Showing posts with label Minum Petang. Show all posts
Showing posts with label Minum Petang. Show all posts

Monday, September 17, 2018

Scones


Bercerita tentang scones... Inilah snack petang kegemaran saya sewaktu belajar di UK. Untuk program pengajian kami, kami ditempatkan bersama keluarga Inggeris pada tahun pertama kami di sana. Ini adalah untuk proses "immersion" bagi memperbaiki lagi bahasa Inggeris kami. Iyalah, nak jadi cikgu Inggeris, kenalah fasih dan betul sebutan dan penggunaan bahasa, kan? Saya amat bersyukur kerana diberikan peluang untuk mengikuti program ini. Walaupun kerana minat membaca yang mendalam sejak kecil dan setelah mengambil subjek Kesusasteraan Inggeris di peringkat STPM, penulisan bahasa Inggeris saya agak "ok" - jauh dari perfect ya, namun dari segi pertuturan lebih banyak yang perlu diperbetulkan. Alhamdulillah, apabila terpaksa beroperasi dalam bahasa Inggeris sepanjang masa selama beberapa tahun, menyiapkan tugasan dan membaca jurnal-jurnal dan buku-buku ilmiah dalam bahasa itu, penguasaan semakin baik. Hilang rasa malu untuk bertutur, dan tidak langsung rasa kecil hati apabila diperbetulkan orang lain bila salah sebutan atau penggunaan. Semuanya saya ambil sebagai proses pembelajaran yang positif. Demi kebaikan sendiri. Sebab itu saya kurang faham mengapa orang jadi sensitif atau emo apabila diperbetulkan. Apa salahnya, kan? Sepatutnya kita berterima kasih. Ini orang yang cuba memberitahu dengan baik itu pula dikecamnya. Nak belajar tak boleh ego dan mesti merendah diri. Kalau dah pandai sangat, ha! Tu yang susah nak maju.

OK cukup lah membebel. Balik pada cerita scones. Semasa tinggal di rumah ibu-bapa angkat itu, kadangkala nenek ibu itu akan datang tinggal bersama. Nenek ini datang dari Yorkshire. Saya paling seronok bila nenek tu ada. Dia akan duduk di dapur buatkan scones, rock cakes, English muffins, sponge cake, raisin buns, cherry cake.. kerja nya memang baking di dapur. Bila balik dari Kolej, buka pintu saja, bau harum baking memang tak dapat di lupakan. Memang dia akan tunggu dan ajak minum teh sama-sama. Aduh seronoknya. Sambil berbual, habis sebutan dan penggunaan bahasa saya dibetulkannya. Alhamdulillah. Sempat juga saya meminta dia mengajar saya membuat beberapa jenis kuih, dan sebelum dia balik ke Yorkshire, penuhlah pantry dan semua tin biskut dan kek dengan peninggalannya. 

Hari ini saya akan kongsikan resepi currant sconesnya untuk semua:

Mula-mula, panaskan oven 200 darjah C.

Bahan-bahan (saya separuhkan ya, dia kalau buat 1 pound tepung digunanya!)
225 gm tepung
3 sudu teh baking powder
(kalau guna tepung naik sendiri, tambah 1 sudu teh baking powder)
55 gm butter (sejuk dan di potong dadu)
1 sudu besar gula caster
150 ml susu
1/2 cawan currants (boleh ganti dengan raisins)


Campurkan tepung, baking powder dan secubit garam.








Masukkan butter sejuk. Gunakan hujung jari untuk campurkan tepung dengan butter. Jangan lama-lama. Buat hingga tepung seakan serbuk roti kasar-kasar. Kalau jari panas, guna saja dua garfu. Kami di sini tengah sejuk, jadi saya gunakan jari saja, secepat yang boleh. Kalau terlebih gaul, itu yang scones jadi keras.







Masukkan gula dan currants. Kacau sedikit dengan sudu.












Masukkan susu. Kacau anggar-anggar bersatu sahaja dengan sudu besi. Memang adunan ni agak basah ya. Jangan panik.










