Thursday, October 25, 2018

Perihal Kerjaya Sebagai "Professional Housewife" dan Resepi Spinach and Cheese Balls

                            


Assalamualaikum para pembaca blog ini. Apa khabar? Harapnya sihat-sihat belaka dan ceria selalu. Hari ni mood memasak saya agak lemau. Mungkin sebab lebih teruja nak duduk dalam workshop buat sabun. Seronok buat sabun ni susah nak bayangkan. Tak apa, saya share cerita sabun bila saya buat post pasal sabun. Ni post pasal masakan, kan?

Sebelum saya share resepi, marilah saya berceloteh sedikit tentang role "professional housewife" ini. Sebenarnyakan, sewaktu saya buat keputusan untuk berhenti bekerja pada tahun 2008 dan menumpukan masa pada suami dan anak, memang hati saya teramat berat dan ada masanya seolah sukar hendak menerima hakikat itu. Setelah bekerja keras menginjakkan kaki dalam bidang Komunikasi, HR dan Learning & Development di bidang korporat, biasa dengan kesibukkan, pemikiran strategik dan bercita-cita untuk melangkah lebih jauh lagi... tiba-tiba saya disedarkan tentang pentingnya untuk bersama suami dan anak, untuk menumpukan fokus saya pada mereka. Allah maha agung. Jika diberikan saya kebebasan memilih, mungkin saya akan memilih untuk terus berkerjaya kerana pada suatu masa dahulu, saya bercita-cita tinggi. Namun saya diberikan peringatan bahawa kesihatan suami dan anak adalah kurniaNya jua dan boleh ditarik bila-bila masa. Alhamdulillah, peringatan yang diberikan amat halus dan tidak menimbulkan kesalan. Namun bagi saya, ia adalah peringatan tentang prioriti hidup yang cukup jelas. Alhamdulillah.

Jadi memandangkan saya memilih untuk meninggalkan kerjaya demi kepentingan keluarga, tidak wajarlah jika saya mengambil lewa tugasan saya sebagai isteri dan ibu. Sebagaimana saya sibuk mengejar peluang untuk meningkatkan kemahiran untuk kenaikan pangkat di tempat kerja, sekarang ini saya sibuk mencari peluang meningkatkan kemahiran di dapur, di ruang tamu, di taman / kebun dan di workshop sabun saya untuk menjadi isteri dan ibu yang memudahkan tugas serta menggembirakan suami dan anak. Tidak senang ya, menjadi professional housewife ini. Bukan apa, kalau di tempat kerja, sentiasa disediakan berbagai kursus untuk meningkatkan prestasi kita diberbagai bidang. Sebagai seorang professional housewife, tak ada siapa yang akan buatkan "career development plan" atau "career pathing" kita. Kita sendiri kena pilih haluan dan mencari peluang untuk belajar dan meningkatkan kemahiran. Semuanya self-learning. Dah belajar macam-macam pula, haha.. janganlah harap nak naik pangkat. Tingkatkan kemahiran semata-mata untuk redha Allah, kasih sayang suami dan anak.

Salah satu cara saya untuk kekal relevan dalam rumah ini ialah, walaupun sudah tidak berkerjaya, saya tetap meluangkan masa setiap hari untuk membaca berita dunia, mengikuti perkembangan politik dan ekonomi dunia. Saya suka dapat berbual dengan suami dan anak tentang berbagai topik. Suami juga suka menghantarkan gambar keratan-keratan akhbar saban hari tentang topik-topik yang kami minati. Alhamdulillah. Topik perbualan kami merangkumi banyak hal yang tidak kena-mengena dengan rumah, anak, pekerjaan, hal orang lain atau kucing kami. Anak juga sering mengajak saya berbincang tentang tugasan-tugasan sekolahnya. Kami sama-sama membaca tentang topik-topik pelajaran dan ada masanya kami berdebat tentang sesuatu topik. Dia juga suka bertanya tentang hal-hal subjek Bahasa Inggeris dan English Literature. Bagi saya, bila ibu dapat berbicara, bertukar idea, berbincang dan berdebat dengan anak tentang topik-topik persekolahan mereka, ia dapat merapatkan hubungan kerana ikatan ibu-anak, guru-anak, sahabat-anak itu dapat digabungkan. InshaAllah. Jadi, inilah salah satu Key Performance Indicator (KPI) saya sebagai isteri dan ibu. Jadi sumber ilmu, rakan berbual dan bertukar fikiran. Jadi isteri dan ibu bukanlah hanya di dapur saja. Kita jugalah penyeri ruang tamu, penyambut tetamu serta penjaga maruah suami. Tajamkanlah ilmu pengetahuan dan pemahaman tentang peradaban supaya kita tidak malap di mana-mana, namun tidak juga mendahului atau berlebih-lebih hingga mengaibkan suami mahupun anak. Semoga Allah swt sentiasa membantu kita menjalankan tugas sebagai isteri dan ibu dengan cara terhormat yang terbaik, tanpa mendatangkan keburukan atau kesulitan pada mana-mana pihak, Aamiin.

Hal-hal masakan, saya hanya menunggu signal dari suami dan anak tentang mood mereka. Ada masa mereka ada mood untuk makan masakan tradisional Malaysia. Tapi ada juga musim bila mereka selalu ke gym dan cuba meningkatkan tahap kesihatan dan mahukan makanan sihat. Apa saja mood mereka, inshaAllah saya akan bersedia. Kata orang putih, "variety is the spice of life"... Selalulah berubah-ubah approach juadah yang kita hidangkan. Bawa mereka merantau ke serata dunia dengan masakan kita. Selang-selikan makanan indulgent yang mereka amat sukai, dengan healthy, clean food. Sebagai manusia, tekak kita berbeza. Ada masa kita mahu kari, ada masa kita mahu salad. Kalau diberi salad sentiasa, memang mogoklah ahli dalam rumah ni. Jadi kita kena pandai-pandai bahagikan menu demi kesihatan orang yang tersayang. Yang penting... buanglah gula. Buang jauh-jauh. Tak payah beli untuk masakan harian pun tak apalah. 

