Sunday, August 26, 2018

Kek Marble Gebu, lembut, cair di mulut....


Kek kegemaran saya ialah kek yang wangi dengan bau butter dan vanilla, cair di mulut kerana proses "creaming" butter dan gula yang lengkap, dan gebu serta halus bak sutera akibat telur yang dipukul hingga betul-betul kembang, dan proses reaksi antara buttermilk dan bicarbonate of soda. Kek yang gebu dan lembut tanpa bantuan ovalette atau penstabil seperti SP. Kek original tanpa rasa sintetik bahan kimia. Sedapnya.

Saya terjumpa resepi ini dalam blog http://www.houseofannie.com/. Setelah mencuba sekali, sejak 6 tahun lalu, saya terus jadikan kek ini keeper recipe bagi keluarga saya.

Bila membuat kek asas seperti kek marble ini, kita harus pastikan bahan-bahan yang digunakan adalah yang terbaik. Jangan guna marjerin atau buttercup atau lepa campuran. Gunalah butter seperti Anchor, Lurpak atau President. Saya gunakan coklat Lindt 70% cocoa untuk rasa coklat yang mendalam dan amat lemak. Kek ni, kalau kita belipun dah mahal. Jadi, bila kita buat untuk makan sendiri, belilah bahan yang terbaik. Baru berbaloi duit karan oven tu, pada saya lah.

Baiklah, mari kita tengok resepi kek ini:



100 gm coklat yang anda suka rasanya
360 gm butter berkualiti (unsalted) 
2 cawan gula halus
1/2 sudu teh garam laut
6 biji telur grade A 
2 sudu kecil vanilla paste/extract / esen 
*1/2 sudu teh soda bikarbonate
*1/2 sudu teh baking powder
* 3 cawan tepung
(*ayak bersama)
1 cawan buttermilk (jika ada) atau
1/2 cawan yogurt asli full cream 
1/2 cawan susu segar
Parutan kulit 1 biji orange (optional)
1/2 sudu kecil esen orange (optional)


Mula-mula, panaskan oven pada suhu 160 darjah celsius.
Sapukan acuan kuih dengan mentega, alas dasarnya dengan baking paper dan sapukan sedikit butter pada baking paper tersebut.

Cairkan coklat dalam mangkuk yang diletakkan diatas periuk berisi air panas. Bila cair, sejukkan pada suhu bilik.

Dengan menggunakan cake mixer, pukul butter dengan gula hingga kembang dan berwarna putih. Masukkan telur satu per satu. Pukul setiap telur sekurang-kurangnya selama seminit sebelum dimasukkan sebiji lagi telur. Kaup adunan dengan spatula sekali-sekala untuk pastikan telur dan butter bersatu.
Masukkan vanilla dan pukul lagi. Ketepikan mixer.

Dengan menggunakan senduk kayu, masukkan secawan tepung dan aduk kan dengan lemah-lembut kedalam adunan telur dan butter. Cukup sekadar adunan rata.

Masukkan 1/2 cawan buttermilk atau susu. Adukkan lagi. Masukkan secawan lagi tepung, adukkan rata.

Masukkan 1/2 cawan lagi buttermilk atau yogurt. Aduk.
Akhirnya masukkan cawan tepung ketiga.

Apabila adunan nampak licin dan gebu, ambil beberapa senduk adunan dan campurkan kedalam mangkuk coklat cair yang sudah disejukkan. Masukkan parutan kulit orange dan esen orange (jika menggunakannya) dalam adunan ini.

Selang-selikan lapisan putih dan coklat dalam acuan kek. Bila habis semua adunan, gunakan pisau untuk buat lorekan antara warna putih dan coklat. Hentakkan acuan kek diatas meja beberapa kali untuk memastikan adunan kembali bersatu.

Bakar antara 55-65 minit (bergantung pada oven). Jangan terlebih bakar sehingga atas kek keras atau garing.

Keluarkan kek dari oven. Tutup acuan ketat-ketat dengan kertas aluminium dan biarkan kek berwap hingga sejuk.

Bila sejuk baru keluarkan dan potong.


Kek ini biasanya memang cantik, leper di atas dan tidak merekah jika kita jaga suhu oven pada tahap 160 darjah dengan baik. 
Sekiranya tidak ada bekas kek 10 inci, boleh juga digantikan dengan 1 bekas 8 inci, dan 1 bekas loaf pan.

Selamat mencuba :)

No comments:

Post a Comment

Memupuk Adab Bertamu bersama Anak

 **Penulisan saya ini tidak merangkumi anak-anak istimewa yang mungkin memerlukan cara mendidik yang lebih spesifik atau cara behavioral m...