Showing posts with label western. Show all posts
Showing posts with label western. Show all posts

Thursday, October 25, 2018

Perihal Kerjaya Sebagai "Professional Housewife" dan Resepi Spinach and Cheese Balls

                            


Assalamualaikum para pembaca blog ini. Apa khabar? Harapnya sihat-sihat belaka dan ceria selalu. Hari ni mood memasak saya agak lemau. Mungkin sebab lebih teruja nak duduk dalam workshop buat sabun. Seronok buat sabun ni susah nak bayangkan. Tak apa, saya share cerita sabun bila saya buat post pasal sabun. Ni post pasal masakan, kan?

Sebelum saya share resepi, marilah saya berceloteh sedikit tentang role "professional housewife" ini. Sebenarnyakan, sewaktu saya buat keputusan untuk berhenti bekerja pada tahun 2008 dan menumpukan masa pada suami dan anak, memang hati saya teramat berat dan ada masanya seolah sukar hendak menerima hakikat itu. Setelah bekerja keras menginjakkan kaki dalam bidang Komunikasi, HR dan Learning & Development di bidang korporat, biasa dengan kesibukkan, pemikiran strategik dan bercita-cita untuk melangkah lebih jauh lagi... tiba-tiba saya disedarkan tentang pentingnya untuk bersama suami dan anak, untuk menumpukan fokus saya pada mereka. Allah maha agung. Jika diberikan saya kebebasan memilih, mungkin saya akan memilih untuk terus berkerjaya kerana pada suatu masa dahulu, saya bercita-cita tinggi. Namun saya diberikan peringatan bahawa kesihatan suami dan anak adalah kurniaNya jua dan boleh ditarik bila-bila masa. Alhamdulillah, peringatan yang diberikan amat halus dan tidak menimbulkan kesalan. Namun bagi saya, ia adalah peringatan tentang prioriti hidup yang cukup jelas. Alhamdulillah.

Jadi memandangkan saya memilih untuk meninggalkan kerjaya demi kepentingan keluarga, tidak wajarlah jika saya mengambil lewa tugasan saya sebagai isteri dan ibu. Sebagaimana saya sibuk mengejar peluang untuk meningkatkan kemahiran untuk kenaikan pangkat di tempat kerja, sekarang ini saya sibuk mencari peluang meningkatkan kemahiran di dapur, di ruang tamu, di taman / kebun dan di workshop sabun saya untuk menjadi isteri dan ibu yang memudahkan tugas serta menggembirakan suami dan anak. Tidak senang ya, menjadi professional housewife ini. Bukan apa, kalau di tempat kerja, sentiasa disediakan berbagai kursus untuk meningkatkan prestasi kita diberbagai bidang. Sebagai seorang professional housewife, tak ada siapa yang akan buatkan "career development plan" atau "career pathing" kita. Kita sendiri kena pilih haluan dan mencari peluang untuk belajar dan meningkatkan kemahiran. Semuanya self-learning. Dah belajar macam-macam pula, haha.. janganlah harap nak naik pangkat. Tingkatkan kemahiran semata-mata untuk redha Allah, kasih sayang suami dan anak.

Salah satu cara saya untuk kekal relevan dalam rumah ini ialah, walaupun sudah tidak berkerjaya, saya tetap meluangkan masa setiap hari untuk membaca berita dunia, mengikuti perkembangan politik dan ekonomi dunia. Saya suka dapat berbual dengan suami dan anak tentang berbagai topik. Suami juga suka menghantarkan gambar keratan-keratan akhbar saban hari tentang topik-topik yang kami minati. Alhamdulillah. Topik perbualan kami merangkumi banyak hal yang tidak kena-mengena dengan rumah, anak, pekerjaan, hal orang lain atau kucing kami. Anak juga sering mengajak saya berbincang tentang tugasan-tugasan sekolahnya. Kami sama-sama membaca tentang topik-topik pelajaran dan ada masanya kami berdebat tentang sesuatu topik. Dia juga suka bertanya tentang hal-hal subjek Bahasa Inggeris dan English Literature. Bagi saya, bila ibu dapat berbicara, bertukar idea, berbincang dan berdebat dengan anak tentang topik-topik persekolahan mereka, ia dapat merapatkan hubungan kerana ikatan ibu-anak, guru-anak, sahabat-anak itu dapat digabungkan. InshaAllah. Jadi, inilah salah satu Key Performance Indicator (KPI) saya sebagai isteri dan ibu. Jadi sumber ilmu, rakan berbual dan bertukar fikiran. Jadi isteri dan ibu bukanlah hanya di dapur saja. Kita jugalah penyeri ruang tamu, penyambut tetamu serta penjaga maruah suami. Tajamkanlah ilmu pengetahuan dan pemahaman tentang peradaban supaya kita tidak malap di mana-mana, namun tidak juga mendahului atau berlebih-lebih hingga mengaibkan suami mahupun anak. Semoga Allah swt sentiasa membantu kita menjalankan tugas sebagai isteri dan ibu dengan cara terhormat yang terbaik, tanpa mendatangkan keburukan atau kesulitan pada mana-mana pihak, Aamiin.

Hal-hal masakan, saya hanya menunggu signal dari suami dan anak tentang mood mereka. Ada masa mereka ada mood untuk makan masakan tradisional Malaysia. Tapi ada juga musim bila mereka selalu ke gym dan cuba meningkatkan tahap kesihatan dan mahukan makanan sihat. Apa saja mood mereka, inshaAllah saya akan bersedia. Kata orang putih, "variety is the spice of life"... Selalulah berubah-ubah approach juadah yang kita hidangkan. Bawa mereka merantau ke serata dunia dengan masakan kita. Selang-selikan makanan indulgent yang mereka amat sukai, dengan healthy, clean food. Sebagai manusia, tekak kita berbeza. Ada masa kita mahu kari, ada masa kita mahu salad. Kalau diberi salad sentiasa, memang mogoklah ahli dalam rumah ni. Jadi kita kena pandai-pandai bahagikan menu demi kesihatan orang yang tersayang. Yang penting... buanglah gula. Buang jauh-jauh. Tak payah beli untuk masakan harian pun tak apalah. 