Taburkan sedikit tepung atas tempat menguli. Gunakan hujung jari,
uli sedikit sahaja.








Canai dengan tangan saja. Bentukkan dia seperti ini. Tebalnya dalam 1 1/2 inci. Jangan nipis ya.








Gunakan penerap scones. Kalau nak potong bentuk segitiga saja pun boleh.








Sapu dengan susu.











Bakar atas parchment paper. Kalau nak butter saja pengalas tu boleh juga. Saya malas nak sental alas pembakar tu sebenarnya. Orang rajin memang macam tu.







Bakar 12-15 minit hingga keperangan.










Hidangkan scones panas-panas dengan jem strawberry dan clotted cream / butter. Minum pula dengan teh panas dengan susu tanpa gula. Emmmmmm... tutup mata, teringat dapur kecil di Bognor Regis...

Friday, September 7, 2018

Kek Coklat Tanpa Butter atau Minyak.. Sedap pula tu...


Bila saya memasak sesuatu, selang beberapa hari anak bujang berbunyi... "bila Mama nak buat lagi ...", maknanya resepi itu kena dimasukkan dalam senarai resepi kegemaran. Kek Coklat ini pertama  kali saya rasa di majlis mesyuarat Persatuan Pasangan Diplomat di sini. Ianya dibawakan oleh rakan dari kedutaan Amerika Syarikat. Biasanya saya amat mengurangkan memakan manisan di majlis keraian, tapi pada hari itu, saya tergerak untuk merasa kek ini. Memang sedap. Teksturnya seakan Red Velvet Cake - halus dan lembut macam baldu. Rasa manis yang bersesuaian. Rasa coklatnya diimbangi dengan rasa frosting cream cheese.. hmm, dengan tanpa segan silu, saya bertanya resepi.

Yang lebih menakjubkan... kek ini tidak mengandungi butter atau minyak! Saya paling tak suka buat kek kerana step "creaming" butter dan gula. Malas nak guna mixer. Nak basuh lagi. Alaaa. Tak suka. Tapi kek ni hanya perlu dibancuh dengan tangan, dan ianya menggunakan mayonis.. bukan butter mahupun minyak. Hmmmm.  Saya bawa balik sedikit kek untuk suami dan anak. Habis. Licin. Esoknya saya buatkan kek ini memandangkan kami ada tetamu, dan bahannya memang ada dalam pantry saya. Rata-rata yang merasa kek ini memuji dan memang habis sekali hidang. 

Inilah resepi Kek Coklat Mayonis yang memang sedap:

Bahan-bahan untuk kek 8 inci:
1 cawan gula
2 sudu teh bicarbonate soda
1/4 sudu teh garam laut
2 sudu besar serbuk koko
2 cawan tepung
--- campur semua bahan kering ini dalam mangkuk. Kacau rata.
Masukkan pada tepung bahan kering:
 3/4 cawan mayonis
1 cawan air (saya gunakan kopi o tanpa gula, panas)
1 biji telur

Gaul rata. Masukkan adunan dalam acuan kek 8 inci yang telah diminyakkan dan dilapik kertas minyak. Bakar 40-45 minit pada suhu 170 darjah celsius (kalau oven berkipas, pada 150 darjah celsius). Sejukkan kek yang masak dan belah dua.

Sementara kek masak, kita buat cream cheese frosting:


Pukul 250 gm cream cheese yang sudah ada pada suhu bilik dengan 100 gm butter.
Bila kembang, masukkan 1 cawan gula aising dan 1 sudu teh esen vanilla. Pukul lagi. 
Jika terlalu pekat, masukkan 1 sudu besar susu. Pukul hingga fluffy dan ketepikan.






Sejukkan dan ia boleh dimakan. 

Selamat mencuba dan salam hormat.

