Friday, September 7, 2018

Kek Coklat Tanpa Butter atau Minyak.. Sedap pula tu...


Bila saya memasak sesuatu, selang beberapa hari anak bujang berbunyi... "bila Mama nak buat lagi ...", maknanya resepi itu kena dimasukkan dalam senarai resepi kegemaran. Kek Coklat ini pertama  kali saya rasa di majlis mesyuarat Persatuan Pasangan Diplomat di sini. Ianya dibawakan oleh rakan dari kedutaan Amerika Syarikat. Biasanya saya amat mengurangkan memakan manisan di majlis keraian, tapi pada hari itu, saya tergerak untuk merasa kek ini. Memang sedap. Teksturnya seakan Red Velvet Cake - halus dan lembut macam baldu. Rasa manis yang bersesuaian. Rasa coklatnya diimbangi dengan rasa frosting cream cheese.. hmm, dengan tanpa segan silu, saya bertanya resepi.

Yang lebih menakjubkan... kek ini tidak mengandungi butter atau minyak! Saya paling tak suka buat kek kerana step "creaming" butter dan gula. Malas nak guna mixer. Nak basuh lagi. Alaaa. Tak suka. Tapi kek ni hanya perlu dibancuh dengan tangan, dan ianya menggunakan mayonis.. bukan butter mahupun minyak. Hmmmm.  Saya bawa balik sedikit kek untuk suami dan anak. Habis. Licin. Esoknya saya buatkan kek ini memandangkan kami ada tetamu, dan bahannya memang ada dalam pantry saya. Rata-rata yang merasa kek ini memuji dan memang habis sekali hidang. 

Inilah resepi Kek Coklat Mayonis yang memang sedap:

Bahan-bahan untuk kek 8 inci:
1 cawan gula
2 sudu teh bicarbonate soda
1/4 sudu teh garam laut
2 sudu besar serbuk koko
2 cawan tepung
--- campur semua bahan kering ini dalam mangkuk. Kacau rata.
Masukkan pada tepung bahan kering:
 3/4 cawan mayonis
1 cawan air (saya gunakan kopi o tanpa gula, panas)
1 biji telur

Gaul rata. Masukkan adunan dalam acuan kek 8 inci yang telah diminyakkan dan dilapik kertas minyak. Bakar 40-45 minit pada suhu 170 darjah celsius (kalau oven berkipas, pada 150 darjah celsius). Sejukkan kek yang masak dan belah dua.

Sementara kek masak, kita buat cream cheese frosting:


Pukul 250 gm cream cheese yang sudah ada pada suhu bilik dengan 100 gm butter.
Bila kembang, masukkan 1 cawan gula aising dan 1 sudu teh esen vanilla. Pukul lagi. 
Jika terlalu pekat, masukkan 1 sudu besar susu. Pukul hingga fluffy dan ketepikan.






Sejukkan dan ia boleh dimakan. 

Selamat mencuba dan salam hormat.

Thursday, September 6, 2018

Meatloaf Individu untuk Bekalan dan Makanan Ringan


Assalamualaikum. Lambat pula bersiaran hari ini sebab terpaksa keluar rumah atas urusan dan kemudiannya menyiapkan kerja-kerja yang tidak pernah putus. Alhamdulillah.Saya memang amat menghargai masa yang dapat saya penuhi dengan berbagai aktiviti wanita dan kerja-kerja sukarela, namun jika tiada kerja di luar, waktu akan dipenuhi dengan membaca dan mempelajari berbagai hal dan menulis. Seronok sungguh apabila terjumpa bahan-bahan bacaan dalam bidang yang saya minati, atau terjumpa bidang baru untuk dipelajari kerana "life is about growing internally". 

Hari ini, saya nak kongsi resepi yang sedap dan mudah ini. Meat Loaf. Hmm kalau orang dengar meatloaf, mungkin ada yang kata... "boring". Namun, resepi meatloaf ini telah saya olah dan amat disukai oleh anak saya. Lebih-lebih lagi bila dihidang dengan "mashed potatoes" dan sayur garing seperti kacang buncis ataupun asparagus.

