Showing posts with label ayam. Show all posts
Showing posts with label ayam. Show all posts

Tuesday, October 23, 2018

Dinner musim panas... Chicken Caesar Salad



Antara nikmat tinggal di negara bermusim ni ialah bila mula musim bunga dan musim panas, sayur-sayuran daun hijau penuh di pasaran. Pilih sajalah mahu yang organik atau konvensional. Tepuk dada tanya selera. Bagi saya, sayuran yang akan dimakan mentah, biasanya saya akan memilih jenis organik. Cuma perlu basuh bersih untuk hilangkan kotoran, tak perlu risaukan racun dan bahan kimia.

Di Namibia ini, waktu musim panas, suhunya agak ekstrem. Siang boleh mencapai 36-38 darjah C, dan malam boleh serendah 14-16 darjah C. Perbezaan suhu yang besar ini menyebabkan kadangkala tidak berapa selera nak makan yang panas-panas atau pedas-pedas. Sedap lagi makan jenis-jenis salad atau masakan yang tidak terlalu pedas atau berat.

Pada hujung minggu, sewaktu pergi membeli barang dapur, teruja nampak daun-daun salad romaine yang berkilat-kilat kesegaran. Ada pula daun nya yang masih muda (baby cos/romaine). Dalam hati memang terus berkata, sedap kalau buat caesar salad ataupun boleh juga dibuat san choy bao, iaitu daun lettuce berisi daging / ayam. Baby spinach dan basil juga, mashaAllah... hijau, berkilat, menawan. Saya ambil beberapa packet untuk membuat pesto. Ada juga courgettes muda-muda. Kalau ikut hati, memang saya rembat juga, tapi memikirkan besarnya laaaa fridge kat rumah tu, semua nak sumbat. Takpe, menu hari lain lah kita beli, inshaAllah. Kalau ikut nafsu, hmm semua nak diangkut.

Ada yang bertanya, Puan diet ke, Puan? Makan salad? Hmmm, sebenarnya, caesar salad ni bukanlah makanan diet, ya. Tinggi kandungan calorie dressingnya tu. Satu serving Caesar salad lebih dari 500 calorie kalau dilambakkan dressingnya. Cumanya, bila makan banyak daun-daun ni, ia tinggi serat berbanding dengan nasi putih. Digandingkan pula dengan dada ayam tanpa kulit yang digrill, iaitu protein yang mengambil waktu untuk dicernakan, memang rasa kenyangnya lama. Dressing caesar yang rasa lemak berkrim tu juga menghantarkan "satiety signals" pada otak, mengakibatkan kita rasa puas dan kenyang. Jadi pada saya, Chicken Caesar salad ini cukup lengkap dan mengenyangkan. Tak perlulah nak tambah nasi ke, pasta bagai. Tapi, kalau makan salad dengan dressing vinaigrette, biasanya memang saya tak rasa kenyang lama. Hairan, kan? Akan terjadilah episod tengah malam dok mengadap depan fridge macam zombie. 

Dressing Caesar Salad ni, kalau di restoran mewah, mereka buat fresh depan mata kita. Ia menggunakan kuning telur mentah, yang dicampur dengan lemon juice dan minyak zaitun dan digaul hingga menjadi emulsion dan diperisakan dengan bawang putih, anchovies (ikan bilis yang telah dicure dengan garam dan disimpan dalam minyak sayuran, lebih kurang ikan tenggiri peram kita lah), dan jenis keju parmesan seperti parmigiano reggiano, grana padano atau pecorino romano. Biasanya, jika dibuat begini, dressing itu cukup untuk sekali makan sahaja dan tidak disimpan. 

Masalah saya, hmmm, saya suka nak ada lebihan dressing ni dalam fridge. Bila-bila nak snack, bolehlah main cicah-cicah dengan daun salad, atau kalau nak makan dengan asparagus ke. Anak pun nak bawa ke sekolah. Jadi saya kena gunakan resepi yang boleh tahan lama sikit. Jadi, saya tak buat mayonis sendiri menggunakan telur mentah. Saya gantikan dengan mayonis botol. Biasanya dengan cara ini, dressing ini boleh tahan seminggu dalam fridge jika disimpan dalam botol. Kalau di rumah saya... hmmmm. InshaAllah tak sampai seminggu dah khatam. Selagi ada daun salad, ada saja yang nak mengulang.

