Wednesday, September 5, 2018

Bahasa Inggeris: Antara Kefasihan dan Ketepatan





Saya sering terima pertanyaan, bagaimana hendak memastikan anak fasih dalam bahasa Inggeris. Isu fasih ni, saya macam teragak-agak sedikit. Bagi ramai orang, asalkan seseorang itu bercakap bahasa Inggeris dengan laju dan tidak merangkak-rangkak mencari perkataan, orang itu dianggap "fasih" atau "berhabuk". Kena pula orang yang bercakap tu mengenakan "accent" omputih. Ramai juga memberitahu saya, "Alah, saya tak risau anak saya tu, dia fasih cakap English, lagi fasih dari BM".

Malangnya, dari apa yang saya lihat, kefasihan tidak semestinya diterjemahkan pada ketepatan berbahasa. Bila bercakap, ramai yang memang lancar berbahasa Inggeris, (walaupun ada kesilapan grammar, sebutan dan lain-lain), kerana dalam percakapan, komunikasi berlaku dengan pantas dan kita lebih mementingkan kefahaman dari ketepatan, melainkan bila kesilapan bahasa itu mengakibatkan salah faham.

Walaubagaimanapun, apabila masuk pada bidang penulisan, ada masanya, berkerut juga dahi saya bila membaca mesej what'sapp, tulisan status dalam facebook dan lain-lain. Dalam penulisan, kesilapan dari segi nahu, pemilihan perkataan dan ejaan teramat ketara, kerana yang membacanya mempunyai masa untuk menganalisa tulisan tersebut. Sehinggakan bagi saya, bila menulis status FB, berkali-kali saya memeriksa dan mengedit tulisan saya. Namun kadangkala ada kesilapan kecil yang tetap mengecewakan diri sendiri.

Bagi saya, tidak salah untuk menulis dalam bahasa kedua kita, dan memang ramai akan berkata... kalau tak cuba, lagi lah kita tak akan meningkatkan kebolehan diri kita. Betul, saya setuju. Tapi, kalau setakat tak pasti akan ejaan, kita boleh dengan cepat menggunakan google, online dictionary dan lain-lain. Periksa lah. 

Bagi yang menulis status sepenuhnya dalam bahasa Inggeris. Tolonglah perhatikan penggunaan grammar anda. Orang Malaysia ada kelemahan dari segi penggunaan tense, antara lainnya. Apakah present, past dan future? Misalnya, perkataan "freeze", "froze" dan "frozen" itu semuanya membawa makna berlainan. Memanglah, kita kata "frozen food", tapi bila kita membekukan sesuatu, kita gunakan perkataan "freeze", misalnya "kita boleh freezekan (bekukan) karipap ini," bukan "kita frozenkan karipap ini". Kalau tak pasti, tak salah menggunakan perkataan "bekukan"... semua orang faham, dan ianya betul dalam konteks itu.

Jadi: Frozen Currypuff - betul.
        Saya freezekan karipap - betul.
        Selepas itu, bolehlah kita frozenkan - salah
        Saya suka frozenkan roti canai yang saya buat - salah
Frozen itu hanya digunakan pada benda yang sudah disejuk-bekukan. Kalau kita baru nak bekukan, kita "freeze", boleh?

"Tense" dalam bahasa Inggeris ini amat susah untuk digunakan dengan tepat kerana kita perlu faham beberapa perkara, antara lainnya:

1) Parts of speech: kita perlu kenal "verb" atau kata kerja dalam setiap frasa. Kata kerja akan berubah mengikut konteks masa. Kita juga perlu tahu "noun" sebagai subject, dan tahu samada subject itu singular atau plural, kerana ia akan menukarkan verb dalam present tense. Ini dikenali sebagai "subject-verb agreement" - misalnya I walk, he walks, they walk, Intan and Siti walk together daily.

2) Form: kata kerja itu ada beberapa bentuk: infinitive / base form atau bentuk asal misalnya "freeze", present tense "freeze / freezes", present continuous tense "am/is/are freezing," past tense "froze", past continuous "was / were freezing",  future "will freeze", future continuous tense, "will be freezing", dan past participle "frozen". Kata kerja "Freeze" ini dikatakan irregular sebab past participlenya lain dari past (frozen vs froze). Kalau regular, ianya seperti kata kerja "walk". Past tense "walked", past participle juga "walked".
** Saya belum sentuh lagi perfect tenses kerana dari segi form - present perfect (has/have + past participle), past perfect tense (had + past participle), future perfect (will have + past participle), lagi banyak yang perlu dikupas.

