Assalamualaikum para pembaca. Apa khabar? Harapnya semua sihat-sihat dan ceria pada hujung minggu ini. Bersawang dah blog ni sebab seminggu tak berupdate. Bukan takde mood menulis, tapi memang masa amat mencemburui saya dengan deadline yang menimbun, dan projek-projek saya yang timbul tiba-tiba.
Hari ni saya nak menulis tentang membuat sabun. Lazimnya, bila saya post gambar sabun buatan saya, pastinya ada komen dan pm direct yang minta saya ajar buat sabun. Puas juga nak asyik ulang kenapa saya tak selesa untuk berbuat begitu. Percayalah, kalau membuat sabun tu sama macam membuat kek, inshaAllah tiada masalah untuk saya ajar / kongsikan di FB. Sesungguhnya, InshaAllah, saya tidak lokek resepi. Tapi membuat sabun ini lain dan tidak seperti memasak. Kalau sudah banyak membaca dan ingin bertanya serta berbicara tentang teknik pembuatan, bahan-bahan botanikal, saya amat galakkan. Tapi perlu membaca dahulu, kan? Janganlah berharap pada seorang manusia untuk mengisi terus bekas yang kosong hingga penuh. Mesti tak lengkap pengisiannya.
Jadi biarlah saya buat post ini jika ada lagi yang bertanya, saya hantar saja link ini supaya tak perlu asyik mengulang jawapan yang sama.
Proses Membuat Sabun (Hot process)
Proses buat sabun ini memang senang.
1. Panaskan minyak
2. Campurkan larutan sodium hydroxide atau lye dengan air, masukkan dalam minyak
3. Kacau rata guna emulsion blender
4. Masak
5. Masuk acuan dan sejukkan
6. Keluarkan dari acuan dan keringkan
Siap. Di FB saya ada saya share video pembuatan "Aleppo Soap". Jika berminat, bolehlah cari dan lihat. Itulah lebih kurang cara buat hot process soap. Senang, kan?
Masalah-masalah dalam Pembuatan Sabun
1. Sodium Hydroxide
Untuk membuat sabun, kita perlukan lye. Lye ini boleh terhasil dengan menggunakan abu. Jika cukup konsentrasinya, ia boleh digunakan untuk buat sabun. Sabun Hitam Afrika (African Black Soap) dari Ghana dibuat menggunakan abu dari pelepah dan kulit pisang tanduk dan kulit shea butter. Bagaimana cara buat lye dari abu? Saya pun tak tahu kerana saya hanya beli organic, natural "African Black Soap" yang dibawa khas dari Ghana untuk sesetengah jenis sabun yang saya buat.
Satu lagi ialah dengan menggunakan "Sodium Hydroxide" yang dibeli dari kedai bahan kimia. Sodium Hydroxide ini adalah bahan alkali kuat yang "corrosive". Ia bertindak balas dengan cecair, menghasilkan gas yang memudaratkan. Bila terkena cecair, sodium hydroxide akan larut dan menjadi amat panas, jadi penggunaan bekas kaca untuk melarutkan sodium hydroxide tidak digalakkan kerana kaca itu boleh meletup. Jika campuran sodium hydroxide ini terkena kulit, ia akan mengakibatkan kulit melepuh dan boleh kena 3rd degree burns kerana panasnya dan kekuatan alkalinya. Saya pernah terkena minyak panas yang bercampur larutan sodium hydroxide ini. Lecuran dari minyak panas itu satu hal, sakit dari larutan sodium hydroxide itu seperti terkena renjatan elektrik yang tidak putus-putus hingga saya rendamkan tangan saya dalam larutan cuka. Pedih dari lepuhan minyak panas dan direndam pula dalam cuka itu, meleleh air mata dibuatnya. Alhamdulillah tiada kecederaan teruk dalam insiden itu. Namun ia mengingatkan saya supaya tidak ambil ringan isu keselamatan dalam membuat sabun. Semasa menggunakan sodium hydroxide ini kita digalakkan menggunakan baju lengan panjang, glove latex tebal, mask untuk hidung dan "goggles" untuk mata. Larutan cuka kena sentiasa ada berdekatan, begitu juga mangkuk berisi ais dan kotak pertolongan cemas.