Thursday, September 6, 2018

Meatloaf Individu untuk Bekalan dan Makanan Ringan


Assalamualaikum. Lambat pula bersiaran hari ini sebab terpaksa keluar rumah atas urusan dan kemudiannya menyiapkan kerja-kerja yang tidak pernah putus. Alhamdulillah.Saya memang amat menghargai masa yang dapat saya penuhi dengan berbagai aktiviti wanita dan kerja-kerja sukarela, namun jika tiada kerja di luar, waktu akan dipenuhi dengan membaca dan mempelajari berbagai hal dan menulis. Seronok sungguh apabila terjumpa bahan-bahan bacaan dalam bidang yang saya minati, atau terjumpa bidang baru untuk dipelajari kerana "life is about growing internally". 

Hari ini, saya nak kongsi resepi yang sedap dan mudah ini. Meat Loaf. Hmm kalau orang dengar meatloaf, mungkin ada yang kata... "boring". Namun, resepi meatloaf ini telah saya olah dan amat disukai oleh anak saya. Lebih-lebih lagi bila dihidang dengan "mashed potatoes" dan sayur garing seperti kacang buncis ataupun asparagus.

Inilah resepinya: (saya buat lebih, kemudian saya bekukan dan boleh di defrost oleh anak untuk makan tengahari cepat kalau mamanya sibuk).

Bahan-bahan: (Campurkan kesemua bahan meatloaves ini)
1 kg daging cincang (saya suka pilih bahagian daging kurang berlemak seperti top side dan campurkan dengan sirloin untuk di mesin). Bila guna daging segar seperti ini, meat loaf, meaatballs, burger patty semua tidak mengecut kerana kurang jumlah lemak yang cair dan terbuang amat kurang).
2 biji telur
1 cawan keju cheddar (parut)
1 cawan serbuk roti (saya gunakan roti wholemeal, bakar dan grind dalam blender kering)
1 sudu kecil garam
1 sudu kecil serbuk lada hitam

Bahan topping:
  • Dalam satu mangkuk kecil, campurkan 1/4 cawan sos cili Thai dengan 1/4 cawan mayonis
  • Sedikit "wholegrain" mustard 
  • keju cheddar parut secukupnya

 

Inilah botol wholegrain mustard yang saya gunakan.











Caranya:

1. Panaskan oven ke 200 darjah C
2. Ambil adunan meatloaf yang telah dicampurkan semuanya.


3. Masukkan adunan meatloaf itu ke dalam muffin tin yang telah dilenserkan dengan minyak.

4. Sapukan atasnya dengan 1/4 sudu kecil wholegrain mustard.






5. Letak sesudu kecil campuran sos cili Thai dan mayonis.










6. Taburkan parutan keju cheddar.
7. Bakar dalam oven selama 20 minit









Beginilah rupanya. Kekuningan di atas, dan meatloafnya masak, tapi masih lembab dan tidak keras.









Keluarkan dari  muffin tin. Boleh dimakan begitu saja, atau dengan mashed potatoes, atau french fries dan salad. Boleh juga dihidang dengan salad saja.







Contoh bekalan sekolah: Meatloaves (sebab 2), dengan mashed potatoes dan kacang buncis rebus / kukus yang di letak sedikit garam laut dan sos cili Thai dan mayonis.
Lebihan boleh dibekukan. Saya buat beberapa packet dalam 1 portion untuk sekali sesi pemanasan kembali :)




Monday, September 3, 2018

Muffin Pisang, Raisins dan Buttermilk dengan Nutella


Muffins adalah jenis kuih yang paling mudah dibuat kerana hanya memerlukan dua mangkuk dan senduk. Tak perlu mixer, pemukul dan peralatan lain. Muffins tak boleh terlebih pukul. Ia akan jadi keras. Memadai campur ala-ala bersatu sahaja. Gluten dari tepung adalah musuhnya, jadi jangan berkobar mensadokan lengan.