Minggu ini nampaknya keluarga saya ada mood untuk makanan sihat. Anak pun ada hint-hint - "salad hari tu sedaplah, Mama", "kalau bawa masakan vegetarian ke sekolah ok juga, Mama". Saya ni tak mahu dia jadi vegetarian. Selalu saya kata pada anak yang dalam Al-Quran takde cerita tentang diet vegetarian ni. Kita makan apa yang Allah dah ciptakan halal untuk kita, tapi berpada-pada jumlahnya. Fitrah manusia itu memang omnivore, tapi iya, kita boleh kurangkan pengambilan daging. Cuma janganlah haramkan pada diri apa yang tidak diharamkan dalam agama. Kalau memudaratkan kesihatan kerana allergic tu lain cerita. Kalau dah kena gout, dan ada makanan yang perlu dipantangkan lain cerita. Senang saja.

Oleh sebab anak sibuk dengan nak cuba kurangkan makan daging, hari ni saya bekalkan dia dengan wholemeal pesto pasta, mushrooms dan spinach cheese balls. Berseri wajahnya bila masuk dapur. Alhamdulillah. OKlah, anak. Semoga awak sihat-sihat dan dilindungi dari segala kemudaratan yang kami ketahui ataupun tidak. Semoga dikurniakan segala kebaikan dan kejayaan di dunia dan akhirat hendakNya. Saya ni bukanlah jenis emak yang cakap perkataan "sayang", "love", "darling" dan lain-lain tu. Tapi sayang saya lebih pada perbuatan dan usaha untuk menyukakan dan menjaga anak dan suami. Semoga mereka menyedarinya dan semoga Allah meredhai diri dan usaha saya untuk suami dan anak. Begitu juga bagi semua isteri-isteri dan ibu-ibu kaum muslimah sekelian. Aamiin, Aamiin, Aamiin, Ya Rabb.

Resepi Spinach and Cheese Balls:


  • 6 cawan baby spinach segar (dibasuh bersih, rendam dengan air garam jika bukan organik)
  • 3 cawan air mendidih
  • 1/4 cawan daun basil segar
  • 1/2 cawan keju cheddar di sagat (boleh gantikan dengan parmesan)
  • 1/4 cawan keju feta di "crumble" kan
  • 1 cawan serbuk roti (saya guna roti wholemeal yang di keringkan dan di blender kering)
  • 3 biji telur saiz besar
  • 1/2 sudu kecil serbuk bawang putih (garlic powder)
  • sedikit garam dan black pepper
Caranya:

1. Curah air mendidih ke atas baby spinach yang sudah dibersihkan. Tutup supaya wap tidak keluar. Biarkan selama 3 minit.
2. Toskan baby spinach, bilas dengan air sejuk. Perah kering.
3. Cincang halus baby spinach itu.
4. Cincang halus juga basil segar.





5. Campurkan semua bahan tadi dalam satu mangkuk. Gaul Rata.
6. Panaskan oven 180 darjah Celsius.






7. Bulat-bulatkan ramuan tadi. Jadikan bebola











8. Aturkan atas dulang pembakar yang telah dialas dengan kertas parchment.

9. Bakar 20 minit.








10. Bila sudah keperangan, keluarkan dan sewaktu ia masih panas, boleh lah taburkan sedikit keju mozzarella di atasnya. (Saya masukkan beberapa biji dalam mangkuk dan taburkan mozzarella sedikit).

11. Sedap dimakan begitu saja, atau di hidang dengan pasta pesto sebab flavour profilenya sama.

12. Boleh juga dibuat bebola dan freezekan sebelum dibakar. Bila perlu, keluarkan dari freezer, tak perlu di defrostkan - terus letak dalam dulang pembakar dan masuk oven.


Saya buat dan bakar semua. Lebihan saya masukkan dalam resealable bags. Masukkan dalam fridge. Bila anak mahu, dia boleh panaskan sendiri dalam microwave (30 saat - 1 minit), dengan mozzarella jika dia suka.

Selamat mencuba dan salam hormat.

Tuesday, October 23, 2018

Pancake,Griddle Cake atau Drop Scones...

                         

Masa kecil-kecil, saya suka makan pancakes, atau masa tu, emak saya panggil "griddle cakes".  Iyalah, emak kan sekolah zaman sekolah British... jadi kuih ni dimasak atas pan leper yang dipanggil "griddle". Jadilah namanya "Griddle Cakes". Kalau emak buatkan griddle cakes ni, habislah berketul butter saya letakkan masa panas-panas biar dia cair ke tepi. Takde maple syrup, Lyle's Golden Syrup pun jadi. Jem-jem ni saya kurang gemar sikit atas griddle cakes ni. Nak syrup dan butter cair meleleh juga. Ahh nikmat sungguh. Masa tu mana pikir kencing manis lah, gemuk lah. Semua telan.

Bila dah besar, nampak pula tepung Aunt Jemima's pancakes yang siap dalam kotak tu. Beralihlah saya dari membuatnya "from scratch" pada menggunakan tepung yang sudah siap diadun. Convenience lah katakan. Tapi, setelah sekian lama, saya sedar sebenarnya, griddle atau pancakes ni, lebih sedap dibuat sendiri. Kita boleh buat jenis biasa atau buttermilk, namun pada saya yang buat sendiri ni, tiada rasa "sabun" dan lebih fluffy. Jadi saya pun kembali pada asal. Adun sendiri. Bukanlah susah ataupun mahal. Kalau beli pancake flour yang imported tu, sampai berbelas ringgit. Tak berbaloi rasanya.

Cumanya, saya sekarang jarang buat pancakes ni, sebab orang sebelah tak berapa gemor. Dia tak berapa sangat benda manis-manis ni. Kalau saya buat juga, dia akan makan pancakes dengan scrambled eggs dan sausage. Saya dan anak yang beriya nak pancake syrup dan butter bagai. Sekarang ni dah seakan taubat jugalah. Saya lebih suka makan dengan buah-buahan berries segar yang di potong kecil, gaul dengan sedikit icing sugar, lemon juice dan vanilla dibiarkan sebentar hingga lembik atau macerated. Ada kalanya saya buatkan strawberries saja yang di potong kecil, campurkan dengan sedikit balsamic vinegar dan icing sugar. Sedap juga.