Inilah resepinya: (saya buat lebih, kemudian saya bekukan dan boleh di defrost oleh anak untuk makan tengahari cepat kalau mamanya sibuk).

Bahan-bahan: (Campurkan kesemua bahan meatloaves ini)
1 kg daging cincang (saya suka pilih bahagian daging kurang berlemak seperti top side dan campurkan dengan sirloin untuk di mesin). Bila guna daging segar seperti ini, meat loaf, meaatballs, burger patty semua tidak mengecut kerana kurang jumlah lemak yang cair dan terbuang amat kurang).
2 biji telur
1 cawan keju cheddar (parut)
1 cawan serbuk roti (saya gunakan roti wholemeal, bakar dan grind dalam blender kering)
1 sudu kecil garam
1 sudu kecil serbuk lada hitam

Bahan topping:
  • Dalam satu mangkuk kecil, campurkan 1/4 cawan sos cili Thai dengan 1/4 cawan mayonis
  • Sedikit "wholegrain" mustard 
  • keju cheddar parut secukupnya

 

Inilah botol wholegrain mustard yang saya gunakan.











Caranya:

1. Panaskan oven ke 200 darjah C
2. Ambil adunan meatloaf yang telah dicampurkan semuanya.


3. Masukkan adunan meatloaf itu ke dalam muffin tin yang telah dilenserkan dengan minyak.

4. Sapukan atasnya dengan 1/4 sudu kecil wholegrain mustard.






5. Letak sesudu kecil campuran sos cili Thai dan mayonis.










6. Taburkan parutan keju cheddar.
7. Bakar dalam oven selama 20 minit









Beginilah rupanya. Kekuningan di atas, dan meatloafnya masak, tapi masih lembab dan tidak keras.









Keluarkan dari  muffin tin. Boleh dimakan begitu saja, atau dengan mashed potatoes, atau french fries dan salad. Boleh juga dihidang dengan salad saja.







Contoh bekalan sekolah: Meatloaves (sebab 2), dengan mashed potatoes dan kacang buncis rebus / kukus yang di letak sedikit garam laut dan sos cili Thai dan mayonis.
Lebihan boleh dibekukan. Saya buat beberapa packet dalam 1 portion untuk sekali sesi pemanasan kembali :)




Wednesday, September 5, 2018

Bahasa Inggeris: Antara Kefasihan dan Ketepatan





Saya sering terima pertanyaan, bagaimana hendak memastikan anak fasih dalam bahasa Inggeris. Isu fasih ni, saya macam teragak-agak sedikit. Bagi ramai orang, asalkan seseorang itu bercakap bahasa Inggeris dengan laju dan tidak merangkak-rangkak mencari perkataan, orang itu dianggap "fasih" atau "berhabuk". Kena pula orang yang bercakap tu mengenakan "accent" omputih. Ramai juga memberitahu saya, "Alah, saya tak risau anak saya tu, dia fasih cakap English, lagi fasih dari BM".

Malangnya, dari apa yang saya lihat, kefasihan tidak semestinya diterjemahkan pada ketepatan berbahasa. Bila bercakap, ramai yang memang lancar berbahasa Inggeris, (walaupun ada kesilapan grammar, sebutan dan lain-lain), kerana dalam percakapan, komunikasi berlaku dengan pantas dan kita lebih mementingkan kefahaman dari ketepatan, melainkan bila kesilapan bahasa itu mengakibatkan salah faham.

Walaubagaimanapun, apabila masuk pada bidang penulisan, ada masanya, berkerut juga dahi saya bila membaca mesej what'sapp, tulisan status dalam facebook dan lain-lain. Dalam penulisan, kesilapan dari segi nahu, pemilihan perkataan dan ejaan teramat ketara, kerana yang membacanya mempunyai masa untuk menganalisa tulisan tersebut. Sehinggakan bagi saya, bila menulis status FB, berkali-kali saya memeriksa dan mengedit tulisan saya. Namun kadangkala ada kesilapan kecil yang tetap mengecewakan diri sendiri.

