Semalam memang perasaan saya agak tercalar. Tapi biarlah. Saya dah ok, inshaAllah. Saya doakan segala kebaikan di dunia dan akhirat bagi orang yang mencalar perasaan saya itu, begitu juga bagi seisi keluarganya. Kadangkala kita perlu orang mencalarkan hati kita untuk kita sedar betapa kita amat menyayangi mereka yang di bawah jagaan kita. Alhamdulillah. Mungkin ini cara Allah mengingatkan saya untuk tidak mengambil lewa perasaan kasih sayang ini. Sebab reaksi yang saya rasakan amat mendadak dan tidak dapat dibendung. Allah sahaja yang mengetahui, dan semoga dia mengampunkan dosa-dosa saya kerana terlalu menyayangi apa yang hanya dipinjamkan pada saya. Semoga Allah swt sentiasa juga memberi sebaik-baik perlindungan dan segala kebaikan kepada suami dan anak saya, serta ibu-bapa, adik-beradik, anak-anak saudara dan ahli keluarga saya.. serta kepada kesemua muslimin dan muslimat sekelian. Ameen.
Sebenarnya, saya ini cuba sedaya-upaya untuk menjaga pertuturan lebih-lebih lagi bila ianya berkenaan hal peribadi orang lain. Saya cuba tidak akan bertanya:
- status perkahwinan, hubungan seperti "bila nak ada boyfriend / girlfriend", atau, "eh dah lama keluar sesama ni, bila nak bertunang?"
- status pekerjaan
- status sudah dikurniakan cahaya mata atau belum, bila nak tambah anak lagi, dll
- sudah bekerja atau tidak
Ini kerana semua itu bukan berada dalam kawalan tuan punya badan. Semua itu adalah kurniaan Allah swt, dan kita bertanya itu tidak akan mempercepatkan jodoh, kurniaan cahaya mata, dapat kerja atau tidak. Kemungkinan orang itu sedang mengalami tekanan perasaan tentang perkara yang kita tanya tu. Allah sahaja yang mengetahui, apa yang setiap insan itu sedang lalui. Janganlah kita jadi sebab orang itu tak mahu keluar berjumpa dengan sanak-saudara, handai taulan.
Lagi satu, saya juga tak suka membuat komen-komen tentang apa yang sebenarnya adalah kejadian ciptaan Allah swt yang maha sempurna. Misalnya:
- Putih gelap kulit seseorang
- Raut muka seseorang - eh macam bangsa itu ini, melainkan disertakan dengan pujian yang menyedapkan hati
- Susuk badan - gemuk, kurus... melainkan untuk menyenangkan hatinya. Jika tiada yang baik untuk dikatakan, baik saya bertanya khabar dan ajak berbual tentang hal-hal yang lain. Tapi biasanya, mesti ada perkara baik yang boleh kita katakan yang tidak menyinggung perasaan
- Anak-anak orang lain, melainkan untuk berkata dan berdoa yang baik-baik;
- Keadaan rumah, kereta, segala harta mereka. Cakap yang baik-baik saja, kalau mahu menjadikan bahan bualan.
Kenapa saya jadi begini? Sesungguhnya, pernah suatu masa, saya "malas" nak berjumpa orang. Kerana banyak komen yang saya terima seperti:
1. Ehhh, awak emakkan Cina? Sayangnya tak dapat kulit putih / rupa macam dia;
2. Kenapa awak ni hitam sangat? Macam rentung dah (saya dahulu pemain tennis peringkat kebangsaan, selain dari mewakili negeri dalam sukan Softball. Iya, saya memang amat hitam).
3. Ni kenapa makin gemuk ni? (selepas berhenti bersukan, badan saya memang naik).
4. Bila nak ada boyfriend? (sebab saya memang tak ada teman lelaki, fobia kerana dari kecil sering diejek budak-budak lelaki kerana hitam dan keadaan kulit yang tidak cantik kerana eczema dan allergies).
