Showing posts with label Bekal ke Sekolah. Show all posts
Showing posts with label Bekal ke Sekolah. Show all posts

Tuesday, September 25, 2018

Menu Planning, Suri Rumah dan Resepi untuk Cottage Pie


Antara pekerjaan yang paling saya tidak minati ialah membeli-belah. Saya paling tak gemar ke mall, ke kedai-kedai. Bagi saya ia membazirkan masa. Saya suka membawa senarai dan habiskan tugasan shopping saya secepat mungkin, seminggu sekali. Memang kalau boleh, janganlah suruh saya ke kedai di pertengahan minggu. Boleh kemurungan dibuatnya. Tak suka!

Jadi sejak anak kecil, memang saya sediakan menu mingguan / bulanan. Minggu A, B, C, D. Menu minggu A lebih kurang dengan menu minggu C. Menu minggu B lebih kurang Minggu D. Menu harian / mingguan ini saya "link"kan pula pada shopping list mingguan. Jadi untuk minggu A, saya bawa shopping list minggu A. Senarai itu cukup dengan kiraannya sekali. Jadi bila hari Jumaat, fridge boleh dikatakan agak kosong.

Sample menu di atas itu adalah dari tahun 2008. Zaman kami masih agak muda, dan tak berapa kisah tentang pemakanan yang terlalu sihat. Zaman suami perlu makan nasi, (sekarang 10 tahun kemudian, Alhamdulillah... dia lebih ok dengan bermacam jenis makanan). Ini juga sebelum penghijrahan kepada makanan bakar, stim dan nasi beras perang. Sekarang ini pun menu bulanan dan mingguan ini masih saya buat, sebab senang duduk sekali dan fikir siapkan untuk sebulan. Cuma ada sedikit kelonggaran dari segi makanan yang disediakan, tapi masih dalam lingkungan bahan yang dibelikan setiap minggu.

Alhamdulillah, keadaan sibuk bekerja melatih saya untuk berekonomi dengan masa. Tak perlu setiap hari nak merenung apa lauk dalam freezer, apa nak masak, apa nak masak? Jimat minyak kereta kerana tidak perlu selalu ke kedai membeli barang yang tiada. Jimat juga belanja, sebab setiap kali ke kedai, ada saja barang lain yang dibeli selain dari yang diperlukan.

Sebenarnya bagi saya, tugasan sebagai ibu ini tak jauh bezanya seperti orang yang bekerja dengan badan korporat. Kita perlu ada pengetahuan tentang tatacara menyelenggarakan kerja, perlu ada perancangan, ada deadlines, budget dan mesti ada sifat profesionalnya. Jangan seharian berbaju kelawar di rumah, sebab buat kerja rumah pun kita perlu ada uniform yang selesa, kan?

Sebagai surirumahtangga, kita juga ada "Key Performance Indicators" atau KPI kita. Cuma bezanya, kita kejar KPI bukan untuk dapat bonus atau supaya boss sayang. Kita kejar KPI untuk keredhaan Allah swt. Kita kejar KPI untuk menyukakan hati suami dan anak. Sekarang inipun KPI saya sudah berubah. Dulu, KPI saya termasuk menyediakan bermacam-macam kek, kuih dan manisan untuk keluarga. Sekarang ini, KPI pemakanan saya lebih fokus kepada menyiapkan makanan sihat yang seimbang dan kurang penggunaan gula. Ini kerana saya ingin sahabat karib saya sejak suku abad yang lalu untuk terus sihat supaya dapat kami terus berkongsi hidup. Saya juga mahu anak saya terbiasa dengan pemilihan makanan yang berkualiti supaya ia menjadi "habit" yang akan diteruskan di mana-mana saja dia berada. Ameen, ameen, ameen. 

OKlah, apa yang saya mahu sampaikan ialah, tugas sebagai suri rumah jangan dipandang mudah. Rancang kerja dan tugasan, pastikan kita ikut jadual, ketepikan masa untuk membaca dan menambah pengetahuan, rajin di dapur bukan bermakna buat kuih manis-manis, goreng-goreng selalu. Sebagai ketua di dapur, penting untuk kita mengetuai agenda makanan sihat keluarga. Kurangkan gula, kecilkan portion, tambahkan sayuran dan buah-buahan dan serat semulajadi. Sekali-sekala, ada tetamu tak salah kita raikan... tapi kalau sekadar untuk keluarga sendiri, kuih dan kek tu tak perlu selalulah, kan? Kita tak buatkan sebab sayang. Adik nak benda manis, marilah kita makan orange atau apple. Muffin tu nanti kalau ada tetamu, Mama buatkan, dan kita makan ramai-ramai. Percayalah, tak pernah kot, ada orang pengsan sebab tak dapat makan kek coklat atau brownie.