Bagi saya, tidak salah untuk menulis dalam bahasa kedua kita, dan memang ramai akan berkata... kalau tak cuba, lagi lah kita tak akan meningkatkan kebolehan diri kita. Betul, saya setuju. Tapi, kalau setakat tak pasti akan ejaan, kita boleh dengan cepat menggunakan google, online dictionary dan lain-lain. Periksa lah. 

Bagi yang menulis status sepenuhnya dalam bahasa Inggeris. Tolonglah perhatikan penggunaan grammar anda. Orang Malaysia ada kelemahan dari segi penggunaan tense, antara lainnya. Apakah present, past dan future? Misalnya, perkataan "freeze", "froze" dan "frozen" itu semuanya membawa makna berlainan. Memanglah, kita kata "frozen food", tapi bila kita membekukan sesuatu, kita gunakan perkataan "freeze", misalnya "kita boleh freezekan (bekukan) karipap ini," bukan "kita frozenkan karipap ini". Kalau tak pasti, tak salah menggunakan perkataan "bekukan"... semua orang faham, dan ianya betul dalam konteks itu.

Jadi: Frozen Currypuff - betul.
        Saya freezekan karipap - betul.
        Selepas itu, bolehlah kita frozenkan - salah
        Saya suka frozenkan roti canai yang saya buat - salah
Frozen itu hanya digunakan pada benda yang sudah disejuk-bekukan. Kalau kita baru nak bekukan, kita "freeze", boleh?

"Tense" dalam bahasa Inggeris ini amat susah untuk digunakan dengan tepat kerana kita perlu faham beberapa perkara, antara lainnya:

1) Parts of speech: kita perlu kenal "verb" atau kata kerja dalam setiap frasa. Kata kerja akan berubah mengikut konteks masa. Kita juga perlu tahu "noun" sebagai subject, dan tahu samada subject itu singular atau plural, kerana ia akan menukarkan verb dalam present tense. Ini dikenali sebagai "subject-verb agreement" - misalnya I walk, he walks, they walk, Intan and Siti walk together daily.

2) Form: kata kerja itu ada beberapa bentuk: infinitive / base form atau bentuk asal misalnya "freeze", present tense "freeze / freezes", present continuous tense "am/is/are freezing," past tense "froze", past continuous "was / were freezing",  future "will freeze", future continuous tense, "will be freezing", dan past participle "frozen". Kata kerja "Freeze" ini dikatakan irregular sebab past participlenya lain dari past (frozen vs froze). Kalau regular, ianya seperti kata kerja "walk". Past tense "walked", past participle juga "walked".
** Saya belum sentuh lagi perfect tenses kerana dari segi form - present perfect (has/have + past participle), past perfect tense (had + past participle), future perfect (will have + past participle), lagi banyak yang perlu dikupas.

3) Function: Penggunaan tense tertentu untuk fungsi-fungsi tertentu. Misalnya perbezaan makna "I went to the gym this morning", dengan "I have gone to the gym everyday this week". Mahupun, "I sat, and she arrived" berbanding "I was sitting when she arrived". Kesemua ayat-ayat itu mempunyai makna yang berbeza dan kita perlu memilih penggunaan tense yang betul untuk menyampaikan maksud kita dengan tepat.

Yang biasa saya lihat ialah, penggunaan tense yang bercelaru, tanpa mengira ketepatan form mahupun function. Tak salah untuk menulis dalam bahasa Inggeris, tapi fahamilah grammarnya dan gunakan dengan betul, kerana bila menulis, setiap kesalahan kita amat jelas dan pada saya, ia seolah-olah menampakkan ciri-ciri "tidak apa" dan "asal boleh" pada diri kita. Kalau kita boleh berhalus dalam banyak hal lain, kenapa kita tak berhalus dalam menulis? Bukankan penulisan itu merupakan ketrampilan kita di media sosial?