Saya ambil resepi pancakes ini dari blog "Pioneer Woman" , sebab memang sedap. Sejak pertama kali gunakan resepi ini 5 tahun dahulu, saya tak ubah dah.

Bahan-bahan:

3 cawan + 2 sudu besar tepung kek
3 sudu besar baking powder
2 sudu besar gula
1/2 sudu kecil garam (kalau tak letak pun takpe sebab kadangkala baking powder pun masin),
2 cawan susu
2 biji telur
3 sudu kecil vanilla
4 sudu besar butter cair
lebihan butter dan maple syrup / pancake syrup

Cara-caranya:

  • Campurkan bahan-bahan kering dalam satu mangkuk kacau rata.
  • Cairkan butter dan biar sejuk sedikit
  • Pukul telur sedikit, campurkan dengan susu, vanilla, butter cair. Kacau sebati.
  • Tuangkan bahan basah dalam bahan kering. Kacau - tapi jangan terlebih kacau. It's ok kalau masih ada bintil-bintil. Agak-agak ya kepekatannya. Kalau pekat sangat, boleh tambah susu. 
** pancake ini juga dipanggil "drop scones" kerana kepekatannya membenarkan ia di ceduk dengan senduk dan di "drop" kan atas griddle. Kalau ianya meleleh, maknanya adunan terlalu cair. Tambahkan sedikit  tepung.

  • Panaskan kuali non-stick, letakkan sedikit butter. Masak pancake itu pada bahagian sebelah dengan api rendah / sederhana hingga berlubang-lubang. Boleh terbalikkan. Masak hingga keperangan.
  • Angkat dan masakkan lagi satu pancake.
  • Letak sedikit butter atas pancake panas itu, dan letakkan sedikit sirap maple / pancake syrup. Letakkan satu lagi pancake panas di atasnya. Letakkan lagi butter dan sirap di atas pancake baru itu.
Sekarang ini, saya tak letakkan sirap lagi kerana saya makan pancakes / griddlecakes / drop scones saya itu dengan buah-buahan.

Salam hormat dan selamat mencuba.




Dinner musim panas... Chicken Caesar Salad



Antara nikmat tinggal di negara bermusim ni ialah bila mula musim bunga dan musim panas, sayur-sayuran daun hijau penuh di pasaran. Pilih sajalah mahu yang organik atau konvensional. Tepuk dada tanya selera. Bagi saya, sayuran yang akan dimakan mentah, biasanya saya akan memilih jenis organik. Cuma perlu basuh bersih untuk hilangkan kotoran, tak perlu risaukan racun dan bahan kimia.

Di Namibia ini, waktu musim panas, suhunya agak ekstrem. Siang boleh mencapai 36-38 darjah C, dan malam boleh serendah 14-16 darjah C. Perbezaan suhu yang besar ini menyebabkan kadangkala tidak berapa selera nak makan yang panas-panas atau pedas-pedas. Sedap lagi makan jenis-jenis salad atau masakan yang tidak terlalu pedas atau berat.

Pada hujung minggu, sewaktu pergi membeli barang dapur, teruja nampak daun-daun salad romaine yang berkilat-kilat kesegaran. Ada pula daun nya yang masih muda (baby cos/romaine). Dalam hati memang terus berkata, sedap kalau buat caesar salad ataupun boleh juga dibuat san choy bao, iaitu daun lettuce berisi daging / ayam. Baby spinach dan basil juga, mashaAllah... hijau, berkilat, menawan. Saya ambil beberapa packet untuk membuat pesto. Ada juga courgettes muda-muda. Kalau ikut hati, memang saya rembat juga, tapi memikirkan besarnya laaaa fridge kat rumah tu, semua nak sumbat. Takpe, menu hari lain lah kita beli, inshaAllah. Kalau ikut nafsu, hmm semua nak diangkut.

Ada yang bertanya, Puan diet ke, Puan? Makan salad? Hmmm, sebenarnya, caesar salad ni bukanlah makanan diet, ya. Tinggi kandungan calorie dressingnya tu. Satu serving Caesar salad lebih dari 500 calorie kalau dilambakkan dressingnya. Cumanya, bila makan banyak daun-daun ni, ia tinggi serat berbanding dengan nasi putih. Digandingkan pula dengan dada ayam tanpa kulit yang digrill, iaitu protein yang mengambil waktu untuk dicernakan, memang rasa kenyangnya lama. Dressing caesar yang rasa lemak berkrim tu juga menghantarkan "satiety signals" pada otak, mengakibatkan kita rasa puas dan kenyang. Jadi pada saya, Chicken Caesar salad ini cukup lengkap dan mengenyangkan. Tak perlulah nak tambah nasi ke, pasta bagai. Tapi, kalau makan salad dengan dressing vinaigrette, biasanya memang saya tak rasa kenyang lama. Hairan, kan? Akan terjadilah episod tengah malam dok mengadap depan fridge macam zombie. 

Dressing Caesar Salad ni, kalau di restoran mewah, mereka buat fresh depan mata kita. Ia menggunakan kuning telur mentah, yang dicampur dengan lemon juice dan minyak zaitun dan digaul hingga menjadi emulsion dan diperisakan dengan bawang putih, anchovies (ikan bilis yang telah dicure dengan garam dan disimpan dalam minyak sayuran, lebih kurang ikan tenggiri peram kita lah), dan jenis keju parmesan seperti parmigiano reggiano, grana padano atau pecorino romano. Biasanya, jika dibuat begini, dressing itu cukup untuk sekali makan sahaja dan tidak disimpan. 

Masalah saya, hmmm, saya suka nak ada lebihan dressing ni dalam fridge. Bila-bila nak snack, bolehlah main cicah-cicah dengan daun salad, atau kalau nak makan dengan asparagus ke. Anak pun nak bawa ke sekolah. Jadi saya kena gunakan resepi yang boleh tahan lama sikit. Jadi, saya tak buat mayonis sendiri menggunakan telur mentah. Saya gantikan dengan mayonis botol. Biasanya dengan cara ini, dressing ini boleh tahan seminggu dalam fridge jika disimpan dalam botol. Kalau di rumah saya... hmmmm. InshaAllah tak sampai seminggu dah khatam. Selagi ada daun salad, ada saja yang nak mengulang.

