Showing posts with label Parenting. Show all posts
Showing posts with label Parenting. Show all posts

Saturday, June 8, 2019

Memupuk Adab Bertamu bersama Anak

 **Penulisan saya ini tidak merangkumi anak-anak istimewa yang mungkin memerlukan cara mendidik yang lebih spesifik atau cara behavioral modification oleh pakar terlatih.
Ashraf di ruang bermain di rumah sewaktu dia kecil

Jangan kata ibu yang tegas itu tak sayangkan anak. Bagi saya, anak saya itulah permata hati, penyejuk mata setelah 8 tahun kami menunggu dan berdoa. Jadi jangan kata saya tak sayang anak saya. Tapi, saya memang tegas dengan anak sejak dia kecil. Kenapa? Sebab saya sayangkan dia dan mahu dia dikasihi oleh orang di sekeliling dia. Biar dia pandai membawa diri. Boleh di bawa ke sana-sini. Tidak menyusahkan orang lain. Saya tak mahu orang nampak anak saya dan merasa jengkel, menyampah atau meluat. Kenapa? sebab perangai dia yang tidak terkawal, sebab tak tahu membawa diri, sebab tak kenal siapa orang tua, siapa kawan. Semua dipukul sama-rata. Saya menerapkan adab pada dia kerana saya amat sayang pada dia dan mahu dia menjadi orang yang dihormati dan disegani kerana berakhlak dan beradab. Semoga Allah perkenankan doa saya yang baik-baik bagi anak kesayangan saya ini, Aamiin Ya Rabb.

Antara adab yang saya terapkan adalah adab bertamu di rumah orang. Bagi saya, adab bertanu di rumah orang ini, semuanya bermula di rumah sendiri.

Antara cara saya:

1. Biasakan Anak dengan Perhiasan Meja dan "Table Manners" di Rumah Sendiri Sejak Kecil

Masa anak saya masih bayi dan menjangkau zaman membuas pun, tiada perubahan dalam perhiasan rumah. Meja ada alas. Mangkuk kristal tetap ada di sana-sini. Ibu mertua saya pernah kata yang walau ada anak kecil, rumah saya masih boleh berhias dan beralas meja, Alhamdulillah. Bagi saya, anak perlu dibiasakan dengan perhiasan di rumah sendiri. Kalau dah biasa, inshaAllah, dia akan hormati perhiasan rumah orang lain.

Bila makan sarapan atau makan malam bersama kami, setelah tidak perlu duduk di "high chair", dia duduk di meja menggunakan pinggan dan cawan kaca sama seperti kami. Dia gunakan sudu dan garfu besi. Dia belajar menggunakan sudu garfu dengan senyap, makan dengan tangan dengan sopan dan tidak bersepah. Tiada istilah makan sambil berjalan / tengok tv, duduk baik-baik makan dengan Mama dan Papa. Cuma bila dia bersama rakan-rakan, saya biasakan dia gunakan pinggan kanak-kanak. Lebih untuk menyenangkan hati ibu-bapa rakan-rakan dia. 

Akibatnya, dari kecil dia tahu, alas meja bukan untuk ditarik. Perhiasan kristal bukan untuk dipegang atau dibuat main. Makan dimeja tak boleh bersepah, kalau bersepah, kutip. Makan dan minum sambil duduk di tempat yang ditetapkan. Bila mengunyah mulut kena tutup, letak pinggan dan gelas dengan lembut. Jangan bercakap bila mulut penuh. Bila di rumah orang, dia tak kisah kalau meja berhias. Dia tahu di setiap rumah, ada kawasan bermain dan ada kawasan untuk bertamu. Kawasan bertamu bukan tempat bermain. Bila makan bersama, dia tidak kekok dan tidak sibuk hendak menyampuk orang tua berbual. Dia dah biasa duduk makan bersama kami, gunakan sudu garfu, dan menunggu untuk saya cedokkan makanan. Ya, saya ambilkan makanan, bukan dia boleh ambil ikut suka jika di rumah orang (sewaktu kecil). Kalau dia tak habis makan, saya akan habiskan apa yang dalam pinggannya. Jangan membazir.

2. Berjalan dengan Ibu-Bapa adalah Keistimewaan (privilege) bukan Kemestian

Sejak kecil, saya tanamkan pada anak saya - berjalan atau bertamu dengan Mama dan Papa adalah satu keistimewaan, bukan kemestian. Dia hanya boleh ikut pada majlis yang dia turut diundang (Alhamdulillah, kerana tugas suami, dia biasa diberitahu dari kecil, "majlis ni anak-anak tak diundang, jadi Ashraf terpaksa tinggal di rumah"). Jadi bila ada undangan dan kami bawa dia bertamu, ia adalah sesuatu yang istimewa - dapat memakai baju yang cantik-cantik, nampak segak dan berminyak wangi. Dia faham, "special occasion" dan dia perlu menjaga adab. Seberapa boleh dia akan cuba mengajuk perbuatan kami - bersalam dengan baik, duduk sebelah saya dan tidak bercakap melainkan ditanya. Dia faham, ini adalah majlis dan pentingnya untuk menghormati majlis dan tuan rumah. Kami juga tidak bertamu dengan lama. Bila dia mula resah, kami meminta diri.