Satu lagi kesilapan yang selalu dilakukan ialah penggunaan kata kerja atau "verb" selepas "modal". 
Modal ialah perkataan seperti "can", "could", "may", "shall", "should" (ada banyak lagi, ya? Kalau berminat, boleh google senarai "modals"). Apabila kita menggunakan modal, kata kerja seterusnya mestilah dalam bentuk "infinitive" atau "base form". Misalnya:

"He can drive"
bukan 
"He can drives"

"I should go to the gym"
bukan 
"I should goes to the gym"

Kesalahan modal dan infinitive verb ini terlalu kerap dilakukan oleh kebanyakan penulisan yang saya lihat, sedangkan grammar rulenya amat simple sekiranya kita kenal apakah "modal" dan kata kerja yang kita gunakan selepasnya.

Sebenarnya ada banyak lagi perkara yang ingin saya sentuh... namun cukuplah buat masa ini. Amat penting untuk saya tekankan, kalaupun kita bercakap dengan anak-anak dalam Bahasa Inggeris, dan anak-anak kita kelihatan fasih, ia tidak bermakna penggunaan bahasa itu tepat. Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketepatan atau accuracy penggunaan bahasa Inggeris kita dalam percakapan, dan lebih-lebih lagi bila menulis, kerana kitalah model bahasa anak-anak kita di rumah. Ingat, jangan jadi seperti ketam mengajar anak berjalan lurus. Perkasakan bahasa kita, supaya penguasaan bahasa anak-anak kita lebih baik dari kita.

Terima kasih kerana membaca, dan salam hormat dari saya.


Tuesday, September 4, 2018

Baked Rice dengan Ayam dan Cendawan


Ada masanya saya ni nostalgia dengan restoran-restoran di Malaysia. Membesar di JB dahulu, ada satu restoran yang pada saya agak mewah, dan kami hanya pergi bila ada special occassion. "Swensen's" saya tak tahulah kalau ada sesiapa ingat Swensen's? Tempat makan ice-cream sundae, brownie ala mode, banana split... kiranya antara pengenalan saya kepada makanan orang Amerika pada awal tahun 90an.

Antara hidangan bukan manisan / ice cream di Swensen's yang saya sukai ialah "Baked Rice" nya. Hmm, memang sedap dimakan panas-panas. Berkeju, berkrim.. aduhai. Bila saya cari resepinya, ada saya jumpa tapi kebanyakannya menggunakan sup cendawan dalam tin. Saya cuba mengurangkan penggunaan bahan-bahan dalam tin, jadi saya cuba olah sendiri resepi ini menggunakan krim masakan, stok pekat ayam dan cendawan butang segar. Anak saya amat suka "baked rice" ini dan pernah saya buatkan untuk majlis makan-makan di sekolahnya. Setelah itu, pantang ada makan-makan di sekolah, "baked rice" inilah yang diminta oleh rakan-rakan dan guru-gurunya :)

Resepinya seperti di bawah ya? (Kalau lebih, baked rice ini boleh di freezekan).

Bahan-bahan:
2 sudu besar butter
500 gm cendawan butang (kupas dan hiris)
500 gm dada ayam yang sudah siap dimasak dan dicarik (saya gunakan lebihan dada ayam dari sushi semalam)
3 pot nasi putih / perang yang sudah di masak
6 bawang putih (cincang)
2 sudu besar stok pekat ayam
1 cawan krim masakan (pastikan tidak ada gula dalam senarai ingredients ya)
(boleh saja gantikan stok ayam dan krim masakan ini dengan 3/4 tin sup cendawan berkrim Campbell's)
Keju mozzarella dan cheddar yang di sagat (ikut suka banyak mana, anak saya suka lebih cheese).
Garam dan lada hitam secukup rasa.
Daun parsley untuk hiasan

Cara-cara:

Panaskan butter, apabila cair dan kuali panas, masukkan cendawan butang hiris. Tumis hingga air cendawan kering dan cendawan mula wangi.