3) Function: Penggunaan tense tertentu untuk fungsi-fungsi tertentu. Misalnya perbezaan makna "I went to the gym this morning", dengan "I have gone to the gym everyday this week". Mahupun, "I sat, and she arrived" berbanding "I was sitting when she arrived". Kesemua ayat-ayat itu mempunyai makna yang berbeza dan kita perlu memilih penggunaan tense yang betul untuk menyampaikan maksud kita dengan tepat.

Yang biasa saya lihat ialah, penggunaan tense yang bercelaru, tanpa mengira ketepatan form mahupun function. Tak salah untuk menulis dalam bahasa Inggeris, tapi fahamilah grammarnya dan gunakan dengan betul, kerana bila menulis, setiap kesalahan kita amat jelas dan pada saya, ia seolah-olah menampakkan ciri-ciri "tidak apa" dan "asal boleh" pada diri kita. Kalau kita boleh berhalus dalam banyak hal lain, kenapa kita tak berhalus dalam menulis? Bukankan penulisan itu merupakan ketrampilan kita di media sosial?

Satu lagi kesilapan yang selalu dilakukan ialah penggunaan kata kerja atau "verb" selepas "modal". 
Modal ialah perkataan seperti "can", "could", "may", "shall", "should" (ada banyak lagi, ya? Kalau berminat, boleh google senarai "modals"). Apabila kita menggunakan modal, kata kerja seterusnya mestilah dalam bentuk "infinitive" atau "base form". Misalnya:

"He can drive"
bukan 
"He can drives"

"I should go to the gym"
bukan 
"I should goes to the gym"

Kesalahan modal dan infinitive verb ini terlalu kerap dilakukan oleh kebanyakan penulisan yang saya lihat, sedangkan grammar rulenya amat simple sekiranya kita kenal apakah "modal" dan kata kerja yang kita gunakan selepasnya.

Sebenarnya ada banyak lagi perkara yang ingin saya sentuh... namun cukuplah buat masa ini. Amat penting untuk saya tekankan, kalaupun kita bercakap dengan anak-anak dalam Bahasa Inggeris, dan anak-anak kita kelihatan fasih, ia tidak bermakna penggunaan bahasa itu tepat. Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketepatan atau accuracy penggunaan bahasa Inggeris kita dalam percakapan, dan lebih-lebih lagi bila menulis, kerana kitalah model bahasa anak-anak kita di rumah. Ingat, jangan jadi seperti ketam mengajar anak berjalan lurus. Perkasakan bahasa kita, supaya penguasaan bahasa anak-anak kita lebih baik dari kita.

Terima kasih kerana membaca, dan salam hormat dari saya.


4 comments:

  1. Biasa juga dilihat, past tense digunakan selepas perkataan ‘will’.

    Dalam percakapan/perbincangan Melayu yg formal, , saya lebih gemar mendengar perbualan dalam bahasa Melayu formal sepenuhnya berbanding dengan bahasa ‘rojak’ yg mengandungi ‘broken English’ (acah2 tak fasih Melayu tapi English broken).

    Pernah juga lihat komen di fb yg kononnya dia & anak2 memang fasih berbahasa Inggeris & digunakan hampir sepenuhnya di rumah. Malangnya saya lihat komen bahasa Inggerisnya juga broken teruk.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Itu yang saya risaukan. Apabila penguasaan ibu-bapa sendiri tidak berapa kuat, namun anak dibesarkan dengan bahasa Inggeris yang mungkin bercampur aduk, dan caca-merba. Adakah anak itu akan berbahasa Inggeris standard? Atau adakah bahasa Inggeris anak itu merupakan sejenis "patois" atau bahasa Inggeris broken, bercampur aduk yang tidak standard? Bagaimana pula dengan penguasaan bahasa Melayu mereka? Jangan sampai yang dikejar tak dapat, dikendung keciciran. Apa-apa bahasapun yang kita gunakan dengan anak, biarlah bahasa standard, dan pelbagaikan interaksi, bukan sekadar memberi arahan dan memarah saja. Melalui kita, vocabulary anak berkembang... berikan mereka yang terbaik, inshaAllah.

      Delete
  2. Thank you Puan... I suka tajuk ni. . I selalu buat silap bab ni.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Membuat kesilapan masa menulis tu memang biasa, lebih-lebih lagi kalau menulis bukan dalam bahasa ibunda. Asalkan kita sedar dan perbetulkan. Lebih risau kalau ianya adalah kesalahan yang kita tak tahupun apa kesalahannya. Kalau macam tu, kena check balik buku grammar :)... yang penting kita belajar dari kesalahan, kan?

      Delete

Memupuk Adab Bertamu bersama Anak

 **Penulisan saya ini tidak merangkumi anak-anak istimewa yang mungkin memerlukan cara mendidik yang lebih spesifik atau cara behavioral m...