Bila berjalan tanpa bertamu juga, saya tekankan pentingnya untuk menjaga perangai. Beberapa kali semasa umurnya 1 hingga 2 tahun, sewaktu membeli barang dapur, saya terpaksa tinggalkan trolley barangan dan bawa anak balik serta-merta tanpa membeli apa-apa. Kenapa? Kerana dia "mengaruk". Saya cuba tenangkan dia, tapi dia terus mengaruk, jadi saya dukung anak dan terus bawa balik ke rumah. Letak dia dalam bilik dan biarkan dia menjerit hingga dia bertenang. Saya telefon suami minta maaf sebab tak dapat beli barang dapur, minta tolong dia singgah beli apa yang patut dalam perjalanan pulang dari kerja. Setelah beberapa kali begitu, anak saya faham yang perbuatan "mengaruk" itu tak akan mendapatkan dia apa yang dia mahukan. Kalau mengaruk, outing akan terhenti dan dia akan dibawa balik ke rumah. Alhamdulillah sebentar saja fasa mengaruk tu.

3. Perkotakan Apa yang Kita Katakan (Do what you say you will do)

Pesan saya pada anak - Kalau tak behave, next time Mama dan Papa keluar, awak akan kena tinggal.
Ini bukan amaran kosong. Balik saja dari majlis, selepas saya tegur perangai yang dia buat itu, saya akan serahkan dia pada pembantu dan kami keluar semula (walau sebentar). Kalau tak ada pembantu, saya akan balik dengan dia, dan suami akan keluar semula "memenuhi undangan lain".  Memang  kami buat begini. Di rumah pula, bukan boleh tengok tv atau ke taman untuk bermain. Buat apa yang perlu dalam rumah tanpa TV atau gadget. Samada dia kena kemas bilik, susun baju dan mainan, buat latihan menulis, membaca atau tolong pembantu atau Mama buat apa yang patut.

Konsepnya simple - Kalau tak behave, memang kena tinggal. Berjalan dengan kami tu satu privilege yang perlu dihormati. Mama dan Papa tak semestinya bawa dia berjalan. Kami bawa dia berjalan sebab dia tahu jaga adab. Tak tahu jaga adab, kamipun tak mahu bawa dia dengan kami. Mudah, kan?

Bila selesai hukuman kena tinggal itu, saya akan panggil dia dan bertanya:
           -  Ashraf faham tak kenapa Ashraf kena tinggal tadi?
           - Apa yang Ashraf buat sampai kena tinggal?
           - Kenapa Ashraf buat macam tu?
           - Kenapa tak boleh buat macam tu? Apa akibatnya kalau buat macam tu?
           - Apa yang perlu kita buat lain kali?
Setiap soalan ini dia kena jawap. Saya tak akan beri jawapannya. Dia kena reflect dan fikir sendiri kesalahan yang dilakukan, kenapa ianya salah dan apa yang perlu dilakukan lain kali. 

Latihan ini penting dari kecil sebab kita mahu membesarkan anak-anak yang ada sikap muhasabah diri. Biar mereka biasa mengkaji dan memahami kesalahan dan kekurangan mereka, dan berfikir cara untuk memperbaiki diri. Bukan menuding jari menyalahkan orang lain tanpa mengambil tanggungjawab atas kesilapan diri sendiri.

Saya juga pastikan dia tahu saya sayangkan dia,  hanya mahu kebaikan bagi dirinya dan perbualan ini akan diikuti dengan pelukan. Tugas saya sebagai ibu adalah untuk membentuk dia sebagai insan yang baik. Saya marah kerana perangai tak elok itu, namun rasa sayang pada dia tidak luak. Itu perbezaannya. Marah atau tegur bukan bererti tak sayang.

Tapi kalau lain kali dia buat lagi perangai tak elok itu, memang dia tahu dia akan kena tinggal lagi. Alhamdulillah, biasanya tiada ulangan kesalahan yang sama.

4. Perkara yang Perlu Diambil Kira

a. Pastikan sebelum bertamu, anak kita cukup rehat, tidak terlalu penat, dan sihat. Kalau mereka penat, mengantuk atau sakit, tentulah dia akan meragam dan tidak sama seperti waktu mereka sihat. Kalau anak tak sihat, letih saya tak bawa dia bertamu atau berjalan. Dia stress, saya stress... tuan rumah pun akan stress. Tak datang eloknya.

b. Pastikan anak tidak terlalu banyak makan / minum benda bergula. Bila anak terlebih gula, memang mereka akan hyper. Mana mungkin dia nak duduk diam. Lebih-lebih lagi kalau umur antara 2-6 tahun. Saya memang bawa air kosong untuk anak bila kami berjalan. Saya galakkan dia minum air kosong dari air bergas, jus dan sebagainya. Milo, teh dan kopi pun dia tak berapa suka. Masa kecil, snack dia pun saya siapkan. Antara rumah ke rumah, dia akan makan snack sihat dalam kereta seperti buah atau kekacang / trail mix. Jadi kuranglah keinginan nak makan jajan, coklat dan lain-lain di rumah orang.

c. Makan dahulu sedikit. Jangan bawa anak berjalan dalam keadaan dia lapar. Budak kalau lapar pun lain perangainya.

Ini semua dalam bidang kawalan / seliaan kita ya. Boleh saja diusahakan.

5. Jangan Letih Untuk Ulang-ulang Berpesan Benda yang Sama.

Saya teringat ibu saya ketawa ketika berjalan dengan kami sewaktu anak saya berusia setahun setengah. Sebelum melawat rumah saudara, dalam kereta saya membuat beberapa pesanan pendek pada anak. Saya akhiri dengan "You will behave right, Ashraf?" dia jawab dengan bersungguh "yes!" sambil mengangguk-angguk dengan mata yang bulat. Memang dia biasa dengan dipesan sebegitu.