Masukkan bawang putih yang sudah dicincang. Kacau hingga wangi.







Masukkan dada ayam yang telah dicarik/dicubekan. Saya biasa gunakan dada ayam bakar / poach (rumah ni tak suka dada ayam, jadi saya simpan dada dari roast chicken untuk digunakan dalam masakan seperti ini).
Masukkan stok pekat ayam, krim, garam dan lada sulah. Kacau rata hingga sedikit pekat. Rasa kemasinan kuah pada waktu ini. Agak-agak rasanya bila masuk nasi nanti. Ingat kita akan letak cheese, jadi jangan masin sangat.

Masukkan nasi yang sudah dimasak (panas pun ok). Kacau rata. Tambah lada sulah jika suka.







Masukkan separuh daun parsley yang sudah di hiris, kacau rata. Jika nasi terlalu kering, boleh masukkan sedikit lagi krim. Nasi ini agak basah sedikit berbanding dengan nasi goreng. Tak banyak, basah sedikit.





Masukkan nasi tadi ke dalam bekas pembakar yang sudah di sapu mentega. Ratakan dan tabur cheese campuran mozzarella dan cheddar. Taburkan sedikit parsley lebihan tadi.

Bakar dalam oven 200 darjah C hingga elok keemasan.







Senang, kan? Untuk anak-anak yang tak berapa suka nasi, bolehlah dicuba berikan baked rice ini dengan sup sayur. Saya suka hidangkan dengan sayur kukus. Boleh dibuat sebagai side-dish pada Roast Chicken (buat baked rice dengan mushrooms saja, tak payah letak ayam).




Inilah bekalan anak saya ke sekolah hari ini, baked rice, dilengkapi dengan sayur broccoli kukus dan buah-buahan segar.  Ada juga lebihan baked rice, saya freezekan untuk hari-hari bila saya sibuk dan anak perlukan makanan segera. Dia cuma perlu defrostkan dan microwave.



Monday, September 3, 2018

Muffin Pisang, Raisins dan Buttermilk dengan Nutella


Muffins adalah jenis kuih yang paling mudah dibuat kerana hanya memerlukan dua mangkuk dan senduk. Tak perlu mixer, pemukul dan peralatan lain. Muffins tak boleh terlebih pukul. Ia akan jadi keras. Memadai campur ala-ala bersatu sahaja. Gluten dari tepung adalah musuhnya, jadi jangan berkobar mensadokan lengan.

Muffins pisang dan raisins ni kerapkali saya buat setiap kali melawat ke Mammadu. Kenapa? Sebab ia mengandungi pisang dan raisins yang memberikan tenaga dan saya buat dengan tepung wholemeal kerana ia mengenyangkan. Biasanya saya berikan muffins ini untuk dibawa balik ke rumah kerana lazimnya kami melawat dan memasak untuk mereka pada hari Jumaat.

Sedikit latar-belakang anak-anak yatim dan miskin di Mammadu. Anak-anak ini tidak menetap di Mammadu. Mereka tinggal dengan ibu atau bapa yang masih ada, atau bagi yang yatim-piatu, mereka tinggal dengan saudara mara. Segala keperluan persekolahan, makan pagi dan tengahari ditanggung oleh Mammadu. Pakaian, dan kelengkapan kebersihan juga ada di Mammadu. Jadi anak-anak ini pulang ke rumah selepas makan, memberus gigi dan bersalin baju serta membawa baju persalinan untuk hari seterusnya.  Penjaga tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan, hanya cukup menyediakan bumbung untuk mereka berteduh. 

Oleh itu, hari Jumaat tengahari itu adalah makanan berkhasiat terakhir sebelum hujung minggu yang boleh diberikan di Mammadu. Itulah antara sebabnya kami ke sana dengan makanan pada hari itu. Tidak diketahui apa yang dimakan anak-anak ini pada hari Sabtu dan Ahad. Untuk layak menjadi anak Mammadu, mereka datang dari keluarga miskin tegar dengan pendapatan isi rumah kurang dari RM200 sebulan. Jadi bila saya ke sana, saya cuba bekalkan muffins untuk mereka makan bila lapar di rumah. Memang tidaklah banyak mana yang dapat kami bantu... dan memang amat sedih apabila melihat anak-anak sekecil 4 tahun melangkah pulang dengan muffin di simpan dalam kocek dengan penuh hati-hati.