Lagi satu, kurangkanlah tengok drama-drama tu. Bukan datangkan kebaikan pun. Akhirnya banyak pula bergosip tentang retis lah, tentang cerita drama tu lah. Sekali-sekala kalau terjebak tu, nak buat macamana. Tapi kalau dah saban hari asyik nak mengikut drama. Hmmm. Pada pendapat saya, daripada membazir masa tengok drama, baiklah membaca tentang hal-hal agama, isu pemakanan dan penyelenggaraan rumah tangga, dan banding-bandingkan berbagai sumber ilmiah untuk meluaskan sumber ilmu kita. Jangan biasakan hanya baca satu sumber (misalnya post facebook), terus percaya dan sebarkan pada semua orang. Jadilah insan yang bijaksana dalam menggunakan masa kita dengan sebaiknya.

Baiklah, cukup berceloteh, inilah resepi simple Cottage Pie bekalan anak saya ke sekolah hari ini. Cottage Pie dan Shepherd's Pie lain dari satu sama lain ya? Cottage Pie di buat dari daging lembu kisar. Shepherd's Pie (sesuai dengan makna Shepherd - gembala kambing), di buat dari daging kambing / lamb kisar. Jadi rata-rata di Malaysia, yang kita makan itu adalah Cottage Pie.

Untuk kentang pusar:

  • 2 kentang russet (besar
  • 2 sudu besar butter
  • garam laut dan serbuk lada hitam segar
  • 1/4 cawan air dari rebusan kentang
Kupas kentang, basuh dan potong saiz bola golf. Masukkan dalam periuk dengan air dan garam. Rebus hingga benar-benar lembut. Lenyek dengan butter dan 1/4 cawan air rebusan. Perasakan dengan garam dan serbuk lada hitam.

Untuk isinya:
  • 350 gm daging cincang
  • 1/2 biji bawang - cincang
  • 2 ulas bawang putih - cincang
  • 1 carrot - cincang
  • 1 batang celery - cincang
  • 1/4 sudu kecil thyme kering
  • 1/4 sudu kecil serbuk buah pala
  • 1 sudu besar tepung
  • 1 cawan air / stok daging
  • sedikit minyak zaitun
- Panaskan minyak zaitun. Tumis bawang putih dan bawang besar cincang. Biar dua minit. Masukkan carrot dan celery. Kacau rata, biarkan masak 3-4 minit, api sederhana.
- Masukkan daging cincang. Kacau, pecah-pecahkan daging dan  biarkan air daging kering sedikit. Jika terlalu banyak lemak / minyak, tuangkan minyak atau lemak ke tepi.
-Masukkan tepung, kacau dalam seminit. Masukkan thyme dan serbuk pala. Kacau rata. Masukkan air / stok daging. Kacau dan masak hingga kuah pekat. Perisakan dengan garam dan black pepper. Bila sudah masak, dan kuah pekat, matikan api dan sejukkan.

Masukkan inti daging ke bekas yang boleh dibakar dalam oven. Letakkan mashed potatoes tadi atas daging. Taburkan sedikit butter atas mashed potatoes, sedikit keju cheddar dan black pepper. Bakar dalam oven 180 darjah celsius hingga keperangan.
Sejukkan sedikit sebelum di hidangkan dengan sayuran kukus.

Thursday, September 6, 2018

Meatloaf Individu untuk Bekalan dan Makanan Ringan


Assalamualaikum. Lambat pula bersiaran hari ini sebab terpaksa keluar rumah atas urusan dan kemudiannya menyiapkan kerja-kerja yang tidak pernah putus. Alhamdulillah.Saya memang amat menghargai masa yang dapat saya penuhi dengan berbagai aktiviti wanita dan kerja-kerja sukarela, namun jika tiada kerja di luar, waktu akan dipenuhi dengan membaca dan mempelajari berbagai hal dan menulis. Seronok sungguh apabila terjumpa bahan-bahan bacaan dalam bidang yang saya minati, atau terjumpa bidang baru untuk dipelajari kerana "life is about growing internally". 

