahaman tentang peradaban supaya kita tidak malap di mana-mana, namun tidak juga mendahului atau berlebih-lebih hingga mengaibkan suami mahupun anak. Semoga Allah swt sentiasa membantu kita menjalankan tugas sebagai isteri dan ibu dengan cara terhormat yang terbaik, tanpa mendatangkan keburukan atau kesulitan pada mana-mana pihak, Aamiin.

Hal-hal masakan, saya hanya menunggu signal dari suami dan anak tentang mood mereka. Ada masa mereka ada mood untuk makan masakan tradisional Malaysia. Tapi ada juga musim bila mereka selalu ke gym dan cuba meningkatkan tahap kesihatan dan mahukan makanan sihat. Apa saja mood mereka, inshaAllah saya akan bersedia. Kata orang putih, "variety is the spice of life"... Selalulah berubah-ubah approach juadah yang kita hidangkan. Bawa mereka merantau ke serata dunia dengan masakan kita. Selang-selikan makanan indulgent yang mereka amat sukai, dengan healthy, clean food. Sebagai manusia, tekak kita berbeza. Ada masa kita mahu kari, ada masa kita mahu salad. Kalau diberi salad sentiasa, memang mogoklah ahli dalam rumah ni. Jadi kita kena pandai-pandai bahagikan menu demi kesihatan orang yang tersayang. Yang penting... buanglah gula. Buang jauh-jauh. Tak payah beli untuk masakan harian pun tak apalah. 

Minggu ini nampaknya keluarga saya ada mood untuk makanan sihat. Anak pun ada hint-hint - "salad hari tu sedaplah, Mama", "kalau bawa masakan vegetarian ke sekolah ok juga, Mama". Saya ni tak mahu dia jadi vegetarian. Selalu saya kata pada anak yang dalam Al-Quran takde cerita tentang diet vegetarian ni. Kita makan apa yang Allah dah ciptakan halal untuk kita, tapi berpada-pada jumlahnya. Fitrah manusia itu memang omnivore, tapi iya, kita boleh kurangkan pengambilan daging. Cuma janganlah haramkan pada diri apa yang tidak diharamkan dalam agama. Kalau memudaratkan kesihatan kerana allergic tu lain cerita. Kalau dah kena gout, dan ada makanan yang perlu dipantangkan lain cerita. Senang saja.

Oleh sebab anak sibuk dengan nak cuba kurangkan makan daging, hari ni saya bekalkan dia dengan wholemeal pesto pasta, mushrooms dan spinach cheese balls. Berseri wajahnya bila masuk dapur. Alhamdulillah. OKlah, anak. Semoga awak sihat-sihat dan dilindungi dari segala kemudaratan yang kami ketahui ataupun tidak. Semoga dikurniakan segala kebaikan dan kejayaan di dunia dan akhirat hendakNya. Saya ni bukanlah jenis emak yang cakap perkataan "sayang", "love", "darling" dan lain-lain tu. Tapi sayang saya lebih pada perbuatan dan usaha untuk menyukakan dan menjaga anak dan suami. Semoga mereka menyedarinya dan semoga Allah meredhai diri dan usaha saya untuk suami dan anak. Begitu juga bagi semua isteri-isteri dan ibu-ibu kaum muslimah sekelian. Aamiin, Aamiin, Aamiin, Ya Rabb.

Resepi Spinach and Cheese Balls:


  • 6 cawan baby spinach segar (dibasuh bersih, rendam dengan air garam jika bukan organik)
  • 3 cawan air mendidih
  • 1/4 cawan daun basil segar
  • 1/2 cawan keju cheddar di sagat (boleh gantikan dengan parmesan)
  • 1/4 cawan keju feta di "crumble" kan
  • 1 cawan serbuk roti (saya guna roti wholemeal yang di keringkan dan di blender kering)
  • 3 biji telur saiz besar
  • 1/2 sudu kecil serbuk bawang putih (garlic powder)
  • sedikit garam dan black pepper
Caranya:

1. Curah air mendidih ke atas baby spinach yang sudah dibersihkan. Tutup supaya wap tidak keluar. Biarkan selama 3 minit.
2. Toskan baby spinach, bilas dengan air sejuk. Perah kering.
3. Cincang halus baby spinach itu.
4. Cincang halus juga basil segar.