Untuk majlis 31 Ogos, saya buatkan sedikit kelainan dengan menambah sedikit Nutella dalam muffins ini. Amat berselera sekali mereka memakannya. Inilah resepinya :

Untuk 24 muffins:
3.5 cawan tepung gandum (atau wholemeal)
1 cawan gula perang (brown sugar)
4 sudu kecil baking powder
2 sudu kecil baking soda
500 ml buttermilk
6 biji pisang saiz sederhana di lenyek (tak perlu halus sangat)
4 sudu besar minyak sayuran
2 biji telur (dikocok sedikit)
2 sudu teh vanilla
500 gm raisins
Kacang - saya biasa gunakan pecan 2 cawan - potong kecil-kecil, tak perlu halus. Saya tambahkan untuk tinggikan nilai protein dan lebih mengenyangkan. Tak mahu tambah kacang pun tak apa
Nutella (optional)

Caranya:
Panaskan ketuhar 200 darjah C
1. Satukan tepung, gula, baking powder, bicarb soda dan raisins. Gaul rata dalam satu mangkuk.
2. Dalam satu mangkuk lain, satukan buttermilk, pisang lenyek, minyak, telur, vanilla. Kacau rata.




Tuangkan adunan basah dalam adunan kering. Kacau cukup sekadar adunan bersatu. Masukkan sedikit-sedikit adunan (1.5 sudu besar) dalam tin muffin yang dialas dengan kertas cupcake. Masukkan sesudu kecil Nutella. Bakar antara 18-20 minit. Nutella akan tenggelam oleh adunan muffin ketika di bakar.



Salam hormat dari saya dan selamat mencuba.


Stew Kambing dengan Sayuran dan Kacang Kuda


Saya suka buat lamb stew yang dagingnya amat lembut berperisa, dan tak memerlukan garfu untuk meleraikan dagingnya. Alhamdulillah, dengan adanya "slow cooker" atau "crock pot",  lamb stew ini boleh di buat awal-awal dan dibiarkan merenih, sementara kita membuat kerja lain.

Beginilah resepinya:

Lamb Stew with Chickpeas and Vegetables
1 kaki kambing (saya minta dipisahkan daging dan tulang, dan daging dipotong kiub sebesar setengah tapak tangan) - daging ini saya perisakan dengan garam dan lada hitam, dan digolekkan dalam tepung).
2 sudu besar minyak zaitun
3 biji bawang besar (hiris)
5 ulas bawang putih (dicincang)
1 sudu kecil paprika
1sudu kecil serbuk halia
1 sudu kecil serbuk kayu manis
1 sudu kecil serbuk jintan putih
1 sudu kecil serbuk ketumbar
2 helai daun bay
300 ml stock daging
3 tin tomato x 400 gm
100 gm buah aprikot kering dicincang
1 tin (400gm) kacang kuda / garbanzo beans / chickpeas
3 batang carrot (dipotong bulat-bulat)
400 gm butternut squash (didadu)
1-2 zucchini (dipotong bulat-bulat)
Lada benggala merah dan kuning (jika suka)

Caranya:
Panaskan minyak zaitun dalam periuk besar. Tumis dan "seal" daging yang telah di salut sedikit tepung. Biarkan perang (mungkin dalam 3-4 minit), dan angkat, masukkan segenggam lagi daging. Buat hingga daging habis. Jangan masukkan terlalu banyak daging. Nanti berair dan daging tak perang.

Ketepikan daging tadi, dengan menggunakan minyak yang sama, tumiskan bawang besar hingga lembut, masukkan bawang putih. Gaul elok-elok. Masukkan carrots. Kacau beberapa minit.