Minggu ini nampaknya keluarga saya ada mood untuk makanan sihat. Anak pun ada hint-hint - "salad hari tu sedaplah, Mama", "kalau bawa masakan vegetarian ke sekolah ok juga, Mama". Saya ni tak mahu dia jadi vegetarian. Selalu saya kata pada anak yang dalam Al-Quran takde cerita tentang diet vegetarian ni. Kita makan apa yang Allah dah ciptakan halal untuk kita, tapi berpada-pada jumlahnya. Fitrah manusia itu memang omnivore, tapi iya, kita boleh kurangkan pengambilan daging. Cuma janganlah haramkan pada diri apa yang tidak diharamkan dalam agama. Kalau memudaratkan kesihatan kerana allergic tu lain cerita. Kalau dah kena gout, dan ada makanan yang perlu dipantangkan lain cerita. Senang saja.

Oleh sebab anak sibuk dengan nak cuba kurangkan makan daging, hari ni saya bekalkan dia dengan wholemeal pesto pasta, mushrooms dan spinach cheese balls. Berseri wajahnya bila masuk dapur. Alhamdulillah. OKlah, anak. Semoga awak sihat-sihat dan dilindungi dari segala kemudaratan yang kami ketahui ataupun tidak. Semoga dikurniakan segala kebaikan dan kejayaan di dunia dan akhirat hendakNya. Saya ni bukanlah jenis emak yang cakap perkataan "sayang", "love", "darling" dan lain-lain tu. Tapi sayang saya lebih pada perbuatan dan usaha untuk menyukakan dan menjaga anak dan suami. Semoga mereka menyedarinya dan semoga Allah meredhai diri dan usaha saya untuk suami dan anak. Begitu juga bagi semua isteri-isteri dan ibu-ibu kaum muslimah sekelian. Aamiin, Aamiin, Aamiin, Ya Rabb.

Resepi Spinach and Cheese Balls:


  • 6 cawan baby spinach segar (dibasuh bersih, rendam dengan air garam jika bukan organik)
  • 3 cawan air mendidih
  • 1/4 cawan daun basil segar
  • 1/2 cawan keju cheddar di sagat (boleh gantikan dengan parmesan)
  • 1/4 cawan keju feta di "crumble" kan
  • 1 cawan serbuk roti (saya guna roti wholemeal yang di keringkan dan di blender kering)
  • 3 biji telur saiz besar
  • 1/2 sudu kecil serbuk bawang putih (garlic powder)
  • sedikit garam dan black pepper
Caranya:

1. Curah air mendidih ke atas baby spinach yang sudah dibersihkan. Tutup supaya wap tidak keluar. Biarkan selama 3 minit.
2. Toskan baby spinach, bilas dengan air sejuk. Perah kering.
3. Cincang halus baby spinach itu.
4. Cincang halus juga basil segar.





5. Campurkan semua bahan tadi dalam satu mangkuk. Gaul Rata.
6. Panaskan oven 180 darjah Celsius.






7. Bulat-bulatkan ramuan tadi. Jadikan bebola











8. Aturkan atas dulang pembakar yang telah dialas dengan kertas parchment.

9. Bakar 20 minit.








10. Bila sudah keperangan, keluarkan dan sewaktu ia masih panas, boleh lah taburkan sedikit keju mozzarella di atasnya. (Saya masukkan beberapa biji dalam mangkuk dan taburkan mozzarella sedikit).

11. Sedap dimakan begitu saja, atau di hidang dengan pasta pesto sebab flavour profilenya sama.

12. Boleh juga dibuat bebola dan freezekan sebelum dibakar. Bila perlu, keluarkan dari freezer, tak perlu di defrostkan - terus letak dalam dulang pembakar dan masuk oven.


Saya buat dan bakar semua. Lebihan saya masukkan dalam resealable bags. Masukkan dalam fridge. Bila anak mahu, dia boleh panaskan sendiri dalam microwave (30 saat - 1 minit), dengan mozzarella jika dia suka.

Selamat mencuba dan salam hormat.

Tuesday, October 23, 2018

Pancake,Griddle Cake atau Drop Scones...

                         

Masa kecil-kecil, saya suka makan pancakes, atau masa tu, emak saya panggil "griddle cakes".  Iyalah, emak kan sekolah zaman sekolah British... jadi kuih ni dimasak atas pan leper yang dipanggil "griddle". Jadilah namanya "Griddle Cakes". Kalau emak buatkan griddle cakes ni, habislah berketul butter saya letakkan masa panas-panas biar dia cair ke tepi. Takde maple syrup, Lyle's Golden Syrup pun jadi. Jem-jem ni saya kurang gemar sikit atas griddle cakes ni. Nak syrup dan butter cair meleleh juga. Ahh nikmat sungguh. Masa tu mana pikir kencing manis lah, gemuk lah. Semua telan.

Bila dah besar, nampak pula tepung Aunt Jemima's pancakes yang siap dalam kotak tu. Beralihlah saya dari membuatnya "from scratch" pada menggunakan tepung yang sudah siap diadun. Convenience lah katakan. Tapi, setelah sekian lama, saya sedar sebenarnya, griddle atau pancakes ni, lebih sedap dibuat sendiri. Kita boleh buat jenis biasa atau buttermilk, namun pada saya yang buat sendiri ni, tiada rasa "sabun" dan lebih fluffy. Jadi saya pun kembali pada asal. Adun sendiri. Bukanlah susah ataupun mahal. Kalau beli pancake flour yang imported tu, sampai berbelas ringgit. Tak berbaloi rasanya.

Cumanya, saya sekarang jarang buat pancakes ni, sebab orang sebelah tak berapa gemor. Dia tak berapa sangat benda manis-manis ni. Kalau saya buat juga, dia akan makan pancakes dengan scrambled eggs dan sausage. Saya dan anak yang beriya nak pancake syrup dan butter bagai. Sekarang ni dah seakan taubat jugalah. Saya lebih suka makan dengan buah-buahan berries segar yang di potong kecil, gaul dengan sedikit icing sugar, lemon juice dan vanilla dibiarkan sebentar hingga lembik atau macerated. Ada kalanya saya buatkan strawberries saja yang di potong kecil, campurkan dengan sedikit balsamic vinegar dan icing sugar. Sedap juga.

Saya ambil resepi pancakes ini dari blog "Pioneer Woman" , sebab memang sedap. Sejak pertama kali gunakan resepi ini 5 tahun dahulu, saya tak ubah dah.