OKlah, mari kita tengok cara membuatnya:

Dressing Caesar:

2 ulas bawang putih
5 ekor ikan anchovies (dalam botol tu)
2 sudu besar jus lemon segar (1 biji lemon)
1 sudu kecil mustard (saya suka dijon)
1 sudu kecil worcestershire sauce (optional)
1 cawan mayonnaise
1/2 cawan keju parut jenis parmesan (saya gunakan pecorino romano)
Sedikit garam dan black pepper
Minyak zaitun extra virgin (jika perlu)
Kerana saya menggunakan emulsion / stick blender, saya masukkan bawang putih,, serta worcestershire sauce (jika gunakan) dalam jug kaca.


Inilah rupa ikan anchovies dalam botol tu. Saya buat double portion ya, sebab tu nampak banyak. Sila guna 4-5 ekor saja untuk 1 portion. Cincang sampai halus dan masukkan dalam jug kaca dengan bawang putih dan sos tadi.















Perahkan jus lemon segar.


















Masukkan mustard. Saya suka gunakan wholegrain, dijon mustard. Sila check senarai ingredients untuk pastikan tidak ada wine yang digunakan seperti "chardonnay", atau lain-lain bahan yang kita was-was dalam mustard itu.

Sebenarnya bila dok luar negeri ni begitulah bila shopping. Semua barang nak beli, kita dah disiplinkan diri baca dulu senarai ingredients sebab kami takde JAKIM yang mengeluarkan sijil halal. Jadi, mula-mula check sijil halal. Jika tak ada, rajinkanlah membaca senarai ingredients. Kalau semua benda takde logo halal kita nak boycott... hmmm susah sikit nak hidup kat negara luar yang bukan Islam ni. Inilah realitinya.






Blend semua bahan tadi, masukkan 1 cawan mayonnaise dan blend lagi hingga creamy. Masukkan keju parmesan yang kita parut sendiri - saya gunakan pecorino romano kali ini.

Memang boleh beli powder keju parmesan dalam botol, atau dalam packet kecil-kecil. Tapi percayalah, kalau kita dah biasa guna Keju Parmigiano Reggiano, Pecorino Romano atau Grana Padano dalam block dan diparut sendiri, memang berbeza profil rasanya.











Sila buat "taste test" ya? Letakkan dressing tu atas daun salad dan rasa. Jika terlalu pekat, tambahkan minyak zaitun dan blend. Jika masih pekat, dan jika terlalu masin, tambahkan air panas, blend lagi hingga dapat kepekatan yang disukai. Tambah black pepper, adjust perasa. Saya tak tambah lagi garam sebab anchovies dan keju dah cukup masinnya, mayonnaise pun sudah ada garam, kan?

Siap dah dressing kita. Sejukkan dahulu biar flavoursnya mesra.

Sambil tu taste test lagi beberapa kali. Sebab, biasanya saya tak menyempat nak rasaaaaaa.






Sementara tu, kita assemble salad. 

Drizzle minyak zaitun yang sudah diperisakan dengan sedikit bawang putih cincang atas roti perancis yang sudah di dadu. Gaul dengan tangan. Bakar dalam oven 160 darjah C hingga garing (jangan hangus!) Sejukkan.

Saya campurkan daun lettuce romaine (atau cos). Jika panjang-panjang sangat boleh lah kerat 3. Yang comel-comel tu biarkan saja. Saya suka letak dressing kat tepi dan main cicah-cicah daun kecil-kecil tu.

Hiris lebihan keju pecorino romano itu menggunakan pengopek kulit timun.

Campurkan semua bahan ini dan biarkan hingga tiba waktu makan. Boleh juga diletak dalam fridge sementara kita grill ayam.



Dada ayam tanpa kulit ini saya ketuk dulu menggunakan mallet hingga nipis. Kemudian saya marinadekan semalaman dengan 4 ulas bawang putih cincang, 6 sudu besar minyak zaitun, 1 sudu kecil thyme, 1 sudu kecil oregano, kulit sebiji lemon yang disagat (lemonnya saya gunakan untuk dressing), garam dan black pepper.

Panaskan kuali grill dan masakkan ayam hingga keperangan pada kedua-dua belah. Jangan lama sangat ya? Nanti dia keras dan kering macam sabut!