OKlah, mari kita tengok cara membuatnya:

Dressing Caesar:

2 ulas bawang putih
5 ekor ikan anchovies (dalam botol tu)
2 sudu besar jus lemon segar (1 biji lemon)
1 sudu kecil mustard (saya suka dijon)
1 sudu kecil worcestershire sauce (optional)
1 cawan mayonnaise
1/2 cawan keju parut jenis parmesan (saya gunakan pecorino romano)
Sedikit garam dan black pepper
Minyak zaitun extra virgin (jika perlu)
Kerana saya menggunakan emulsion / stick blender, saya masukkan bawang putih,, serta worcestershire sauce (jika gunakan) dalam jug kaca.


Inilah rupa ikan anchovies dalam botol tu. Saya buat double portion ya, sebab tu nampak banyak. Sila guna 4-5 ekor saja untuk 1 portion. Cincang sampai halus dan masukkan dalam jug kaca dengan bawang putih dan sos tadi.















Perahkan jus lemon segar.


















Masukkan mustard. Saya suka gunakan wholegrain, dijon mustard. Sila check senarai ingredients untuk pastikan tidak ada wine yang digunakan seperti "chardonnay", atau lain-lain bahan yang kita was-was dalam mustard itu.

Sebenarnya bila dok luar negeri ni begitulah bila shopping. Semua barang nak beli, kita dah disiplinkan diri baca dulu senarai ingredients sebab kami takde JAKIM yang mengeluarkan sijil halal. Jadi, mula-mula check sijil halal. Jika tak ada, rajinkanlah membaca senarai ingredients. Kalau semua benda takde logo halal kita nak boycott... hmmm susah sikit nak hidup kat negara luar yang bukan Islam ni. Inilah realitinya.






Blend semua bahan tadi, masukkan 1 cawan mayonnaise dan blend lagi hingga creamy. Masukkan keju parmesan yang kita parut sendiri - saya gunakan pecorino romano kali ini.

Memang boleh beli powder keju parmesan dalam botol, atau dalam packet kecil-kecil. Tapi percayalah, kalau kita dah biasa guna Keju Parmigiano Reggiano, Pecorino Romano atau Grana Padano dalam block dan diparut sendiri, memang berbeza profil rasanya.











Sila buat "taste test" ya? Letakkan dressing tu atas daun salad dan rasa. Jika terlalu pekat, tambahkan minyak zaitun dan blend. Jika masih pekat, dan jika terlalu masin, tambahkan air panas, blend lagi hingga dapat kepekatan yang disukai. Tambah black pepper, adjust perasa. Saya tak tambah lagi garam sebab anchovies dan keju dah cukup masinnya, mayonnaise pun sudah ada garam, kan?

Siap dah dressing kita. Sejukkan dahulu biar flavoursnya mesra.

Sambil tu taste test lagi beberapa kali. Sebab, biasanya saya tak menyempat nak rasaaaaaa.






Sementara tu, kita assemble salad. 

Drizzle minyak zaitun yang sudah diperisakan dengan sedikit bawang putih cincang atas roti perancis yang sudah di dadu. Gaul dengan tangan. Bakar dalam oven 160 darjah C hingga garing (jangan hangus!) Sejukkan.

Saya campurkan daun lettuce romaine (atau cos). Jika panjang-panjang sangat boleh lah kerat 3. Yang comel-comel tu biarkan saja. Saya suka letak dressing kat tepi dan main cicah-cicah daun kecil-kecil tu.

Hiris lebihan keju pecorino romano itu menggunakan pengopek kulit timun.

Campurkan semua bahan ini dan biarkan hingga tiba waktu makan. Boleh juga diletak dalam fridge sementara kita grill ayam.



Dada ayam tanpa kulit ini saya ketuk dulu menggunakan mallet hingga nipis. Kemudian saya marinadekan semalaman dengan 4 ulas bawang putih cincang, 6 sudu besar minyak zaitun, 1 sudu kecil thyme, 1 sudu kecil oregano, kulit sebiji lemon yang disagat (lemonnya saya gunakan untuk dressing), garam dan black pepper.

Panaskan kuali grill dan masakkan ayam hingga keperangan pada kedua-dua belah. Jangan lama sangat ya? Nanti dia keras dan kering macam sabut!




Hidangan makan malam kami - ayam tengah grill waktu ni. Jadi takde dalam gambar.

Salam hormat dan selamat mencuba.


Saturday, September 29, 2018

Hollandaise Sauce


Minat memasak saya sebenarnya bermula dari kecil. Mungkin ia bermula dengan sedikit paksaan kerana emak saya mewajibkan saya dari kecil untuk bersamanya di dapur. Ayatnya ialah "kalau orang tua berada di dapur, tak patut awak tu bersenang-lenang di depan". Tiada alasan seperti "Ida nak belajar", atau "Ida nak buat homework"... Kalau emak di dapur, saya pasti bersama dia, tolong potong bawang, membasuh pinggan mangkuk, siang ikan, daging, apa sajalah yang patut. Itu lagi satu pantang emak saya, kalau saya berdiri saja, tangan tak buat apa. Mesti di suruh saya pandai-pandai cari kerja untuk menolong. "Takkan semua nak bersuruh!" kata emak selalu. Alhamdulillah, kebiasaan ini bermakna bila ke rumah mertuapun, saya tidak canggung di dapur, malahan rasa seronok membantunya sebab itulah cara terbaik saya mengenali ibu mertua saya dengan lebih rapat. Saya juga dapat mempelajari selok-belok menyediakan makanan kegemaran suami. Syukur.

Namun, minat memasak ini saya teruskan dengan pembacaan berbagai-bagai buku masakan untuk memahami teori-teori di sebalik penyediaan sesuatu masakan itu dan percubaan di dapur. Saya tidak berkesempatan lagi untuk mengikuti kursus kulinari, namun saya gantikan dengan kesungguhan untuk belajar sendiri. Antara salah satu asas masakan yang saya pelajari dari buku-buku, laman sesawang dan rancangan masakan ialah penyediaan sos-sos.

