Sunday, August 26, 2018

Resepi Ayam ala KFC "from scratch"


Sejak anak saya kecil, makanan kegemaran dia adalah ayam. Kalau setiap hari masak ayam pun laku. Masa saya bekerja, saya sering bawa anak makan di sebuah restoran ayam goreng terkenal. Nak kata sering tu, mungkin dalam seminggu atau dua minggu sekali. Kononnya "treat" bagi dia. Semakin lama, semakin kurang puas hati pula bila memikirkan keadaan kentang putar yang dibuat dari "dehydrated potatoes" dan entah apa lagi bahan kimia dan perasa, sedangkan bukan lah susah sangat untuk membuat kentang pusar di rumah menggunakan kentang dan susu. Ada pula beberapa kali, ayam yang dibeli teramat masin. Saya juga perhatikan, apabila ke restoran fast-food, terdapat pengaruh untuk meminum air manis dan bergas.

Akhirnya, saya ambil keputusan untuk memberi anak saya alternatif kepada makanan segera tersebut. Saya buatkan di rumah. Sebenarnya, apabila anak biasa makan kentang putar yang kita buat sendiri, kentang putar segera di restoran itu menjadi amat hambar.

Saya kongsikan di sini, step by step cara membuat ayam goreng western dengan kentang pusar dan gravy.

Bahan-bahan ayam goreng:
Siapkan perapan ayam malam sebelumnya:
2 ekor ayam dipotong 12 setiap satu.
Perapkan dengan 250ml buttermilk (1 cawan susu full cream + 1 sudu besar cuka)
Sedikit Garam, 1 sudu besar garlic salt
1 sudu besar lada sulah, sedikit cayenne pepper
2 biji telur dan 1 cawan tepung gandum.





Gaulkan ayam dengan semua bahan-bahan dan biarkan dalam fridge beberapa jam atau semalaman. Keluarkan sebentar sebelum menggoreng supaya ayam tidak terlalu sejuk sebelum digoreng.






Sementara ayam sedang diperap, siapkan tepung berperisa untuk menggoreng ayam dengan mencampurkan:
2 cawan tepung gandum
2 sudu besar garlic salt
1 sudu besar paprika
1 sudu besar cayenne pepper / serbuk cili
1.5 sudu kecil lada sulah
2 sudu kecil poultry seasoning / maggi cukup rasa / serbuk kari





Ayam yang sudah diperap sedia untuk digoreng.












Sementara itu, panaskan minyak. Golekkan ayam yang telah diperap dalam tepung berperisa tadi.










Gorenglah ayam menggunakan api sederhana. Selalulah balik-balikkan ayam supaya warnanya elok dan masak sekata.






Ayam yang telah siap digoreng bolehlah diletak dalam oven bersuhu 80 darjah C untuk kekal panas sementara menunggu waktu dihidangkan. Jangan lupa untuk membiarkan pintu ketuhar terbuka supaya ayam tidak berwap dan kulitnya tidak basah dan lembik.





Sementara ayam digoreng, siapkan bahan untuk kentang pusar dan rebuskan kentang hingga lembut. Bahan-bahannya:
1-2 biji kentang kecil / sederhana setiap orang. 
Kupas, potong saiz bola ping-pong, rebus dalam air bergaram hingga lembut.
Bahan-bahan lain  bergantung pada jumlah kentang:
Susu segar,
Butter, garam, lada sulah dan lada hitam.


Apabila kentang telah lembut, toskan airnya. Simpan dalam setengah cawan air rebusan kentang. Jangan biarkan kentang sejuk. Kena buat step selepas ini secepat mungkin - rentikanlah dok skodeng status FB orang kejap! (pesanan untuk diri sendiri).









Panaskan susu dan butter serta sedikit garam hingga susu mendidih.








Sementara menunggu susu mendidih dan butter cair, kita sadokan lengan dengan melenyek kentang tadi hingga halus dan tidak berketul.

Nota** Sebenarnya kentang ni ada dua jenis. Satu jenis "waxy" - lebih sesuai untuk dibuat potato salad atau direbus makan begitu saja - isinya tak "fluffy" dan akan berketul. Satu lagi jenis "floury" yang elok digunakan untuk begedil, kentang putar, french fries, baked potatoes. Jenis "floury" ni termasuklah kentang jenis Russet. Biasanya kulit kentang ni agak tebal dan kesat.


Bila susu sudah mendidih, curahkan susu dan butter sedikit-sedikit dan lenyekkan dengan kentang hingga mendapat kepekatan yang diingini. Saya gunakan tangan dan bukan pemukul elektrik sebab kalau silap gaya dengan pemukul elektrik ni, kanji kentang akan terlebih pukul menjadikan tekstur kentang pusar kita seperti gam. Kalau masih agak keras, masukkan sedikit air rebusan kentang (pastikan air ini masih panas). Perisakan dengan garam, lada sulah dan lada hitam,




Adoi, kentang pusar ni makan macam ni pun dah sedap. Oklah, kita hidangkan dengan gravy jadi lebih umph.








Cara membuat gravy:
Bahan: 1 sudu besar butter, 3/4 sudu besar tepung gandum, 2 sudu besar stok pekat ayam, 1 cawan susu, air, lada sulah dan lada hitam, garam.








Saya gunakan stok pati ayam pekat ini. Di Malaysia, Maggi ada stok ayam pekat ini dalam botol  Bagi saya kalau ada tanda halal Jakim tu, inshaAllah, saya yakin. Beruntung orang di Malaysia ada badan halal yang membantu kita membuat pilihan yang baik. Alhamdulillah.









Panaskan butter dengan api rendah. Masukkan tepung.










Kacau rata dalam seminit dua, pastikan tepung tidak hangus.


Masukkan stok pekat ayam tadi. Kacau rata.



Ia akan memekat.


Masukkan susu, kacau hingga pekat. Tambahkan air hingga dapat kepekatan yang disukai. Rasa dan tambah garam/serbuk lada sulah dan serbuk lada hitam.


Siap untuk dihidangkan. Saya tak letak apa-apa pewarna/kicap dalam gravy ayam tu.. oleh itu warnanya agak pucat. 
Saya rasa, jika buat majlis makan-makan yang ramai anak-anak, lebih jimat buat begini daripada membeli dari restoran makanan segera. 






Selamat mencuba, ya. 

2 comments:

Memupuk Adab Bertamu bersama Anak

 **Penulisan saya ini tidak merangkumi anak-anak istimewa yang mungkin memerlukan cara mendidik yang lebih spesifik atau cara behavioral m...