Tuesday, October 9, 2018

Kerek dan Mengada-ngada?

Assalamualaikum, apa khabar semua? Harapnya sihat-sihat belaka, inshaAllah. 

Sebenarnya saya tahu, mungkin ada rakan-rakan FB saya yang mungkin berkecil hati dengan post-post dan komen saya berkenaan pertanyaan dan bila saya minta anda mencari sendiri link, atau jawapan dalam post ataupun komen, atau di wall saya. Mungkin ada yang tidak biasa di suruh berbuat begitu, mungkin ada yang rasa saya ni mengada-ngada, "Eleh benda simple tu pun tak mahu jawab. Kereknya!"

Hmmm kalau ada yang terasa saya ni "kerek", saya minta maaf. Tapi sebenarnya, dari kecilpun ada golongan bebudak di sekolah saya yang kata saya "kerek". Jadi bila dah tua ni digelar kerek.. dah  tak terasa kerana dah tepu, kot? 

Biarlah saya terangkan kenapa saya lebih suka menggalakkan rakan-rakan FB saya untuk melatih diri mencari sendiri jawapan pada persoalan  mereka dengan membaca post betul-betul, tengok gambar dan baca caption, skrol komen-komen dahulu. Begitu juga menggalakkan rakan-rakan FB membuat carian FB, atau mencari jawapan menggunakan "Google" dan "Google Image".

Bukanlah saya tak benarkan bertanya. Cuma saya minta cari dulu jawapan dari post, caption di gambar dan komen-komen dahulu. Kalau tak jumpa jawapan, silalah bertanya. Biasanya saya suka menjawab jika soalan itu memang orang belum pernah tanya. Tapi kalau asyik berulang-ulang saya di tanya benda yang sama, memang saya jadi kurang sabar. Harap faham, ya? Saya bersyukur yang ada juga yang ingin membaca coretan saya, tapi sesiapa pun, kalau kena soal benda yang sama berkali-kali (lebih-lebih lagi bila kita dah cukup berhati-hati untuk menulis hal itu dalam post dan caption gambar), mungkin jadi kurang sabar. Itu saja. Sebagai manusia saya ni banyak kelemahan, kan? Menjawab soalan yang sama berulangkali itu memang dugaan sedikit bagi saya :)

Sebenarnya, syukurlah dunia sekarang ini sudah digital. Pengetahuan inshaAllah ada di hujung jari. Ada yang kata, "wah Ida, awak ni serba-serbi pandai, Alhamdulillah Allah mengurniakan awak berbagai kepandaian". MashaAllah, Tabarakallah.  Sebenarnya saya ni tidaklah pandai. Mungkin lebih banyak memandai-mandai dari pandai. Sebabnya, selain dari melanjutkan pelajaran dalam bidang pengajaran Bahasa Inggeris, saya tidak menyertai apapun kelas masakan, nutrisi, keibu-bapaan, atau membuat sabun. Kalau ada pun saya masuk kelas menghias kek "Wilton" sampai tahap menggubah kek fondant, namun amat jarang saya gunakan pengetahuan dan kemahiran ini.

Pembacaan saya tentang berbagai perkara ini biasanya bermula dengan pertanyaan dalam kepala saya. Misalnya, saya terfikir, "apa agaknya bahan kimia yang digunakan dalam sabun komersil?", lalu saya akan terus google frasa "chemical compounds in commercial soaps". Dari situ saya akan membaca artikel-artikel yang timbul. Kemungkinan juga saya akan google setiap bahan kimia itu untuk memahami asal-usulnya, kegunaannya, kebaikannya, kemudaratannya. Jadi tak mustahil, satu carian akan berakhir dengan berjam-jam membaca dan menulis nota.  Jika saya inginkan kesahihan pendapat, saya akan cari pula jurnal-jurnal perubatan dan akademik untuk memahami kajian saintifik sesuatu bahan itu sebagai bukti sahih, ada kalanya menggunakan carian Google Scholar. Saya akan juga mencari kajian yang bercanggah dengan sesuatu pandangan itu untuk mengimbangkan pemahaman saya. 

Sebab itulah saya jarang bertanya soalan pada seseorang, melainkan pakar. Jika bertanya dengan pakar, biasanya saya akan meminta juga supaya diberitahu nama-nama pakar lain dan kajian dalam sesuatu perkara supaya saya boleh membaca sendiri untuk mendalamkan pengetahuan. 

Kesimpulannya, jika kita bertanya orang... kita hanya akan dapat satu jawapan. Jika kita mencari sendiri jawapan pada soalan kita, biasanya kita akan dapat banyak jawapan dan juga kemungkinan dapat pengetahuan baru yang lebih menarik, membuatkan kita menyelami ilmu itu dengan lebih mendalam.

Sebagai seorang yang amat suka pada pengetahuan, amat gemar membaca dan belajar benda baru, saya tak faham mentaliti "tanya dahulu, biar orang beri saya jawapan" ini. Pada saya rugi sungguh jika kita hanya mengharapkan seorang manusia untuk memberitahu kita jawapan. Sedangkan satu jawapan tak pernah betul atau lengkap sepenuhnya. Kena pula masa kita tanya, orang itu sibuk dan tidak menjawapnya. Tergantung lah pencarian ilmu kita. Bagaimana pula jika orang itu tak memberikan jawapan yang betul? Bagaimana pula jika jawapan yang di beri itu hanyalah pendapatnya dan bukan fakta? Kita terima bulat-bulat? "Oh, sebab orang tu kata... mesti betul". Kita tak mahu periksa dahulu, kah?

