Seingat saya, sejak umur saya 4 tahun, kulit saya memang bermasalah. Saya kena alahan dengan berbagai benda termasuk rumput, pasir, getah pokok, habuk, bulu kucing dan lain-lain haiwan. Bila tengok lembu, kambing, kuda, memang teruja nak pegang. Tapi lepas tu bergaru satu badan dan kena makan ubat allergy serta-merta atau ke klinik untuk suntikan. Kalau kena gigit semut, memang kena suntikan sebab akan merebak gegata dan sukar bernafas. Kain wool, fabrik sintetik pun tak boleh hinggap di kulit. Pemakanan juga boleh jadi punca masalah seperti ayam yang tidak dimasak betul, benda-benda yang tidak tentu kebersihannya, macam-macam sehingga sayapun tak tahu apa yang akan menyebabkan saya kena gatal-gatal dan naik gegata, ruam, mata berair, bersin-bersin sehingga timbul masalah pernafasan.
Akibat dari masalah alahan ini, hidup saya ni memang macam asyik bergaru saja. Ada masa, bila teruk sangat alahan, sampai sukar tidur malam kerana bergaru. Kulit luka dan melecet sana-sini. Bila mandi atau berpeluh seolah nak menangis kerana pedih. Ada masa, malu nak keluar berjumpa orang kerana keadaan kulit yang amat menyedihkan.
Kulit muka saya juga amat sensitif. Bila tinggal dikawasan "temperate" dan kering, kulit muka menjadi amat kering, dan ada bahagian seperti di kiri-kanan bibir yang akan merekah hingga susah hendak dibuka mulut kerana sakit. Ada pula capuk-capuk dan sisik di pipi, dagu dan dahi. Lagi pakai make-up, lagi teruk jadinya.
Inilah cerita manusia seperti saya. Masa kecil, selalu kena marah.. "Jangan bergarulah!"... ya Allah. Kalau boleh sayapun tak mahu bergaru kerana akibatnya berkudis, sehingga diejek oleh kanak-kanak lain di sekolah. Tapi dah memang gatal-gatal satu badan tak henti-henti. Letak apapun, tak jalan. Saya amat bersimpati melihat kanak-kanak yang bermasalah macam saya. Orang kalau tak kena, tak akan faham.
Beberapa tahun lalu, saya berpindah ke Namibia dan suhu kering, debu dan keadaan persekitaran mengakbibatkan kulit saya menjadi teramat teruk, saya terpaksa menggunakan krim dengan steroid. Namun semakin di guna, semakin menjadi-jadi hingga bengkak dan timbul nanah, diselang-seli pula dengan serangan penyakit semput. Akibatnya, saya mula kembali membuat penyelidikan tentang cara-cara untuk mengurangkan masalah ini.
Saya tahu masalahnya bukan pemakanan. Saya amat berhati-hati dengan kandungan masakan dan kami amat jarang makan di luar. Saya juga tahu sumber daging dan ayam yang saya masak. Memang tidak ada penggunaan MSG, pewarna, mahupun penstabil kek, pemutih dan pelembut roti yang saya gunakan. Jadi ia datangnya dari faktor luaran - sabun basuh, sabun pencuci baju, pelembut baju, shampoo, sabun pencuci pinggan mangkuk dan lain-lain alat pembersihan rumah.
Jadi, langkah pertama dalam "process of elimination" ialah menyingkirkan penggunaan pembersih kimia, dan gantikan dengan campuran air dengan cuka, soda bikarbonat+cuka, serta lemon. Saya juga menukar sabun basuh dan pelembut baju. Setelah beberapa minggu, alahan mula berkurangan, tapi masih ada.
Saya juga membaca tentang sabun dan alatan membersihkan diri. Apa yang saya dapati dari bacaan amat menakutkan saya. Sabun yang dibeli biasanya mengandungi bahan-bahan kimia yang dibuat dari bahan-bahan petroliam dan mengandungi pengawet dan agent antibacterial. Ada juga bahan-bahan yang digunakan dalam sabun yang boleh mengakibatkan cancer atau "carcinogenic". Ada yang menyifatkan sabun komersil sebagai bukan lagi sabun, tapi synthetic detergent. Sedangkan sabun natural hanya mengandungi lelemak atau minyak dan lye yang menukarkan minyak itu melalui proses "saponification" dan menjadikannya sabun. Sabun natural sepatutnya tidak perlu mengandungi bahan kimia lain. Patutlah selepas mandi kulit saya rasa amat tegang, semakin kering dan akan gatal-gatal tidak lama kemudiannya. Semakin banyak membaca tentang sabun, saya tahu saya perlu bertukar pada sabun asli. Ia bukan lagi pilihan, tapi kemestian.
Namun, sabun asli juga ada menggunakan lemak haiwan seperti lembu dan khinzir (jika baca ingredients sabun, sodium tallowate ialah lemak lembu, dan sodium lardate ialah lemak khinzir). Kalau beli sabun asli industri kampung di negara ini, saya tidak akan tahu lemak apa yang digunakan kerana tiada label bahan-bahan.
