Ada masanya saya ni nostalgia dengan restoran-restoran di Malaysia. Membesar di JB dahulu, ada satu restoran yang pada saya agak mewah, dan kami hanya pergi bila ada special occassion. "Swensen's" saya tak tahulah kalau ada sesiapa ingat Swensen's? Tempat makan ice-cream sundae, brownie ala mode, banana split... kiranya antara pengenalan saya kepada makanan orang Amerika pada awal tahun 90an.
Antara hidangan bukan manisan / ice cream di Swensen's yang saya sukai ialah "Baked Rice" nya. Hmm, memang sedap dimakan panas-panas. Berkeju, berkrim.. aduhai. Bila saya cari resepinya, ada saya jumpa tapi kebanyakannya menggunakan sup cendawan dalam tin. Saya cuba mengurangkan penggunaan bahan-bahan dalam tin, jadi saya cuba olah sendiri resepi ini menggunakan krim masakan, stok pekat ayam dan cendawan butang segar. Anak saya amat suka "baked rice" ini dan pernah saya buatkan untuk majlis makan-makan di sekolahnya. Setelah itu, pantang ada makan-makan di sekolah, "baked rice" inilah yang diminta oleh rakan-rakan dan guru-gurunya :)
Resepinya seperti di bawah ya? (Kalau lebih, baked rice ini boleh di freezekan).
Bahan-bahan:
2 sudu besar butter
500 gm cendawan butang (kupas dan hiris)
500 gm dada ayam yang sudah siap dimasak dan dicarik (saya gunakan lebihan dada ayam dari sushi semalam)
3 pot nasi putih / perang yang sudah di masak
6 bawang putih (cincang)
2 sudu besar stok pekat ayam
1 cawan krim masakan (pastikan tidak ada gula dalam senarai ingredients ya)
(boleh saja gantikan stok ayam dan krim masakan ini dengan 3/4 tin sup cendawan berkrim Campbell's)
Keju mozzarella dan cheddar yang di sagat (ikut suka banyak mana, anak saya suka lebih cheese).
Garam dan lada hitam secukup rasa.
Daun parsley untuk hiasan
Cara-cara:
Panaskan butter, apabila cair dan kuali panas, masukkan cendawan butang hiris. Tumis hingga air cendawan kering dan cendawan mula wangi.
Masukkan bawang putih yang sudah dicincang. Kacau hingga wangi.
Masukkan dada ayam yang telah dicarik/dicubekan. Saya biasa gunakan dada ayam bakar / poach (rumah ni tak suka dada ayam, jadi saya simpan dada dari roast chicken untuk digunakan dalam masakan seperti ini).
Masukkan stok pekat ayam, krim, garam dan lada sulah. Kacau rata hingga sedikit pekat. Rasa kemasinan kuah pada waktu ini. Agak-agak rasanya bila masuk nasi nanti. Ingat kita akan letak cheese, jadi jangan masin sangat.
Masukkan nasi yang sudah dimasak (panas pun ok). Kacau rata. Tambah lada sulah jika suka.
Masukkan separuh daun parsley yang sudah di hiris, kacau rata. Jika nasi terlalu kering, boleh masukkan sedikit lagi krim. Nasi ini agak basah sedikit berbanding dengan nasi goreng. Tak banyak, basah sedikit.
Masukkan nasi tadi ke dalam bekas pembakar yang sudah di sapu mentega. Ratakan dan tabur cheese campuran mozzarella dan cheddar. Taburkan sedikit parsley lebihan tadi.
Bakar dalam oven 200 darjah C hingga elok keemasan.
Senang, kan? Untuk anak-anak yang tak berapa suka nasi, bolehlah dicuba berikan baked rice ini dengan sup sayur. Saya suka hidangkan dengan sayur kukus. Boleh dibuat sebagai side-dish pada Roast Chicken (buat baked rice dengan mushrooms saja, tak payah letak ayam).
Inilah bekalan anak saya ke sekolah hari ini, baked rice, dilengkapi dengan sayur broccoli kukus dan buah-buahan segar. Ada juga lebihan baked rice, saya freezekan untuk hari-hari bila saya sibuk dan anak perlukan makanan segera. Dia cuma perlu defrostkan dan microwave.
Terima kasih kak kerana sudi berkongsi resepi...semoga Allah murahkan rezeki dan permudahkan urusan kak dan keluarga..
ReplyDelete