Assalamualaikum, selamat pagi. Hari ini tersentuh pula hati untuk menulis tentang bekalan anak ke sekolah. Ramai yang berkomen tentang bekalan anak saya dan tak kurang juga yang menyatakan hasrat mereka untuk turut membawakan anak bekal ke sekolah. Alhamdulillah. Saya sentiasa mendoakan agar mereka yang bertekad untuk membuat sendiri bekalan anak dan suami, supaya dipermudahkan urusan mereka, dan ditebalkan semangat mereka untuk sentiasa istiqomah dalam melakukan pekerjaan tersebut.
Sebenarnya, bagi saya, pemakanan anak dan keluarga memang menjadi keutamaan. Semenjak anak saya kecil, sehingga umurnya hampir 3 tahun, dia tak diberi makanan bergula tambahan, mahupun garam. Kesemua makanannya saya sediakan sendiri. Saya percaya, deria rasa anak kecil amat sensitif dan jika tidak di biasakan dengan rasa manis, masin atau pedas, deria rasa sensitif ini akan menikmati rasa sebenar sayur dan buah-buahan. Jika kita berhenti dari makan gula, selepas seminggu, kita akan rasakan, air kosong pun manis rasanya. Begitulah deria rasa anak-anak. Malahan, kerana tidak dibiasakan dengan gula dan garam, anak saya sewaktu kecil tidak menyukai coklat ataupun jajan seperti chips kerana rasanya yang terlalu manis atau masin. Malahan kuih-muih dan kekpun dia akan makan sedikit sahaja sehingga besar. Alhamdulillah, dia juga tidak mempunyai gigi yang berlubang hinggalah gigi susunya tanggal.
Saya juga membiasakan anak makan sayur dan buah-buahan. Bukan saya paksa. Saya cuma tidak beri pilihan. Sayur dan buah bukan pilihan. Coklat, snacks, makanan segera, itu semua pilihan. Sayur, salad bukan pilihan dan saya tidak benarkan dia memilih. Dari kecil saya makan bersama dengannya sayur-sayuran dan salad. Sesuap saya, sesuap dia. "No big deal" - sayur dan buah adalah makanan yang kita makan pada setiap waktu makan, dan buah-buahan adalah snack terbaik. Tamat perbualan. Apa mak hidang, silakan makan. Kalau ke rumah orang dan rasa bimbang makanan pedas atau masin, ambil sedikit dahulu. Rasa. Jangan memilih. Komen yang baik-baik sahaja. Anakpun tahu, jika dia tidak menjaga budi-bicara dan tingkah laku ketika menjadi tetamu, lain kali dia tidak akan di bawa berjalan. Tak perlu nak marah atau tinggikan suara. Menjaga tingkah laku, seperti makan sayur dan buah-buahan bukanlah pilihan. Simple. Jangan dirumitkan yang mudah.
Ketika usianya 6 tahun, dia mula memasuki pertandingan renang. Latihan renang untuk pertandingan agak intensif, maka makin banyaklah saya membaca tentang pemakanan dan tumbesaran fizikal dan mental kanak-kanak. Akhirnya saya bertekad, untuk memastikan anak saya mendapat makanan lengkap dan seimbang dengan sayur dan buah-buahan, tanggungjawab ini jatuh pada bahu saya sebagai ibu. Saya tak boleh mengharapkan kantin sekolah, pembantu rumah, pengusaha restoran atau orang lain untuk menjaga pemakanan anak sendiri. Sayang, jika sejak kecil saya sudah kawal pengambilan gula dan garam, untuk melepaskan tanggungjawab itu.
Maka bermulalah perjalanan membuat bekalan anak ke sekolah. Memang sukar kerana ketika itu saya bekerja sepenuh masa dalam bidang korporat. Dengan deadline yang bukan-bukan dan balik rumah ada kalanya hanya selepas anak tidur. Namun saya umpamakan tugas membuat menu dan menyediakan bekalan anak itu sebagai satu KPI atau Key Performance Indicator saya. Tidak ada "off-day" dan saya memberikan gred pada diri sendiri. Pada asasnya, gred saya terbahagi pada:
- Adakah semua komponen bekal itu "from scratch";
- Kelengkapan nisbah protein / karbohidrat / kalsium / sayur-sayuran;
- Buah-buahan;
- Feedback baik atau tidak dari anak.