Sos adalah suatu yang amat penting dalam dunia kulinari, lebih-lebih lagi dalam masakan Perancis.  Kenapa ya, saya minat mempelajari kulinari Perancis? Pada saya, teknik masakan Perancis itu amat penting untuk difahami kerana ia mengajar kita asas kemahiran penyediaan masakan barat. Oleh itu, jika kita faham asas di situ, ia akan membantu kita dalam menyediakan masakan barat yang lain, inshaAllah.

Ada 5 sos ibu, atau "mother sauces" dalam dunia kulinari Perancis yang perlu kita fahami untuk memudahkan proses pengolahan masakan. 4 dari 5 sos-sos ini menggunakan asas roux (sebutan: ru) untuk memekatkan sos, kerana adalah penting yang sos kita itu cukup pekat untuk mensaluti daging atau sayur dengan elok, tapi tidak terlalu pekat hingga menjadi seperti gam. Biasanya roux ini adalah lemak seperti mentega yang dimasak dengan tepung hingga hilang rasa tepung itu.

Sos ibu yang 5 itu adalah:

1. Sos Bechamel (sebutan be-sha-mel): menggunakan roux, susu / krim. Agak tawar dan biasanya digunakan sebagai asas pada lain-lain sos seperti sos keju. Ianya juga diguna dalam lasagne dan lain-lain masakan.
2. Sos Veloute (sebutan ve-lu-tei): menggunakan roux yang diadun dengan stok ayam, ikan, daging dan lain-lain. Teksturnya seperti baldu, sesuai dengan namanya.
3. Sos Espagnole (sebutan es-pa-niol): Ini adalah asas "brown sauce". Menggunakan roux juga tapi dicampur dengan stok daging lembu atau veal yang telah di bakar hingga perang, puree tomato dan campuran mirepoix (sebutan: mir-pwa). Sos ini juga digunakan sebagai asas kepada demi glace (sebutan: demi-glas).
4. Sos Tomat: Sos ini berasaskan tomato yang dimasak hingga pekat dan di pekatkan dengan roux. Penambahan rasanya adalah dari sayur-sayuran "aromatics" seperti celery, carrots, bay leaves dll.
5. Sos Hollandaise (sebutan ho-len-deiz): Satu-satunya sos ibu yang tidak menggunakan roux. Kepekatannya datang dari proses emulsifikasi kuning telur dan mentega cair. Sos ini agak teknikal kerana ia mudah "split" iaitu menjadi seperti scrambled eggs, atau butternya akan berpisah dari telur, menjadi seakan dua lapisan.

Sos Hollandaise ini amat saya gemari kerana tekstunya amat "light" dan rasanya yang segar dari jus lemon membangkitkan rasa sayur-sayuran seperti asparagus, broccoli, kacang buncis yang di kukus sebentar. Ianya juga amat sedap dihidangkan dengan masakan yang agak tawar untuk membangkitkan rasa makanan itu tanpa mengganggu profail rasa asalnya, seperti poached salmon dan ayam. Dahulu jika berpeluang menginap di hotel, saya suka "Eggs Benedict" untuk brunch - iaitu muffin Inggeris yang dibelah, diletak telur yang dipoach, beef bacon dan sos hollandaise.

Namun, sos hollandaise ini tidak boleh di simpan lama. Sebaiknya ia dihidang secepat mungkin selepas ia disediakan. Jadi saya biasanya membuatnya cukup-cukup saja untuk kami bertiga, dan untuk sekali makan.

Memandangkan sekarang ini sedang musim asparagus, dan saya amat suka memakan asparagus kukus dengan sos hollandaise ini, saya kongsikan resepi sos hollandaise (cara saya) yang tidak menggunakan cream, tidak perlu double boiling, dan buat masa ini, amat fool-proof. Lebih elok jika sos ini dibuat dengan emulsion / stick blender.

Caranya:

Cairkan 50 gm butter - hati-hati jangan sampai perang ya.

Masukkan 1 biji kuning telur, 1 1/2 sudu besar jus lemon segar, 1/4 sudu kecil cayenne pepper.
Blend dengan emulsion blender hingga bersatu.
Teruskan blend ramuan dan alirkan butter cair perlahan-lahan ke dalam adunan telur sambil teruskan memblend. Adunan akan mula memekat. Teruskan hingga butter cair habis.

Jika sos terlalu pekat (ala mayonnaise), tambahkan sesudu kecil air panas dan blend lagi. 

Perisakan dengan garam.

Hidangkan serta merta dengan asparagus yang telah dikukus.






Tuesday, September 25, 2018

Menu Planning, Suri Rumah dan Resepi untuk Cottage Pie


Antara pekerjaan yang paling saya tidak minati ialah membeli-belah. Saya paling tak gemar ke mall, ke kedai-kedai. Bagi saya ia membazirkan masa. Saya suka membawa senarai dan habiskan tugasan shopping saya secepat mungkin, seminggu sekali. Memang kalau boleh, janganlah suruh saya ke kedai di pertengahan minggu. Boleh kemurungan dibuatnya. Tak suka!

Jadi sejak anak kecil, memang saya sediakan menu mingguan / bulanan. Minggu A, B, C, D. Menu minggu A lebih kurang dengan menu minggu C. Menu minggu B lebih kurang Minggu D. Menu harian / mingguan ini saya "link"kan pula pada shopping list mingguan. Jadi untuk minggu A, saya bawa shopping list minggu A. Senarai itu cukup dengan kiraannya sekali. Jadi bila hari Jumaat, fridge boleh dikatakan agak kosong.

Sample menu di atas itu adalah dari tahun 2008. Zaman kami masih agak muda, dan tak berapa kisah tentang pemakanan yang terlalu sihat. Zaman suami perlu makan nasi, (sekarang 10 tahun kemudian, Alhamdulillah... dia lebih ok dengan bermacam jenis makanan). Ini juga sebelum penghijrahan kepada makanan bakar, stim dan nasi beras perang. Sekarang ini pun menu bulanan dan mingguan ini masih saya buat, sebab senang duduk sekali dan fikir siapkan untuk sebulan. Cuma ada sedikit kelonggaran dari segi makanan yang disediakan, tapi masih dalam lingkungan bahan yang dibelikan setiap minggu.