Semakin besar, semakin panjang senarai pesanan saya tentang bila bertamu. Antaranya:

  - Salam dan cium tangan tuan rumah
 - Duduk elok-elok sebelah Mama / Papa
 - Jangan bercakap melainkan di tanya
 - Makan apa yang dihidangkan. Berkata yang baik-baik tentang makanan yang dihidangkan
 - Ambil sekadar yang boleh dimakan. Kalau tak habis nanti, Mama yang kena habiskan
 - Jangan ambil makanan / kuih muih hingga habis. Tinggalkan orang belakang
 - Makan dan minum sambil duduk di tempat yang ditetapkan oleh tuan rumah saja
 - Jika ada kawan ajak bermain, minta kebenaran mama dan papa serta tuan rumah dahulu
 - Main hanya dengan mainan yang di beri oleh tuan punya mainan. Main dengan baik dan kemaskan balik kawasan permainan sebelum meninggalkannya
 - Tanya tuan rumah jika ada apa yang boleh dibantu (jika tuan rumah sibuk menyediakan makanan)
 - Selepas makan, pastikan kawasan tempat makan itu bersih, bawa pinggan dan cawan sendiri ke dapur dan sebaiknya basuh sendiri jika dibenarkan
 - Jika gunakan tandas, bersihkan seperti di rumah sendiri
 - Jika tumpang bersolat, kemaskan balik ruang solat selepas digunakan
- Jika diberi hadiah, jangan dibuka depan tuan rumah.Ucapkan terima kasih dengan senyuman.
- Sebelum balik, salam tuan rumah, cium tangan dan ucapkan terima kasih. Beritahu apa yang seronok tentang lawatan itu (yang baik-baik saja dan ini kita boleh biasakan rehearse di rumah - misalnya, "terima kasih uncle, auntie.. sedap sungguh makanan di rumah uncle dan auntie", atau "terima kasih uncle, auntie, seronok dapat main dengan __________ tadi, dan lain-lain).

Pesanan ini perlu diulang-ulang. Bila dia dah besar, kita boleh minta dia pula ingatkan kita pesanan-pesanan ini. InshaAllah, kalau dari kecil sudah dibiasakan, semakin besar, semakin mudahlah tugas kita sebagai ibu-bapa.

Ingatlah, bertegas dalam memupuk peradaban yang baik bukanlah sebab kita "skema" atau "poyo". Kta mahu anak-anak kita menjadi tetamu yang menyenangkan hati tuan rumah. Kita tak mahu sebab anak-anak nakal, kita pula bermasam muka sesama saudara-mara, adik-beradik dan sahabat handai.
Biarlah anak-anak kita menjadi penyejuk hati dan mata semua yang mengenali mereka hendaknya.
Kita bertegas kerana kita amat mengasihi mereka dan mahukan hanya yang terbaik untuk mereka. 
Suka dia melayan tetamu kecil di kawasan bermain sendiri

Tuesday, September 25, 2018

The Importance of Academic Literacy, Inculcating a Love of Learning and Seeking Knowledge in Our Young


Hickens, C (2014): A Parent's Guide to Academic Literacy at IAMS: https://slideplayer.com/slide/2547438/

As a former teacher of English as a First Language in an international school in Malaysia, I frequently hear parents saying, "Ah! I am not worried about the subject of English. My child is fluent in the language. He/she speaks English better than his/her own mother tongue". I had to bite my tongue and refrain from pointing out the differences between "academic language" and "social language". Just because a child is relatively fluent in one language does not automatically grant the child with the ability to perform academically in that language.

The language of academic English is different from social English. Generally, there are different types of competencies needed in languages. Most agree that Basic Interpersonal Communicative Skills (BICS) which relates to everyday English is different from Cognitive and Academic Language Proficiency (CALP). It is easy for us to overestimate a child's proficiency level because he/she is proficient in BICS, when in school, what is needed is CALP - the ability to understand and utilize more abstract and specialist language. In fact, even on the aspect of vocabulary alone, linguists have came up with an Academic Word List - a list of words most frequently found in various academic journals across all topics. This list is separate from the General Word List, and ideally all students should be familiar with most of these words and are able to comprehend the different meanings of each word, as well as use them in their writing accurately prior to enrolling in universities.

A study conducted by Harji et. al. (2015) in an institution of higher learning in one of the southern states in Malaysia found that most undergraduates who took part in the productive vocabulary levels test (Nation & Laufer 1999) had the vocabulary level of 2000 words, and almost none was capable of performing at the University Word List section. This means that most of the undergraduates who underwent this study had insufficient vocabulary knowledge to cope with reading academic journals and possibly with studies at university. This finding appears to be confirmed by a study conducted by Ab Manan et. al (2017) who found that most Malaysian undergraduates in the study appear to have a receptive vocabulary of 2,000 to 3,000 word families and the productive vocabulary of 2,000 word families. Only half of the students achieved the basic requirement in the academic word level proposed for tertiary level studies. Numerous other studies conducted among local undergraduates appear to have come to similar findings. These statistics have potential major consequences to the future of our country even as we strive to compete internationally for foreign direct investments in the area of knowledge economy.

While the state of our learners'  and undergraduates' vocabulary levels are worrying, there are also other aspects of academic literacy that we need to be aware of. There are different genres in academic reading and writing, both scientific and literary, and each is imbued with its own characteristics in terms of organization and language. To perform well in school and later on at tertiary level,  the child needs to be aware of these characteristics and present them in their own writing or when making oral presentations. This is on top of comprehending the content and concepts contained in each subject. Not an easy feat for a child / student whose first language is not English.

