Assalamualaikum rakan-rakan pembaca sekelian, apa khabar? Diharapkan semuanya sihat-sihat belaka. Ameen.
Hari ini saya diberikan peringatan tentang keadaan kita di muka-bumi ini, dan kepentingannya untuk melihat keadaan mereka disekeliling kita. Kepentingan bersyukur dengan rahmatNya yang diberikan kepada kita, dan betapa, rezeki yang diberi olehNYa hanyalah pinjaman dan bukanlah hak mutlak kita.
Hari ini, terlanjur kami memang ke kedai halal untuk membeli daging, suami mengajak kami makan di sana sahaja. Ada sebuah restoran halal disebelah kedai itu yang kena dengan selera kami. Ia bukanlah kedai yang mahal, namun makanannya, Alhamdulillah. Agak sedap bagi kami.
Sesampainya di restoran tersebut, kami memesan sup, nasi berperisa seperti beriani dan makhni untuk suami dan anak, saya hanya mengambil ayam tikka. Duduklah kami di situ berbual-bual sementara menunggu makanan kami sampai.
Tidak lama selepas itu, dari kejauhan saya nampak seorang budak lelaki, mungkin berumur antara 10-12 tahun, berjalan masuk ke restoran, diikuti seorang wanita yang agak berumur. Wajah anak itu amat bersih. Wajah anak yang baik, suci. Pakaiannya juga kemas walaupun tidaklah baru. Duduklah dia dengan perempuan itu. Saya memerhati mereka kerana raut wajah anak itu ada seakan anak saudara lelaki saya yang menetap di Jeddah, yang sudah 3 tahun tidak saya bertemu. Terdetik hati saya, rindunya saya pada anak saudara saya itu. Jadi saya banyak memandang anak itu dan wanita yang mungkin neneknya.
Makanan yang kami pesan mula tiba. Ayam tikka saya, nasi suami dan anak, sup.. malahan kami diberikan juga roti. Saya terpandang anak itu lagi. Dia memusingkan kepala memandang makanan kami. Setiap kali makanan di bawa ke meja kami, kepalanya berpusing sedikit, bukan memandang kami, tapi makanan. Makanan mereka juga tiba tidak lama kemudiannya, kentang goreng sepinggan. Mereka makan berdua, berkongsi sepinggan. Tiada minuman.
Saya terdiam. Mata saya tidak dapat lari memandang mereka. Memandangkan kami duduk agak ke belakang, rasanya anak dan wanita itu tidak berapa perasan. Saya perhatikan, wanita itu sekadar menjamah kentang dan ditolaknya pinggan itu ke arah anak itu. Dia berhenti makan. Makanlah anak itu perlahan-lahan. Sekali-sekala dipandangnya makanan kami, sehingga wanita itu memintanya untuk makan saja kentangnya. Dia tunduk. Makan perlahan-lahan.
Saya pergi berjumpa dengan isteri tuan punya restoran. Saya berbisik bertanya, apa lagi makanan yang dipesan nenek dan anak itu. Katanya hanya kentang itu sepinggan. Mata saya mula berkaca. Sebak. Sekembali saya ke meja kami, sukar untuk menelan makanan yang bermacam-macam... sedangkan anak itu hanya makan kentang yang terpaksa di kongsi dengan neneknya.
Begitulah kehidupan kita ini. Sedang kita bermewah-mewah dengan rezeki kurniaan Allah swt kepada kita, ada yang rezekinya cukup setakat mengenyangkan. Ada juga yang mungkin terpaksa berpuasa.
Sebelum kami berlalu, sempat juga saya berbual dengan anak itu, mengusap bahunya dan memintanya untuk belajar rajin-rajin. Wajah bersih, suci anak itu, dan senyuman dari bibirnya dan neneknya hingga kini bermain di mata saya.
Ya Allah, saya doakan semoga dipermudahkan urusan anak itu dan semoga diberikan hidayah padanya dan neneknya. Saya doakan juga supaya dia menjadi orang yang berjaya dalam hidupnya, dan menjaga neneknya dengan baik. Saya doakan semoga Allah permudahkan urusan mereka yang susah, dan mengenyangkan mereka yang kelaparan... Semoga semua kita yang dilimpahkan rezeki dengan makan-minum yang mencukupi atau melebih-lebih ini akan diberikan peluang untuk berkongsi dengan mereka yang lebih memerlukan.
Sesungguhnya rezeki kita itu, di dalamnya ada juga bahagian-bahagian orang yang lain. Semoga selalulah diberikan saya peluang untuk membantu mereka yang memerlukan dan semoga Allah mengampunkan dosa-dosa saya selama ini. Ameen.
Allah huakhbar.. Moga dimurahkan rezqi akk sekeluarga. Rezqi untuk mdpt ilmu, rezqi belajar ttg kehidupan, rezqi fil kullu hall insyaAllah... 😘. Walau siapapun mereka, dtg mereka adalah aturan Allah semoga....ðŸ˜ðŸ˜ðŸ˜
ReplyDeleteAmeen, Ameen, Ameen Ya Rabbal Alameen. Jazakallahukhair. Iya semoga Allah memurahkan rezeki kita dalam semua hal, dan bantu kita untuk menjadi hambaNya yang lebih baik, inshaAllah .. Ameen.
DeleteHuhuhu menitik airmata membacanya Puan. Allahu, semoga kita tergolong di kalangan yang sentiasa bersyukur dan me gi sadi diri.
ReplyDeleteRasanya saya di sinilah paling kerap meleleh air mata. Sedangkan di Malaysia saya boleh kira yang hati saya ni keras dan susah nak menangis. Semoga Allah lembutkan hati ini selalu dan tingkatkan rahmatNya pada kita semua.. Ameen.
DeleteMenitis airmata saya ida... Ida mmg punya sekeping hati yg mulia.. Terima kasih sahabat krn byk perkongsian ilmu dan pengalaman yg memberi manfaat buat saya dan rakan2 yg lain
ReplyDeleteAmeen... Ameen.. Ameen... Ya Rabb. Jazakallahukhair. Rasanya ramai lagi orang yang hatinya dipenuhi dengan sifat rahmah dan mahabbah sesama manusia. Ada kalanya hati saya ini agak keras dan degil. Semoga Allah berterusan melembutkan dan membuangkan sifat-sifat mazmumah yang ada, dan menggantikannya dengan sifat-sifat mahmudah. Ameen Ya Rabb.
Delete