Tuesday, September 18, 2018

Perihal Berusaha dan Bertanya...


Hari ni saya rasa saya nak ulang balik bebelan saya tentang membaca dan bertanya.

Jangan salah sangka, ya? Saya suka orang yang bertanya. Sebab kalau tak bertanya, dok diam-diam lepas tu salah pemahaman tu, lagi menakutkan. Tapi kan, ada perbezaan dalam bentuk pertanyaan ni. Saya boleh kategorikanlah rasanya.  Ada pertanyaan yang:
  1. Memang tak tahu sebab benda tu adalah asing. Jadi dia bertanya.
  2. menunjukkan dia dah berusaha mencari jawapan tapi tak jumpa;
  3. meminta kepastian, dia dah baca, tak berapa pasti.. jadi dia minta confirmation pemahamannya;
  4. saja je nak bagi orang tahu dia pun ternampak post dan berminat, tapi tak baca  betul-betul, suka je  nak bertanya (walhal jawapan soalan yang ditanya tu jelas terpampang);
  5. memang suka nak berkomen bertanya sebab nak berbual.... tak kisahpun jawapan apa sebenarnya. Hobi saya bertanya soalan.
 Jadi agaknya, kita ni kategori yang mana, ya?

Saya memang suka berkongsi gambar, resepi dan sebagainya. Sebab saya suka nak berkongsi dan memanjangkan ilmu. Alhamdulillah ramai yang melihat post, like dan berkomen. Saya suka juga melayan berkomen sebab ada masanya sayapun belajar tentang cara saya post, jelas atau tidak cara saya tulis resepi dan sebagainya. Seronok juga mengenali pembaca dan rakan-rakan online ni.

Tapikan - haa ni masuk bab bebelan. Ini dari pemerhatian saya sekian lama di wall saya sendiri ataupun di group-group masakan dan jualan. Ada dikalangan kita (bukan semua, ya?) yang amat malas nak membaca. Tengok satu line, terus komen bertanya. Sedangkan jawapan tu dah ada JELAS di tulis. Bacalah betul-betul. Kalau betul kita nak belajar, pembacaan dengan berhalus tu penting. Kalau setakat baca ala-kadar, jangan salahkan resepi kalau tak jadi. Tertinggal itu, tertinggal ini. Cuba fikir, kalau kita nak ambil ubat, macamana cara kita baca arahan pengambilan ubat? Macam tulah cara membaca resepi. Atau adakah kita dari kalangan yang telefon doktor atau nurse untuk terangkan cara nak ambil ubat sebab kita tak dengar masa diterangkan dan tak kuasa nak membaca sendiri pada plastik ubat tu?

Lagi satu... cuba fikir-fikirkan... Kalau kita ada soalan, tak mustahil kan, orang lain pun ada soalan yang sama? Tak mustahilkan, orang lain pun dah bertanya soalan tu? Apalah salahnya scroll atau baca komen-komen orang lain dulu sebelum kita pun gatal jari nak menaip soalan? Kalau setakat ada seratus komen, alahai nak scroll tu tak mengambil masa lama mana pun. Daripada kita nak menaip, dan menunggu tuan tanah post tu baca dan jawab (kalau dia ada mood nak jawab). Kalau dah 20 orang tanya soalan yang sama... selamat tinggal. Tuan post pun dah tak kosa nak ulang benda sama. Orang tak jawab, kata sombong pula. Padahal diri sendiri tak scroll tengok komen di atas entah-entah dah ada yang bertanya 20 kali dah benda yang sama.

Sebenarnya, rajin atau malasnya kita ni...bukan untuk kita sendiri. Apa saja yang kita buat, ada mata-mata kecil yang melihat dan mengikut. Kalau kita malas nak membaca dan asyik minta orang lain berikan jawapan tanpa berusaha mencari sendiri jawapan... adakah yang  kecil-kecil tu nanti pandai nak cari sendiri jawapan atau hanya harap cikgu beritahu segala? Kalau cikgu atau emak ayah tak bagitahu... dia tak tahu. Adoi... kecilnya lah dunia dia, ya?  Habislah usaha Kementerian Pendidikan, cikgu-cikgu buat soalan KBAT ke apa ke.. tak guna. Sebab dari kecil dia tak tahu skill berfikir itu wujud. Tanya je.... nanti orang jawabkan. Buat apa nak baca dengan hati-hati, nak google, nak cari buku di perpustakaan. Buang masa. Type ajalah kat komen... semua orang bagitahu jawapan. Tak begitu? Nanti dah mula bekerja pun sama. Tak payah usaha belajar sendiri kemahiran. Tanya je boss, kawan-kawan, orang sekeliling. Ada je yang nak ajar, bantu, tolong dengan seikhlas hati. Kan orang kita semua baik-baik dan suka membantu? Tak perlu usaha sendiri nak mempertingkatkan pengetahuan atau kemahiran. Begitu?

Jadi.. marilah kita sama-sama praktikkan kemahiran berfikir itu. Kalau ada soalan, cuba cari dulu jawapan. Baca balik post, resepi ada tak jawapan yang kita cari tu tertera... mungkin kita tak nampak masa baca kali pertama. Jika tak ada... cuba check komen-komen, mungkin ada orang lain dah tanya. Kalau dah check komen, tak ada...haaaa... marilah kita menaip soalan tu.

Boleh?
#donebebel

2 comments:

  1. Saya pernah jumpa beberapa post yg orang tu sedang mencari satu barang, jadi kalau ada sesiapa yg menjual barang tersebut, minta hubungi beliau. Malangnya ramai pulak yg komen ‘Interested. Pm’. 🤦🏻‍♀️

    ReplyDelete
  2. Adoilaaaaa... memang saya rasa tak lama lagi akan ada orang dalam bidang linguistik boleh buat kajan kedoktoran tentang kekerapan salah faham soalan dan kekerapan soalan berulang akibat budaya tak gemar membaca betul-betul ni di fb dan social media yang lain.. 🤔🤔

    ReplyDelete

Memupuk Adab Bertamu bersama Anak

 **Penulisan saya ini tidak merangkumi anak-anak istimewa yang mungkin memerlukan cara mendidik yang lebih spesifik atau cara behavioral m...