I believe though that all is not lost, but in order to be competitive with native speakers whose proficiency is undeniable, we need to start with our kids at a young age. Start what? There is a need to start exposing children to the different genres of academic reading and writing, its characteristics and ensure that our students in schools are sufficiently presented with models and are then sufficiently scaffolded in their earlier attempts at producing their versions.

While we may not have all the say in how the teaching and learning is done in school, we can make a difference at home. How?

1. By encouraging our child to read widely, and to read various genres of writing. They should not stop at just reading fiction. A love for knowledge and a thirst for information should be inculcated from young and books / reading resources should be seen as the first sources of reference. When he was young, my son loved to ask questions, and my job was to direct him to the books and paragraphs that would have answers to his questions as much as possible. We would read it together sometimes, or he would find out and tell me the answer to his question.

2. Make each home literacy friendly. Books should be available to read, interesting posters can be placed on bedroom walls. Beautiful storybooks / picture books, quotations can decorate children's rooms rather than toys. Make words come alive from young. Point out signs on the street, on your t-shirt, on cars. Read, read, read together.

2. Teachers and parents themselves need to be aware of the different genres of academic reading and writing be it descriptive, persuasive, expository or narrative. Understand what are the features of each type and get children to be aware and on the lookout to identify how each feature is utilized and its function(s). Discuss these features with them. Commend them when they notice and comment on similarities or differences. Noticing is the first step to learning, and hopefully learners can implement these relevant features in their own writing.

3. I would also start learners from young to make their own books, based on the different genres. Get  children to be the author of their own books on their favourite animals, based on what they read from encyclopedias, picture books, specific non-fiction books on animals that we can borrow from the library. They can also draw or cut pictures from magazines. Let them utilize the use of headings, sub-headings, introduction, body, closing and have fun writing captions on their selected pictures. Make it fun. Or they can write their own fairy tales, or a journal entry on a trip together. Get them to present their work. Display them in pride of place in the house. 

Such simple activities can of course escalate in levels of difficulty, depending on your child's readiness. Just make learning, reading, researching and writing as fun as possible. Parents should always model a love for reading and the ability to seek information from relevant sources because, no matter what, children spend more time at home than in school.

Please remember that, just because a child seems to be fluent in a language, this does not indicate a readiness to assume the demands of the classroom. A love of reading, learning and a thirst for knowledge should be inculcated in our young from the earliest age possible.

Menu Planning, Suri Rumah dan Resepi untuk Cottage Pie


Antara pekerjaan yang paling saya tidak minati ialah membeli-belah. Saya paling tak gemar ke mall, ke kedai-kedai. Bagi saya ia membazirkan masa. Saya suka membawa senarai dan habiskan tugasan shopping saya secepat mungkin, seminggu sekali. Memang kalau boleh, janganlah suruh saya ke kedai di pertengahan minggu. Boleh kemurungan dibuatnya. Tak suka!

Jadi sejak anak kecil, memang saya sediakan menu mingguan / bulanan. Minggu A, B, C, D. Menu minggu A lebih kurang dengan menu minggu C. Menu minggu B lebih kurang Minggu D. Menu harian / mingguan ini saya "link"kan pula pada shopping list mingguan. Jadi untuk minggu A, saya bawa shopping list minggu A. Senarai itu cukup dengan kiraannya sekali. Jadi bila hari Jumaat, fridge boleh dikatakan agak kosong.

Sample menu di atas itu adalah dari tahun 2008. Zaman kami masih agak muda, dan tak berapa kisah tentang pemakanan yang terlalu sihat. Zaman suami perlu makan nasi, (sekarang 10 tahun kemudian, Alhamdulillah... dia lebih ok dengan bermacam jenis makanan). Ini juga sebelum penghijrahan kepada makanan bakar, stim dan nasi beras perang. Sekarang ini pun menu bulanan dan mingguan ini masih saya buat, sebab senang duduk sekali dan fikir siapkan untuk sebulan. Cuma ada sedikit kelonggaran dari segi makanan yang disediakan, tapi masih dalam lingkungan bahan yang dibelikan setiap minggu.

Alhamdulillah, keadaan sibuk bekerja melatih saya untuk berekonomi dengan masa. Tak perlu setiap hari nak merenung apa lauk dalam freezer, apa nak masak, apa nak masak? Jimat minyak kereta kerana tidak perlu selalu ke kedai membeli barang yang tiada. Jimat juga belanja, sebab setiap kali ke kedai, ada saja barang lain yang dibeli selain dari yang diperlukan.

Sebenarnya bagi saya, tugasan sebagai ibu ini tak jauh bezanya seperti orang yang bekerja dengan badan korporat. Kita perlu ada pengetahuan tentang tatacara menyelenggarakan kerja, perlu ada perancangan, ada deadlines, budget dan mesti ada sifat profesionalnya. Jangan seharian berbaju kelawar di rumah, sebab buat kerja rumah pun kita perlu ada uniform yang selesa, kan?

Sebagai surirumahtangga, kita juga ada "Key Performance Indicators" atau KPI kita. Cuma bezanya, kita kejar KPI bukan untuk dapat bonus atau supaya boss sayang. Kita kejar KPI untuk keredhaan Allah swt. Kita kejar KPI untuk menyukakan hati suami dan anak. Sekarang inipun KPI saya sudah berubah. Dulu, KPI saya termasuk menyediakan bermacam-macam kek, kuih dan manisan untuk keluarga. Sekarang ini, KPI pemakanan saya lebih fokus kepada menyiapkan makanan sihat yang seimbang dan kurang penggunaan gula. Ini kerana saya ingin sahabat karib saya sejak suku abad yang lalu untuk terus sihat supaya dapat kami terus berkongsi hidup. Saya juga mahu anak saya terbiasa dengan pemilihan makanan yang berkualiti supaya ia menjadi "habit" yang akan diteruskan di mana-mana saja dia berada. Ameen, ameen, ameen. 