Ada masanya disebabkan kekangan masa, saya terpaksa membeli snack-snack seperti "cheese dippers" dari supermarket untuk diselitkan dalam bekal, dan ini merendahkan gred saya.
Yang pasti dalam komposisi bekalan anak, memang tidak ada air bergula (kecuali susu coklat untuk hari dia berenang pagi dan petang, dan susu coklat adalah dikira sebagai "recovery drink" yang sempurna). Hanya air kosong sahaja yang diminum. Saya juga sering berbual dengan anak bertanyakan pendapat beliau sebagai "customer" saya tentang bekalan makanannya dan mengambil serius maklumbalas beliau - asalkan bukan minta dikurangkan sayur, permintaan tukar sayur atau cara masakannya masih boleh diterima.
Pembacaan saya merangkumi juga jumlah kalori yang perlu diambil. Misalnya, ketika berusia 12-15 tahun, dia melalui program renang intensif pagi dan petang, dan ini mengakibatkan keperluan kalorinya meningkat kepada 2800-3200 kalori sehari. Saya cuba memenuhinya dengan memberikan 2 snack selain dari 3 main meals, dan snack ini adalah sebahagian dari bekalannya. Jadi memang kelam-kabut menyediakan menu setiap minggu, dan memasak setiap hari. Pada ketika yang sama, saya sedang melengkapkan pengajian MA yang agak mencabar. Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan dan membantu saya untuk terus istiqomah.
Kini anak sudah berusia 18 tahun, MashaAllah, TaqabalAllah. Tak lama lagi dia akan meninggalkan rumah dan menempuh kehidupan sendiri, inshaAllah. Tugas saya sekarang merangkumi juga mengajar beliau menyediakan makanan dan bekalan sendiri, selain dari memastikan pemilihan makanan yang baik dan halal apabila makan di luar. Semuanya "tools dan knowledge" yang inshaAllah, saya rasa telah saya semaikan dari kecil. Tanya setiap masa, "daging apa ini?" "halal atau tidak?" Pastikan samada penyediaan merangkumi penggunaan alkohol, dan membaca label ingredients setiap masa. InshaAllah jika sukar, tiada masalah untuk dia memilih makan salad, sayuran ataupun pilihan vegetarian. Alah bisa, tegal biasa.
Tugas kita sebagai ibu bukan sekadar melahirkan dan mengasihi anak kita. Dalam kasih itu, perlu ada ketegasan dan dalam ketegasan itu perlu ada kasih. Kita bukan membesarkan anak untuk menjaga kita apabila kita tua. Tapi, kita membesarkan anak untuk diberikan kepada orang lain untuk menjadi imam, ketua keluarga atau pasangan yang baik, yang berpengetahuan, yang rajin, yang akan menjalankan tanggungjawabnya pada keluarga dengan sebaik-baiknya. Oleh itu, cara yang terbaik, selain dari menyuruh anak-anak membuat itu dan ini, adalah lebih baik untuk kita menunjukkan contoh yang baik dari tingkahlaku kita sendiri. Jangan salah sangka ya? Kita tunjuk contoh sebagai seorang yang rajin dan bertanggungjawab bukan sehingga anak menjadi raja, ya? Berikan mereka tanggungjawab mereka sebagai anak - dan kita jalankan tanggungjawab kita sebagai ibu-bapa mereka. Kasihi mereka dan berikan yang terbaik untuk mereka, tapi berikan juga mereka tanggungjawab dan bantu serta percayai mereka untuk menjalankan tanggungjawab mereka.
Itu sahaja buat kali ini. Semoga kita sentiasa diberikan taufik dan hidayah dan menjadi ibu-bapa yang baik bagi anak-anak kita dan semoga anak-anak kita semuanya menjadi penyejuk mata dan hati kita dan orang yang mengasihi mereka. Ameen, Ameen, Ameen, Ya Rabbal Alameen.
Salam hormat dari kakak...