Hidangan makan malam kami - ayam tengah grill waktu ni. Jadi takde dalam gambar.

Salam hormat dan selamat mencuba.


Tuesday, September 4, 2018

Baked Rice dengan Ayam dan Cendawan


Ada masanya saya ni nostalgia dengan restoran-restoran di Malaysia. Membesar di JB dahulu, ada satu restoran yang pada saya agak mewah, dan kami hanya pergi bila ada special occassion. "Swensen's" saya tak tahulah kalau ada sesiapa ingat Swensen's? Tempat makan ice-cream sundae, brownie ala mode, banana split... kiranya antara pengenalan saya kepada makanan orang Amerika pada awal tahun 90an.

Antara hidangan bukan manisan / ice cream di Swensen's yang saya sukai ialah "Baked Rice" nya. Hmm, memang sedap dimakan panas-panas. Berkeju, berkrim.. aduhai. Bila saya cari resepinya, ada saya jumpa tapi kebanyakannya menggunakan sup cendawan dalam tin. Saya cuba mengurangkan penggunaan bahan-bahan dalam tin, jadi saya cuba olah sendiri resepi ini menggunakan krim masakan, stok pekat ayam dan cendawan butang segar. Anak saya amat suka "baked rice" ini dan pernah saya buatkan untuk majlis makan-makan di sekolahnya. Setelah itu, pantang ada makan-makan di sekolah, "baked rice" inilah yang diminta oleh rakan-rakan dan guru-gurunya :)

Resepinya seperti di bawah ya? (Kalau lebih, baked rice ini boleh di freezekan).

Bahan-bahan:
2 sudu besar butter
500 gm cendawan butang (kupas dan hiris)
500 gm dada ayam yang sudah siap dimasak dan dicarik (saya gunakan lebihan dada ayam dari sushi semalam)
3 pot nasi putih / perang yang sudah di masak
6 bawang putih (cincang)
2 sudu besar stok pekat ayam
1 cawan krim masakan (pastikan tidak ada gula dalam senarai ingredients ya)
(boleh saja gantikan stok ayam dan krim masakan ini dengan 3/4 tin sup cendawan berkrim Campbell's)
Keju mozzarella dan cheddar yang di sagat (ikut suka banyak mana, anak saya suka lebih cheese).
Garam dan lada hitam secukup rasa.
Daun parsley untuk hiasan

Cara-cara:

Panaskan butter, apabila cair dan kuali panas, masukkan cendawan butang hiris. Tumis hingga air cendawan kering dan cendawan mula wangi.






Masukkan bawang putih yang sudah dicincang. Kacau hingga wangi.







Masukkan dada ayam yang telah dicarik/dicubekan. Saya biasa gunakan dada ayam bakar / poach (rumah ni tak suka dada ayam, jadi saya simpan dada dari roast chicken untuk digunakan dalam masakan seperti ini).
Masukkan stok pekat ayam, krim, garam dan lada sulah. Kacau rata hingga sedikit pekat. Rasa kemasinan kuah pada waktu ini. Agak-agak rasanya bila masuk nasi nanti. Ingat kita akan letak cheese, jadi jangan masin sangat.

Masukkan nasi yang sudah dimasak (panas pun ok). Kacau rata. Tambah lada sulah jika suka.







Masukkan separuh daun parsley yang sudah di hiris, kacau rata. Jika nasi terlalu kering, boleh masukkan sedikit lagi krim. Nasi ini agak basah sedikit berbanding dengan nasi goreng. Tak banyak, basah sedikit.





Masukkan nasi tadi ke dalam bekas pembakar yang sudah di sapu mentega. Ratakan dan tabur cheese campuran mozzarella dan cheddar. Taburkan sedikit parsley lebihan tadi.

Bakar dalam oven 200 darjah C hingga elok keemasan.







Senang, kan? Untuk anak-anak yang tak berapa suka nasi, bolehlah dicuba berikan baked rice ini dengan sup sayur. Saya suka hidangkan dengan sayur kukus. Boleh dibuat sebagai side-dish pada Roast Chicken (buat baked rice dengan mushrooms saja, tak payah letak ayam).




Inilah bekalan anak saya ke sekolah hari ini, baked rice, dilengkapi dengan sayur broccoli kukus dan buah-buahan segar.  Ada juga lebihan baked rice, saya freezekan untuk hari-hari bila saya sibuk dan anak perlukan makanan segera. Dia cuma perlu defrostkan dan microwave.