Masukkan tulang kambing. Gaul rata dan pada ketika ini masukkan semua rempah serbuk. Kacau dan biarkan masak dalam 5 minit.

Masukkan daging dan air yang berkumpul dan kacau rata, biarkan beberapa minit sebelum memasukkan stok. Kacau dan biarkan stok mendidih. Tambah sedikit garam. Kacau.

Masukkan tomato dalam tin, kacau, masukkan kacang kuda, buah aprikot kering. Apabila semua telah rata. Masukkan stew ke dalam slow cooker.

Masak hingga daging lembut 4-6 jam. (Jika hendak hidangkan pada kanak-kanak, keluarkan tulang kambing, ambil daging pada tulang dan masukkan daging balik ke dalam slow cooker. Tulang bolehlah diketepikan).

Masukkan sayur-sayuran - masak lagi sejam hingga sayuran lembut. Rasakan garam dan blackpepper. Tambah jika perlu.

Hidangkan dengan mashed potatoes atau French baguette. Sedap juga dimakan dengan nasi.


Puji-pujian dan kebimbangan...



Assalamualaikum. Harapnya semua yang membaca post pada hari ini berada dalam keadaan sihat walafiat hendaknya.

Setelah 3 hari "bercuti" dari menulis dalam blog ini, ada bermacam-macam perkara dan resepi yang ingin saya kongsikan. Namun, biarlah pagi ini saya menulis tentang kegiatan saya di sini dan mengapa saya kongsikan di FB. Sebenarnya setiap kali saya berkongsi kegiatan membaca atau bersama anak-anak yang kurang bernasib baik, mahupun kegiatan melatih guru-guru dan sukaralewan dalam bengkel-bengkel membaca, terlintas dihati saya untuk tidak memuat naik di FB. Bimbang terdapat perasaan ujub, riak dan ingin menunjuk-nunjuk di situ. Bimbang juga persepsi mereka yang ingin menghukum. Ya, itu satu kerisauan yang amat benar di hati saya, setiap kali saya menekan butang "share".  Kerisauan ini melanda sudah lama dalam hati sanubari ini, dan puas saya mendalami motif saya berkongsi.

Sesungguhnya, tujuan saya berkongsi bukan untuk menerima pujian. Sesungguhnya, saya amat takut pada pujian dan perkataan "idola". Sesungguhnya yang layak menerima pujian hanyalah Allah swt, dan saya hanyalah hambaNya yang cuba menjalankan tanggungjawab saya kepada anak-anak yang amat memerlukan sesuap makanan, senyuman tulus ikhlas, tangan yang memeluk dan hati yang mengasihi mereka. Mereka perlukan masa dan perhatian kita, dan memandangkan anak saya sudah besar, apalah salah berkongsi kasih dengan mereka ini?

Iya, tapi tak perlulah kita kongsi di FB, bukan? Bukankan ibadah itu lebih baik dilakukan diam-diam tanpa diketahui orang lain? Betul. Tapi setiap kali saya bertekad untuk tidak berkongsi, ada mesej yang saya terima dari orang yang tidak saya kenali, yang mengikuti kegiatan saya, yang mengatakan mereka rasa bersemangat untuk membuat kerja-kerja amal tapi tak tahu bagaimana nak memulakan langkah dan mesej-mesej yang sepertinya. Jadi saya berkongsi, kerana pekerjaan membantu anak-anak ini tidak serumit yang disangka. Saya juga mahu menunjukkan bahawa membantu sesama manusia boleh dilakukan dengan banyak cara dan ianya mendatangkan kegembiraan yang teramat bagi yang dibantu, dan lebih-lebih lagi pada yang dapat menghulurkan bantuan. Sesungguhnya, senyuman gembira dari kedua-dua pihak tak boleh di buat-buat demi lensa kamera.