OKlah, apa yang saya mahu sampaikan ialah, tugas sebagai suri rumah jangan dipandang mudah. Rancang kerja dan tugasan, pastikan kita ikut jadual, ketepikan masa untuk membaca dan menambah pengetahuan, rajin di dapur bukan bermakna buat kuih manis-manis, goreng-goreng selalu. Sebagai ketua di dapur, penting untuk kita mengetuai agenda makanan sihat keluarga. Kurangkan gula, kecilkan portion, tambahkan sayuran dan buah-buahan dan serat semulajadi. Sekali-sekala, ada tetamu tak salah kita raikan... tapi kalau sekadar untuk keluarga sendiri, kuih dan kek tu tak perlu selalulah, kan? Kita tak buatkan sebab sayang. Adik nak benda manis, marilah kita makan orange atau apple. Muffin tu nanti kalau ada tetamu, Mama buatkan, dan kita makan ramai-ramai. Percayalah, tak pernah kot, ada orang pengsan sebab tak dapat makan kek coklat atau brownie.

Lagi satu, kurangkanlah tengok drama-drama tu. Bukan datangkan kebaikan pun. Akhirnya banyak pula bergosip tentang retis lah, tentang cerita drama tu lah. Sekali-sekala kalau terjebak tu, nak buat macamana. Tapi kalau dah saban hari asyik nak mengikut drama. Hmmm. Pada pendapat saya, daripada membazir masa tengok drama, baiklah membaca tentang hal-hal agama, isu pemakanan dan penyelenggaraan rumah tangga, dan banding-bandingkan berbagai sumber ilmiah untuk meluaskan sumber ilmu kita. Jangan biasakan hanya baca satu sumber (misalnya post facebook), terus percaya dan sebarkan pada semua orang. Jadilah insan yang bijaksana dalam menggunakan masa kita dengan sebaiknya.

Baiklah, cukup berceloteh, inilah resepi simple Cottage Pie bekalan anak saya ke sekolah hari ini. Cottage Pie dan Shepherd's Pie lain dari satu sama lain ya? Cottage Pie di buat dari daging lembu kisar. Shepherd's Pie (sesuai dengan makna Shepherd - gembala kambing), di buat dari daging kambing / lamb kisar. Jadi rata-rata di Malaysia, yang kita makan itu adalah Cottage Pie.

Untuk kentang pusar:

  • 2 kentang russet (besar
  • 2 sudu besar butter
  • garam laut dan serbuk lada hitam segar
  • 1/4 cawan air dari rebusan kentang
Kupas kentang, basuh dan potong saiz bola golf. Masukkan dalam periuk dengan air dan garam. Rebus hingga benar-benar lembut. Lenyek dengan butter dan 1/4 cawan air rebusan. Perasakan dengan garam dan serbuk lada hitam.

Untuk isinya:
  • 350 gm daging cincang
  • 1/2 biji bawang - cincang
  • 2 ulas bawang putih - cincang
  • 1 carrot - cincang
  • 1 batang celery - cincang
  • 1/4 sudu kecil thyme kering
  • 1/4 sudu kecil serbuk buah pala
  • 1 sudu besar tepung
  • 1 cawan air / stok daging
  • sedikit minyak zaitun
- Panaskan minyak zaitun. Tumis bawang putih dan bawang besar cincang. Biar dua minit. Masukkan carrot dan celery. Kacau rata, biarkan masak 3-4 minit, api sederhana.
- Masukkan daging cincang. Kacau, pecah-pecahkan daging dan  biarkan air daging kering sedikit. Jika terlalu banyak lemak / minyak, tuangkan minyak atau lemak ke tepi.
-Masukkan tepung, kacau dalam seminit. Masukkan thyme dan serbuk pala. Kacau rata. Masukkan air / stok daging. Kacau dan masak hingga kuah pekat. Perisakan dengan garam dan black pepper. Bila sudah masak, dan kuah pekat, matikan api dan sejukkan.

Masukkan inti daging ke bekas yang boleh dibakar dalam oven. Letakkan mashed potatoes tadi atas daging. Taburkan sedikit butter atas mashed potatoes, sedikit keju cheddar dan black pepper. Bakar dalam oven 180 darjah celsius hingga keperangan.
Sejukkan sedikit sebelum di hidangkan dengan sayuran kukus.

Thursday, September 13, 2018

Perihal Anak dan Makanan

Graphic taken from: https://7esl.com/breakfast-vocabulary/


Assalamualaikum semua, dan apa khabar? Saya ni banyak benda nak buat.. tapi, kalau pasal "procrastinating" memang hebat! Suka bertangguh. Tak apalah, kan? Blog pun lama dah tak update. Kita update jap, pastu sambung balik kerja.

Semenjak anak saya kecil, ramai yang berkomen mengatakan, "untungnya awak, anak pemakan", dan dalam hati, saya mengucapkan "MashaAllah, Alhamdulillah, Tabarakallah".

Sebenarnya anak saya pernah juga ada tahap tak mahu makan. Saya ingat lagi masa umur dia 7 tahun, tiba-tiba dia tak mahu makan sarapan. Sedangkan dari dia kecil, kami berdua suami-isteri memang luangkan masa sarapan tu untuk duduk dengan dia dan makan sama-sama sebelum ke tempat kerja, dan menghantar dia ke sekolah.