Alhamdulillah, keadaan sibuk bekerja melatih saya untuk berekonomi dengan masa. Tak perlu setiap hari nak merenung apa lauk dalam freezer, apa nak masak, apa nak masak? Jimat minyak kereta kerana tidak perlu selalu ke kedai membeli barang yang tiada. Jimat juga belanja, sebab setiap kali ke kedai, ada saja barang lain yang dibeli selain dari yang diperlukan.

Sebenarnya bagi saya, tugasan sebagai ibu ini tak jauh bezanya seperti orang yang bekerja dengan badan korporat. Kita perlu ada pengetahuan tentang tatacara menyelenggarakan kerja, perlu ada perancangan, ada deadlines, budget dan mesti ada sifat profesionalnya. Jangan seharian berbaju kelawar di rumah, sebab buat kerja rumah pun kita perlu ada uniform yang selesa, kan?

Sebagai surirumahtangga, kita juga ada "Key Performance Indicators" atau KPI kita. Cuma bezanya, kita kejar KPI bukan untuk dapat bonus atau supaya boss sayang. Kita kejar KPI untuk keredhaan Allah swt. Kita kejar KPI untuk menyukakan hati suami dan anak. Sekarang inipun KPI saya sudah berubah. Dulu, KPI saya termasuk menyediakan bermacam-macam kek, kuih dan manisan untuk keluarga. Sekarang ini, KPI pemakanan saya lebih fokus kepada menyiapkan makanan sihat yang seimbang dan kurang penggunaan gula. Ini kerana saya ingin sahabat karib saya sejak suku abad yang lalu untuk terus sihat supaya dapat kami terus berkongsi hidup. Saya juga mahu anak saya terbiasa dengan pemilihan makanan yang berkualiti supaya ia menjadi "habit" yang akan diteruskan di mana-mana saja dia berada. Ameen, ameen, ameen. 

OKlah, apa yang saya mahu sampaikan ialah, tugas sebagai suri rumah jangan dipandang mudah. Rancang kerja dan tugasan, pastikan kita ikut jadual, ketepikan masa untuk membaca dan menambah pengetahuan, rajin di dapur bukan bermakna buat kuih manis-manis, goreng-goreng selalu. Sebagai ketua di dapur, penting untuk kita mengetuai agenda makanan sihat keluarga. Kurangkan gula, kecilkan portion, tambahkan sayuran dan buah-buahan dan serat semulajadi. Sekali-sekala, ada tetamu tak salah kita raikan... tapi kalau sekadar untuk keluarga sendiri, kuih dan kek tu tak perlu selalulah, kan? Kita tak buatkan sebab sayang. Adik nak benda manis, marilah kita makan orange atau apple. Muffin tu nanti kalau ada tetamu, Mama buatkan, dan kita makan ramai-ramai. Percayalah, tak pernah kot, ada orang pengsan sebab tak dapat makan kek coklat atau brownie.

Lagi satu, kurangkanlah tengok drama-drama tu. Bukan datangkan kebaikan pun. Akhirnya banyak pula bergosip tentang retis lah, tentang cerita drama tu lah. Sekali-sekala kalau terjebak tu, nak buat macamana. Tapi kalau dah saban hari asyik nak mengikut drama. Hmmm. Pada pendapat saya, daripada membazir masa tengok drama, baiklah membaca tentang hal-hal agama, isu pemakanan dan penyelenggaraan rumah tangga, dan banding-bandingkan berbagai sumber ilmiah untuk meluaskan sumber ilmu kita. Jangan biasakan hanya baca satu sumber (misalnya post facebook), terus percaya dan sebarkan pada semua orang. Jadilah insan yang bijaksana dalam menggunakan masa kita dengan sebaiknya.

Baiklah, cukup berceloteh, inilah resepi simple Cottage Pie bekalan anak saya ke sekolah hari ini. Cottage Pie dan Shepherd's Pie lain dari satu sama lain ya? Cottage Pie di buat dari daging lembu kisar. Shepherd's Pie (sesuai dengan makna Shepherd - gembala kambing), di buat dari daging kambing / lamb kisar. Jadi rata-rata di Malaysia, yang kita makan itu adalah Cottage Pie.

Untuk kentang pusar:

  • 2 kentang russet (besar
  • 2 sudu besar butter
  • garam laut dan serbuk lada hitam segar
  • 1/4 cawan air dari rebusan kentang
Kupas kentang, basuh dan potong saiz bola golf. Masukkan dalam periuk dengan air dan garam. Rebus hingga benar-benar lembut. Lenyek dengan butter dan 1/4 cawan air rebusan. Perasakan dengan garam dan serbuk lada hitam.

Untuk isinya:
  • 350 gm daging cincang
  • 1/2 biji bawang - cincang
  • 2 ulas bawang putih - cincang
  • 1 carrot - cincang
  • 1 batang celery - cincang
  • 1/4 sudu kecil thyme kering
  • 1/4 sudu kecil serbuk buah pala
  • 1 sudu besar tepung
  • 1 cawan air / stok daging
  • sedikit minyak zaitun
- Panaskan minyak zaitun. Tumis bawang putih dan bawang besar cincang. Biar dua minit. Masukkan carrot dan celery. Kacau rata, biarkan masak 3-4 minit, api sederhana.
- Masukkan daging cincang. Kacau, pecah-pecahkan daging dan  biarkan air daging kering sedikit. Jika terlalu banyak lemak / minyak, tuangkan minyak atau lemak ke tepi.
-Masukkan tepung, kacau dalam seminit. Masukkan thyme dan serbuk pala. Kacau rata. Masukkan air / stok daging. Kacau dan masak hingga kuah pekat. Perisakan dengan garam dan black pepper. Bila sudah masak, dan kuah pekat, matikan api dan sejukkan.

Masukkan inti daging ke bekas yang boleh dibakar dalam oven. Letakkan mashed potatoes tadi atas daging. Taburkan sedikit butter atas mashed potatoes, sedikit keju cheddar dan black pepper. Bakar dalam oven 180 darjah celsius hingga keperangan.
Sejukkan sedikit sebelum di hidangkan dengan sayuran kukus.