Selepas berkahwin, saya sering dihantui dengan soalan "Bila lagi nak beranak?", "Orang tu dah 3 dah anak dia, awak bila lagi?", "Ambil lah anak angkat. Si Polan tu dulu takde anak, ambik je anak angkat, terus dia mengandung". " Cuba jumpa si Polan tu ini.. dia urut adik, kakak.. sekejap je dah mengandung". "Dah makan kembang semangkuk?" macam-macam. Yang paling menyakitkan saya adalah apabila seseorang yang saya lawati pada hari raya berkata, "Ha! Ambiklah budak sorang. Engkau tu takde anak, itu yang asyik makan sampai gemuk. Ambiklah anak orang, biar kurus sikit." Ya Allah, memang saya menangis sepanjang perjalanan balik ke Johor. Teresak-esak kerana sakit sangat rasa di hati. Allah saja yang tahu. Sebab itu saya amat bersyukur apabila kami di hantar ke Poland supaya tidak perlulah saya menghadapi komen-komen sebegini dari saudara-mara dan rakan-rakan. Bila saya menjalani rawatan kesuburan pun, saya tak cerita pada sesiapa. Biarlah saya tanggung sendiri, walaupun ramai yang berkomen yang saya makin gemuk. I don't own anyone any explanation.
Saya dah melalui semua ini dan oleh itu, saya berazam untuk tidak jadi seperti mereka. Sekiranya saya nampak sesiapa yang disoal sebegitu rupa, memang saya akan masuk campur dan memberikan kata yang baik-baik dan menarik orang yang disoal itu dari penyoalnya. Tak perlu lah orang lain kena apa yang saya lalui.
Saya ingin berpesan di sini... berhati-hati dengan apa yang kita tuturkan. Mungkin pada kita, perkara itu "tidak apa-apa", tapi penerimaan manusia, berdasarkan latar belakang dan pengalaman mereka akan berbeza. Saya tidak pernah memandang tahap sosio-ekonomi seseorang itu, atau umur mereka untuk dijadikan kawan. Alhamdulillah, saya dan suami bukanlah orang "have-have" seperti yang orang sangkakan. Hidup kami sederhana, kami pun datang dari keluarga guru sahaja. Jadi tak ada sebab untuk saya memilih bulu untuk hanya berkawan dengan mereka yang berstatus tinggi atau berada saja.
Namun, saya akan hanya berkawan dengan orang-orang yang tidak akan menyakiti hati suami dan anak saya. Mereka ini adalah orang yang paling penting dalam hidup saya. Untuk mendapat anak saya, 7 tahun saya menunggu dan berdoa. Sejak kecil saya bermimpi kan sebatang pokok yang dipenuhi anak-anak. Seorangpun tidak memandang saya. Namun apabila saya pergi ke sebatang dahan, duduk seorang bayi yang iras kecinaan dengan mata sepet dan rambut yang halus, kulit cerah. Dia bergelak ketawa dan melihat saya, dia menghulurkan tangan dan memeluk saya. Pada hari anak saya diletakkan dalam pelukan saya, dan saya menatap wajahnya pada kali pertama, itulah dia bayi yang saya sering nampak dalam mimpi saya sejak kecil. Itulah anugerah Allah swt pada saya dan suami. Dialah penyejuk hati dan mata saya dan suami. Wajah seolah-olah dari Jepun, Korea, China, Kazakhstan, Turkmenistan atau mana sekali pun... mungkin "Apek" pada mata orang, tapi pada saya, dialah yang sempurna sifatnya, MashaAllah. Kerana dia dikurniakan pada saya selepas 7 tahun penantian, setelah melalui berbagai rawatan, selepas meluangkan masa berdoa dengan juraian air mata untuk diberikan seorang cahaya mata penawar dan penghias rumah tangga kami.
Tak perlulah dipertikaikan rupanya. Yang penting kami amat mengasihi dia, sentiasa mendoakan segala kebaikan baginya. Sejak hari pertama dia diletakkan dalam pelukan saya, hinggalah ke saat saya menutupkan mata saya buat selama-lamanya, saya akan terus mengasihi anak saya, walau apapun dikata. Jadi baiklah berkata yang baik-baik sahaja.
Jadi ingatlah pesanan saya. Jaga hati dan perasaan orang lain sekeliling kita. Semoga Allah swt akan memberikan kita rakan-rakan, pasangan hidup dan orang sekeliling yang juga menjaga hati dan perasaan kita.
Terima kasih kerana membaca. Salam hormat dari saya.