Ketika "krisis sarapan" itu, memang ada dua-tiga hari seminggu yang kami dua beranak bertengkar dan ada masa yang saya biarkan dia ke sekolah dengan perut kosong (seperti biasa dia ada bekal), dan pada hari dia tak makan sarapan tu, saya tak beri dia duit belanja kerana bimbang dia akan beli jajan bukan-bukan bila dia lapar. Jadi kalau tak sarapan, dia kena makan bekal yang saya siapkan. 

Saban pagi saya ke pejabat dengan fikiran kusut memikirkan anak tak mahu sarapan, makan sarapan pun sesuap dua. Risau dia lapar dalam kelas, risau bila dia lapar dia tak dapat berikan tumpuan, risau bila dia lapar, bad mood dan bertengkar dengan kawan-kawan... hmmm macam-macam punya risau. Sedihpun ada sebab meninggalkan dia di sekolah dengan hati marah sebab dia tak mahu makan breakfast yang saya sediakan. Sedih melihat dia keluar dari kereta, melangkah masuk sekolah dengan muka tak ceria, kadangkala mata merah kerana bergaduh dengan saya pagi-pagi di meja makan.

Saya faham perasaan ibu lain yang sedang melalui masalah anak tak mahu makan.

Jadi puaslah saya berbual dengan kawan-kawan yang lebih berpengalaman, dengan ibu saya, dengan doktor, menelaah buku-buku, tengok video tentang parenting... suami sayalah tak larat, kot? Tak ada cerita lain... "Macamana nak buat Ashraf makan breakfast...", "Orang tu kata...", "Doktor ni kata..." tak berhenti-henti. Belikan itu, belikan ini... tapi sama saja, bila waktu pagi, berperang. Bila dah beli makanan mahal-mahal, dah bangun awal buatkan macam-macam, anak kata "Don't want", memang nak naik loktang saya rasa. Dahlah nak berkejar hantar dia ke sekolah, tak mahu lambat ke pejabat, dengan keadaan jalan jam di lebuhraya Sungai Besi (macam-macam stress!)

Akhirnya, satu pagi sewaktu saya duduk perang dingin dengan anak di meja makan, saya ternampak bayang kami di kaca tingkap. Cara saya duduk, raut wajah saya, bibir saya, cara saya letak tangan saya. Anak saya pula, ikut kata orang tua-tua, "sebijik" cara duduk, bibir tergetap, tangan memeluk tubuh. Macam tengok "Mini Me". Masa itulah saya mendapat kesedaran. Sedegil-degil saya yang mahukan anak ikut cakap saya, anak saya pun ada kedegilan dia juga. Dari mana agaknya ya, dia dapat perangai degil dia tu??

Jadi sayapun bermuhasabah diri. Saya mula berfikir, kalau saya jadi anak saya... apa yang membuatkan saya menolak apa yang orang suruh buat, dan apa yang boleh membuatkan saya berikan kerjasama.

Hari itu, saya print carta makanan sarapan bergambar (lebih kurang grafik di atas tu). Saya lekatkan setiap satu jenis makanan pada carboard. "Cereal", "Soft boiled eggs", "Scrambled eggs", "Toast", "Milk", Fruit", "Oatmeal and banana", "yogurt"... dan lain-lain.

Petang itu, saya beritahu anak saya - "Ashraf tengok semua kad ni, pilihlah makanan yang Ashraf hendak esok untuk sarapan". 
Dia pandang wajah saya. "I can choose?" 
"Iya.. Ashraf pilih, beritahu Mama. Tapi kalau dah pilih, kena makan".
Perlahan-lahan dia pilih gambar buah-buahan, kemudian dia pilih yogurt. Dia tanya, "Ok tak, Mama?"
"OK" saya kata. "Buah tu nak potong macam salad ke, nak pilih buah sendiri?"
"Fruit salad" 
"Yogurt nak campur sekali ke, on the side?"
"On the side".

Esok paginya, Alhamdulillah.. buat pertama kali dalam beberapa minggu, kami makan sarapan dengan tenang. Saya tak paksa dia habiskan fruit saladnya. Diapun cuba sedaya upaya untuk makan portion yang di beri.

Setiap petang kami buat begitu. Dia pilih gambar makanan yang dia mahu untuk sarapan. Hujung minggu, kami plan sama-sama apa yang dia mahu untuk sarapan bila kami pergi marketing.. dan saya ajar dia tengok kandungan pada setiap barangan yang dibeli, berapa gram gula (4 gm = 1 sudu teh, jadi kalau yogurt buah-buahan ada 20 gm gula satu tub, maknanya ada 5 sudu teh gula setiap kali makan satu tub kecil yogurt itu).

Krisis sarapan kami itu mengajar saya tentang "parenting". Kadangkala, anak saya melawan bukan kerana dia suka melawan. Ia berpunca dari sikap saya sendiri yang agak "controlling". Ikut cakap Mama, sebab Mama kata begitu! Jadi untuk menunjukkan diri dia sudah boleh berdikari dan mahu membuat pilihan sendiri, itu yang jadi punca konflik kami. Bila saya berikan dia "control" (sebenarnya saya masih ada control, sebab pilihan yang saya beri tu, masih lagi boleh dikatakan makanan sihat), anak saya jadi amat gembira kerana dia ada kuasa memilih, dia rasa diri dia sudah besar, dipercayai dan didengari, MashaAllah.

