Masalah alahan saya ni sebenarnya dari kecil dah ada. Bermula dengan alahan pada kulit. Namun sekarang ini, ia merangkumi masalah semput, sakit sendi dan lain-lain. Kenapa ya, saya nak berkongsi apa yang saya sedang lalui ini? Sebab mungkin ada orang lain yang seperti saya, dan tidaklah mereka rasa keseorangan.
Alahan yang saya lalui ni saya perhatikan ada peringkat.
1. Peringkat pertama: Gatal mata, bersin-bersin.
Biasanya ini berlaku bila saya bermain dengan kucing atau haiwan peliharaan lain. Bila ada habuk. Bila musim bunga dan banyak debunga berterbangan. Saya hanya perlu mandi dan bertukar baju dan inshaAllah, selepas itu masalah alahan akan pergi dengan sendiri.
2. Peringkat kedua: Naik gegata (urticaria)
Pada peringkat ini, akan mula timbul bintat-bintat di beberapa bahagian badan. Biasanya di tangan dan kaki. Ia juga timbul di pelipat-pelipat. Memang gatalnya tidak dapat dibayangkan, lebih-lebih lagi jika timbul di sendi-sendi. Ada masa hingga mata tidak dapat dibuka kerana ada gegata besar berkelompok di kelopak mata. Jika timbul gegata di muka dan kepala, ini adalah satu masalah besar. Saya tahu ini adalah alahan yang serius. Bila ada gegata, saya akan cuba mandi dengan air sejuk dan bersihkan diri dari apa-apa perkara luaran yang mungkin mengakibatkan gegata. Namun, jika tidak baik juga setengah jam dari tamat mandi, maknanya ia adalah masalah dalaman. Perlu makan ubat.
3. Peringkat ketiga: Batuk-batuk dan Masalah Bernafas
Bila saya mula batuk-batuk, dan nafas mula berbunyi, ini masuklah ke peringkat serangan asthma. Jika inhaler tak berjalan, saya akan perlukan rawatan nebulizer. Jika teruk sangat gegata dan masalah bernafas, memang injection lah jawabnya.
4. Peringkat keempat: Yang ini fenomena baru ya, bisa-bisa dan bengkak di sendi-sendi
Jadi, sejak sebulan ini, keadaan saya sentiasa berada dalam peringkat 1, 2, diselang-seli dengan peringkat ke-3, dan disertai dengan peringkat keempat. Saban hari, memang saya terpaksa mengambil anti-histamine. Tapi ada masanya ubat anti-histamine juga tidak berkesan.
Akibatnya, memang tidur malam terganggu kerana gatal-gatal yang tidak berkesudahan. Pagi-pagi dipenuhi dengan peringkat bersin-bersin, dan masuk tengahari akan timbul gegata. Sakit sendi yang tidak sudah-sudah. Menaip pun sakit kerana sendi-sendi jari-jemari bengkak.
Jadi buat masa ini terpaksalah saya buat "process of elimination", kerana saya dah tak tahu apa yang mengakibatkan alahan saya. Dari segi pemakanan, sejak beberapa hari lalu, saya hanya minum air dan makan apple. Jika alahan saya berkurangan, saya akan tambah satu lagi jenis buah. Jika tidak alah, saya akan tambah satu lagi jenis buah. Kemudian baru saya cuba sayuran, satu jenis demi satu jenis. Kemudian, cuba lain-lain makanan. Satu persatu.
Dari segi sabun, shampoo dan barang kegunaan peribadi, semuanya saya buat sendiri. Jadi saya agak yakin, kali ini alahan saya bukan berkisar toiletries. Tapi mungkin saya perlu mengganti sabun basuh baju dan mungkin berhenti menggunakan pelembut kain. Saya juga cuba mengurangkan aktiviti luar, lebih banyak duduk dalam bilik.
Alhamdulillah. Hari ini, sakit sendi ada berkurangan, walaupun ada lagi alahan peringkat 1 dan 2. Proses sembuh biasanya mengambil masa yang lama. Setiap kali saya stress, ia juga menambahkan reaksi alahan. Jadi kena tenangkan fikiran dan larikan diri dari apa-apa yang menambahkan stress.
Saya bersyukur kerana diberikan dugaan kesihatan sebegini kerana ia memaksa saya untuk mengkaji semula apa yang saya makan dan reaksi badan saya atas pemakanan. Jika tidak kerana saya banyak alahan, mungkin saya juga akan ambil ringan tentang makanan yang saya sediakan untuk keluarga dan barang-barang perapian diri harian kami.
Yang penting bagi saya, hanya kerana saya ada alahan, ia tak bermakna keluarga saya juga akan merasa tempiasnya. Saya masak seperti biasa, cuba layan kerenah mereka dan permintaan mereka sebaik mungkin. Saya jalankan tanggungjawab dengan senyuman. Alhamdulillah. Suami dan anakpun bersimpati dengan masalah saya ni. Jadi merekapun melayan saya dan memberi ruang untuk saya berehat bila saya amat memerlukannya.
Masalah penyakit alahan ni, ada orang sangka kita buat-buat, atau mengada-ngada kerana tempoh nak baiknya lama (untuk sayalah). Percayalah, jika boleh.. saya pun tak mahu ada penyakit ni. Tapi saya redha dan cuba sedaya upaya meneruskan kehidupan sesempurna yang boleh tanpa merasa sedih. Cuma bila tak tahan, memang saya lebih suka mendiamkan diri kerana tak semua yang akan faham apa yang saya lalui.
Itulah cerita saya kali ini. Semoga para pembaca semua diberikan kesihatan yang baik dan dikurniakan segala kebaikan hendaknya. Terima kasih kerana membaca dan salam hormat dari saya.