Membantu orang yang memerlukan boleh dilakukan dengan semudah membawa sebuah beg plastik berisi air minum, roti bersapu marjerin dan sebiji telur rebus. Malahan air dan pisang juga mencukupi. Jika terlihat peminta sedekah, kita berikan plastik tersebut. Jika tiada peminta sedekah, mungkin ada tukang sapu sampah atau sesiapa yang memerlukannya. Jika susah untuk memberi makanan, boleh saja kita meluangkan masa membaca buku atau bermain dengan kanak-kanak di rumah anak yatim atau pusat perlindungan anak-anak, mahupun anak-anak dikejiranan ataupun di hospital. Tidak salah juga melawat orang tua yang anak-anak duduk jauh dan membantu apa yang patut. Jika tidak mahu membaca dengan anak-anak, tidak apa. Anak-anak kecil yang ketiadaan ibu-bapa amat suka dibelai, dipangku dan dipeluk. Mereka suka jika ada orang dewasa yang mendengar perbualan mereka, memberikan mereka masa bertanya khabar dan memberitahu mereka bahawa mereka juga dikasihi, dan mereka akan menjadi seorang manusia yang berjaya dan mulia. Ceritakan benda yang elok-elok. Namun amat penting untuk konsisten. Jangan menghampakan mereka kerana anak-anak ini berharap akan kehadiran kita. Dengan cara ini, kita dapat membantu bukan hanya dengan memberikan wang atau barang-barang.

Jadi tujuan saya berkongsi adalah dengan harapan mereka yang melihat turut merasa bahawa mereka boleh melakukannya. Jika tak boleh dengan anak-anak yatim dan yang memerlukan, memberikan kasih sayang dan masa serta tumpuan sepenuhnya pada anak-anak dan anak-anak saudara kita juga merupakan ibadah. Sesungguhnya, tiada apa yang istimewa yang saya lakukan. Memang saya amat berminat memasak, jadi memasak untuk anak-anak ini tidaklah dirasakan berat. Saya juga amat berminat membaca, jadi membaca bukanlah satu yang susah untuk saya lakukan dengan anak-anak ini. Kebetulan, saya juga mempunyai kelayakan dan pengalaman mengajar di berbagai peringkat, oleh itu, tidak salah untuk berkongsi pengetahuan dengan mereka yang memerlukan.

Yang penting bagi saya ialah, saya tidak mahu melelehkan air mata apabila melihat anak-anak miskin di sini. Air mata adalah murah. Semua orang boleh menangis. Tapi apa yang boleh saya lakukan untuk membantu serba sedikit, berkongsi rahmat yang telah Allah swt kurniakan pada saya saban hari, saban waktu, saban saat saya menghela nafas di dunia ini? Saya juga amat bersyukur kerana diberikan kelapangan waktu dan dibukakan jalan-jalan untuk berkhidmat dengan cara yang mendatangkan senyuman dibibir saya, membenarkan saya tidur lena pada waktu malam. Kegembiraan melihat dan meluangkan waktu bersama anak-anak inilah yang menjadikan kehidupan yang mencabar ini lebih indah bagi saya. Alhamdulillah.

Jadi, tak perlulah memuji dan memanggil saya "idola" sebab saya melakukan semua ini untuk menggembirakan hati sendiri. Jika saya tidak menjalankan tanggungjawab saya, saya bimbang akan disoal dibelakang hari. Sekiranya semua membantu serba sedikit membawa senyuman pada mereka yang memerlukan disekeliling kita, inshaAllah, kehidupan kita juga akan dipenuhi dengan senyuman dan kegembiraan, inshaAllah. Jika boleh, kita turunkan juga sifat bantu-membantu mereka yang memerlukan pada anak-anak kita. Wang boleh dicari, tapi kepuasan mendatangkan senyuman pada wajah mereka yang memerlukan itu, tidak dapat di ganti dengan apa cara sekalipun. MashaAllah.







Memupuk Adab Bertamu bersama Anak

 **Penulisan saya ini tidak merangkumi anak-anak istimewa yang mungkin memerlukan cara mendidik yang lebih spesifik atau cara behavioral m...