Jadi.. macam inilah. Masa kecil, saya sendiri tak suka makan nasi. Kenapa saya tak suka makan nasi? Sebab kadangkala nasi tu banyak sangat. Kalau tak habiskan kena marah. Makan lambat kena marah. Bersepah kena marah. Jadi saya tak suka makan nasi. Bila saya boleh senduk sendiri nasi ke pinggan, barulah saya kurang bergaduh pasal makan nasi, (perangai, kan?) Zaman dulu bukan banyak pilihan, pun. Tak nak makan nasi, nak makan apa? Roti mahal. Kentang? Ehhh mana la mak dulu ada masa nak buatkan mashed potatoes bagai. Supermarket bukan ada kat Kampung Jawa, Kota Tinggi tahun 70an - mana nak cekau butter dengan susu segar nak oi? Zaman sekarang semua dah mudah. Anak tak mahu makan nasi... pasta ada, kentang, susu, butter ada, roti wholemeal ada. Kalau boleh, berilah option sihat yang lain. Bukan banyak sangatpun budak makan, kan? Daripada nak bertengkar, macam saya dengan anak pasal sarapan. InshaAllah, setiap masalah, ada penyelesaian. 

OKlah, panjang celoteh cerita pasal "krisis sarapan" kami. Alhamdulillah. Sekarang kalau fikir pasal masa tu, saya boleh senyum kat diri sendiri. Walhal masa tu, macam nak terbalik dunia saya, risau laaaaaa, anak tak nak makan breakfast.

Oh! Ada lagi satu... sejak anak saya kecil, saya meminta dia mengucapkan "Alhamdulillah", dan kemudian ucapkan "Terima kasih, Mama" setiap kali selepas makan makanan yang saya sediakan. Saya beritahu dia bahawa  menyediakan makanan itu adalah satu tanggungjawab besar, dan saya tak perlu memasak sebenarnya. Tapi saya masakkan makanan atas dasar kasih-sayang. Oleh itu, tak salah untuk dia mengucapkan terima kasih kepada saya. Bila makan di luar, saya akan mengucapkan terima kasih pada suami kerana membelanjakan pendapatannya untuk menggembirakan kami, dan anak pun turut mencontohinya. Bagi saya ini amat penting, kerana kita perlu menghargai kebaikan orang lain dan memberitahu mereka, dan kita janga mensia-siakan kebaikan itu. Mungkin kerana terbiasa dengan mentaliti ini, anak saya biasanya akan makan apa saja yang saya masakkan tanpa banyak memilih, kerana itu adalah cara dia menunjukkan penghargaan atas usaha saya memasak untuknya. MashaAllah. Alhamdulillah. Tabarakallah.

Syukur kerana diberikan penyelesaian bagi kami, dan syukur juga kerana dapat berkongsi pengalaman dengan pembaca. Semoga ada yang dapat manfaat dari pengalaman kami.

Salam hormat untuk pembaca semua dan terima kasih kerana membaca.







Tuesday, August 28, 2018

Antara bekalan dan pemikiran...


Assalamualaikum, selamat pagi. Hari ini tersentuh pula hati untuk menulis tentang bekalan anak ke sekolah. Ramai yang berkomen tentang bekalan anak saya dan tak kurang juga yang menyatakan hasrat mereka untuk turut membawakan anak bekal ke sekolah. Alhamdulillah. Saya sentiasa mendoakan agar mereka yang bertekad untuk membuat sendiri bekalan anak dan suami, supaya dipermudahkan urusan mereka, dan ditebalkan semangat mereka untuk sentiasa istiqomah dalam melakukan pekerjaan tersebut.

Sebenarnya, bagi saya, pemakanan anak dan keluarga memang menjadi keutamaan. Semenjak anak saya kecil, sehingga umurnya hampir 3 tahun, dia tak diberi makanan bergula tambahan, mahupun garam. Kesemua makanannya saya sediakan sendiri. Saya percaya, deria rasa anak kecil amat sensitif dan jika tidak di biasakan dengan rasa manis, masin atau pedas, deria rasa sensitif ini akan menikmati rasa sebenar sayur dan buah-buahan. Jika kita berhenti dari makan gula, selepas seminggu, kita akan rasakan, air kosong pun manis rasanya. Begitulah deria rasa anak-anak. Malahan, kerana tidak dibiasakan dengan gula dan garam, anak saya sewaktu kecil tidak menyukai coklat ataupun jajan seperti chips kerana rasanya yang terlalu manis atau masin. Malahan kuih-muih dan kekpun dia akan makan sedikit sahaja sehingga besar. Alhamdulillah, dia juga tidak mempunyai gigi yang berlubang hinggalah gigi susunya tanggal. 

Saya juga membiasakan anak makan sayur dan buah-buahan. Bukan saya paksa. Saya cuma tidak beri pilihan. Sayur dan buah bukan pilihan. Coklat, snacks, makanan segera, itu semua pilihan. Sayur, salad bukan pilihan dan saya tidak benarkan dia memilih. Dari kecil saya makan bersama dengannya sayur-sayuran dan salad. Sesuap saya, sesuap dia. "No big deal" - sayur dan buah adalah  makanan yang kita makan pada setiap waktu makan, dan buah-buahan adalah snack terbaik. Tamat perbualan. Apa mak hidang, silakan makan. Kalau ke rumah orang dan rasa bimbang makanan pedas atau masin, ambil sedikit dahulu. Rasa. Jangan memilih. Komen yang baik-baik sahaja. Anakpun tahu, jika dia tidak menjaga budi-bicara dan tingkah laku ketika menjadi tetamu, lain kali dia tidak akan di bawa berjalan. Tak perlu nak marah atau tinggikan suara. Menjaga tingkah laku, seperti makan sayur dan buah-buahan bukanlah pilihan. Simple. Jangan dirumitkan yang mudah.