Wednesday, August 29, 2018

Dada Ayam Bakar Berlemon


Antara falsafah saya untuk tidak "bercuti" dari menyediakan bekal anak ialah menyediakan bahan-bahan yang lengkap pada malam sebelumnya. Lagi cepat proses menyediakan bekalan, lebih baik bagi saya. Malangnya buah-buahan yang dipotong hanya boleh disediakan pada pagi untuk memastikan kesegarannya. Jadi saya perlu mengenepikan 5-10 minit untuk menyediakan bekalan buah.

Hari ini saya kongsikan cara membuat salah satu masakan ayam untuk bekalan yang amat cepat. Ayam bakar berlemon. Saya gunakan dada ayam sebab proses memasaknya hanya memakan masa 20 minit dan saya boleh masak sekali untuk beberapa portion yang boleh digunakan dalam salad, sandwich atau dimakan begitu sahaja bila dipotong menjadi jejari.

Bahan-bahannya;
4 dada ayam - ketuk hingga sama ketebalannya
4 ulas bawang putih
4 sudu besar butter cair
2 sudu besar lemon jus (kalau suka masam, boleh lebihkan) dan parutan kulit lemon (kalau organik)
1 sudu kecil serbuk thyme
1 sudu teh garam dan sedikit black pepper

Cara:

Mula-mula panaskan oven hingga 220 darjah C.



Ketuk ayam menggunakan pengetuk daging. Biarkan dada ayam agak leper. Ini membantu melembutkan dada ayam dan mempercepatkan waktu memasak. Ketuk kesemua dada ayam hingga habis.









Rendamkan dada ayam yang sudah diketuk itu dalam larutan air bergaram.  Bagi setiap cawan air, masukkan 1 sudu besar garam. Biarkan terendam 15 minit. Ini akan memastikan dada ayam itu "juicy" dan berperisa. Selepas 15 minit, keluarkan dada ayam dan keringkan dengan kitchen towel.




Campurkan butter cair, bawang putih cincang, jus dan parutan lemon, thyme dan garam. Curahkan atas ayam. Taburkan black pepper yang baru ditumbuk. Bakar ayam 20 minit. Sekali-sekala, sapukan dengan jus yang bertakung dalam mangkuk pembakar.

Kalau suka garing, 5 minit terakhir, bakar dada ayam bawah grill hingga keperangan.





Boleh hidangkan ayam dengan nasi, atau kentang rebus dan sayur kukus.


Selamat mencuba dan salam hormat.

Monday, August 27, 2018

Ayam bakar dengan madu dan mustard


Siapa tak suka ayam bakar? Sejak menetap di Namibia ni, memang kami kerap makan ayam. Ayam. daging, sayur. Seminggu sekali atau dua kali ada ikan. Bukan apa, kami kena menyesuaikan dengan apa yang ada di sini. Ada ikan, tapi ikan yang beku. Ikan segar amat mahal harganya. Udang jangan cerita. Hampir RM100 sekilo. Berbanding sewaktu kami menetap di Kuching. Tiap-tiap hari makan ikan. Selalu makan udang dan sotong. Amat jarang makan daging kerana harga daging segar amat mahal di sana. Begitulah kehidupan ini. Kita kena menyesuaikan diri mengikut keadaan setempat. Sebagai suri rumahtangga, saya kena mengikut keadaan. Bukannya demand itu ini, memeningkan kepala suami dengan permintaan yang bukan-bukan. Ikutlah apa yang ada. Bukan begitu?

Bila saya buat ayam bakar, biasanya saya akan buat lebih sedikit kerana yang tak habis itu boleh dijadikan inti dalam sandwich, atau salad. Kadang-kala anak lapar, dia boleh ambil sekeping dari fridge, panaskan sendiri. Kali ini saya menggunakan bahagian "quarter leg" yang telah dibuang kulitnya. Ayam ini saya beli dari pengusaha kedai halal yang juga mempunyai ladang sendiri. Ayam beliau adalah "free-range",  jadi memang sedap rasanya dan tidak lembik.