Muffins pisang dan raisins ni kerapkali saya buat setiap kali melawat ke Mammadu. Kenapa? Sebab ia mengandungi pisang dan raisins yang memberikan tenaga dan saya buat dengan tepung wholemeal kerana ia mengenyangkan. Biasanya saya berikan muffins ini untuk dibawa balik ke rumah kerana lazimnya kami melawat dan memasak untuk mereka pada hari Jumaat.

Sedikit latar-belakang anak-anak yatim dan miskin di Mammadu. Anak-anak ini tidak menetap di Mammadu. Mereka tinggal dengan ibu atau bapa yang masih ada, atau bagi yang yatim-piatu, mereka tinggal dengan saudara mara. Segala keperluan persekolahan, makan pagi dan tengahari ditanggung oleh Mammadu. Pakaian, dan kelengkapan kebersihan juga ada di Mammadu. Jadi anak-anak ini pulang ke rumah selepas makan, memberus gigi dan bersalin baju serta membawa baju persalinan untuk hari seterusnya.  Penjaga tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan, hanya cukup menyediakan bumbung untuk mereka berteduh. 

Oleh itu, hari Jumaat tengahari itu adalah makanan berkhasiat terakhir sebelum hujung minggu yang boleh diberikan di Mammadu. Itulah antara sebabnya kami ke sana dengan makanan pada hari itu. Tidak diketahui apa yang dimakan anak-anak ini pada hari Sabtu dan Ahad. Untuk layak menjadi anak Mammadu, mereka datang dari keluarga miskin tegar dengan pendapatan isi rumah kurang dari RM200 sebulan. Jadi bila saya ke sana, saya cuba bekalkan muffins untuk mereka makan bila lapar di rumah. Memang tidaklah banyak mana yang dapat kami bantu... dan memang amat sedih apabila melihat anak-anak sekecil 4 tahun melangkah pulang dengan muffin di simpan dalam kocek dengan penuh hati-hati.

Untuk majlis 31 Ogos, saya buatkan sedikit kelainan dengan menambah sedikit Nutella dalam muffins ini. Amat berselera sekali mereka memakannya. Inilah resepinya :

Untuk 24 muffins:
3.5 cawan tepung gandum (atau wholemeal)
1 cawan gula perang (brown sugar)
4 sudu kecil baking powder
2 sudu kecil baking soda
500 ml buttermilk
6 biji pisang saiz sederhana di lenyek (tak perlu halus sangat)
4 sudu besar minyak sayuran
2 biji telur (dikocok sedikit)
2 sudu teh vanilla
500 gm raisins
Kacang - saya biasa gunakan pecan 2 cawan - potong kecil-kecil, tak perlu halus. Saya tambahkan untuk tinggikan nilai protein dan lebih mengenyangkan. Tak mahu tambah kacang pun tak apa
Nutella (optional)

Caranya:
Panaskan ketuhar 200 darjah C
1. Satukan tepung, gula, baking powder, bicarb soda dan raisins. Gaul rata dalam satu mangkuk.
2. Dalam satu mangkuk lain, satukan buttermilk, pisang lenyek, minyak, telur, vanilla. Kacau rata.




Tuangkan adunan basah dalam adunan kering. Kacau cukup sekadar adunan bersatu. Masukkan sedikit-sedikit adunan (1.5 sudu besar) dalam tin muffin yang dialas dengan kertas cupcake. Masukkan sesudu kecil Nutella. Bakar antara 18-20 minit. Nutella akan tenggelam oleh adunan muffin ketika di bakar.



Salam hormat dari saya dan selamat mencuba.


Sunday, August 26, 2018

Bila rindu, ku sebut nama mu...