5. Campurkan semua bahan tadi dalam satu mangkuk. Gaul Rata.
6. Panaskan oven 180 darjah Celsius.






7. Bulat-bulatkan ramuan tadi. Jadikan bebola











8. Aturkan atas dulang pembakar yang telah dialas dengan kertas parchment.

9. Bakar 20 minit.








10. Bila sudah keperangan, keluarkan dan sewaktu ia masih panas, boleh lah taburkan sedikit keju mozzarella di atasnya. (Saya masukkan beberapa biji dalam mangkuk dan taburkan mozzarella sedikit).

11. Sedap dimakan begitu saja, atau di hidang dengan pasta pesto sebab flavour profilenya sama.

12. Boleh juga dibuat bebola dan freezekan sebelum dibakar. Bila perlu, keluarkan dari freezer, tak perlu di defrostkan - terus letak dalam dulang pembakar dan masuk oven.


Saya buat dan bakar semua. Lebihan saya masukkan dalam resealable bags. Masukkan dalam fridge. Bila anak mahu, dia boleh panaskan sendiri dalam microwave (30 saat - 1 minit), dengan mozzarella jika dia suka.

Selamat mencuba dan salam hormat.

Monday, September 10, 2018

Nasi Maqlubah: Cantik di mata, sedap dirasa..



Assalamualaikum, apa khabar semua? Diharapkan sihat dan sentiasa dalam lingkungan rahmat Allah swt hendaknya.

Hari ini ceritanya ialah Resepi Nasi Maqlubah. Nasi Maqlubah ni adalah hidangan istimewa di Timur Tengah dan ada bermacam versi dari Palestin, Jordan, Lubnan, Arab Saudi, Syria dll. Ada yang meletakkan cauliflower, zucchini, tomato, kentang. Ada yang letakkan tomato paste dalam rebusan daging, ada yang guna allspice. Jadi, penting untuk kita tak bergaduh tentang versi mana yang paling "authentic". Alangkan rempah "Baharat" yang digunakan juga ada banyak versi. Yang penting, resepi yang saya kongsikan ini, saya kongsikan dengan ikhlas dan memang amat sedap bagi kami sekeluarga. Saya kongsikan juga resepi ini di blog, walaupun saya dah sharekan di MAHN kerana blog ini adalah untuk rujukan keluarga saya pada masa hadapan. Sekiranya saya tidak ada lagi bersama mereka, resepi-resepi ini saya harapkan akan kekal bersama mereka untuk menghilangkan rasa rindu pada air tangan saya. Begitu juga bagi para pembaca. Saya harap gunakanlah resepi-resepi yang saya kongsikan, share dengan orang lain, ajarkan anak-anak, bukalah restoran, warung, perkhidmatan catering.. Jadikanlah resepi-resepi ini sebagai sumber rezeki yang halal bagi keluarga. Semoga ada manfaatnya kelak bagi saya. Ameen.

Ramai yang risau nak buat Maqlubah kerana bila periuk diterbalikkan, kadang kala ia bersepah. Hmm. Ada juga berlaku pada saya. Pada saya tak apa. Rasanya tetap sedap, walaupun mungkin tak secantik yang diharapkan.

Walaubagaimanapun, ada beberapa tip yang saya boleh berikan:
1) Lapisan bawah itu biarlah terung. Kerana terung inshaAllah tidak melekat.
2) Saya suka gunakan periuk yang cetek tapi lebar. Jika periuk terlalu dalam, dikhuatiri lapisan nasi akan terlalu berat untuk ditampung oleh permukaan bawah.
3) Boleh buat banyak lapisan daging. Tapi beberapa kali saya buat begitu, maqlubah saya bersepai.