Monday, September 17, 2018

Scones


Bercerita tentang scones... Inilah snack petang kegemaran saya sewaktu belajar di UK. Untuk program pengajian kami, kami ditempatkan bersama keluarga Inggeris pada tahun pertama kami di sana. Ini adalah untuk proses "immersion" bagi memperbaiki lagi bahasa Inggeris kami. Iyalah, nak jadi cikgu Inggeris, kenalah fasih dan betul sebutan dan penggunaan bahasa, kan? Saya amat bersyukur kerana diberikan peluang untuk mengikuti program ini. Walaupun kerana minat membaca yang mendalam sejak kecil dan setelah mengambil subjek Kesusasteraan Inggeris di peringkat STPM, penulisan bahasa Inggeris saya agak "ok" - jauh dari perfect ya, namun dari segi pertuturan lebih banyak yang perlu diperbetulkan. Alhamdulillah, apabila terpaksa beroperasi dalam bahasa Inggeris sepanjang masa selama beberapa tahun, menyiapkan tugasan dan membaca jurnal-jurnal dan buku-buku ilmiah dalam bahasa itu, penguasaan semakin baik. Hilang rasa malu untuk bertutur, dan tidak langsung rasa kecil hati apabila diperbetulkan orang lain bila salah sebutan atau penggunaan. Semuanya saya ambil sebagai proses pembelajaran yang positif. Demi kebaikan sendiri. Sebab itu saya kurang faham mengapa orang jadi sensitif atau emo apabila diperbetulkan. Apa salahnya, kan? Sepatutnya kita berterima kasih. Ini orang yang cuba memberitahu dengan baik itu pula dikecamnya. Nak belajar tak boleh ego dan mesti merendah diri. Kalau dah pandai sangat, ha! Tu yang susah nak maju.

OK cukup lah membebel. Balik pada cerita scones. Semasa tinggal di rumah ibu-bapa angkat itu, kadangkala nenek ibu itu akan datang tinggal bersama. Nenek ini datang dari Yorkshire. Saya paling seronok bila nenek tu ada. Dia akan duduk di dapur buatkan scones, rock cakes, English muffins, sponge cake, raisin buns, cherry cake.. kerja nya memang baking di dapur. Bila balik dari Kolej, buka pintu saja, bau harum baking memang tak dapat di lupakan. Memang dia akan tunggu dan ajak minum teh sama-sama. Aduh seronoknya. Sambil berbual, habis sebutan dan penggunaan bahasa saya dibetulkannya. Alhamdulillah. Sempat juga saya meminta dia mengajar saya membuat beberapa jenis kuih, dan sebelum dia balik ke Yorkshire, penuhlah pantry dan semua tin biskut dan kek dengan peninggalannya. 

Hari ini saya akan kongsikan resepi currant sconesnya untuk semua:

Mula-mula, panaskan oven 200 darjah C.

Bahan-bahan (saya separuhkan ya, dia kalau buat 1 pound tepung digunanya!)
225 gm tepung
3 sudu teh baking powder
(kalau guna tepung naik sendiri, tambah 1 sudu teh baking powder)
55 gm butter (sejuk dan di potong dadu)
1 sudu besar gula caster
150 ml susu
1/2 cawan currants (boleh ganti dengan raisins)


Campurkan tepung, baking powder dan secubit garam.








Masukkan butter sejuk. Gunakan hujung jari untuk campurkan tepung dengan butter. Jangan lama-lama. Buat hingga tepung seakan serbuk roti kasar-kasar. Kalau jari panas, guna saja dua garfu. Kami di sini tengah sejuk, jadi saya gunakan jari saja, secepat yang boleh. Kalau terlebih gaul, itu yang scones jadi keras.







Masukkan gula dan currants. Kacau sedikit dengan sudu.












Masukkan susu. Kacau anggar-anggar bersatu sahaja dengan sudu besi. Memang adunan ni agak basah ya. Jangan panik.










Taburkan sedikit tepung atas tempat menguli. Gunakan hujung jari,
uli sedikit sahaja.








Canai dengan tangan saja. Bentukkan dia seperti ini. Tebalnya dalam 1 1/2 inci. Jangan nipis ya.








Gunakan penerap scones. Kalau nak potong bentuk segitiga saja pun boleh.








Sapu dengan susu.











Bakar atas parchment paper. Kalau nak butter saja pengalas tu boleh juga. Saya malas nak sental alas pembakar tu sebenarnya. Orang rajin memang macam tu.







Bakar 12-15 minit hingga keperangan.










Hidangkan scones panas-panas dengan jem strawberry dan clotted cream / butter. Minum pula dengan teh panas dengan susu tanpa gula. Emmmmmm... tutup mata, teringat dapur kecil di Bognor Regis...

Thursday, September 6, 2018

Meatloaf Individu untuk Bekalan dan Makanan Ringan


Assalamualaikum. Lambat pula bersiaran hari ini sebab terpaksa keluar rumah atas urusan dan kemudiannya menyiapkan kerja-kerja yang tidak pernah putus. Alhamdulillah.Saya memang amat menghargai masa yang dapat saya penuhi dengan berbagai aktiviti wanita dan kerja-kerja sukarela, namun jika tiada kerja di luar, waktu akan dipenuhi dengan membaca dan mempelajari berbagai hal dan menulis. Seronok sungguh apabila terjumpa bahan-bahan bacaan dalam bidang yang saya minati, atau terjumpa bidang baru untuk dipelajari kerana "life is about growing internally". 

Hari ini, saya nak kongsi resepi yang sedap dan mudah ini. Meat Loaf. Hmm kalau orang dengar meatloaf, mungkin ada yang kata... "boring". Namun, resepi meatloaf ini telah saya olah dan amat disukai oleh anak saya. Lebih-lebih lagi bila dihidang dengan "mashed potatoes" dan sayur garing seperti kacang buncis ataupun asparagus.

Inilah resepinya: (saya buat lebih, kemudian saya bekukan dan boleh di defrost oleh anak untuk makan tengahari cepat kalau mamanya sibuk).