Hari ini, saya nak kongsi resepi yang sedap dan mudah ini. Meat Loaf. Hmm kalau orang dengar meatloaf, mungkin ada yang kata... "boring". Namun, resepi meatloaf ini telah saya olah dan amat disukai oleh anak saya. Lebih-lebih lagi bila dihidang dengan "mashed potatoes" dan sayur garing seperti kacang buncis ataupun asparagus.

Inilah resepinya: (saya buat lebih, kemudian saya bekukan dan boleh di defrost oleh anak untuk makan tengahari cepat kalau mamanya sibuk).

Bahan-bahan: (Campurkan kesemua bahan meatloaves ini)
1 kg daging cincang (saya suka pilih bahagian daging kurang berlemak seperti top side dan campurkan dengan sirloin untuk di mesin). Bila guna daging segar seperti ini, meat loaf, meaatballs, burger patty semua tidak mengecut kerana kurang jumlah lemak yang cair dan terbuang amat kurang).
2 biji telur
1 cawan keju cheddar (parut)
1 cawan serbuk roti (saya gunakan roti wholemeal, bakar dan grind dalam blender kering)
1 sudu kecil garam
1 sudu kecil serbuk lada hitam

Bahan topping:
  • Dalam satu mangkuk kecil, campurkan 1/4 cawan sos cili Thai dengan 1/4 cawan mayonis
  • Sedikit "wholegrain" mustard 
  • keju cheddar parut secukupnya

 

Inilah botol wholegrain mustard yang saya gunakan.











Caranya:

1. Panaskan oven ke 200 darjah C
2. Ambil adunan meatloaf yang telah dicampurkan semuanya.


3. Masukkan adunan meatloaf itu ke dalam muffin tin yang telah dilenserkan dengan minyak.

4. Sapukan atasnya dengan 1/4 sudu kecil wholegrain mustard.






5. Letak sesudu kecil campuran sos cili Thai dan mayonis.










6. Taburkan parutan keju cheddar.
7. Bakar dalam oven selama 20 minit









Beginilah rupanya. Kekuningan di atas, dan meatloafnya masak, tapi masih lembab dan tidak keras.









Keluarkan dari  muffin tin. Boleh dimakan begitu saja, atau dengan mashed potatoes, atau french fries dan salad. Boleh juga dihidang dengan salad saja.







Contoh bekalan sekolah: Meatloaves (sebab 2), dengan mashed potatoes dan kacang buncis rebus / kukus yang di letak sedikit garam laut dan sos cili Thai dan mayonis.
Lebihan boleh dibekukan. Saya buat beberapa packet dalam 1 portion untuk sekali sesi pemanasan kembali :)




Tuesday, September 4, 2018

Baked Rice dengan Ayam dan Cendawan


Ada masanya saya ni nostalgia dengan restoran-restoran di Malaysia. Membesar di JB dahulu, ada satu restoran yang pada saya agak mewah, dan kami hanya pergi bila ada special occassion. "Swensen's" saya tak tahulah kalau ada sesiapa ingat Swensen's? Tempat makan ice-cream sundae, brownie ala mode, banana split... kiranya antara pengenalan saya kepada makanan orang Amerika pada awal tahun 90an.

Antara hidangan bukan manisan / ice cream di Swensen's yang saya sukai ialah "Baked Rice" nya. Hmm, memang sedap dimakan panas-panas. Berkeju, berkrim.. aduhai. Bila saya cari resepinya, ada saya jumpa tapi kebanyakannya menggunakan sup cendawan dalam tin. Saya cuba mengurangkan penggunaan bahan-bahan dalam tin, jadi saya cuba olah sendiri resepi ini menggunakan krim masakan, stok pekat ayam dan cendawan butang segar. Anak saya amat suka "baked rice" ini dan pernah saya buatkan untuk majlis makan-makan di sekolahnya. Setelah itu, pantang ada makan-makan di sekolah, "baked rice" inilah yang diminta oleh rakan-rakan dan guru-gurunya :)

Resepinya seperti di bawah ya? (Kalau lebih, baked rice ini boleh di freezekan).

