Monday, September 10, 2018

Nasi Maqlubah: Cantik di mata, sedap dirasa..



Assalamualaikum, apa khabar semua? Diharapkan sihat dan sentiasa dalam lingkungan rahmat Allah swt hendaknya.

Hari ini ceritanya ialah Resepi Nasi Maqlubah. Nasi Maqlubah ni adalah hidangan istimewa di Timur Tengah dan ada bermacam versi dari Palestin, Jordan, Lubnan, Arab Saudi, Syria dll. Ada yang meletakkan cauliflower, zucchini, tomato, kentang. Ada yang letakkan tomato paste dalam rebusan daging, ada yang guna allspice. Jadi, penting untuk kita tak bergaduh tentang versi mana yang paling "authentic". Alangkan rempah "Baharat" yang digunakan juga ada banyak versi. Yang penting, resepi yang saya kongsikan ini, saya kongsikan dengan ikhlas dan memang amat sedap bagi kami sekeluarga. Saya kongsikan juga resepi ini di blog, walaupun saya dah sharekan di MAHN kerana blog ini adalah untuk rujukan keluarga saya pada masa hadapan. Sekiranya saya tidak ada lagi bersama mereka, resepi-resepi ini saya harapkan akan kekal bersama mereka untuk menghilangkan rasa rindu pada air tangan saya. Begitu juga bagi para pembaca. Saya harap gunakanlah resepi-resepi yang saya kongsikan, share dengan orang lain, ajarkan anak-anak, bukalah restoran, warung, perkhidmatan catering.. Jadikanlah resepi-resepi ini sebagai sumber rezeki yang halal bagi keluarga. Semoga ada manfaatnya kelak bagi saya. Ameen.

Ramai yang risau nak buat Maqlubah kerana bila periuk diterbalikkan, kadang kala ia bersepah. Hmm. Ada juga berlaku pada saya. Pada saya tak apa. Rasanya tetap sedap, walaupun mungkin tak secantik yang diharapkan.

Walaubagaimanapun, ada beberapa tip yang saya boleh berikan:
1) Lapisan bawah itu biarlah terung. Kerana terung inshaAllah tidak melekat.
2) Saya suka gunakan periuk yang cetek tapi lebar. Jika periuk terlalu dalam, dikhuatiri lapisan nasi akan terlalu berat untuk ditampung oleh permukaan bawah.
3) Boleh buat banyak lapisan daging. Tapi beberapa kali saya buat begitu, maqlubah saya bersepai.

Oklah, panjang pula ceritanya, ya. Inilah resepi dan step by step Nasi Maqlubah Kambing (ya boleh ditukar pada daging. Jika menggunakan ayam, kurangkan air untuk rebusan dan tak perlu rebus lama sangat. Memadai sekadar ayam lembut.

Langkah Pertama: Buat Rempah Baharat

 Basuh, tos dan sangai:

1 sudu besar lada hitam
1 sudu besar jintan putih
2 sudu kecil biji ketumbar
1 sudu kecil cengkih
1/2 sudu kecil isi buah pelaga (kopek dulu)
- sangai hingga wangi. Sejukkan. Blend dengan blender kering hingga halus. Campurkan dengan:
1.5 sudu besar paprika
1 sudu kecil serbuk kayu manis (cinnamon powder)
1/4 sudu kecil serbuk buah pala.
- simpan serbuk rempah Baharat ini dalam botol kaca untuk tahan lama


Langkah kedua: Siapkan Terung dan Rendam Beras

Hiris terung (jangan nipis sangat) dalam 1/2 inci memanjang. Garamkan dan biarkan antara 30 min - 1 jam. Basuh, tos dan keringkan dengan paper towel. Ketepikan.

Sementara terung sedang di garam, siapkan beras:
4 cawan beras basmati (beras ini harus direndam 30 minit. Jika masa sudah cukup, tapi kita masih belum siap dengan bahan lain, toskan beras dahulu dan ketepikan).



Langkah Ketiga: Siapkan Daging dan Stok:



Kemudian, siapkan bahan daging dan stok:
800 gm daging kambing segar
potong kiub, basuh dengan tepung,bilas, toskan.
2 biji bawang besar -hiris nipis
4 ulas bawang putih - cincang
2 helai bay leaf
Sedikit kayu manis
1 sudu kecil lada hitam
 Panaskan sedikit minyak canola dan minyak zaitun.
 Bila minyak panas, perangkan daging. Saya buat dua batch, kita mahu daging perang tapi jangan sampai jus keluar. Jadi api kena besar. Ketepikan daging yang sudah di goreng. 
 Dalam minyak yang sama, tumiskan bawang, bawang putih dan rempah bulat dan bay leaves. Jangan letak rempah baharat dahulu.
 Tumis hingga bawang kuning dan wangi.
Masukkan daging. Kacau elok-elok.
 Masukkan garam dan 2 sudu besar rempah baharat. Kacau rata. 
 Masukkan 1 liter air. Rebus daging hingga agak empuk. Saya masukkan dalam pressure cooker untuk 20 minit.
Sementara itu, kupas, dadu dan goreng kentang.
 Kemudian goreng terung yang sudah dikeringkan tadi.
 Hiris tomato dan buang bijinya. Goreng juga sedikit kacang pain (pine nuts), hirisan badam dan sedikit kacang gajus. 
 Bila daging sudah agak empuk, toskan dan ketepikan air rebusan daging. 
 Sekarang kita mula membina maqlubah tadi.
Saya minyakkan sedikit periuk yang akan digunakan. Kemudian saya susun terung goreng tadi di bawah dan tepi periuk.
 
 Saya letakkan segenggam beras tadi di atas lapisan terung, kemudian susun daging yang sudah direbus. 
 Susunkan tomato hiris atas lapisan daging.
 Letakkan lapisan kentang. Saya taburkan garam laut atas kentang.
 Saya masukkan beras, dan air rebusan daging tadi. 4 cawan beras basmati, saya gunakan 6 cawan lebih sikit air rebusan. Rasa air rebusan dan jika perlu, tambahkan garam. Air sepatutny tinggi 1-2 mm atas beras.
Jerang dengan api agak besar selama 7 minit. Apabila mendidih, kecilkan api.
 
Periuk yang saya gunakan ini kapasitinya ialah 4.3 liter.
Tutup periuk dan jerangkan dengan api kecil selama 45 minit. Pada 20 minit, buka tutup dan karih sedikit nasi, dan tutup semula periuk. Teruskan memasak.
 Setelah 45 minit, buka periuk, dengan menggunakan sudu, ratakan dan tekan sedikit nasi agar lapisan nasi agak tepu. Tutup periuk, matikan api. Biarkan periuk bertutup dalam 15-20 minit. 
 Buka tutup periuk. Dengan menggunakan pisau, hati-hati buat laluan untuk pastikan terung tidak melekat di tepi. periuk. Ambil dulang, tutupkan periuk, dan terbalikkan. Angkat periuk perlahan-lahan. Hiaskan dengan kekacang dan hirisan daun parsli. 
 

Saya hidangkan dengan salad Arab, salata hara dan salad yogurt timun dan pudina.


Selamat menjamu selera.

 Salam hormat dari saya :)
 



No comments:

Post a Comment

Memupuk Adab Bertamu bersama Anak

 **Penulisan saya ini tidak merangkumi anak-anak istimewa yang mungkin memerlukan cara mendidik yang lebih spesifik atau cara behavioral m...