Bahan-bahan: (Campurkan kesemua bahan meatloaves ini)
1 kg daging cincang (saya suka pilih bahagian daging kurang berlemak seperti top side dan campurkan dengan sirloin untuk di mesin). Bila guna daging segar seperti ini, meat loaf, meaatballs, burger patty semua tidak mengecut kerana kurang jumlah lemak yang cair dan terbuang amat kurang).
2 biji telur
1 cawan keju cheddar (parut)
1 cawan serbuk roti (saya gunakan roti wholemeal, bakar dan grind dalam blender kering)
1 sudu kecil garam
1 sudu kecil serbuk lada hitam

Bahan topping:
  • Dalam satu mangkuk kecil, campurkan 1/4 cawan sos cili Thai dengan 1/4 cawan mayonis
  • Sedikit "wholegrain" mustard 
  • keju cheddar parut secukupnya

 

Inilah botol wholegrain mustard yang saya gunakan.











Caranya:

1. Panaskan oven ke 200 darjah C
2. Ambil adunan meatloaf yang telah dicampurkan semuanya.


3. Masukkan adunan meatloaf itu ke dalam muffin tin yang telah dilenserkan dengan minyak.

4. Sapukan atasnya dengan 1/4 sudu kecil wholegrain mustard.






5. Letak sesudu kecil campuran sos cili Thai dan mayonis.










6. Taburkan parutan keju cheddar.
7. Bakar dalam oven selama 20 minit









Beginilah rupanya. Kekuningan di atas, dan meatloafnya masak, tapi masih lembab dan tidak keras.









Keluarkan dari  muffin tin. Boleh dimakan begitu saja, atau dengan mashed potatoes, atau french fries dan salad. Boleh juga dihidang dengan salad saja.







Contoh bekalan sekolah: Meatloaves (sebab 2), dengan mashed potatoes dan kacang buncis rebus / kukus yang di letak sedikit garam laut dan sos cili Thai dan mayonis.
Lebihan boleh dibekukan. Saya buat beberapa packet dalam 1 portion untuk sekali sesi pemanasan kembali :)




Tuesday, September 4, 2018

Baked Rice dengan Ayam dan Cendawan


Ada masanya saya ni nostalgia dengan restoran-restoran di Malaysia. Membesar di JB dahulu, ada satu restoran yang pada saya agak mewah, dan kami hanya pergi bila ada special occassion. "Swensen's" saya tak tahulah kalau ada sesiapa ingat Swensen's? Tempat makan ice-cream sundae, brownie ala mode, banana split... kiranya antara pengenalan saya kepada makanan orang Amerika pada awal tahun 90an.

Antara hidangan bukan manisan / ice cream di Swensen's yang saya sukai ialah "Baked Rice" nya. Hmm, memang sedap dimakan panas-panas. Berkeju, berkrim.. aduhai. Bila saya cari resepinya, ada saya jumpa tapi kebanyakannya menggunakan sup cendawan dalam tin. Saya cuba mengurangkan penggunaan bahan-bahan dalam tin, jadi saya cuba olah sendiri resepi ini menggunakan krim masakan, stok pekat ayam dan cendawan butang segar. Anak saya amat suka "baked rice" ini dan pernah saya buatkan untuk majlis makan-makan di sekolahnya. Setelah itu, pantang ada makan-makan di sekolah, "baked rice" inilah yang diminta oleh rakan-rakan dan guru-gurunya :)

Resepinya seperti di bawah ya? (Kalau lebih, baked rice ini boleh di freezekan).

Bahan-bahan:
2 sudu besar butter
500 gm cendawan butang (kupas dan hiris)
500 gm dada ayam yang sudah siap dimasak dan dicarik (saya gunakan lebihan dada ayam dari sushi semalam)
3 pot nasi putih / perang yang sudah di masak
6 bawang putih (cincang)
2 sudu besar stok pekat ayam
1 cawan krim masakan (pastikan tidak ada gula dalam senarai ingredients ya)
(boleh saja gantikan stok ayam dan krim masakan ini dengan 3/4 tin sup cendawan berkrim Campbell's)
Keju mozzarella dan cheddar yang di sagat (ikut suka banyak mana, anak saya suka lebih cheese).
Garam dan lada hitam secukup rasa.
Daun parsley untuk hiasan

Cara-cara:

Panaskan butter, apabila cair dan kuali panas, masukkan cendawan butang hiris. Tumis hingga air cendawan kering dan cendawan mula wangi.






Masukkan bawang putih yang sudah dicincang. Kacau hingga wangi.







Masukkan dada ayam yang telah dicarik/dicubekan. Saya biasa gunakan dada ayam bakar / poach (rumah ni tak suka dada ayam, jadi saya simpan dada dari roast chicken untuk digunakan dalam masakan seperti ini).
Masukkan stok pekat ayam, krim, garam dan lada sulah. Kacau rata hingga sedikit pekat. Rasa kemasinan kuah pada waktu ini. Agak-agak rasanya bila masuk nasi nanti. Ingat kita akan letak cheese, jadi jangan masin sangat.

Masukkan nasi yang sudah dimasak (panas pun ok). Kacau rata. Tambah lada sulah jika suka.







Masukkan separuh daun parsley yang sudah di hiris, kacau rata. Jika nasi terlalu kering, boleh masukkan sedikit lagi krim. Nasi ini agak basah sedikit berbanding dengan nasi goreng. Tak banyak, basah sedikit.





Masukkan nasi tadi ke dalam bekas pembakar yang sudah di sapu mentega. Ratakan dan tabur cheese campuran mozzarella dan cheddar. Taburkan sedikit parsley lebihan tadi.

Bakar dalam oven 200 darjah C hingga elok keemasan.







Senang, kan? Untuk anak-anak yang tak berapa suka nasi, bolehlah dicuba berikan baked rice ini dengan sup sayur. Saya suka hidangkan dengan sayur kukus. Boleh dibuat sebagai side-dish pada Roast Chicken (buat baked rice dengan mushrooms saja, tak payah letak ayam).




Inilah bekalan anak saya ke sekolah hari ini, baked rice, dilengkapi dengan sayur broccoli kukus dan buah-buahan segar.  Ada juga lebihan baked rice, saya freezekan untuk hari-hari bila saya sibuk dan anak perlukan makanan segera. Dia cuma perlu defrostkan dan microwave.



Memupuk Adab Bertamu bersama Anak

 **Penulisan saya ini tidak merangkumi anak-anak istimewa yang mungkin memerlukan cara mendidik yang lebih spesifik atau cara behavioral m...