Bahan-bahan:
2 sudu besar butter
500 gm cendawan butang (kupas dan hiris)
500 gm dada ayam yang sudah siap dimasak dan dicarik (saya gunakan lebihan dada ayam dari sushi semalam)
3 pot nasi putih / perang yang sudah di masak
6 bawang putih (cincang)
2 sudu besar stok pekat ayam
1 cawan krim masakan (pastikan tidak ada gula dalam senarai ingredients ya)
(boleh saja gantikan stok ayam dan krim masakan ini dengan 3/4 tin sup cendawan berkrim Campbell's)
Keju mozzarella dan cheddar yang di sagat (ikut suka banyak mana, anak saya suka lebih cheese).
Garam dan lada hitam secukup rasa.
Daun parsley untuk hiasan

Cara-cara:

Panaskan butter, apabila cair dan kuali panas, masukkan cendawan butang hiris. Tumis hingga air cendawan kering dan cendawan mula wangi.






Masukkan bawang putih yang sudah dicincang. Kacau hingga wangi.







Masukkan dada ayam yang telah dicarik/dicubekan. Saya biasa gunakan dada ayam bakar / poach (rumah ni tak suka dada ayam, jadi saya simpan dada dari roast chicken untuk digunakan dalam masakan seperti ini).
Masukkan stok pekat ayam, krim, garam dan lada sulah. Kacau rata hingga sedikit pekat. Rasa kemasinan kuah pada waktu ini. Agak-agak rasanya bila masuk nasi nanti. Ingat kita akan letak cheese, jadi jangan masin sangat.

Masukkan nasi yang sudah dimasak (panas pun ok). Kacau rata. Tambah lada sulah jika suka.







Masukkan separuh daun parsley yang sudah di hiris, kacau rata. Jika nasi terlalu kering, boleh masukkan sedikit lagi krim. Nasi ini agak basah sedikit berbanding dengan nasi goreng. Tak banyak, basah sedikit.





Masukkan nasi tadi ke dalam bekas pembakar yang sudah di sapu mentega. Ratakan dan tabur cheese campuran mozzarella dan cheddar. Taburkan sedikit parsley lebihan tadi.

Bakar dalam oven 200 darjah C hingga elok keemasan.







Senang, kan? Untuk anak-anak yang tak berapa suka nasi, bolehlah dicuba berikan baked rice ini dengan sup sayur. Saya suka hidangkan dengan sayur kukus. Boleh dibuat sebagai side-dish pada Roast Chicken (buat baked rice dengan mushrooms saja, tak payah letak ayam).




Inilah bekalan anak saya ke sekolah hari ini, baked rice, dilengkapi dengan sayur broccoli kukus dan buah-buahan segar.  Ada juga lebihan baked rice, saya freezekan untuk hari-hari bila saya sibuk dan anak perlukan makanan segera. Dia cuma perlu defrostkan dan microwave.



Wednesday, August 29, 2018

Dada Ayam Bakar Berlemon


Antara falsafah saya untuk tidak "bercuti" dari menyediakan bekal anak ialah menyediakan bahan-bahan yang lengkap pada malam sebelumnya. Lagi cepat proses menyediakan bekalan, lebih baik bagi saya. Malangnya buah-buahan yang dipotong hanya boleh disediakan pada pagi untuk memastikan kesegarannya. Jadi saya perlu mengenepikan 5-10 minit untuk menyediakan bekalan buah.

Hari ini saya kongsikan cara membuat salah satu masakan ayam untuk bekalan yang amat cepat. Ayam bakar berlemon. Saya gunakan dada ayam sebab proses memasaknya hanya memakan masa 20 minit dan saya boleh masak sekali untuk beberapa portion yang boleh digunakan dalam salad, sandwich atau dimakan begitu sahaja bila dipotong menjadi jejari.

Bahan-bahannya;
4 dada ayam - ketuk hingga sama ketebalannya
4 ulas bawang putih
4 sudu besar butter cair
2 sudu besar lemon jus (kalau suka masam, boleh lebihkan) dan parutan kulit lemon (kalau organik)
1 sudu kecil serbuk thyme
1 sudu teh garam dan sedikit black pepper

Cara:

Mula-mula panaskan oven hingga 220 darjah C.