Bahan-bahan:

3 cawan + 2 sudu besar tepung kek
3 sudu besar baking powder
2 sudu besar gula
1/2 sudu kecil garam (kalau tak letak pun takpe sebab kadangkala baking powder pun masin),
2 cawan susu
2 biji telur
3 sudu kecil vanilla
4 sudu besar butter cair
lebihan butter dan maple syrup / pancake syrup

Cara-caranya:

  • Campurkan bahan-bahan kering dalam satu mangkuk kacau rata.
  • Cairkan butter dan biar sejuk sedikit
  • Pukul telur sedikit, campurkan dengan susu, vanilla, butter cair. Kacau sebati.
  • Tuangkan bahan basah dalam bahan kering. Kacau - tapi jangan terlebih kacau. It's ok kalau masih ada bintil-bintil. Agak-agak ya kepekatannya. Kalau pekat sangat, boleh tambah susu. 
** pancake ini juga dipanggil "drop scones" kerana kepekatannya membenarkan ia di ceduk dengan senduk dan di "drop" kan atas griddle. Kalau ianya meleleh, maknanya adunan terlalu cair. Tambahkan sedikit  tepung.

  • Panaskan kuali non-stick, letakkan sedikit butter. Masak pancake itu pada bahagian sebelah dengan api rendah / sederhana hingga berlubang-lubang. Boleh terbalikkan. Masak hingga keperangan.
  • Angkat dan masakkan lagi satu pancake.
  • Letak sedikit butter atas pancake panas itu, dan letakkan sedikit sirap maple / pancake syrup. Letakkan satu lagi pancake panas di atasnya. Letakkan lagi butter dan sirap di atas pancake baru itu.
Sekarang ini, saya tak letakkan sirap lagi kerana saya makan pancakes / griddlecakes / drop scones saya itu dengan buah-buahan.

Salam hormat dan selamat mencuba.




Dinner musim panas... Chicken Caesar Salad



Antara nikmat tinggal di negara bermusim ni ialah bila mula musim bunga dan musim panas, sayur-sayuran daun hijau penuh di pasaran. Pilih sajalah mahu yang organik atau konvensional. Tepuk dada tanya selera. Bagi saya, sayuran yang akan dimakan mentah, biasanya saya akan memilih jenis organik. Cuma perlu basuh bersih untuk hilangkan kotoran, tak perlu risaukan racun dan bahan kimia.

Di Namibia ini, waktu musim panas, suhunya agak ekstrem. Siang boleh mencapai 36-38 darjah C, dan malam boleh serendah 14-16 darjah C. Perbezaan suhu yang besar ini menyebabkan kadangkala tidak berapa selera nak makan yang panas-panas atau pedas-pedas. Sedap lagi makan jenis-jenis salad atau masakan yang tidak terlalu pedas atau berat.

Pada hujung minggu, sewaktu pergi membeli barang dapur, teruja nampak daun-daun salad romaine yang berkilat-kilat kesegaran. Ada pula daun nya yang masih muda (baby cos/romaine). Dalam hati memang terus berkata, sedap kalau buat caesar salad ataupun boleh juga dibuat san choy bao, iaitu daun lettuce berisi daging / ayam. Baby spinach dan basil juga, mashaAllah... hijau, berkilat, menawan. Saya ambil beberapa packet untuk membuat pesto. Ada juga courgettes muda-muda. Kalau ikut hati, memang saya rembat juga, tapi memikirkan besarnya laaaa fridge kat rumah tu, semua nak sumbat. Takpe, menu hari lain lah kita beli, inshaAllah. Kalau ikut nafsu, hmm semua nak diangkut.

Ada yang bertanya, Puan diet ke, Puan? Makan salad? Hmmm, sebenarnya, caesar salad ni bukanlah makanan diet, ya. Tinggi kandungan calorie dressingnya tu. Satu serving Caesar salad lebih dari 500 calorie kalau dilambakkan dressingnya. Cumanya, bila makan banyak daun-daun ni, ia tinggi serat berbanding dengan nasi putih. Digandingkan pula dengan dada ayam tanpa kulit yang digrill, iaitu protein yang mengambil waktu untuk dicernakan, memang rasa kenyangnya lama. Dressing caesar yang rasa lemak berkrim tu juga menghantarkan "satiety signals" pada otak, mengakibatkan kita rasa puas dan kenyang. Jadi pada saya, Chicken Caesar salad ini cukup lengkap dan mengenyangkan. Tak perlulah nak tambah nasi ke, pasta bagai. Tapi, kalau makan salad dengan dressing vinaigrette, biasanya memang saya tak rasa kenyang lama. Hairan, kan? Akan terjadilah episod tengah malam dok mengadap depan fridge macam zombie. 

Dressing Caesar Salad ni, kalau di restoran mewah, mereka buat fresh depan mata kita. Ia menggunakan kuning telur mentah, yang dicampur dengan lemon juice dan minyak zaitun dan digaul hingga menjadi emulsion dan diperisakan dengan bawang putih, anchovies (ikan bilis yang telah dicure dengan garam dan disimpan dalam minyak sayuran, lebih kurang ikan tenggiri peram kita lah), dan jenis keju parmesan seperti parmigiano reggiano, grana padano atau pecorino romano. Biasanya, jika dibuat begini, dressing itu cukup untuk sekali makan sahaja dan tidak disimpan. 

Masalah saya, hmmm, saya suka nak ada lebihan dressing ni dalam fridge. Bila-bila nak snack, bolehlah main cicah-cicah dengan daun salad, atau kalau nak makan dengan asparagus ke. Anak pun nak bawa ke sekolah. Jadi saya kena gunakan resepi yang boleh tahan lama sikit. Jadi, saya tak buat mayonis sendiri menggunakan telur mentah. Saya gantikan dengan mayonis botol. Biasanya dengan cara ini, dressing ini boleh tahan seminggu dalam fridge jika disimpan dalam botol. Kalau di rumah saya... hmmmm. InshaAllah tak sampai seminggu dah khatam. Selagi ada daun salad, ada saja yang nak mengulang.

OKlah, mari kita tengok cara membuatnya:

Dressing Caesar:

2 ulas bawang putih
5 ekor ikan anchovies (dalam botol tu)
2 sudu besar jus lemon segar (1 biji lemon)
1 sudu kecil mustard (saya suka dijon)
1 sudu kecil worcestershire sauce (optional)
1 cawan mayonnaise
1/2 cawan keju parut jenis parmesan (saya gunakan pecorino romano)
Sedikit garam dan black pepper
Minyak zaitun extra virgin (jika perlu)
Kerana saya menggunakan emulsion / stick blender, saya masukkan bawang putih,, serta worcestershire sauce (jika gunakan) dalam jug kaca.


