Thursday, October 25, 2018

Perihal Kerjaya Sebagai "Professional Housewife" dan Resepi Spinach and Cheese Balls

                            


Assalamualaikum para pembaca blog ini. Apa khabar? Harapnya sihat-sihat belaka dan ceria selalu. Hari ni mood memasak saya agak lemau. Mungkin sebab lebih teruja nak duduk dalam workshop buat sabun. Seronok buat sabun ni susah nak bayangkan. Tak apa, saya share cerita sabun bila saya buat post pasal sabun. Ni post pasal masakan, kan?

Sebelum saya share resepi, marilah saya berceloteh sedikit tentang role "professional housewife" ini. Sebenarnyakan, sewaktu saya buat keputusan untuk berhenti bekerja pada tahun 2008 dan menumpukan masa pada suami dan anak, memang hati saya teramat berat dan ada masanya seolah sukar hendak menerima hakikat itu. Setelah bekerja keras menginjakkan kaki dalam bidang Komunikasi, HR dan Learning & Development di bidang korporat, biasa dengan kesibukkan, pemikiran strategik dan bercita-cita untuk melangkah lebih jauh lagi... tiba-tiba saya disedarkan tentang pentingnya untuk bersama suami dan anak, untuk menumpukan fokus saya pada mereka. Allah maha agung. Jika diberikan saya kebebasan memilih, mungkin saya akan memilih untuk terus berkerjaya kerana pada suatu masa dahulu, saya bercita-cita tinggi. Namun saya diberikan peringatan bahawa kesihatan suami dan anak adalah kurniaNya jua dan boleh ditarik bila-bila masa. Alhamdulillah, peringatan yang diberikan amat halus dan tidak menimbulkan kesalan. Namun bagi saya, ia adalah peringatan tentang prioriti hidup yang cukup jelas. Alhamdulillah.

Jadi memandangkan saya memilih untuk meninggalkan kerjaya demi kepentingan keluarga, tidak wajarlah jika saya mengambil lewa tugasan saya sebagai isteri dan ibu. Sebagaimana saya sibuk mengejar peluang untuk meningkatkan kemahiran untuk kenaikan pangkat di tempat kerja, sekarang ini saya sibuk mencari peluang meningkatkan kemahiran di dapur, di ruang tamu, di taman / kebun dan di workshop sabun saya untuk menjadi isteri dan ibu yang memudahkan tugas serta menggembirakan suami dan anak. Tidak senang ya, menjadi professional housewife ini. Bukan apa, kalau di tempat kerja, sentiasa disediakan berbagai kursus untuk meningkatkan prestasi kita diberbagai bidang. Sebagai seorang professional housewife, tak ada siapa yang akan buatkan "career development plan" atau "career pathing" kita. Kita sendiri kena pilih haluan dan mencari peluang untuk belajar dan meningkatkan kemahiran. Semuanya self-learning. Dah belajar macam-macam pula, haha.. janganlah harap nak naik pangkat. Tingkatkan kemahiran semata-mata untuk redha Allah, kasih sayang suami dan anak.

Salah satu cara saya untuk kekal relevan dalam rumah ini ialah, walaupun sudah tidak berkerjaya, saya tetap meluangkan masa setiap hari untuk membaca berita dunia, mengikuti perkembangan politik dan ekonomi dunia. Saya suka dapat berbual dengan suami dan anak tentang berbagai topik. Suami juga suka menghantarkan gambar keratan-keratan akhbar saban hari tentang topik-topik yang kami minati. Alhamdulillah. Topik perbualan kami merangkumi banyak hal yang tidak kena-mengena dengan rumah, anak, pekerjaan, hal orang lain atau kucing kami. Anak juga sering mengajak saya berbincang tentang tugasan-tugasan sekolahnya. Kami sama-sama membaca tentang topik-topik pelajaran dan ada masanya kami berdebat tentang sesuatu topik. Dia juga suka bertanya tentang hal-hal subjek Bahasa Inggeris dan English Literature. Bagi saya, bila ibu dapat berbicara, bertukar idea, berbincang dan berdebat dengan anak tentang topik-topik persekolahan mereka, ia dapat merapatkan hubungan kerana ikatan ibu-anak, guru-anak, sahabat-anak itu dapat digabungkan. InshaAllah. Jadi, inilah salah satu Key Performance Indicator (KPI) saya sebagai isteri dan ibu. Jadi sumber ilmu, rakan berbual dan bertukar fikiran. Jadi isteri dan ibu bukanlah hanya di dapur saja. Kita jugalah penyeri ruang tamu, penyambut tetamu serta penjaga maruah suami. Tajamkanlah ilmu pengetahuan dan pemahaman tentang peradaban supaya kita tidak malap di mana-mana, namun tidak juga mendahului atau berlebih-lebih hingga mengaibkan suami mahupun anak. Semoga Allah swt sentiasa membantu kita menjalankan tugas sebagai isteri dan ibu dengan cara terhormat yang terbaik, tanpa mendatangkan keburukan atau kesulitan pada mana-mana pihak, Aamiin.