Assalamualaikum, selamat pagi. Eh, yang kat atas tu, bukan nama sapa tau, tapi ni dia yang jadi pengubat rindu dikala teringat pasar malam kat Malaysia. Hobi saya ni memang pergi pasar. Tak kisahlah pasar raya ke, pasar basah ke, pasar malam ke, pasar tani ke. Tabiat ni bukan hanya timbul di Malaysia. Kalau di luar negarapun, saya memang terkinja nak pergi pasar. Orang sibuklah ke butik, mall, saya rela menghilangkan diri pergi ke pasar. Teruja nak tengok hasil tani tempatan. Nak tengok harga, tanya asal-usulnya, jenis yang terbaik, cara memilih, tanah dan musim sesuai untuk menanam sesuatu sayur atau buah, nak pegang, nak bau... hai memang perangai. Suka juga tengok ikan, udang, sotong, segala yang bercengkerang, berkilat dan segar dan asal namanya ada di pasar. Kalau ada sesiapa yang teringin nak berjalan dengan saya, ha.. saya dah cakap awal-awal tau. Shopping-shopping kat mall saya tak minat.

Nak cerita pasal resepi pun kena mengomel dulu saya ni. Memang pe'el. Berbalik pada cerita pasar di Malaysia pula, saya suka sangat pasar malam. Sayu hati kalau nampak pasar malam tapi tak boleh berhenti. Sedih nak bye-bye kat penjaja semua. Mahunya tak, di pasar malamlah ada taufu fa, nasi ayam. mee sup utara, kway teow kerang, ada sayur, buah, ikan, daging, dan paling penting... ada apam balik.

Bercerita pasal apam balik, saya memang tak pandai walaupun dah cuba membuatnya sejak kami mula-mula menetap di luar negeri pada tahun 1999. Cuba belajar, tapi memang tak jadi. Akhirnya, baru-baru ni saya join group Masak Apa Hari Ni (MAHN) dan dapat resepi yang dikongsi oleh Saudari Aien Ismail. Alhamdulillah, memang sedap dan kena dengan citarasa saya. Terima kasihlah atas perkongsiannya dan saya panjangkan resepi ini, semoga menjadi ilmu yang bermanfaat bagi Saudari Aien dan bagi saya juga. Ameen. Inilah resepi yang telah saya olah serba-sedikit.

 

Bahan-bahan:
2 cawan tepung gandum.
1.5 cawan air.
1/3 cawan gula. 
2 bijitelur.
1 sudu teh baking powder
1 sudu teh yis kering seperti jenis mauripan.
1/2 sudu teh bicarbonate of soda
2 sudu besar minyak masak.
Secubit garam.

Bahan tabur.
Kacang tanah yg telah di kisar
Gula
1 tin Jagung ala cream.
Mentega 

Caranya.
1. Blend telur dan gula hingga kembang
2. Masukan baking powder, bicarb. soda, yis, minyak dan garam, blend lagi sebelum memasukkan air dan sambung blend. Masukkan tepung dan terus diblend.
Untuk pastikan adunan tidak berbintil, saya tapis dalam mangkuk dan peram 2 jam pada suhu bilik.

3. Panaskan kuali non-stick dan biarkan kering, tanpa minyak.
4. Curah sesenduk adunan, ikut ketebalan yang disukai. Biarkan adunan kembang dan mula berlubang.
5. Tabur gula dan kacang. Biarkan gula cair. Letakkan sedikit jagung cream, dan mentega. Biarkan mentega mencair. Angkat sedikit tepi apam untuk pastikan warnanya cantik keemasan. Bolehlah dilipat dua dan diangkat dari kuali.
6. Sapukan sedikit mentega sebelum dipotong dan dihidang panas-panas.

 

Salam hormat dari saya, dan selamat mencuba.



Kek Marble Gebu, lembut, cair di mulut....


Kek kegemaran saya ialah kek yang wangi dengan bau butter dan vanilla, cair di mulut kerana proses "creaming" butter dan gula yang lengkap, dan gebu serta halus bak sutera akibat telur yang dipukul hingga betul-betul kembang, dan proses reaksi antara buttermilk dan bicarbonate of soda. Kek yang gebu dan lembut tanpa bantuan ovalette atau penstabil seperti SP. Kek original tanpa rasa sintetik bahan kimia. Sedapnya.