Inilah rupa ikan anchovies dalam botol tu. Saya buat double portion ya, sebab tu nampak banyak. Sila guna 4-5 ekor saja untuk 1 portion. Cincang sampai halus dan masukkan dalam jug kaca dengan bawang putih dan sos tadi.















Perahkan jus lemon segar.


















Masukkan mustard. Saya suka gunakan wholegrain, dijon mustard. Sila check senarai ingredients untuk pastikan tidak ada wine yang digunakan seperti "chardonnay", atau lain-lain bahan yang kita was-was dalam mustard itu.

Sebenarnya bila dok luar negeri ni begitulah bila shopping. Semua barang nak beli, kita dah disiplinkan diri baca dulu senarai ingredients sebab kami takde JAKIM yang mengeluarkan sijil halal. Jadi, mula-mula check sijil halal. Jika tak ada, rajinkanlah membaca senarai ingredients. Kalau semua benda takde logo halal kita nak boycott... hmmm susah sikit nak hidup kat negara luar yang bukan Islam ni. Inilah realitinya.






Blend semua bahan tadi, masukkan 1 cawan mayonnaise dan blend lagi hingga creamy. Masukkan keju parmesan yang kita parut sendiri - saya gunakan pecorino romano kali ini.

Memang boleh beli powder keju parmesan dalam botol, atau dalam packet kecil-kecil. Tapi percayalah, kalau kita dah biasa guna Keju Parmigiano Reggiano, Pecorino Romano atau Grana Padano dalam block dan diparut sendiri, memang berbeza profil rasanya.











Sila buat "taste test" ya? Letakkan dressing tu atas daun salad dan rasa. Jika terlalu pekat, tambahkan minyak zaitun dan blend. Jika masih pekat, dan jika terlalu masin, tambahkan air panas, blend lagi hingga dapat kepekatan yang disukai. Tambah black pepper, adjust perasa. Saya tak tambah lagi garam sebab anchovies dan keju dah cukup masinnya, mayonnaise pun sudah ada garam, kan?

Siap dah dressing kita. Sejukkan dahulu biar flavoursnya mesra.

Sambil tu taste test lagi beberapa kali. Sebab, biasanya saya tak menyempat nak rasaaaaaa.






Sementara tu, kita assemble salad. 

Drizzle minyak zaitun yang sudah diperisakan dengan sedikit bawang putih cincang atas roti perancis yang sudah di dadu. Gaul dengan tangan. Bakar dalam oven 160 darjah C hingga garing (jangan hangus!) Sejukkan.

Saya campurkan daun lettuce romaine (atau cos). Jika panjang-panjang sangat boleh lah kerat 3. Yang comel-comel tu biarkan saja. Saya suka letak dressing kat tepi dan main cicah-cicah daun kecil-kecil tu.

Hiris lebihan keju pecorino romano itu menggunakan pengopek kulit timun.

Campurkan semua bahan ini dan biarkan hingga tiba waktu makan. Boleh juga diletak dalam fridge sementara kita grill ayam.



Dada ayam tanpa kulit ini saya ketuk dulu menggunakan mallet hingga nipis. Kemudian saya marinadekan semalaman dengan 4 ulas bawang putih cincang, 6 sudu besar minyak zaitun, 1 sudu kecil thyme, 1 sudu kecil oregano, kulit sebiji lemon yang disagat (lemonnya saya gunakan untuk dressing), garam dan black pepper.

Panaskan kuali grill dan masakkan ayam hingga keperangan pada kedua-dua belah. Jangan lama sangat ya? Nanti dia keras dan kering macam sabut!




Hidangan makan malam kami - ayam tengah grill waktu ni. Jadi takde dalam gambar.

Salam hormat dan selamat mencuba.


Tuesday, October 9, 2018

Kerek dan Mengada-ngada?

Assalamualaikum, apa khabar semua? Harapnya sihat-sihat belaka, inshaAllah. 

Sebenarnya saya tahu, mungkin ada rakan-rakan FB saya yang mungkin berkecil hati dengan post-post dan komen saya berkenaan pertanyaan dan bila saya minta anda mencari sendiri link, atau jawapan dalam post ataupun komen, atau di wall saya. Mungkin ada yang tidak biasa di suruh berbuat begitu, mungkin ada yang rasa saya ni mengada-ngada, "Eleh benda simple tu pun tak mahu jawab. Kereknya!"

Hmmm kalau ada yang terasa saya ni "kerek", saya minta maaf. Tapi sebenarnya, dari kecilpun ada golongan bebudak di sekolah saya yang kata saya "kerek". Jadi bila dah tua ni digelar kerek.. dah  tak terasa kerana dah tepu, kot? 

Biarlah saya terangkan kenapa saya lebih suka menggalakkan rakan-rakan FB saya untuk melatih diri mencari sendiri jawapan pada persoalan  mereka dengan membaca post betul-betul, tengok gambar dan baca caption, skrol komen-komen dahulu. Begitu juga menggalakkan rakan-rakan FB membuat carian FB, atau mencari jawapan menggunakan "Google" dan "Google Image".

Bukanlah saya tak benarkan bertanya. Cuma saya minta cari dulu jawapan dari post, caption di gambar dan komen-komen dahulu. Kalau tak jumpa jawapan, silalah bertanya. Biasanya saya suka menjawab jika soalan itu memang orang belum pernah tanya. Tapi kalau asyik berulang-ulang saya di tanya benda yang sama, memang saya jadi kurang sabar. Harap faham, ya? Saya bersyukur yang ada juga yang ingin membaca coretan saya, tapi sesiapa pun, kalau kena soal benda yang sama berkali-kali (lebih-lebih lagi bila kita dah cukup berhati-hati untuk menulis hal itu dalam post dan caption gambar), mungkin jadi kurang sabar. Itu saja. Sebagai manusia saya ni banyak kelemahan, kan? Menjawab soalan yang sama berulangkali itu memang dugaan sedikit bagi saya :)

Sebenarnya, syukurlah dunia sekarang ini sudah digital. Pengetahuan inshaAllah ada di hujung jari. Ada yang kata, "wah Ida, awak ni serba-serbi pandai, Alhamdulillah Allah mengurniakan awak berbagai kepandaian". MashaAllah, Tabarakallah.  Sebenarnya saya ni tidaklah pandai. Mungkin lebih banyak memandai-mandai dari pandai. Sebabnya, selain dari melanjutkan pelajaran dalam bidang pengajaran Bahasa Inggeris, saya tidak menyertai apapun kelas masakan, nutrisi, keibu-bapaan, atau membuat sabun. Kalau ada pun saya masuk kelas menghias kek "Wilton" sampai tahap menggubah kek fondant, namun amat jarang saya gunakan pengetahuan dan kemahiran ini.