Oklah, panjang pula ceritanya, ya. Inilah resepi dan step by step Nasi Maqlubah Kambing (ya boleh ditukar pada daging. Jika menggunakan ayam, kurangkan air untuk rebusan dan tak perlu rebus lama sangat. Memadai sekadar ayam lembut.

Langkah Pertama: Buat Rempah Baharat

 Basuh, tos dan sangai:

1 sudu besar lada hitam
1 sudu besar jintan putih
2 sudu kecil biji ketumbar
1 sudu kecil cengkih
1/2 sudu kecil isi buah pelaga (kopek dulu)
- sangai hingga wangi. Sejukkan. Blend dengan blender kering hingga halus. Campurkan dengan:
1.5 sudu besar paprika
1 sudu kecil serbuk kayu manis (cinnamon powder)
1/4 sudu kecil serbuk buah pala.
- simpan serbuk rempah Baharat ini dalam botol kaca untuk tahan lama


Langkah kedua: Siapkan Terung dan Rendam Beras

Hiris terung (jangan nipis sangat) dalam 1/2 inci memanjang. Garamkan dan biarkan antara 30 min - 1 jam. Basuh, tos dan keringkan dengan paper towel. Ketepikan.

Sementara terung sedang di garam, siapkan beras:
4 cawan beras basmati (beras ini harus direndam 30 minit. Jika masa sudah cukup, tapi kita masih belum siap dengan bahan lain, toskan beras dahulu dan ketepikan).



Langkah Ketiga: Siapkan Daging dan Stok:



Kemudian, siapkan bahan daging dan stok:
800 gm daging kambing segar
potong kiub, basuh dengan tepung,bilas, toskan.
2 biji bawang besar -hiris nipis
4 ulas bawang putih - cincang
2 helai bay leaf
Sedikit kayu manis
1 sudu kecil lada hitam
 Panaskan sedikit minyak canola dan minyak zaitun.
 Bila minyak panas, perangkan daging. Saya buat dua batch, kita mahu daging perang tapi jangan sampai jus keluar. Jadi api kena besar. Ketepikan daging yang sudah di goreng. 
 Dalam minyak yang sama, tumiskan bawang, bawang putih dan rempah bulat dan bay leaves. Jangan letak rempah baharat dahulu.
 Tumis hingga bawang kuning dan wangi.
Masukkan daging. Kacau elok-elok.
 Masukkan garam dan 2 sudu besar rempah baharat. Kacau rata. 
 Masukkan 1 liter air. Rebus daging hingga agak empuk. Saya masukkan dalam pressure cooker untuk 20 minit.
Sementara itu, kupas, dadu dan goreng kentang.
 Kemudian goreng terung yang sudah dikeringkan tadi.
 Hiris tomato dan buang bijinya. Goreng juga sedikit kacang pain (pine nuts), hirisan badam dan sedikit kacang gajus. 
 Bila daging sudah agak empuk, toskan dan ketepikan air rebusan daging. 
 Sekarang kita mula membina maqlubah tadi.
Saya minyakkan sedikit periuk yang akan digunakan. Kemudian saya susun terung goreng tadi di bawah dan tepi periuk.
 
 Saya letakkan segenggam beras tadi di atas lapisan terung, kemudian susun daging yang sudah direbus. 
 Susunkan tomato hiris atas lapisan daging.
 Letakkan lapisan kentang. Saya taburkan garam laut atas kentang.
 Saya masukkan beras, dan air rebusan daging tadi. 4 cawan beras basmati, saya gunakan 6 cawan lebih sikit air rebusan. Rasa air rebusan dan jika perlu, tambahkan garam. Air sepatutny tinggi 1-2 mm atas beras.
Jerang dengan api agak besar selama 7 minit. Apabila mendidih, kecilkan api.
 
