Antara nikmat tinggal di negara bermusim ni ialah bila mula musim bunga dan musim panas, sayur-sayuran daun hijau penuh di pasaran. Pilih sajalah mahu yang organik atau konvensional. Tepuk dada tanya selera. Bagi saya, sayuran yang akan dimakan mentah, biasanya saya akan memilih jenis organik. Cuma perlu basuh bersih untuk hilangkan kotoran, tak perlu risaukan racun dan bahan kimia.
Di Namibia ini, waktu musim panas, suhunya agak ekstrem. Siang boleh mencapai 36-38 darjah C, dan malam boleh serendah 14-16 darjah C. Perbezaan suhu yang besar ini menyebabkan kadangkala tidak berapa selera nak makan yang panas-panas atau pedas-pedas. Sedap lagi makan jenis-jenis salad atau masakan yang tidak terlalu pedas atau berat.
Pada hujung minggu, sewaktu pergi membeli barang dapur, teruja nampak daun-daun salad romaine yang berkilat-kilat kesegaran. Ada pula daun nya yang masih muda (baby cos/romaine). Dalam hati memang terus berkata, sedap kalau buat caesar salad ataupun boleh juga dibuat san choy bao, iaitu daun lettuce berisi daging / ayam. Baby spinach dan basil juga, mashaAllah... hijau, berkilat, menawan. Saya ambil beberapa packet untuk membuat pesto. Ada juga courgettes muda-muda. Kalau ikut hati, memang saya rembat juga, tapi memikirkan besarnya laaaa fridge kat rumah tu, semua nak sumbat. Takpe, menu hari lain lah kita beli, inshaAllah. Kalau ikut nafsu, hmm semua nak diangkut.
Ada yang bertanya, Puan diet ke, Puan? Makan salad? Hmmm, sebenarnya, caesar salad ni bukanlah makanan diet, ya. Tinggi kandungan calorie dressingnya tu. Satu serving Caesar salad lebih dari 500 calorie kalau dilambakkan dressingnya. Cumanya, bila makan banyak daun-daun ni, ia tinggi serat berbanding dengan nasi putih. Digandingkan pula dengan dada ayam tanpa kulit yang digrill, iaitu protein yang mengambil waktu untuk dicernakan, memang rasa kenyangnya lama. Dressing caesar yang rasa lemak berkrim tu juga menghantarkan "satiety signals" pada otak, mengakibatkan kita rasa puas dan kenyang. Jadi pada saya, Chicken Caesar salad ini cukup lengkap dan mengenyangkan. Tak perlulah nak tambah nasi ke, pasta bagai. Tapi, kalau makan salad dengan dressing vinaigrette, biasanya memang saya tak rasa kenyang lama. Hairan, kan? Akan terjadilah episod tengah malam dok mengadap depan fridge macam zombie.
Dressing Caesar Salad ni, kalau di restoran mewah, mereka buat fresh depan mata kita. Ia menggunakan kuning telur mentah, yang dicampur dengan lemon juice dan minyak zaitun dan digaul hingga menjadi emulsion dan diperisakan dengan bawang putih, anchovies (ikan bilis yang telah dicure dengan garam dan disimpan dalam minyak sayuran, lebih kurang ikan tenggiri peram kita lah), dan jenis keju parmesan seperti parmigiano reggiano, grana padano atau pecorino romano. Biasanya, jika dibuat begini, dressing itu cukup untuk sekali makan sahaja dan tidak disimpan.
Masalah saya, hmmm, saya suka nak ada lebihan dressing ni dalam fridge. Bila-bila nak snack, bolehlah main cicah-cicah dengan daun salad, atau kalau nak makan dengan asparagus ke. Anak pun nak bawa ke sekolah. Jadi saya kena gunakan resepi yang boleh tahan lama sikit. Jadi, saya tak buat mayonis sendiri menggunakan telur mentah. Saya gantikan dengan mayonis botol. Biasanya dengan cara ini, dressing ini boleh tahan seminggu dalam fridge jika disimpan dalam botol. Kalau di rumah saya... hmmmm. InshaAllah tak sampai seminggu dah khatam. Selagi ada daun salad, ada saja yang nak mengulang.