Pembacaan saya tentang berbagai perkara ini biasanya bermula dengan pertanyaan dalam kepala saya. Misalnya, saya terfikir, "apa agaknya bahan kimia yang digunakan dalam sabun komersil?", lalu saya akan terus google frasa "chemical compounds in commercial soaps". Dari situ saya akan membaca artikel-artikel yang timbul. Kemungkinan juga saya akan google setiap bahan kimia itu untuk memahami asal-usulnya, kegunaannya, kebaikannya, kemudaratannya. Jadi tak mustahil, satu carian akan berakhir dengan berjam-jam membaca dan menulis nota.  Jika saya inginkan kesahihan pendapat, saya akan cari pula jurnal-jurnal perubatan dan akademik untuk memahami kajian saintifik sesuatu bahan itu sebagai bukti sahih, ada kalanya menggunakan carian Google Scholar. Saya akan juga mencari kajian yang bercanggah dengan sesuatu pandangan itu untuk mengimbangkan pemahaman saya. 

Sebab itulah saya jarang bertanya soalan pada seseorang, melainkan pakar. Jika bertanya dengan pakar, biasanya saya akan meminta juga supaya diberitahu nama-nama pakar lain dan kajian dalam sesuatu perkara supaya saya boleh membaca sendiri untuk mendalamkan pengetahuan. 

Kesimpulannya, jika kita bertanya orang... kita hanya akan dapat satu jawapan. Jika kita mencari sendiri jawapan pada soalan kita, biasanya kita akan dapat banyak jawapan dan juga kemungkinan dapat pengetahuan baru yang lebih menarik, membuatkan kita menyelami ilmu itu dengan lebih mendalam.

Sebagai seorang yang amat suka pada pengetahuan, amat gemar membaca dan belajar benda baru, saya tak faham mentaliti "tanya dahulu, biar orang beri saya jawapan" ini. Pada saya rugi sungguh jika kita hanya mengharapkan seorang manusia untuk memberitahu kita jawapan. Sedangkan satu jawapan tak pernah betul atau lengkap sepenuhnya. Kena pula masa kita tanya, orang itu sibuk dan tidak menjawapnya. Tergantung lah pencarian ilmu kita. Bagaimana pula jika orang itu tak memberikan jawapan yang betul? Bagaimana pula jika jawapan yang di beri itu hanyalah pendapatnya dan bukan fakta? Kita terima bulat-bulat? "Oh, sebab orang tu kata... mesti betul". Kita tak mahu periksa dahulu, kah?

Misalnya. Orang kongsi resepi "Pasta Carbonara". Guna krim, guna susu, letak sosej, letak daging cincang, letak sayur frozen. Walaupun dia pakar masakan. Adakah kita terima bulat-bulat? Ohhh.. ya itu Pasta Carbonara. Atau, adakah kita pergi ke sesawang masakan Itali dan cari "authentic pasta carbonara" untuk melihat apakah resepi sebenarnya? Bagi saya, saya akan buat carian untuk mencari pasta carbonara yang sebenarnya untuk memahami asal-usul terciptanya sos carbonara itu, apakah bahan asalnya, cara membuatnya, dan membandingkan resepi. Mungkin saya juga akan mengkaji perubahan-perubahan yang telah dibuat pada resepi itu untuk memodenkannya oleh pakar-pakar masakan Itali. Saya tak akan telan bulat-bulat setelah melihat satu resepi. Minta maaf. Saya lebih suka memahami sesuatu perkara dengan mendalam.

Jadi, bagi saya.. bila jawapan telah diberi, tapi orang masih lagi bertanya soalan yang sama, pada pemikiran saya, mereka kurang faham pentingnya mencari dan mendalami ilmu. Sebagai guru, tugas saya ialah untuk meminta mereka berubah. Jangan minta "shortcut". Nak belajar, nak ilmu... kita kena rajin cari. Rajin membaca. Ilmu takkan datang bergolek. Kalau perkara yang telah dinyatakanpun kita tak baca, atau tak mahu mencari, macamana hendak mempelajari pengetahuan baru atau mendalami sesuatu ilmu?

Sesungguhnya, sebagai manusia, saya tidak pernah kisah tentang rupa seseorang, cantiknya make-up dia, langsingnya dia, cantik / mahalnya baju, beg tangan, kasut, berlian, barang kemas, besarnya rumah... Itu semua tak penting bagi saya. Pada saya, orang yang saya amat hargai dan segani ialah orang yang berpengetahuan, yang cerdik, yang berdikari, yang luas pembacaannya. Lebih-lebih lagi jika baik tutur kata dan budi bahasanya. MashaAllah.. memang saya sayang dan jaga rakan-rakan saya yang sebegini. Biasanya orang yang mementingkan pengetahuan dan pembelajaran ini juga jarang ada masa untuk bercerita hal orang lain. Itu amat saya hargai juga.

Ada juga yang mengatakan mereka tidak pandai mencari informasi kerana umur. Saya cuma perlu nyatakan, mashaAllah... Ibu saya sekarang berusia 70 tahun. Beliau lebih berpengetahuan dari saya tentang cara mencari ilmu dan memahami selok-belok pencarian di internet dan melalui buku-buku dan pakar-pakar dengan baik sekali. Jadi, tiada alasan untuk kita yang berumur antara 40an, 50an dan 60an untuk tidak belajar menggunakan internet dan lain-lain sumber pengetahuan sebagai lubuk ilmu, sedangkan ibu saya yang dalam umur 70an laju melayari sesawang-sesawang ilmu di world wide web, dan buku-bukunya. Saya doakan yang kerajinan ibu saya membaca dan memikirkan hal-hal ilmiah itu juga membantu dengan memudakan sel-sel kelabunya dan Allah akan berterusan memberikan kesihatan akal-fikiran dan tubuh badan yang baik pada ibu saya, Ameen, ameen, ameen, Ya Rabb.