Oleh itu, saya semakin bertekad untuk membuat sabun sendiri.
Seterusnya saya mula menyelidik tentang berbagai-bagai jenis minyak dan bahan-bahan botani, khasiatnya untuk kulit dan tubuh dan mula memikirkan kombinasi base / carrier oil, dengan emollient dan essential oils untuk mendapatkan hasil yang terbaik.
Memandangkan lokasi saya di benua Afrika, saya juga mula membaca dengan meluas tentang minyak-minyak botani tempatan seperti Argan, Marula, Babassu, Baobab, Mongongo, Moringa dan bermacam-macam bentuk kemenyan yang digunakan oleh puak Bushmen dan Himba untuk melindungi kulit mereka dari matahari dan cuaca kering di sini. (Mereka ini, mashaAllah, kulit memang cantik dan tidak bertanda mahupun berkedut!) Kesemua bahan-bahan ini adalah natural dan organik, dan bila berkesempatan saya juga mula berjumpa dengan pengeluar minyak-minyak ini untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang asal-usul bahan, proses pembuatan dan paling penting bagi saya juga, impak pengeluaran bahan itu pada alam sekitar. Saya tidak mahu menggunakan bahan yang tidak "sustainable" pada jangka panjang.
Proses mempelajari cara membuat sabun juga agak panjang dan ada beberapa batch yang terpaksa dikuburkan begitu saja. Batch pertama saya adalah "castille soap" base yang saya kemudiannya cairkan dan campurkan dengan essential Tea Tree oil. Sabun ini saya gunakan sebagai sabun pencuci pinggan mangkuk, dan pencuci lantai dan pembersih bilik air. Pembantu saya memberitahu saya setelah beberapa minggu yang kulit tangannya terasa amat lembut semenjak menggunakan sabun minyak zaitun ini. Alahan pada kulit saya juga kebetulan amat berkurangan. Saya mula merasakan yang saya mula menjumpai jalan keluar. Alhamdulillah.
Base Sabun Minyak Zaitun pertama |
Setelah proses pencairan dan ditambah essential oil |
Hasil pembacaan saya membawa saya kepada mentega botani. Cocoa Butter dan Shea Butter. Semakin banyak saya membaca, semakin teruja saya dibuatnya. Shea butter adalah sejenis bahan yang menggalakkan penghasilan collagen secara natural. Kedua-dua shea dan cocoa butter bertindak sebagai emollient iaitu bahan yang melembabkan kulit sambil memberikan satu lapisan lembab yang bertindak sebagai pelindung kulit dari kekeringan.
Namun emollient ini tidak cukup, kulit juga memerlukan bahan humectant yang akan membantu meninggikan kadar kelembapan dan antara bahan-bahan yang dikira menjalankan tugas sebagai humectant termasuklah glycerine, minyak castor dan madu (antara lainnya). Kemudian, bagaimana pula dengan essential oils dan khasiatnya? Apakah kombinasi terbaik yang akan memberikan keharuman dan pada masa yang sama ada khasiat pada kulit dan emosi?
Panjang-lebarkan, cerita saya? Inilah antara falsafah di belakang cara saya formulate sabun saya. Bukan setakat ikut orang kata, "Oh bahan ini bagus"... kita masukkan. Tapi sebelum memilih sesuatu bahan dan menetapkan peratusannya, ia memakan masa beratus jam pembacaan dan percubaan. Maklumlah, yang nak menggunakannya saya, dan keadaan kulit saya ni bermakna saya tak boleh main tibai letak barang. Karang ada yang kena pergi emergency room di hospital berdekatan.
Hasilnya...
Sabun mandi buatan saya. Belah kiri adalah sabun yang formulasinya pada saya sudah cukup baik, dan mendapat feedback 100% positif dari mereka yang menggunakannya. Yang kanan, sabun yang masih dalam proses formulasi dan perlu di perbetulkan lagi, walaupun pada dasarnya... masih amat lembut dan selesa bila digunakan dengan keharuman asli essential oils.
Sudah lebih dari dua tahun saya membuat dan menggunakan sabun buatan sendiri dan Alhamdulillah, buat masa ini masalah kulit saya amat berkurangan, dengan izinNya jua. Ialah, kita sekadar berikhtiar, namun Allah jualah penentu samada ikhtiar dan doa itu akan dimakbulkan dan kita diberikan kesembuhan. Ingat itu, ya?
Antara bahan-bahan untuk sabun khas termasuk minyak avocado dan colloidal oatmeal |
Batch pertama, masih belum perfect |
Walaubagaimanapun, dalam masalah seperti alahan, eczema dan psoriasis, saya rasa untuk mengurangkannya kita perlu lihat pada gaya hidup, pemakanan dan exposure pada bahan kimia. Sabun boleh membantu, tapi ia memerlukan pertukaran gaya hidup yang agak menyeluruh. InshaAllah. Semoga dipermudahkan bagi semua, dan salam hormat dari saya.
No comments:
Post a Comment