Saturday, September 22, 2018

Apa ada pada mood?



Saya bangun dengan rasa monyok dan hati tercalar. Entah kenapa. Saya buat dak je. Buat macam biasa je. Malas nak endahkan. Buat kewajipan macam biasa. Senyum macam biasa. Tapi hati macam kena pijak-pijak. Bukan orang lain buat, pun. Sendiri rasa macam tu. Malas nak analisa kenapa hati rasa macam tu.

Saya tahu, mood monyok dan sensitif saya ni tak boleh di layan. Kena tumpukan dengan kerja-kerja berfaedah yang membantu orang lain, dan fikirkan segala kebaikan yang ada dalam hidup ini serta bersyukur banyak-banyak. Alhamdulillah. Jangan biarkan mood tak baik ni melarat-larat. Kalau dibiarkan, habis semua orang sekeliling saya akan saya persalahkan. Hati ni akan berbisik mengatakan saya saja yang betul, saya yang sempurna. Orang lain itu semuanya hanya tahu untuk menyakitkan hati saya saja. 

Bila saya rasa sebegini, sebaiknya saya cuba untuk tidak berenggang dengan wudhu', berdoa dan berulang-ulang baca:

 "Laa ilaha illa anta, subhanaka inni, kuntu minazholimin" 
Tidak ada Tuhan yang sebenarnya disembah melainkan Engkau, Ya Allah. Maha suci Engkau, sesungguhnya aku adalah dari orang yang membuat zalim".

**************************

Masa muda sedikit dahulu dan ketika kurang kebolehan mengawal dan bermuhasabah diri, bila mood seperti ini melanda, saya cepat panas baran dan kurang kawalan lidah (atau jari menaip). Pantang terkena atau terasa. Cepat saja nak "menyembur" orang. Nak menghamburkan kata-kata, atau menaip sindiran. Iyalah kan? Kalau dah rasa diri sendiri je betul. Mestilah orang lain semua salah, kan? Besar sungguh rasa kepala, bila hati berdegup kencang dengan api kemarahan. Astaghfirullahal azim. Sesungguhnya, ada juga masanya saya dapat rasakan diri ini seolah akan menggelongsor ke tabiat lama. 

Namun, Alhamdulillah semenjak mula berumur ini, saya juga mula menyedari bahawa mood merudum ni adalah masalah dalaman. Tak perlulah saya nak kaitkan orang lain dengan masalah dalaman sendiri. Lebih baik berdiam, berzikir dan menyendiri hingga mood ni stabil semula. Syaitan suka bila kita ikut hati, ikut rasa, ikut perasaan. Dia suka bila kita menyakitkan hati orang lain. Bila kita marah, bila kita berkata-kata dengan kasar, bila kita menaip sesuatu yang menyakitkan orang lain itu, hati terasa puas. Sebenarnya kepuasan menyakitkan hati orang lain itu bukannya dari diri kita. Dari mana datangnya perasaan angkuh dan puas itu agaknya, ya?

Semoga kita semua diberikan taufik dan hidayah. Semoga hati kita sentiasa dipenuhi dengan rasa belas dan ihsan pada mereka di sekeliling kita. Semoga kita sentiasa beringat untuk menggunakan media sosial ini untuk tujuan kebaikan. Untuk berkongsi ilmu, untuk saling ingat-mengingatkan. Semoga saya sentiasa dilindungi dari menyakitkan hati orang-orang yang saya kenali dan tidak kenali. Semoga saya sentiasa diberikan kebijaksanaan untuk menegur atau mengingatkan dengan berhemah dan tanpa menghiris perasaan orang lain serta menerima semua teguran dengan baik. Semoga dibukakan juga hati mereka yang pernah terasa dengan penulisan dan kata-kata saya untuk memaafkan diri saya di dunia ini dan di akhirat kelak. Semoga saya dimaafkan oleh semua makhluk Allah yang pernah saya sakiti samada dengan sengaja atau tidak dan dihalalkan semua makan-minum saya sebelum tertutup mata saya nanti buat selama-lamanya. 

يامقلب القلوب ثبت قلبي على دينك
'Yaa Muqallibal Quluub, Tsabbit Qalbi ‘Ala Diinik'

“Wahai Dzat yang membolak-balikkan hati, teguhkan hati kami di atas agama-Mu.”

[HR.Tirmidzi 3522, Ahmad 4/302, al-Hakim 1/525, Lihat Shohih Sunan Tirmidzi III no.2792]


رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ
'Rabbanaa Laa Tuzigh Quluubanaa Ba’da Idz Hadaitanaa wa Hab Lana Mil-Ladunka Rahmah. Innaka Antal-Wahhaab'

“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; karena sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi (kurnia).”
(QS. Ali Imran: 7)

Ameen, Ameen, Ameen, Ya Rabbal Alameen.

1 comment:

Memupuk Adab Bertamu bersama Anak

 **Penulisan saya ini tidak merangkumi anak-anak istimewa yang mungkin memerlukan cara mendidik yang lebih spesifik atau cara behavioral m...