Bagaimana pula dengan simpanan Sodium Hydroxide ini? Pastinya ia kena dilabel dengan jelas, di letak di tempat yang kering, jauh dari anak-anak dan haiwan peliharaan.
Iya, memang nampak seronok ya, buat sabun. Tapi kita mesti sentiasa ingat, bahan kimia perlu diambil berat dan bukan digunakan sewenang-wenangnya.
2. Peralatan Dapur dan Tempat Membuat Sabun
Saya menggunakan:
- Crock Pot
- Emulsion Blender
- Mangkuk dan Beaker plastik tahan panas
- Whisk dan spatula silicone
- Sudu, Senduk besi
- digital weighing scale
Kesemua ini saya tidak campurkan dengan set masakan. Jadi, seolah kita perlukan dua set alat dapur. Jadi kalau nak buat sabun, kena betul-betul minat dan istiqomah. Kalau tak, pelaburan dah dibuat, tapi hangat-hangat tahi ayam dan tak pulang modal.
Tempat membuat sabun juga sebaik-baiknya bukan di dapur. Ia memerlukan ruang yang ada sinki, bertingkap besar untuk pengaliran udara yang baik dan terang. Sebaiknya Sodium Hydroxide di letak dalam almari yang berkunci.
3. Cara Membuat Sabun
Ada dua cara membuat sabun. "Cold Process" dan "Hot Process". Sebelum mula untuk membuat sabun, bacalah dahulu tentang baik dan buruk kedua-dua cara ini. Melalui pembacaan, dan disebabkan niat untuk membuat sabun saya ini hanya untuk kegunaan keluarga, saya lebih suka menggunakan "hot process". Rupa sabun hot process ni lebih "rustic" dan tak secantik sabun "cold process", namun pada saya ialah lebih sesuai bagi kami. Lagipun, sabun yang tertua iaitu Aleppo Soap, juga dibuat dengan hot process.
Bacalah dan buat keputusan untuk method yang lebih sesuai bagi keluarga anda.
4. Bahan-bahan
Sebenarnya nak buat sabun, apa saja minyak kita boleh gunakan. Minyak lebihan goreng ikan pun kita boleh gunakan. Asalkan minyak. Tapi sanggupkah kita gunakan sabun dari minyak bekas gorang ikan?
Terdapat banyak jenis minyak dan setiap jenis minyak itu ada baik dan tidak baiknya. Minyak zaitun amat bagus untuk kulit, tapi jika kita buat sabun menggunakan 100% minyak zaitun, fikirkan:
1. Kos
2. Masa yang diambil untuk mengeringkan
Minyak cair seperti minyak zaitun, minyak kelapa sawit, minyak canola dll akan menghasilkan sabun yang lembik dan memerlukan masa yang lama untuk mengeringkan. Misalnya, sabun Aleppo yang menggunakan antara 100% minyak zaitun, ataupun campuran minyak zaitun dan minyak bidara (juga jenis minyak cair), mengambil masa 6 bulan untuk dikeringkan. Sabun buku Castille yang menggunakan "cold process" dan 100% minyak zaitun mengambil masa setahun untuk proses curing dan pengeringan. Ia juga tidak menghasilkan buih yang banyak.
Minyak kelapa, shea butter, cocoa butter semua di kira sebagai "hard oils" yang boleh mengeraskan sabun, tapi fikirkan juga kos, senang atau tidak untuk mendapatkan minyak dan butter-butter itu?
Fikirkan juga yang pokok zaitun itu tumbuh di kawasan kering Mediterranean yang cuacanya amat berbeza dengan keadaan di kawasan Tropika. Jadi ada kalanya menggunakan 100% minyak zaitun boleh mengakibatkan rasa "melekit" di kawasan humid. Begitu juga minyak kelapa dikatakan mengakibatkan "kekeringan" jika digunakan di kawasan kering. Sesungguhnya ciptaan Allah amat sempurna. Ditumbuhkan pokok-pokok yang sesuai untuk kegunaan di kawasan tersebut.
