Muffins adalah jenis kuih yang paling mudah dibuat kerana hanya memerlukan dua mangkuk dan senduk. Tak perlu mixer, pemukul dan peralatan lain. Muffins tak boleh terlebih pukul. Ia akan jadi keras. Memadai campur ala-ala bersatu sahaja. Gluten dari tepung adalah musuhnya, jadi jangan berkobar mensadokan lengan.
Muffins pisang dan raisins ni kerapkali saya buat setiap kali melawat ke Mammadu. Kenapa? Sebab ia mengandungi pisang dan raisins yang memberikan tenaga dan saya buat dengan tepung wholemeal kerana ia mengenyangkan. Biasanya saya berikan muffins ini untuk dibawa balik ke rumah kerana lazimnya kami melawat dan memasak untuk mereka pada hari Jumaat.
Sedikit latar-belakang anak-anak yatim dan miskin di Mammadu. Anak-anak ini tidak menetap di Mammadu. Mereka tinggal dengan ibu atau bapa yang masih ada, atau bagi yang yatim-piatu, mereka tinggal dengan saudara mara. Segala keperluan persekolahan, makan pagi dan tengahari ditanggung oleh Mammadu. Pakaian, dan kelengkapan kebersihan juga ada di Mammadu. Jadi anak-anak ini pulang ke rumah selepas makan, memberus gigi dan bersalin baju serta membawa baju persalinan untuk hari seterusnya. Penjaga tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan, hanya cukup menyediakan bumbung untuk mereka berteduh.
Oleh itu, hari Jumaat tengahari itu adalah makanan berkhasiat terakhir sebelum hujung minggu yang boleh diberikan di Mammadu. Itulah antara sebabnya kami ke sana dengan makanan pada hari itu. Tidak diketahui apa yang dimakan anak-anak ini pada hari Sabtu dan Ahad. Untuk layak menjadi anak Mammadu, mereka datang dari keluarga miskin tegar dengan pendapatan isi rumah kurang dari RM200 sebulan. Jadi bila saya ke sana, saya cuba bekalkan muffins untuk mereka makan bila lapar di rumah. Memang tidaklah banyak mana yang dapat kami bantu... dan memang amat sedih apabila melihat anak-anak sekecil 4 tahun melangkah pulang dengan muffin di simpan dalam kocek dengan penuh hati-hati.
Untuk majlis 31 Ogos, saya buatkan sedikit kelainan dengan menambah sedikit Nutella dalam muffins ini. Amat berselera sekali mereka memakannya. Inilah resepinya :
Untuk 24 muffins:
3.5 cawan tepung gandum (atau wholemeal)
3.5 cawan tepung gandum (atau wholemeal)
1 cawan gula perang (brown sugar)
4 sudu kecil baking powder
2 sudu kecil baking soda
500 ml buttermilk
6 biji pisang saiz sederhana di lenyek (tak perlu halus sangat)
4 sudu besar minyak sayuran
2 biji telur (dikocok sedikit)
2 sudu teh vanilla
500 gm raisins
Kacang - saya biasa gunakan pecan 2 cawan - potong kecil-kecil, tak perlu halus. Saya tambahkan untuk tinggikan nilai protein dan lebih mengenyangkan. Tak mahu tambah kacang pun tak apa
Nutella (optional)
Caranya:
Panaskan ketuhar 200 darjah C
1. Satukan tepung, gula, baking powder, bicarb soda dan raisins. Gaul rata dalam satu mangkuk.
2. Dalam satu mangkuk lain, satukan buttermilk, pisang lenyek, minyak, telur, vanilla. Kacau rata.
Tuangkan adunan basah dalam adunan kering. Kacau cukup sekadar adunan bersatu. Masukkan sedikit-sedikit adunan (1.5 sudu besar) dalam tin muffin yang dialas dengan kertas cupcake. Masukkan sesudu kecil Nutella. Bakar antara 18-20 minit. Nutella akan tenggelam oleh adunan muffin ketika di bakar.
Salam hormat dari saya dan selamat mencuba.
No comments:
Post a Comment