Jadi saya harap, janganlah berkecil hati bila saya minta para pembaca mencari jawapan melalui pembacaan berhati-hati. Ini semua latihan untuk kita. Lahirnya internet itu ada baik dan buruknya. Pada saya kebaikannya ialah, ia mengurangkan jurang ilmu antara yang ada dan tidak. Sekarang ini, kebanyakan ilmu ada untuk dipelajari, samada kita mahu atau tidak saja... Tapi janganlah pulak sampai buat pembedahan atau beri rawatan pergigian sebab dah tengok caranya di Youtube! Tak perlulah nak bertekak dengan doktor yang belajar bertahun dan menerima berbagai latihan dan berpengalaman, hanya kerana kita berguru dengan Doktor Google selama 3 atau 4 jam. Ada kekangannya belajar dalam internet ini berbanding dengan mengikuti kursus yang di iktiraf oleh badan-badan pengiktirafan. Sedarlah juga yang belajar dengan Google tak memberikan kita martabat sebagai "doktor" atau "pakar". Berpatutan dan bersederhana, lah kan? Ikut logic. 

Itulah saja untuk hari ini. Terima kasih kerana membaca. Ingatlah, biasanya, saya menegur kerana sayang dan hanya kerana mahukan kebaikan bersama :) Bagi saya kita harus belajar dan menimba ilmu selagi hayat masih ada. Kita latihlah sel-sel kelabu yang dikurniakan Allah untuk berfungsi dengan sempurna. Kurangkan menjaga kisah orang lain, lebihkan pencarian ilmu. Semua ini bermula dengan berlatih membaca dengan baik dan berhati-hati. Salam Hormat :)







Saturday, October 6, 2018

Boleh ajar buat sabun?


Assalamualaikum para pembaca. Apa khabar? Harapnya semua sihat-sihat dan ceria pada hujung minggu ini. Bersawang dah blog ni sebab seminggu tak berupdate. Bukan takde mood menulis, tapi memang masa amat mencemburui saya dengan deadline yang menimbun, dan projek-projek saya yang timbul tiba-tiba.

Hari ni saya nak menulis tentang membuat sabun. Lazimnya, bila saya post gambar sabun buatan saya, pastinya ada komen dan pm direct yang minta saya ajar buat sabun. Puas juga nak asyik ulang kenapa saya tak selesa untuk berbuat begitu. Percayalah, kalau membuat sabun tu sama macam membuat kek, inshaAllah tiada masalah untuk saya ajar / kongsikan di FB. Sesungguhnya, InshaAllah, saya tidak lokek resepi. Tapi membuat sabun ini lain dan tidak seperti memasak. Kalau sudah banyak membaca dan ingin bertanya serta berbicara tentang teknik pembuatan, bahan-bahan botanikal, saya amat galakkan. Tapi perlu membaca dahulu, kan? Janganlah berharap pada seorang manusia untuk mengisi terus bekas yang kosong hingga penuh. Mesti tak lengkap pengisiannya.

Jadi biarlah saya buat post ini jika ada lagi yang bertanya, saya hantar saja link ini supaya tak perlu asyik mengulang jawapan yang sama.

Proses Membuat Sabun (Hot process)

Proses buat sabun ini memang senang.
1. Panaskan minyak
2. Campurkan larutan sodium hydroxide atau lye dengan air, masukkan dalam minyak
3. Kacau rata guna emulsion blender
4. Masak
5. Masuk acuan dan sejukkan
6. Keluarkan dari acuan dan keringkan

Siap. Di FB saya ada saya share video pembuatan "Aleppo Soap". Jika berminat, bolehlah cari dan lihat. Itulah lebih kurang cara buat hot process soap. Senang, kan?




Masalah-masalah dalam Pembuatan Sabun

1. Sodium Hydroxide

Untuk membuat sabun, kita perlukan lye. Lye ini boleh terhasil dengan menggunakan abu. Jika cukup konsentrasinya, ia boleh digunakan untuk buat sabun. Sabun Hitam Afrika (African Black Soap) dari Ghana dibuat menggunakan abu dari pelepah dan kulit pisang tanduk dan kulit shea butter. Bagaimana cara buat lye dari abu? Saya pun tak tahu kerana saya hanya beli organic, natural "African Black Soap" yang dibawa khas dari Ghana untuk sesetengah jenis sabun yang saya buat.

Satu lagi ialah dengan menggunakan "Sodium Hydroxide" yang dibeli dari kedai bahan kimia. Sodium Hydroxide ini adalah bahan alkali kuat yang "corrosive". Ia bertindak balas dengan cecair, menghasilkan gas yang memudaratkan. Bila terkena cecair, sodium hydroxide akan larut dan menjadi amat panas, jadi penggunaan bekas kaca untuk melarutkan sodium hydroxide tidak digalakkan kerana kaca itu boleh meletup. Jika campuran sodium hydroxide ini terkena kulit, ia akan mengakibatkan kulit melepuh dan boleh kena 3rd degree burns kerana panasnya dan kekuatan alkalinya. Saya pernah terkena minyak panas yang bercampur larutan sodium hydroxide ini. Lecuran dari minyak panas itu satu hal, sakit dari larutan sodium hydroxide itu seperti terkena renjatan elektrik yang tidak putus-putus hingga saya rendamkan tangan saya dalam larutan cuka. Pedih dari lepuhan minyak panas dan direndam pula dalam cuka itu, meleleh air mata dibuatnya. Alhamdulillah tiada kecederaan teruk dalam insiden itu. Namun ia mengingatkan saya supaya tidak ambil ringan isu keselamatan dalam membuat sabun.  Semasa menggunakan sodium hydroxide ini kita digalakkan menggunakan baju lengan panjang, glove latex tebal, mask untuk hidung dan "goggles" untuk mata. Larutan cuka kena sentiasa ada berdekatan, begitu juga mangkuk berisi ais dan kotak pertolongan cemas.

Bagaimana pula dengan simpanan Sodium Hydroxide ini? Pastinya ia kena dilabel dengan jelas, di letak di tempat yang kering, jauh dari anak-anak dan haiwan peliharaan.

Iya, memang nampak seronok ya, buat sabun. Tapi kita mesti sentiasa ingat, bahan kimia perlu diambil berat dan bukan digunakan sewenang-wenangnya.