OKlah, mari kita tengok cara membuatnya:
Dressing Caesar:
2 ulas bawang putih
5 ekor ikan anchovies (dalam botol tu)
2 sudu besar jus lemon segar (1 biji lemon)
1 sudu kecil mustard (saya suka dijon)
1 sudu kecil worcestershire sauce (optional)
1 cawan mayonnaise
1/2 cawan keju parut jenis parmesan (saya gunakan pecorino romano)
Sedikit garam dan black pepper
Minyak zaitun extra virgin (jika perlu)
Kerana saya menggunakan emulsion / stick blender, saya masukkan bawang putih,, serta worcestershire sauce (jika gunakan) dalam jug kaca.
5 ekor ikan anchovies (dalam botol tu)
2 sudu besar jus lemon segar (1 biji lemon)
1 sudu kecil mustard (saya suka dijon)
1 sudu kecil worcestershire sauce (optional)
1 cawan mayonnaise
1/2 cawan keju parut jenis parmesan (saya gunakan pecorino romano)
Sedikit garam dan black pepper
Minyak zaitun extra virgin (jika perlu)
Kerana saya menggunakan emulsion / stick blender, saya masukkan bawang putih,, serta worcestershire sauce (jika gunakan) dalam jug kaca.
Perahkan jus lemon segar.
Masukkan mustard. Saya suka gunakan wholegrain, dijon mustard. Sila check senarai ingredients untuk pastikan tidak ada wine yang digunakan seperti "chardonnay", atau lain-lain bahan yang kita was-was dalam mustard itu.
Sebenarnya bila dok luar negeri ni begitulah bila shopping. Semua barang nak beli, kita dah disiplinkan diri baca dulu senarai ingredients sebab kami takde JAKIM yang mengeluarkan sijil halal. Jadi, mula-mula check sijil halal. Jika tak ada, rajinkanlah membaca senarai ingredients. Kalau semua benda takde logo halal kita nak boycott... hmmm susah sikit nak hidup kat negara luar yang bukan Islam ni. Inilah realitinya.
Blend semua bahan tadi, masukkan 1 cawan mayonnaise dan blend lagi hingga creamy. Masukkan keju parmesan yang kita parut sendiri - saya gunakan pecorino romano kali ini.
Memang boleh beli powder keju parmesan dalam botol, atau dalam packet kecil-kecil. Tapi percayalah, kalau kita dah biasa guna Keju Parmigiano Reggiano, Pecorino Romano atau Grana Padano dalam block dan diparut sendiri, memang berbeza profil rasanya.
Sila buat "taste test" ya? Letakkan dressing tu atas daun salad dan rasa. Jika terlalu pekat, tambahkan minyak zaitun dan blend. Jika masih pekat, dan jika terlalu masin, tambahkan air panas, blend lagi hingga dapat kepekatan yang disukai. Tambah black pepper, adjust perasa. Saya tak tambah lagi garam sebab anchovies dan keju dah cukup masinnya, mayonnaise pun sudah ada garam, kan?
Siap dah dressing kita. Sejukkan dahulu biar flavoursnya mesra.
Sambil tu taste test lagi beberapa kali. Sebab, biasanya saya tak menyempat nak rasaaaaaa.
Sementara tu, kita assemble salad.
Drizzle minyak zaitun yang sudah diperisakan dengan sedikit bawang putih cincang atas roti perancis yang sudah di dadu. Gaul dengan tangan. Bakar dalam oven 160 darjah C hingga garing (jangan hangus!) Sejukkan.
Saya campurkan daun lettuce romaine (atau cos). Jika panjang-panjang sangat boleh lah kerat 3. Yang comel-comel tu biarkan saja. Saya suka letak dressing kat tepi dan main cicah-cicah daun kecil-kecil tu.
Hiris lebihan keju pecorino romano itu menggunakan pengopek kulit timun.
Campurkan semua bahan ini dan biarkan hingga tiba waktu makan. Boleh juga diletak dalam fridge sementara kita grill ayam.
Dada ayam tanpa kulit ini saya ketuk dulu menggunakan mallet hingga nipis. Kemudian saya marinadekan semalaman dengan 4 ulas bawang putih cincang, 6 sudu besar minyak zaitun, 1 sudu kecil thyme, 1 sudu kecil oregano, kulit sebiji lemon yang disagat (lemonnya saya gunakan untuk dressing), garam dan black pepper.
Panaskan kuali grill dan masakkan ayam hingga keperangan pada kedua-dua belah. Jangan lama sangat ya? Nanti dia keras dan kering macam sabut!
Hidangan makan malam kami - ayam tengah grill waktu ni. Jadi takde dalam gambar.
Salam hormat dan selamat mencuba.
No comments:
Post a Comment