Periuk yang saya gunakan ini kapasitinya ialah 4.3 liter.
Tutup periuk dan jerangkan dengan api kecil selama 45 minit. Pada 20 minit, buka tutup dan karih sedikit nasi, dan tutup semula periuk. Teruskan memasak.
 Setelah 45 minit, buka periuk, dengan menggunakan sudu, ratakan dan tekan sedikit nasi agar lapisan nasi agak tepu. Tutup periuk, matikan api. Biarkan periuk bertutup dalam 15-20 minit. 
 Buka tutup periuk. Dengan menggunakan pisau, hati-hati buat laluan untuk pastikan terung tidak melekat di tepi. periuk. Ambil dulang, tutupkan periuk, dan terbalikkan. Angkat periuk perlahan-lahan. Hiaskan dengan kekacang dan hirisan daun parsli. 
 

Saya hidangkan dengan salad Arab, salata hara dan salad yogurt timun dan pudina.


Selamat menjamu selera.

 Salam hormat dari saya :)
 



Friday, September 7, 2018

Kek Coklat Tanpa Butter atau Minyak.. Sedap pula tu...


Bila saya memasak sesuatu, selang beberapa hari anak bujang berbunyi... "bila Mama nak buat lagi ...", maknanya resepi itu kena dimasukkan dalam senarai resepi kegemaran. Kek Coklat ini pertama  kali saya rasa di majlis mesyuarat Persatuan Pasangan Diplomat di sini. Ianya dibawakan oleh rakan dari kedutaan Amerika Syarikat. Biasanya saya amat mengurangkan memakan manisan di majlis keraian, tapi pada hari itu, saya tergerak untuk merasa kek ini. Memang sedap. Teksturnya seakan Red Velvet Cake - halus dan lembut macam baldu. Rasa manis yang bersesuaian. Rasa coklatnya diimbangi dengan rasa frosting cream cheese.. hmm, dengan tanpa segan silu, saya bertanya resepi.

Yang lebih menakjubkan... kek ini tidak mengandungi butter atau minyak! Saya paling tak suka buat kek kerana step "creaming" butter dan gula. Malas nak guna mixer. Nak basuh lagi. Alaaa. Tak suka. Tapi kek ni hanya perlu dibancuh dengan tangan, dan ianya menggunakan mayonis.. bukan butter mahupun minyak. Hmmmm.  Saya bawa balik sedikit kek untuk suami dan anak. Habis. Licin. Esoknya saya buatkan kek ini memandangkan kami ada tetamu, dan bahannya memang ada dalam pantry saya. Rata-rata yang merasa kek ini memuji dan memang habis sekali hidang. 

Inilah resepi Kek Coklat Mayonis yang memang sedap:

Bahan-bahan untuk kek 8 inci:
1 cawan gula
2 sudu teh bicarbonate soda
1/4 sudu teh garam laut
2 sudu besar serbuk koko
2 cawan tepung
--- campur semua bahan kering ini dalam mangkuk. Kacau rata.
Masukkan pada tepung bahan kering:
 3/4 cawan mayonis
1 cawan air (saya gunakan kopi o tanpa gula, panas)
1 biji telur

Gaul rata. Masukkan adunan dalam acuan kek 8 inci yang telah diminyakkan dan dilapik kertas minyak. Bakar 40-45 minit pada suhu 170 darjah celsius (kalau oven berkipas, pada 150 darjah celsius). Sejukkan kek yang masak dan belah dua.

Sementara kek masak, kita buat cream cheese frosting:


Pukul 250 gm cream cheese yang sudah ada pada suhu bilik dengan 100 gm butter.
Bila kembang, masukkan 1 cawan gula aising dan 1 sudu teh esen vanilla. Pukul lagi. 
Jika terlalu pekat, masukkan 1 sudu besar susu. Pukul hingga fluffy dan ketepikan.






Sejukkan dan ia boleh dimakan. 

Selamat mencuba dan salam hormat.

Memupuk Adab Bertamu bersama Anak

 **Penulisan saya ini tidak merangkumi anak-anak istimewa yang mungkin memerlukan cara mendidik yang lebih spesifik atau cara behavioral m...