2. Peralatan Dapur dan Tempat Membuat Sabun

Saya menggunakan:
- Crock Pot
- Emulsion Blender
- Mangkuk dan Beaker plastik tahan panas
- Whisk dan spatula silicone
- Sudu, Senduk besi
- digital weighing scale

Kesemua ini saya tidak campurkan dengan set masakan. Jadi, seolah kita perlukan dua set alat dapur. Jadi kalau nak buat sabun, kena betul-betul minat dan istiqomah. Kalau tak, pelaburan dah dibuat, tapi hangat-hangat tahi ayam dan tak pulang modal.

Tempat membuat sabun juga sebaik-baiknya bukan di dapur. Ia memerlukan ruang yang ada sinki, bertingkap besar untuk pengaliran udara yang baik dan terang. Sebaiknya Sodium Hydroxide di letak dalam almari yang berkunci.

3. Cara Membuat Sabun

Ada dua cara membuat sabun. "Cold Process" dan "Hot Process". Sebelum mula untuk membuat sabun, bacalah dahulu tentang baik dan buruk kedua-dua cara ini. Melalui pembacaan, dan disebabkan niat untuk membuat sabun saya ini hanya untuk kegunaan keluarga, saya lebih suka menggunakan "hot process". Rupa sabun hot process ni lebih "rustic" dan tak secantik sabun "cold process", namun pada saya ialah lebih sesuai bagi kami. Lagipun, sabun yang tertua iaitu Aleppo Soap, juga dibuat dengan hot process.

Bacalah dan buat keputusan untuk method yang lebih sesuai bagi keluarga anda.

4. Bahan-bahan


Sebenarnya nak buat sabun, apa saja minyak kita boleh gunakan. Minyak lebihan goreng ikan pun kita boleh gunakan. Asalkan minyak. Tapi sanggupkah kita gunakan sabun dari minyak bekas gorang ikan?

Terdapat banyak jenis minyak dan setiap jenis minyak itu ada baik dan tidak baiknya. Minyak zaitun amat bagus untuk kulit, tapi jika kita buat sabun menggunakan 100% minyak zaitun, fikirkan:
1. Kos
2. Masa yang diambil untuk mengeringkan

Minyak cair seperti minyak zaitun, minyak kelapa sawit, minyak canola dll akan menghasilkan sabun yang lembik dan memerlukan masa yang lama untuk mengeringkan. Misalnya, sabun Aleppo yang menggunakan antara 100% minyak zaitun, ataupun campuran minyak zaitun dan minyak bidara (juga jenis minyak cair), mengambil masa 6 bulan untuk dikeringkan. Sabun buku Castille yang menggunakan "cold process" dan 100% minyak zaitun mengambil masa setahun untuk proses curing dan pengeringan. Ia juga tidak menghasilkan buih yang banyak.

Minyak kelapa, shea butter, cocoa butter semua di kira sebagai "hard oils" yang boleh mengeraskan sabun, tapi fikirkan juga kos, senang atau tidak untuk mendapatkan minyak dan butter-butter itu? 

Fikirkan juga yang pokok zaitun itu tumbuh di kawasan kering Mediterranean yang cuacanya amat berbeza dengan keadaan di kawasan Tropika. Jadi ada kalanya menggunakan 100% minyak zaitun boleh mengakibatkan rasa "melekit" di kawasan humid. Begitu juga minyak kelapa dikatakan mengakibatkan "kekeringan" jika digunakan di kawasan kering. Sesungguhnya ciptaan Allah amat sempurna. Ditumbuhkan pokok-pokok yang sesuai untuk kegunaan di kawasan tersebut.

Pembacaan tentang bahan-bahan alami yang boleh kita gunakan untuk membuat sabun amat penting. Saya membuat sabun khas untuk keluarga saya. Jadi saya ambil kira jenis kulit kami sekeluarga - kulit saya kering, suami normal, anak combination... jadi saya perlu membuat sabun yang sesuai untuk ketiga-tiga jenis kulit kami. Kerana keperluan muka yang berbeza, saya buatkan jenis-jenis sabun muka yang berbeza - 33% shea butter untuk saya dan suami,  manakala untuk anak pula hasil dari pembacaan, saya rumuskan sabun bentonite clay, activated charcoal, shea butter dan Tea Tree Oil untuk wajahnya.

Selain dari minyak asas untuk sabun yang akan bertukar menjadi sabun melalui proses "saponification" dengan "sodium hydroxide", banyak lagi minyak yang kita boleh gunakan dalam proses "superfat" untuk meninggikan kadar emolient atau pelembapan. Antaranya shea butter, minyak zaitun, minyak avocado, mango butter, castor oil, sweet almond oil, baobab oil, argan oil, babassu oil, hemp oil, marula oil, minyak habbatus saudah dan lain-lain. Kena baca apakah khasiat setiap minyak itu, kosnya, dan wajar atau tidak kita campurkan untuk kegunaan keluarga?

Bagaimana pula dengan Essential Oils? Essential oil bukan sekadar untuk bau. Ia juga ada khasiat-khasiat tertentu yang perlu kita baca dan fahami. Bukan main taram - I suka Rose.. letak sebotol biar wangi. Hmmm. Kalau terlebih peratusan essential oils tu, boleh bergaru kita ya, dik nun.

Yang pentingnya ialah - baca, baca, baca. Fahamkan setiap bahan yang akan kita gunakan. Apa kebaikannya? Apa keburukannya? Apakah gandingan yang terbaik antaranya? Apakah cara terbaik menggunakannya tanpa hilang ciri-ciri kebaikannya itu?

5. Resepi

Resepi sabun jangan dibuat main. Nisbah air : sodium hydroxide, nisbah minyak : sodium hydroxide,  nisbah % essential oil pada total berat sabun. Jangan main-main dan agak-agak. Ini bukan macam buat roti jala. Pekat sangat boleh tambah air, cair sangat boleh tambah tepung. Kena gunakan digital weighing machine. Semua kena tepat untuk mengelakkan masalah:

a) kebakaran - jika masukkan air tidak cukup pada sodium hydroxide, bekas plastik pun boleh cair. Sebab itu kena masukkan sodium hydroxide pada air, bukan air pada sodium hydroxide.

b)  Terlebih sodium hydroxide dan tak cukup minyak untuk ditukarkan menjadi sabun. Ini mengakibatkan ada lagi sodium hydroxide asli dalam sabun. Boleh mengakibat "lye burn" pada kulit pengguna.

c)   Terlebih essential oils, atau adunan yang tidak cukup sebati boleh mengakibatkan tindakbalas pada kulit, lebih-lebih lagi bagi mereka yang sensitif macam saya. Boleh naik ruam, jangan main-main.