Ketuk ayam menggunakan pengetuk daging. Biarkan dada ayam agak leper. Ini membantu melembutkan dada ayam dan mempercepatkan waktu memasak. Ketuk kesemua dada ayam hingga habis.









Rendamkan dada ayam yang sudah diketuk itu dalam larutan air bergaram.  Bagi setiap cawan air, masukkan 1 sudu besar garam. Biarkan terendam 15 minit. Ini akan memastikan dada ayam itu "juicy" dan berperisa. Selepas 15 minit, keluarkan dada ayam dan keringkan dengan kitchen towel.




Campurkan butter cair, bawang putih cincang, jus dan parutan lemon, thyme dan garam. Curahkan atas ayam. Taburkan black pepper yang baru ditumbuk. Bakar ayam 20 minit. Sekali-sekala, sapukan dengan jus yang bertakung dalam mangkuk pembakar.

Kalau suka garing, 5 minit terakhir, bakar dada ayam bawah grill hingga keperangan.





Boleh hidangkan ayam dengan nasi, atau kentang rebus dan sayur kukus.


Selamat mencuba dan salam hormat.

Tuesday, August 28, 2018

Antara bekalan dan pemikiran...


Assalamualaikum, selamat pagi. Hari ini tersentuh pula hati untuk menulis tentang bekalan anak ke sekolah. Ramai yang berkomen tentang bekalan anak saya dan tak kurang juga yang menyatakan hasrat mereka untuk turut membawakan anak bekal ke sekolah. Alhamdulillah. Saya sentiasa mendoakan agar mereka yang bertekad untuk membuat sendiri bekalan anak dan suami, supaya dipermudahkan urusan mereka, dan ditebalkan semangat mereka untuk sentiasa istiqomah dalam melakukan pekerjaan tersebut.

Sebenarnya, bagi saya, pemakanan anak dan keluarga memang menjadi keutamaan. Semenjak anak saya kecil, sehingga umurnya hampir 3 tahun, dia tak diberi makanan bergula tambahan, mahupun garam. Kesemua makanannya saya sediakan sendiri. Saya percaya, deria rasa anak kecil amat sensitif dan jika tidak di biasakan dengan rasa manis, masin atau pedas, deria rasa sensitif ini akan menikmati rasa sebenar sayur dan buah-buahan. Jika kita berhenti dari makan gula, selepas seminggu, kita akan rasakan, air kosong pun manis rasanya. Begitulah deria rasa anak-anak. Malahan, kerana tidak dibiasakan dengan gula dan garam, anak saya sewaktu kecil tidak menyukai coklat ataupun jajan seperti chips kerana rasanya yang terlalu manis atau masin. Malahan kuih-muih dan kekpun dia akan makan sedikit sahaja sehingga besar. Alhamdulillah, dia juga tidak mempunyai gigi yang berlubang hinggalah gigi susunya tanggal. 

Saya juga membiasakan anak makan sayur dan buah-buahan. Bukan saya paksa. Saya cuma tidak beri pilihan. Sayur dan buah bukan pilihan. Coklat, snacks, makanan segera, itu semua pilihan. Sayur, salad bukan pilihan dan saya tidak benarkan dia memilih. Dari kecil saya makan bersama dengannya sayur-sayuran dan salad. Sesuap saya, sesuap dia. "No big deal" - sayur dan buah adalah  makanan yang kita makan pada setiap waktu makan, dan buah-buahan adalah snack terbaik. Tamat perbualan. Apa mak hidang, silakan makan. Kalau ke rumah orang dan rasa bimbang makanan pedas atau masin, ambil sedikit dahulu. Rasa. Jangan memilih. Komen yang baik-baik sahaja. Anakpun tahu, jika dia tidak menjaga budi-bicara dan tingkah laku ketika menjadi tetamu, lain kali dia tidak akan di bawa berjalan. Tak perlu nak marah atau tinggikan suara. Menjaga tingkah laku, seperti makan sayur dan buah-buahan bukanlah pilihan. Simple. Jangan dirumitkan yang mudah.