Misalnya. Orang kongsi resepi "Pasta Carbonara". Guna krim, guna susu, letak sosej, letak daging cincang, letak sayur frozen. Walaupun dia pakar masakan. Adakah kita terima bulat-bulat? Ohhh.. ya itu Pasta Carbonara. Atau, adakah kita pergi ke sesawang masakan Itali dan cari "authentic pasta carbonara" untuk melihat apakah resepi sebenarnya? Bagi saya, saya akan buat carian untuk mencari pasta carbonara yang sebenarnya untuk memahami asal-usul terciptanya sos carbonara itu, apakah bahan asalnya, cara membuatnya, dan membandingkan resepi. Mungkin saya juga akan mengkaji perubahan-perubahan yang telah dibuat pada resepi itu untuk memodenkannya oleh pakar-pakar masakan Itali. Saya tak akan telan bulat-bulat setelah melihat satu resepi. Minta maaf. Saya lebih suka memahami sesuatu perkara dengan mendalam.

Jadi, bagi saya.. bila jawapan telah diberi, tapi orang masih lagi bertanya soalan yang sama, pada pemikiran saya, mereka kurang faham pentingnya mencari dan mendalami ilmu. Sebagai guru, tugas saya ialah untuk meminta mereka berubah. Jangan minta "shortcut". Nak belajar, nak ilmu... kita kena rajin cari. Rajin membaca. Ilmu takkan datang bergolek. Kalau perkara yang telah dinyatakanpun kita tak baca, atau tak mahu mencari, macamana hendak mempelajari pengetahuan baru atau mendalami sesuatu ilmu?

Sesungguhnya, sebagai manusia, saya tidak pernah kisah tentang rupa seseorang, cantiknya make-up dia, langsingnya dia, cantik / mahalnya baju, beg tangan, kasut, berlian, barang kemas, besarnya rumah... Itu semua tak penting bagi saya. Pada saya, orang yang saya amat hargai dan segani ialah orang yang berpengetahuan, yang cerdik, yang berdikari, yang luas pembacaannya. Lebih-lebih lagi jika baik tutur kata dan budi bahasanya. MashaAllah.. memang saya sayang dan jaga rakan-rakan saya yang sebegini. Biasanya orang yang mementingkan pengetahuan dan pembelajaran ini juga jarang ada masa untuk bercerita hal orang lain. Itu amat saya hargai juga.

Ada juga yang mengatakan mereka tidak pandai mencari informasi kerana umur. Saya cuma perlu nyatakan, mashaAllah... Ibu saya sekarang berusia 70 tahun. Beliau lebih berpengetahuan dari saya tentang cara mencari ilmu dan memahami selok-belok pencarian di internet dan melalui buku-buku dan pakar-pakar dengan baik sekali. Jadi, tiada alasan untuk kita yang berumur antara 40an, 50an dan 60an untuk tidak belajar menggunakan internet dan lain-lain sumber pengetahuan sebagai lubuk ilmu, sedangkan ibu saya yang dalam umur 70an laju melayari sesawang-sesawang ilmu di world wide web, dan buku-bukunya. Saya doakan yang kerajinan ibu saya membaca dan memikirkan hal-hal ilmiah itu juga membantu dengan memudakan sel-sel kelabunya dan Allah akan berterusan memberikan kesihatan akal-fikiran dan tubuh badan yang baik pada ibu saya, Ameen, ameen, ameen, Ya Rabb.

Jadi saya harap, janganlah berkecil hati bila saya minta para pembaca mencari jawapan melalui pembacaan berhati-hati. Ini semua latihan untuk kita. Lahirnya internet itu ada baik dan buruknya. Pada saya kebaikannya ialah, ia mengurangkan jurang ilmu antara yang ada dan tidak. Sekarang ini, kebanyakan ilmu ada untuk dipelajari, samada kita mahu atau tidak saja... Tapi janganlah pulak sampai buat pembedahan atau beri rawatan pergigian sebab dah tengok caranya di Youtube! Tak perlulah nak bertekak dengan doktor yang belajar bertahun dan menerima berbagai latihan dan berpengalaman, hanya kerana kita berguru dengan Doktor Google selama 3 atau 4 jam. Ada kekangannya belajar dalam internet ini berbanding dengan mengikuti kursus yang di iktiraf oleh badan-badan pengiktirafan. Sedarlah juga yang belajar dengan Google tak memberikan kita martabat sebagai "doktor" atau "pakar". Berpatutan dan bersederhana, lah kan? Ikut logic. 

Itulah saja untuk hari ini. Terima kasih kerana membaca. Ingatlah, biasanya, saya menegur kerana sayang dan hanya kerana mahukan kebaikan bersama :) Bagi saya kita harus belajar dan menimba ilmu selagi hayat masih ada. Kita latihlah sel-sel kelabu yang dikurniakan Allah untuk berfungsi dengan sempurna. Kurangkan menjaga kisah orang lain, lebihkan pencarian ilmu. Semua ini bermula dengan berlatih membaca dengan baik dan berhati-hati. Salam Hormat :)







1 comment:

  1. Saya suka. Amalan membaca harus dipupuk. Membaca juga merangsang sel otak kita

    ReplyDelete

Memupuk Adab Bertamu bersama Anak

 **Penulisan saya ini tidak merangkumi anak-anak istimewa yang mungkin memerlukan cara mendidik yang lebih spesifik atau cara behavioral m...