Ketika usianya 6 tahun, dia mula memasuki pertandingan renang. Latihan renang untuk pertandingan agak intensif, maka makin banyaklah saya membaca tentang pemakanan dan tumbesaran fizikal dan mental kanak-kanak. Akhirnya saya bertekad, untuk memastikan anak saya mendapat makanan lengkap dan seimbang dengan sayur dan buah-buahan, tanggungjawab ini jatuh pada bahu saya sebagai ibu. Saya tak boleh mengharapkan kantin sekolah, pembantu rumah, pengusaha restoran atau orang lain untuk menjaga pemakanan anak sendiri. Sayang, jika sejak kecil saya sudah kawal pengambilan gula dan garam, untuk melepaskan tanggungjawab itu.

Maka bermulalah perjalanan membuat bekalan anak ke sekolah. Memang sukar kerana ketika itu saya bekerja sepenuh masa dalam bidang korporat. Dengan deadline yang bukan-bukan dan balik rumah ada kalanya hanya selepas anak tidur. Namun saya umpamakan tugas membuat menu dan menyediakan bekalan anak itu sebagai satu KPI atau Key Performance Indicator saya. Tidak ada "off-day" dan saya memberikan gred pada diri sendiri. Pada asasnya, gred saya terbahagi pada:

  • Adakah semua komponen bekal itu "from scratch";
  • Kelengkapan nisbah protein / karbohidrat / kalsium / sayur-sayuran;
  • Buah-buahan;
  • Feedback baik atau tidak dari anak.
Ada masanya disebabkan kekangan masa, saya terpaksa membeli snack-snack seperti "cheese dippers" dari supermarket untuk diselitkan dalam bekal, dan ini merendahkan gred saya.

Yang pasti dalam komposisi bekalan anak, memang tidak ada air bergula (kecuali susu coklat untuk hari dia berenang pagi dan petang, dan susu coklat adalah  dikira sebagai "recovery drink" yang sempurna). Hanya air kosong sahaja yang diminum. Saya juga sering berbual dengan anak bertanyakan pendapat beliau sebagai "customer" saya tentang bekalan makanannya dan mengambil serius maklumbalas beliau - asalkan bukan minta dikurangkan sayur, permintaan tukar sayur atau cara masakannya masih boleh diterima.

Pembacaan saya merangkumi juga jumlah kalori yang perlu diambil. Misalnya, ketika berusia 12-15 tahun, dia melalui program renang intensif pagi dan petang, dan ini mengakibatkan keperluan kalorinya meningkat kepada 2800-3200 kalori sehari. Saya cuba memenuhinya dengan memberikan 2 snack selain dari 3 main meals, dan snack ini adalah sebahagian dari bekalannya. Jadi memang kelam-kabut menyediakan menu setiap minggu, dan memasak setiap hari. Pada ketika yang sama, saya sedang melengkapkan pengajian MA yang agak mencabar. Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan dan membantu saya untuk terus istiqomah.

Kini anak sudah berusia 18 tahun, MashaAllah, TaqabalAllah. Tak lama lagi dia akan meninggalkan rumah dan menempuh kehidupan sendiri, inshaAllah. Tugas saya sekarang merangkumi juga mengajar beliau menyediakan makanan dan bekalan sendiri, selain dari memastikan pemilihan makanan yang baik dan halal apabila makan di luar. Semuanya "tools dan knowledge" yang inshaAllah, saya rasa telah saya semaikan dari kecil. Tanya setiap masa, "daging apa ini?" "halal atau tidak?" Pastikan samada penyediaan merangkumi penggunaan alkohol, dan membaca label ingredients setiap masa. InshaAllah jika sukar, tiada masalah untuk dia memilih makan salad, sayuran ataupun pilihan vegetarian. Alah bisa, tegal biasa.

Tugas kita sebagai ibu bukan sekadar melahirkan dan mengasihi anak kita. Dalam kasih itu, perlu ada ketegasan dan dalam ketegasan itu perlu ada kasih. Kita bukan membesarkan anak untuk menjaga kita apabila kita tua. Tapi, kita membesarkan anak untuk diberikan kepada orang lain untuk menjadi imam, ketua keluarga atau pasangan yang baik, yang berpengetahuan, yang rajin, yang akan menjalankan tanggungjawabnya pada keluarga dengan sebaik-baiknya. Oleh itu, cara yang terbaik, selain dari menyuruh anak-anak membuat itu dan ini, adalah lebih baik untuk kita menunjukkan contoh yang baik dari tingkahlaku kita sendiri. Jangan salah sangka ya? Kita tunjuk contoh sebagai seorang yang rajin dan bertanggungjawab bukan sehingga anak menjadi raja, ya? Berikan mereka tanggungjawab mereka sebagai anak - dan kita jalankan tanggungjawab kita sebagai ibu-bapa mereka. Kasihi mereka dan berikan yang terbaik untuk mereka, tapi berikan juga mereka tanggungjawab dan bantu serta percayai mereka untuk menjalankan tanggungjawab mereka.

Itu sahaja buat kali ini. Semoga kita sentiasa diberikan taufik dan hidayah dan menjadi ibu-bapa yang baik bagi anak-anak kita dan semoga anak-anak kita semuanya menjadi penyejuk mata dan hati kita dan orang yang mengasihi mereka. Ameen, Ameen, Ameen, Ya Rabbal Alameen.

Salam hormat dari kakak...




Memupuk Adab Bertamu bersama Anak

 **Penulisan saya ini tidak merangkumi anak-anak istimewa yang mungkin memerlukan cara mendidik yang lebih spesifik atau cara behavioral m...