Ketika usianya 6 tahun, dia mula memasuki pertandingan renang. Latihan renang untuk pertandingan agak intensif, maka makin banyaklah saya membaca tentang pemakanan dan tumbesaran fizikal dan mental kanak-kanak. Akhirnya saya bertekad, untuk memastikan anak saya mendapat makanan lengkap dan seimbang dengan sayur dan buah-buahan, tanggungjawab ini jatuh pada bahu saya sebagai ibu. Saya tak boleh mengharapkan kantin sekolah, pembantu rumah, pengusaha restoran atau orang lain untuk menjaga pemakanan anak sendiri. Sayang, jika sejak kecil saya sudah kawal pengambilan gula dan garam, untuk melepaskan tanggungjawab itu.

Maka bermulalah perjalanan membuat bekalan anak ke sekolah. Memang sukar kerana ketika itu saya bekerja sepenuh masa dalam bidang korporat. Dengan deadline yang bukan-bukan dan balik rumah ada kalanya hanya selepas anak tidur. Namun saya umpamakan tugas membuat menu dan menyediakan bekalan anak itu sebagai satu KPI atau Key Performance Indicator saya. Tidak ada "off-day" dan saya memberikan gred pada diri sendiri. Pada asasnya, gred saya terbahagi pada:

  • Adakah semua komponen bekal itu "from scratch";
  • Kelengkapan nisbah protein / karbohidrat / kalsium / sayur-sayuran;
  • Buah-buahan;
  • Feedback baik atau tidak dari anak.
Ada masanya disebabkan kekangan masa, saya terpaksa membeli snack-snack seperti "cheese dippers" dari supermarket untuk diselitkan dalam bekal, dan ini merendahkan gred saya.

Yang pasti dalam komposisi bekalan anak, memang tidak ada air bergula (kecuali susu coklat untuk hari dia berenang pagi dan petang, dan susu coklat adalah  dikira sebagai "recovery drink" yang sempurna). Hanya air kosong sahaja yang diminum. Saya juga sering berbual dengan anak bertanyakan pendapat beliau sebagai "customer" saya tentang bekalan makanannya dan mengambil serius maklumbalas beliau - asalkan bukan minta dikurangkan sayur, permintaan tukar sayur atau cara masakannya masih boleh diterima.

Pembacaan saya merangkumi juga jumlah kalori yang perlu diambil. Misalnya, ketika berusia 12-15 tahun, dia melalui program renang intensif pagi dan petang, dan ini mengakibatkan keperluan kalorinya meningkat kepada 2800-3200 kalori sehari. Saya cuba memenuhinya dengan memberikan 2 snack selain dari 3 main meals, dan snack ini adalah sebahagian dari bekalannya. Jadi memang kelam-kabut menyediakan menu setiap minggu, dan memasak setiap hari. Pada ketika yang sama, saya sedang melengkapkan pengajian MA yang agak mencabar. Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan dan membantu saya untuk terus istiqomah.

Kini anak sudah berusia 18 tahun, MashaAllah, TaqabalAllah. Tak lama lagi dia akan meninggalkan rumah dan menempuh kehidupan sendiri, inshaAllah. Tugas saya sekarang merangkumi juga mengajar beliau menyediakan makanan dan bekalan sendiri, selain dari memastikan pemilihan makanan yang baik dan halal apabila makan di luar. Semuanya "tools dan knowledge" yang inshaAllah, saya rasa telah saya semaikan dari kecil. Tanya setiap masa, "daging apa ini?" "halal atau tidak?" Pastikan samada penyediaan merangkumi penggunaan alkohol, dan membaca label ingredients setiap masa. InshaAllah jika sukar, tiada masalah untuk dia memilih makan salad, sayuran ataupun pilihan vegetarian. Alah bisa, tegal biasa.

Tugas kita sebagai ibu bukan sekadar melahirkan dan mengasihi anak kita. Dalam kasih itu, perlu ada ketegasan dan dalam ketegasan itu perlu ada kasih. Kita bukan membesarkan anak untuk menjaga kita apabila kita tua. Tapi, kita membesarkan anak untuk diberikan kepada orang lain untuk menjadi imam, ketua keluarga atau pasangan yang baik, yang berpengetahuan, yang rajin, yang akan menjalankan tanggungjawabnya pada keluarga dengan sebaik-baiknya. Oleh itu, cara yang terbaik, selain dari menyuruh anak-anak membuat itu dan ini, adalah lebih baik untuk kita menunjukkan contoh yang baik dari tingkahlaku kita sendiri. Jangan salah sangka ya? Kita tunjuk contoh sebagai seorang yang rajin dan bertanggungjawab bukan sehingga anak menjadi raja, ya? Berikan mereka tanggungjawab mereka sebagai anak - dan kita jalankan tanggungjawab kita sebagai ibu-bapa mereka. Kasihi mereka dan berikan yang terbaik untuk mereka, tapi berikan juga mereka tanggungjawab dan bantu serta percayai mereka untuk menjalankan tanggungjawab mereka.