Hal-hal masakan, saya hanya menunggu signal dari suami dan anak tentang mood mereka. Ada masa mereka ada mood untuk makan masakan tradisional Malaysia. Tapi ada juga musim bila mereka selalu ke gym dan cuba meningkatkan tahap kesihatan dan mahukan makanan sihat. Apa saja mood mereka, inshaAllah saya akan bersedia. Kata orang putih, "variety is the spice of life"... Selalulah berubah-ubah approach juadah yang kita hidangkan. Bawa mereka merantau ke serata dunia dengan masakan kita. Selang-selikan makanan indulgent yang mereka amat sukai, dengan healthy, clean food. Sebagai manusia, tekak kita berbeza. Ada masa kita mahu kari, ada masa kita mahu salad. Kalau diberi salad sentiasa, memang mogoklah ahli dalam rumah ni. Jadi kita kena pandai-pandai bahagikan menu demi kesihatan orang yang tersayang. Yang penting... buanglah gula. Buang jauh-jauh. Tak payah beli untuk masakan harian pun tak apalah. 

Minggu ini nampaknya keluarga saya ada mood untuk makanan sihat. Anak pun ada hint-hint - "salad hari tu sedaplah, Mama", "kalau bawa masakan vegetarian ke sekolah ok juga, Mama". Saya ni tak mahu dia jadi vegetarian. Selalu saya kata pada anak yang dalam Al-Quran takde cerita tentang diet vegetarian ni. Kita makan apa yang Allah dah ciptakan halal untuk kita, tapi berpada-pada jumlahnya. Fitrah manusia itu memang omnivore, tapi iya, kita boleh kurangkan pengambilan daging. Cuma janganlah haramkan pada diri apa yang tidak diharamkan dalam agama. Kalau memudaratkan kesihatan kerana allergic tu lain cerita. Kalau dah kena gout, dan ada makanan yang perlu dipantangkan lain cerita. Senang saja.

Oleh sebab anak sibuk dengan nak cuba kurangkan makan daging, hari ni saya bekalkan dia dengan wholemeal pesto pasta, mushrooms dan spinach cheese balls. Berseri wajahnya bila masuk dapur. Alhamdulillah. OKlah, anak. Semoga awak sihat-sihat dan dilindungi dari segala kemudaratan yang kami ketahui ataupun tidak. Semoga dikurniakan segala kebaikan dan kejayaan di dunia dan akhirat hendakNya. Saya ni bukanlah jenis emak yang cakap perkataan "sayang", "love", "darling" dan lain-lain tu. Tapi sayang saya lebih pada perbuatan dan usaha untuk menyukakan dan menjaga anak dan suami. Semoga mereka menyedarinya dan semoga Allah meredhai diri dan usaha saya untuk suami dan anak. Begitu juga bagi semua isteri-isteri dan ibu-ibu kaum muslimah sekelian. Aamiin, Aamiin, Aamiin, Ya Rabb.

Resepi Spinach and Cheese Balls:


  • 6 cawan baby spinach segar (dibasuh bersih, rendam dengan air garam jika bukan organik)
  • 3 cawan air mendidih
  • 1/4 cawan daun basil segar
  • 1/2 cawan keju cheddar di sagat (boleh gantikan dengan parmesan)
  • 1/4 cawan keju feta di "crumble" kan
  • 1 cawan serbuk roti (saya guna roti wholemeal yang di keringkan dan di blender kering)
  • 3 biji telur saiz besar
  • 1/2 sudu kecil serbuk bawang putih (garlic powder)
  • sedikit garam dan black pepper
Caranya:

1. Curah air mendidih ke atas baby spinach yang sudah dibersihkan. Tutup supaya wap tidak keluar. Biarkan selama 3 minit.
2. Toskan baby spinach, bilas dengan air sejuk. Perah kering.
3. Cincang halus baby spinach itu.
4. Cincang halus juga basil segar.





5. Campurkan semua bahan tadi dalam satu mangkuk. Gaul Rata.
6. Panaskan oven 180 darjah Celsius.






7. Bulat-bulatkan ramuan tadi. Jadikan bebola











8. Aturkan atas dulang pembakar yang telah dialas dengan kertas parchment.

9. Bakar 20 minit.








10. Bila sudah keperangan, keluarkan dan sewaktu ia masih panas, boleh lah taburkan sedikit keju mozzarella di atasnya. (Saya masukkan beberapa biji dalam mangkuk dan taburkan mozzarella sedikit).

11. Sedap dimakan begitu saja, atau di hidang dengan pasta pesto sebab flavour profilenya sama.

12. Boleh juga dibuat bebola dan freezekan sebelum dibakar. Bila perlu, keluarkan dari freezer, tak perlu di defrostkan - terus letak dalam dulang pembakar dan masuk oven.


Saya buat dan bakar semua. Lebihan saya masukkan dalam resealable bags. Masukkan dalam fridge. Bila anak mahu, dia boleh panaskan sendiri dalam microwave (30 saat - 1 minit), dengan mozzarella jika dia suka.

Selamat mencuba dan salam hormat.

1 comment:

  1. Jazaakillaah Puan Ida..
    Nampak mudahsaja bahan-bahnnya dan sedappp...
    Insya Allah nak try masak utk anak-anak

    ReplyDelete

Memupuk Adab Bertamu bersama Anak

 **Penulisan saya ini tidak merangkumi anak-anak istimewa yang mungkin memerlukan cara mendidik yang lebih spesifik atau cara behavioral m...