Kesimpulan:

Untuk mengajar cara buat sabun, mudah. Lihat "PROSES MEMBUAT SABUN". Tapi, ada banyak perkara lain yang perlu dipelajari sendiri dan difahami. Buat sabun bukan macam buat kek. Baca resepi dah tentu boleh buat. 

Yang penting, kita kena selami nawaitu kita untuk buat sabun. Antara sebab-sebab kita rasa nak buat sendiri sabun:

a) Memang diri sendiri dan ahli keluarga ada alahan dan masalah kulit. Mesti jauhkan dari penggunaan sabun campuran dengan bahan kimia. Saya akan istiqomah membuatnya demi kebaikan keluarga. 

Jawapannya:  Kalau begini, ya. Teruskan. Bacalah dengan meluas dan pergilah kursus buat sabun atau belajar dengan pakar-pakar. Kalau perlukan penerangan, boleh join forum-forum formulator sabun, tanya dengan pakar buat sabun. Manalah tahu jika bagus formulasinya dan berkesan pada keluarga, mungkin boleh juga membantu mereka yang lain.

b) Alaaaa, sabun mahal lah. Baik cuba buat sendiri. Boleh juga selamat perbelanjaan keluarga.

Jawapannya: Cari sajalah orang yang buat sabun natural dan beli dari mereka. Membuat sabun sendiri, jika kita gunakan bahan-bahan alami yang organik, tak adanya lebih murah dari membeli. Mungkin lebih mahal lagi. Itu belum kira masa yang diambil untuk buat research, membuat sabun, membasuh alatan sabun, beli alatan buat sabun. Tak payahlah dik. Setakat guna 10 ketul sabun sebulan, tak pulang modal.

C) I nak buat sebab nak jual.

Jawapannya: Pergi kursus, tengok betul-betul cara terbaik dan method buat sabun. Buat pembacaan meluas tentang asas dan bahan-bahan buat sabun dari base oils, ke essential oils dan jenis-jenis emollient, humectant dan macam-macam. Bacalah kalau bahan-bahan yang kita gunakan dan akibat menggunakan bahan itu samada produk kita masih boleh dikira "natural". Baca tentang baik-buruk penggunaan bahan seperti "colouring" dan samada perlu atau tidak. Fahami perbezaan antara "soap noodles", "melt and pour soap" dan sabun yang dibuat dari asas minyak pilihan sendiri+sodium hydroxide. Pastikan ada supplier yang bagus dan bertanggungjawab. Tanya asal-usul barang yang dibeli. Kalau organik. minta tengok certificatenya.

Definitely kalau niat nak jual... janganlah minta belajar melalui facebook, sebab ilmu yang boleh dikongsi di FB tidak memadai. Jadilah penjual yang bertanggungjawab, berpengetahuan dan benar-benar passionate tentang barang yang dijual.


Bagi saya, sabun buatan sendiri ni, memang tak secantik sabun beli. Tapi Alhamdulillah, saya yakin kerana saya tahu bahan yang saya pilih adalah berkualiti tinggi dari pengeluar yang dipercayai, dan saya tahu setiap langkah yang dibuat, peralatan yang dipakai dan kebersihan tempat membuat dan mengering, inshaAllah. Ini lebih penting pada saya, daripada rupanya, kerana yang nak menggunakan sabun-sabun ini adalah mereka yang amat saya kasihi. Biarlah setiap kali mereka menyucikan diri, mereka yakin yang sabun yang digunakan itu dibuat dengan penuh kasih-sayang, dengan bahan-bahan terbaik, dan dengan pengetahuan yang mendalam. 


Oh ya, Soalan Cepumas:
"Akak kata sabun akak buat tu natural dan takde bahan kimia. Bukan ke lye atau Sodium Hydroxide tu bahan kimia? Jadi kalau dah campur sodium hydroxide, mana sabun tu natural dan bebas kimia lagi?"

Jawapan: Proses membuat sabun memang perlukan lye atau sodium hydroxide. Lye atau sodium hydroxide ini bertindak balas dengan minyak apabila dicampurkan. Bila bercampur, sodium hydroxide dan minyak itu akan melalui proses "saponification" di mana bahan kimia itu menukarkan minyak menjadi sabun dan ianya bukan lagi berbentuk sodium hydroxide+minyak. Bahan yang terhasil itu akan menjadi bahan baru yang dipanggil saponified oils. Misalnya, minyak sawit yang sudah di jadikan sabun melalui proses saponification dikenali sebagai "sodium palmate", minyak canola yang sudah melalui proses saponification dikenali sebagai "sodium canolate". Dalam ingredients list sabun, lye atau sodium hydroxide sudah tidak lagi wujud kerana kesemuanya telah digunakan untuk menukarkan minyak pada sabun. Sebab itu sabun yang menggunakan hanya bahan alami (minyak, butter, essential oils) dan sodium hydroxide boleh dikira "natural soap". 

Namun kalau sabun tu dah ditambah artificial colouring, artificial fragrances (parfum / fragrance oils), antibacterial agent seperti triclosan, bahan membuih seperti sodium lauryl atau laureth sulfate, bahan pelembut air tetrasodium etidronate, pemekat propylene glycol, agen pembersih sintetik coca-midopropyl Betaine dan lain-lain, yang itu memang dah bukan natural lah, kan?

Itulah saja penerangan saya buat kali ini. Saya kena warning juga pada mereka yang nak membuat sabun. Bagi saya membuat sabun ni boleh jadi "addictive" kerana memang seronok bila tengok sabun siap, dengan wangian dari essential oils, dan rasa pada kulit bila kita menggunakannya. Get ready untuk "terjebak" bagi mereka yang benar-benar berminat dan berazam. Terima kasih kerana membaca dan salam hormat.


     

Memupuk Adab Bertamu bersama Anak

 **Penulisan saya ini tidak merangkumi anak-anak istimewa yang mungkin memerlukan cara mendidik yang lebih spesifik atau cara behavioral m...