Oh ya, kalau ada yang terbeli mustard, ada banyak lagi dalam botol, dah nak tamat tempoh, tak tahu apa nak buat, daripada terbuang, buatlah resepi ni, ya? Mari kita lihat resepi mudah ini:


Panaskan oven ke 200 darjah celsius.
Sapu minyak zaitun atas dulang pembakar, alas dengan parchment paper (saya malas nak menyental banyak-banyak nanti).
Selepas ayam itu dibasuh, keringkan dengan kitchen towel. Tabur garam dan ground black pepper di kedua-dua belah. Biarkan sebentar.

Sementara itu, satukan dalam satu mangkuk besar:
8 sudu besar minyak zaitun,
8 biji bawang putih yang telah di cincang (tak payah halus sangat)
4 camca besar mustard (saya gunakan dijon mustard sebab botol mustard saya dah hampir tamat tempoh)
4 camca besar madu
1 camca besar paprika
sedikit thyme atau rosemary (fresh boleh, dried dalam botol pun boleh)
4 sudu besar jus lemon.

Curahkan semua sos ini atas ayam dan gaul elok-elok.

Sedikit lemon yang dihiris bulat-bulat untuk hiasan. (Alhamdulillah, pokok lemon belakang rumah amat lebat buahnya.. takut terbuang, bolehlah buat macamni. Kalau lemon mahal, tak letak pun tak apa).

Susun ayam atas dulang pembakar. Curah lebihan sos atas ayam. Tambah 1/2 cawan air (pastikan takde sos tertinggal dalam mangkuk. Sayang!)

Bergantung pada saiz ayam, bakar dalam 20-30 minit, terbalikkan ayam. Sudukan sos atasnya selepas diterbalikkan. Bakar lagi antara 15-20 minit. Kalau mahu cantik keemasan, pasangkan grill dan bakar dengan grill pada 5-10 minit terakhir.

Hidangkan dengan hirisan lemon dan sos yang sedia ada pada dulang pembakar. Oh ya! Jangan letak hirisan lemon masa membakar, pahit ayam tu  nanti! Saya hidangkan dengan mashed potatoes dan salad untuk makan malam.

Salam hormat dari saya dan selamat mencuba :)


Sunday, August 26, 2018

Resepi Ayam ala KFC "from scratch"


Sejak anak saya kecil, makanan kegemaran dia adalah ayam. Kalau setiap hari masak ayam pun laku. Masa saya bekerja, saya sering bawa anak makan di sebuah restoran ayam goreng terkenal. Nak kata sering tu, mungkin dalam seminggu atau dua minggu sekali. Kononnya "treat" bagi dia. Semakin lama, semakin kurang puas hati pula bila memikirkan keadaan kentang putar yang dibuat dari "dehydrated potatoes" dan entah apa lagi bahan kimia dan perasa, sedangkan bukan lah susah sangat untuk membuat kentang pusar di rumah menggunakan kentang dan susu. Ada pula beberapa kali, ayam yang dibeli teramat masin. Saya juga perhatikan, apabila ke restoran fast-food, terdapat pengaruh untuk meminum air manis dan bergas.

Akhirnya, saya ambil keputusan untuk memberi anak saya alternatif kepada makanan segera tersebut. Saya buatkan di rumah. Sebenarnya, apabila anak biasa makan kentang putar yang kita buat sendiri, kentang putar segera di restoran itu menjadi amat hambar.

Saya kongsikan di sini, step by step cara membuat ayam goreng western dengan kentang pusar dan gravy.

Bahan-bahan ayam goreng:
Siapkan perapan ayam malam sebelumnya:
2 ekor ayam dipotong 12 setiap satu.
Perapkan dengan 250ml buttermilk (1 cawan susu full cream + 1 sudu besar cuka)
Sedikit Garam, 1 sudu besar garlic salt
1 sudu besar lada sulah, sedikit cayenne pepper
2 biji telur dan 1 cawan tepung gandum.





Gaulkan ayam dengan semua bahan-bahan dan biarkan dalam fridge beberapa jam atau semalaman. Keluarkan sebentar sebelum menggoreng supaya ayam tidak terlalu sejuk sebelum digoreng.






Sementara ayam sedang diperap, siapkan tepung berperisa untuk menggoreng ayam dengan mencampurkan:
2 cawan tepung gandum
2 sudu besar garlic salt
1 sudu besar paprika
1 sudu besar cayenne pepper / serbuk cili
1.5 sudu kecil lada sulah
2 sudu kecil poultry seasoning / maggi cukup rasa / serbuk kari





Ayam yang sudah diperap sedia untuk digoreng.