Saya terjumpa resepi ini dalam blog http://www.houseofannie.com/. Setelah mencuba sekali, sejak 6 tahun lalu, saya terus jadikan kek ini keeper recipe bagi keluarga saya.

Bila membuat kek asas seperti kek marble ini, kita harus pastikan bahan-bahan yang digunakan adalah yang terbaik. Jangan guna marjerin atau buttercup atau lepa campuran. Gunalah butter seperti Anchor, Lurpak atau President. Saya gunakan coklat Lindt 70% cocoa untuk rasa coklat yang mendalam dan amat lemak. Kek ni, kalau kita belipun dah mahal. Jadi, bila kita buat untuk makan sendiri, belilah bahan yang terbaik. Baru berbaloi duit karan oven tu, pada saya lah.

Baiklah, mari kita tengok resepi kek ini:



100 gm coklat yang anda suka rasanya
360 gm butter berkualiti (unsalted) 
2 cawan gula halus
1/2 sudu teh garam laut
6 biji telur grade A 
2 sudu kecil vanilla paste/extract / esen 
*1/2 sudu teh soda bikarbonate
*1/2 sudu teh baking powder
* 3 cawan tepung
(*ayak bersama)
1 cawan buttermilk (jika ada) atau
1/2 cawan yogurt asli full cream 
1/2 cawan susu segar
Parutan kulit 1 biji orange (optional)
1/2 sudu kecil esen orange (optional)


Mula-mula, panaskan oven pada suhu 160 darjah celsius.
Sapukan acuan kuih dengan mentega, alas dasarnya dengan baking paper dan sapukan sedikit butter pada baking paper tersebut.

Cairkan coklat dalam mangkuk yang diletakkan diatas periuk berisi air panas. Bila cair, sejukkan pada suhu bilik.

Dengan menggunakan cake mixer, pukul butter dengan gula hingga kembang dan berwarna putih. Masukkan telur satu per satu. Pukul setiap telur sekurang-kurangnya selama seminit sebelum dimasukkan sebiji lagi telur. Kaup adunan dengan spatula sekali-sekala untuk pastikan telur dan butter bersatu.
Masukkan vanilla dan pukul lagi. Ketepikan mixer.

Dengan menggunakan senduk kayu, masukkan secawan tepung dan aduk kan dengan lemah-lembut kedalam adunan telur dan butter. Cukup sekadar adunan rata.

Masukkan 1/2 cawan buttermilk atau susu. Adukkan lagi. Masukkan secawan lagi tepung, adukkan rata.

Masukkan 1/2 cawan lagi buttermilk atau yogurt. Aduk.
Akhirnya masukkan cawan tepung ketiga.

Apabila adunan nampak licin dan gebu, ambil beberapa senduk adunan dan campurkan kedalam mangkuk coklat cair yang sudah disejukkan. Masukkan parutan kulit orange dan esen orange (jika menggunakannya) dalam adunan ini.

Selang-selikan lapisan putih dan coklat dalam acuan kek. Bila habis semua adunan, gunakan pisau untuk buat lorekan antara warna putih dan coklat. Hentakkan acuan kek diatas meja beberapa kali untuk memastikan adunan kembali bersatu.

Bakar antara 55-65 minit (bergantung pada oven). Jangan terlebih bakar sehingga atas kek keras atau garing.

Keluarkan kek dari oven. Tutup acuan ketat-ketat dengan kertas aluminium dan biarkan kek berwap hingga sejuk.

Bila sejuk baru keluarkan dan potong.


Kek ini biasanya memang cantik, leper di atas dan tidak merekah jika kita jaga suhu oven pada tahap 160 darjah dengan baik. 
Sekiranya tidak ada bekas kek 10 inci, boleh juga digantikan dengan 1 bekas 8 inci, dan 1 bekas loaf pan.

Selamat mencuba :)

Memupuk Adab Bertamu bersama Anak

 **Penulisan saya ini tidak merangkumi anak-anak istimewa yang mungkin memerlukan cara mendidik yang lebih spesifik atau cara behavioral m...