Pembacaan tentang bahan-bahan alami yang boleh kita gunakan untuk membuat sabun amat penting. Saya membuat sabun khas untuk keluarga saya. Jadi saya ambil kira jenis kulit kami sekeluarga - kulit saya kering, suami normal, anak combination... jadi saya perlu membuat sabun yang sesuai untuk ketiga-tiga jenis kulit kami. Kerana keperluan muka yang berbeza, saya buatkan jenis-jenis sabun muka yang berbeza - 33% shea butter untuk saya dan suami, manakala untuk anak pula hasil dari pembacaan, saya rumuskan sabun bentonite clay, activated charcoal, shea butter dan Tea Tree Oil untuk wajahnya.
Selain dari minyak asas untuk sabun yang akan bertukar menjadi sabun melalui proses "saponification" dengan "sodium hydroxide", banyak lagi minyak yang kita boleh gunakan dalam proses "superfat" untuk meninggikan kadar emolient atau pelembapan. Antaranya shea butter, minyak zaitun, minyak avocado, mango butter, castor oil, sweet almond oil, baobab oil, argan oil, babassu oil, hemp oil, marula oil, minyak habbatus saudah dan lain-lain. Kena baca apakah khasiat setiap minyak itu, kosnya, dan wajar atau tidak kita campurkan untuk kegunaan keluarga?
Bagaimana pula dengan Essential Oils? Essential oil bukan sekadar untuk bau. Ia juga ada khasiat-khasiat tertentu yang perlu kita baca dan fahami. Bukan main taram - I suka Rose.. letak sebotol biar wangi. Hmmm. Kalau terlebih peratusan essential oils tu, boleh bergaru kita ya, dik nun.
Yang pentingnya ialah - baca, baca, baca. Fahamkan setiap bahan yang akan kita gunakan. Apa kebaikannya? Apa keburukannya? Apakah gandingan yang terbaik antaranya? Apakah cara terbaik menggunakannya tanpa hilang ciri-ciri kebaikannya itu?
5. Resepi
Resepi sabun jangan dibuat main. Nisbah air : sodium hydroxide, nisbah minyak : sodium hydroxide, nisbah % essential oil pada total berat sabun. Jangan main-main dan agak-agak. Ini bukan macam buat roti jala. Pekat sangat boleh tambah air, cair sangat boleh tambah tepung. Kena gunakan digital weighing machine. Semua kena tepat untuk mengelakkan masalah:
a) kebakaran - jika masukkan air tidak cukup pada sodium hydroxide, bekas plastik pun boleh cair. Sebab itu kena masukkan sodium hydroxide pada air, bukan air pada sodium hydroxide.
b) Terlebih sodium hydroxide dan tak cukup minyak untuk ditukarkan menjadi sabun. Ini mengakibatkan ada lagi sodium hydroxide asli dalam sabun. Boleh mengakibat "lye burn" pada kulit pengguna.
c) Terlebih essential oils, atau adunan yang tidak cukup sebati boleh mengakibatkan tindakbalas pada kulit, lebih-lebih lagi bagi mereka yang sensitif macam saya. Boleh naik ruam, jangan main-main.
Kesimpulan:
Untuk mengajar cara buat sabun, mudah. Lihat "PROSES MEMBUAT SABUN". Tapi, ada banyak perkara lain yang perlu dipelajari sendiri dan difahami. Buat sabun bukan macam buat kek. Baca resepi dah tentu boleh buat.
Yang penting, kita kena selami nawaitu kita untuk buat sabun. Antara sebab-sebab kita rasa nak buat sendiri sabun:
a) Memang diri sendiri dan ahli keluarga ada alahan dan masalah kulit. Mesti jauhkan dari penggunaan sabun campuran dengan bahan kimia. Saya akan istiqomah membuatnya demi kebaikan keluarga.
Jawapannya: Kalau begini, ya. Teruskan. Bacalah dengan meluas dan pergilah kursus buat sabun atau belajar dengan pakar-pakar. Kalau perlukan penerangan, boleh join forum-forum formulator sabun, tanya dengan pakar buat sabun. Manalah tahu jika bagus formulasinya dan berkesan pada keluarga, mungkin boleh juga membantu mereka yang lain.
b) Alaaaa, sabun mahal lah. Baik cuba buat sendiri. Boleh juga selamat perbelanjaan keluarga.
Jawapannya: Cari sajalah orang yang buat sabun natural dan beli dari mereka. Membuat sabun sendiri, jika kita gunakan bahan-bahan alami yang organik, tak adanya lebih murah dari membeli. Mungkin lebih mahal lagi. Itu belum kira masa yang diambil untuk buat research, membuat sabun, membasuh alatan sabun, beli alatan buat sabun. Tak payahlah dik. Setakat guna 10 ketul sabun sebulan, tak pulang modal.