Sementara itu, panaskan minyak. Golekkan ayam yang telah diperap dalam tepung berperisa tadi.










Gorenglah ayam menggunakan api sederhana. Selalulah balik-balikkan ayam supaya warnanya elok dan masak sekata.






Ayam yang telah siap digoreng bolehlah diletak dalam oven bersuhu 80 darjah C untuk kekal panas sementara menunggu waktu dihidangkan. Jangan lupa untuk membiarkan pintu ketuhar terbuka supaya ayam tidak berwap dan kulitnya tidak basah dan lembik.





Sementara ayam digoreng, siapkan bahan untuk kentang pusar dan rebuskan kentang hingga lembut. Bahan-bahannya:
1-2 biji kentang kecil / sederhana setiap orang. 
Kupas, potong saiz bola ping-pong, rebus dalam air bergaram hingga lembut.
Bahan-bahan lain  bergantung pada jumlah kentang:
Susu segar,
Butter, garam, lada sulah dan lada hitam.


Apabila kentang telah lembut, toskan airnya. Simpan dalam setengah cawan air rebusan kentang. Jangan biarkan kentang sejuk. Kena buat step selepas ini secepat mungkin - rentikanlah dok skodeng status FB orang kejap! (pesanan untuk diri sendiri).









Panaskan susu dan butter serta sedikit garam hingga susu mendidih.








Sementara menunggu susu mendidih dan butter cair, kita sadokan lengan dengan melenyek kentang tadi hingga halus dan tidak berketul.

Nota** Sebenarnya kentang ni ada dua jenis. Satu jenis "waxy" - lebih sesuai untuk dibuat potato salad atau direbus makan begitu saja - isinya tak "fluffy" dan akan berketul. Satu lagi jenis "floury" yang elok digunakan untuk begedil, kentang putar, french fries, baked potatoes. Jenis "floury" ni termasuklah kentang jenis Russet. Biasanya kulit kentang ni agak tebal dan kesat.


Bila susu sudah mendidih, curahkan susu dan butter sedikit-sedikit dan lenyekkan dengan kentang hingga mendapat kepekatan yang diingini. Saya gunakan tangan dan bukan pemukul elektrik sebab kalau silap gaya dengan pemukul elektrik ni, kanji kentang akan terlebih pukul menjadikan tekstur kentang pusar kita seperti gam. Kalau masih agak keras, masukkan sedikit air rebusan kentang (pastikan air ini masih panas). Perisakan dengan garam, lada sulah dan lada hitam,




Adoi, kentang pusar ni makan macam ni pun dah sedap. Oklah, kita hidangkan dengan gravy jadi lebih umph.








Cara membuat gravy:
Bahan: 1 sudu besar butter, 3/4 sudu besar tepung gandum, 2 sudu besar stok pekat ayam, 1 cawan susu, air, lada sulah dan lada hitam, garam.








Saya gunakan stok pati ayam pekat ini. Di Malaysia, Maggi ada stok ayam pekat ini dalam botol  Bagi saya kalau ada tanda halal Jakim tu, inshaAllah, saya yakin. Beruntung orang di Malaysia ada badan halal yang membantu kita membuat pilihan yang baik. Alhamdulillah.









Panaskan butter dengan api rendah. Masukkan tepung.










Kacau rata dalam seminit dua, pastikan tepung tidak hangus.


Masukkan stok pekat ayam tadi. Kacau rata.



Ia akan memekat.


Masukkan susu, kacau hingga pekat. Tambahkan air hingga dapat kepekatan yang disukai. Rasa dan tambah garam/serbuk lada sulah dan serbuk lada hitam.


Siap untuk dihidangkan. Saya tak letak apa-apa pewarna/kicap dalam gravy ayam tu.. oleh itu warnanya agak pucat. 
Saya rasa, jika buat majlis makan-makan yang ramai anak-anak, lebih jimat buat begini daripada membeli dari restoran makanan segera. 






Selamat mencuba, ya. 

Memupuk Adab Bertamu bersama Anak

 **Penulisan saya ini tidak merangkumi anak-anak istimewa yang mungkin memerlukan cara mendidik yang lebih spesifik atau cara behavioral m...