Itu sahaja buat kali ini. Semoga kita sentiasa diberikan taufik dan hidayah dan menjadi ibu-bapa yang baik bagi anak-anak kita dan semoga anak-anak kita semuanya menjadi penyejuk mata dan hati kita dan orang yang mengasihi mereka. Ameen, Ameen, Ameen, Ya Rabbal Alameen.

Salam hormat dari kakak...




Sunday, August 26, 2018

Sup Brokoli dan Cheddar


Semasa kami berpindah ke Riyadh, Arab Saudi, anak bujang kami baru berumur 8 tahun. Pada usia sebegitu, dia amat suka makan sup sayur. Sup sayur yang paling dia sukai ialah Broccoli and Cheese soup ataupun sup brokoli dan keju. Ada sebuah restoran, sayapun tak ingat, samada TGI Friday's atau Chilli's di sana yang menyediakan sup itu dan boleh dikatakan tiap minggu diajaknya kami ke sana kerana dia teringin makan sup tersebut. Akhirnya, sayapun mula mencari resepi (mana tahan, tiap minggu ke restoran itu hanya sebab dia mahu makan sup!) Alhamdulillah, setelah beberapa kali mencuba, "trial and error" dapatlah saya menghasilkan sup seperti yang dia sukai. Selalu jugalah dia membawa sup itu sebagai bekal ke sekolah untuk di cicah dengan roti.

Saya suka juga buatkan anak sup sayur sebab kalau anak tak suka makan sayur, kadangkala kerana tekstur sayur itu, bukan rasanya yang tidak disukai. Dengan membuat sup, diletak juga cheese, biasanya anak-anak yang tak suka sayurpun akan makan sup tersebut. Bila dah biasa makan sup sayur yang halus, boleh lah kita mula berikan sup sayur yang agak kasar supaya mereka semakin biasa dengan tekstur sebelum memberikan mereka sayur yang dipotong kecil-kecil.

Baiklah. Inilah resepi Sup Brokoli dan Keju kegemaran anak bujang masa kecil:


  • 2 kepala brokoli (di pisahkan menjadi florets seperti di gambar)
  • 1 biji bawang Holland dicincang
  • 3 ulas bawang putih dicincang
  • 1/4 sudu teh serbuk thyme kering
  • 1/4 cawan tepung
  • 3 cawan susu segar
  • 1 cawan stok ayam atau sayur
  • 1 cawan keju cheddar yang diparut halus (kadangkala saya campur dengan keju Emmental)
  • sedikit garam, lada sulah dan lada hitam untuk perasa




  1. Panaskan butter, tumis bawang, bawang putih dan thyme sebentar hingga bawang lembut.
  2. Tambahkan tepung dan masakkan tepung perlahan-lahan dengan api rendah selama 2 minit. Masukkan susu perlahan-lahan. Gunakan whisk supaya tidak berbintil. Masukkan stok ayam/sayur, kacau dan biar mendidih sebentar dan sup mula memekat.
  3. Tambahkan brokoli dan renihkan hingga brokoli lembut. Matikan api. Tambahkan keju. Kacau hingga keju cair. Sejukkan sebentar dan blend hingga halus.
  4. Letakkan sup kembali kedalam periuk dan panaskan sebentar. Tambah susu jika terlalu pekat. Rasa. Tambah garam, lada sulah dan lada hitam secukup rasa. 
  5. Hidangkan dengan roti bakar di sapu mentega panas-panas.



Memupuk Adab Bertamu bersama Anak

 **Penulisan saya ini tidak merangkumi anak-anak istimewa yang mungkin memerlukan cara mendidik yang lebih spesifik atau cara behavioral m...