C) I nak buat sebab nak jual.
Jawapannya: Pergi kursus, tengok betul-betul cara terbaik dan method buat sabun. Buat pembacaan meluas tentang asas dan bahan-bahan buat sabun dari base oils, ke essential oils dan jenis-jenis emollient, humectant dan macam-macam. Bacalah kalau bahan-bahan yang kita gunakan dan akibat menggunakan bahan itu samada produk kita masih boleh dikira "natural". Baca tentang baik-buruk penggunaan bahan seperti "colouring" dan samada perlu atau tidak. Fahami perbezaan antara "soap noodles", "melt and pour soap" dan sabun yang dibuat dari asas minyak pilihan sendiri+sodium hydroxide. Pastikan ada supplier yang bagus dan bertanggungjawab. Tanya asal-usul barang yang dibeli. Kalau organik. minta tengok certificatenya.
Definitely kalau niat nak jual... janganlah minta belajar melalui facebook, sebab ilmu yang boleh dikongsi di FB tidak memadai. Jadilah penjual yang bertanggungjawab, berpengetahuan dan benar-benar passionate tentang barang yang dijual.
Bagi saya, sabun buatan sendiri ni, memang tak secantik sabun beli. Tapi Alhamdulillah, saya yakin kerana saya tahu bahan yang saya pilih adalah berkualiti tinggi dari pengeluar yang dipercayai, dan saya tahu setiap langkah yang dibuat, peralatan yang dipakai dan kebersihan tempat membuat dan mengering, inshaAllah. Ini lebih penting pada saya, daripada rupanya, kerana yang nak menggunakan sabun-sabun ini adalah mereka yang amat saya kasihi. Biarlah setiap kali mereka menyucikan diri, mereka yakin yang sabun yang digunakan itu dibuat dengan penuh kasih-sayang, dengan bahan-bahan terbaik, dan dengan pengetahuan yang mendalam.
Oh ya, Soalan Cepumas:
"Akak kata sabun akak buat tu natural dan takde bahan kimia. Bukan ke lye atau Sodium Hydroxide tu bahan kimia? Jadi kalau dah campur sodium hydroxide, mana sabun tu natural dan bebas kimia lagi?"
Jawapan: Proses membuat sabun memang perlukan lye atau sodium hydroxide. Lye atau sodium hydroxide ini bertindak balas dengan minyak apabila dicampurkan. Bila bercampur, sodium hydroxide dan minyak itu akan melalui proses "saponification" di mana bahan kimia itu menukarkan minyak menjadi sabun dan ianya bukan lagi berbentuk sodium hydroxide+minyak. Bahan yang terhasil itu akan menjadi bahan baru yang dipanggil saponified oils. Misalnya, minyak sawit yang sudah di jadikan sabun melalui proses saponification dikenali sebagai "sodium palmate", minyak canola yang sudah melalui proses saponification dikenali sebagai "sodium canolate". Dalam ingredients list sabun, lye atau sodium hydroxide sudah tidak lagi wujud kerana kesemuanya telah digunakan untuk menukarkan minyak pada sabun. Sebab itu sabun yang menggunakan hanya bahan alami (minyak, butter, essential oils) dan sodium hydroxide boleh dikira "natural soap".
Namun kalau sabun tu dah ditambah artificial colouring, artificial fragrances (parfum / fragrance oils), antibacterial agent seperti triclosan, bahan membuih seperti sodium lauryl atau laureth sulfate, bahan pelembut air tetrasodium etidronate, pemekat propylene glycol, agen pembersih sintetik coca-midopropyl Betaine dan lain-lain, yang itu memang dah bukan natural lah, kan?
Itulah saja penerangan saya buat kali ini. Saya kena warning juga pada mereka yang nak membuat sabun. Bagi saya membuat sabun ni boleh jadi "addictive" kerana memang seronok bila tengok sabun siap, dengan wangian dari essential oils, dan rasa pada kulit bila kita menggunakannya. Get ready untuk "terjebak" bagi mereka yang benar-benar berminat dan berazam. Terima kasih kerana membaca dan salam hormat.